Definasi:
Pertama sekali kita perlu memahami lafaz kata pinjam agar kita dapat menghayati tajuk perbincangan.
Tasawwur – bermaksud gambaran rupa bentuk sesuatu (berasal dari perkataan Arab “sawwara” – gambaran). Politik – bermaksud urusan dan tindakan mentadbir atau menyusun, menyelia dan mengurus sesuatu pemerintahan atau negara (berasal dari bahasa Inggeris, dalam bahasa Arab dipanggil “siyasah”). Tarbiyah – dari perkataan Arab yang bermaksud mengasuh, mendidik, memelihara atau memimpin. Amal jamaie – bermaksud gerak kerja yang diatur oleh jammah atau organisasi untuk difahami, dihayati dan dilaksanakan.
Tajuk ini akan membincangkan gambaran atau bentuk politik dan tarbiyah di dalam gerak kerja jamaah Islam. Ia sepatutnya adalah suatu gerak kerja yang seiring dan bersepadu dan tidak bertentangan.
Memahami Islam sebagai “ad-Din”.
Firman Allah SWT pada surah Ali Imran: ayat 19 yang bermaksud;
“ Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam.”
Firman Allah SWT lagi pada surah al-Maidah: ayat 3 yang bermaksud;
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untukmu.”
Beberapa perkara yang perlu kita fahami daripada ayat-ayat tersebut:
1. Hanya Islam satu-satunya “ad-Din”- cara hidup, yang diredhai oleh Allah SWT untuk manusia.
2. “ad-Din” bermaksud – satu sistem kehidupan yang lengkap dan syumul meliputi segenap bidang kehidupan merangkumi aqidah, pemikiran, akhlak dan pengamalan - (Abul ‘Ala al-Maududi).
3. Islam sebagai satu sistem kehidupan itu telah sempurna mencakupi seluruh bidang kehidupan manusia sama ada aqidah dan syariah, agama dan negara, ibadat dan kepimpinan, solat dan jihad, maka semestinya al-Quran, as-Sunnah, al-ijma’ dan al-qias itulah merupakan nikmat rujukan bagi orang-orang Islam.
4. Justeru itu pandangan dan pendapat sesiapapun jua yang bercanggah dan bertentangan dengan semua sumber-sumber itu tidak boleh dihormati dan dipatuhi.
Tujuan hidup manusia.
Berdasarkan beberapa ayat-ayat Allah SWT berikut, kita akan dapat memahami apakah tujuan Allah SWT mencipta manusia seluruhnya.
FirmanNya pada surah az-Zariyat: ayat 56 yang bermaksud;
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
FirmanNya lagi pada surah al-Baqarah: ayat 30 yang bermaksud;
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.”
Selanjutnya Allah SWT berfirman lagi pada surah al-Ahzab: ayat 72 yang bermaksud;
“Sesungguhnya Kami telah bentangkan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya tabi’at manusia kebanyakannya adalah suka berlaku zalim dan jahil (suka berbuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan).”
Sesungguhnya berdasarkan 3 ayat-ayat Allah SWT di atas dapatlah kita fahami bahawa tujuan dan matlamat Allah mencipta manusia adalah untuk menunaikan perkara-perkara berikut:
1. Menyembah dan beribadat hanya kepadaNya. Manusia diciptakan adalah semata-mata untuk beribadat dan mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Selain daripada Allah tiada lagi yang lain yang layak menerima ibadat, penyembahan dan pengabdian dari manusia.
2. Menjadi khalifah di muka bumi iaitu secara mudahnya peranan khalifah adalah bertanggungjawab untuk mengatur kehidupan manusia berdasarkan wahyu dan syariat Allah, agar hidup manusia akan lebih teratur dan sejahtera.
3. Untuk memikul dan menunaikan segala amanah Allah iaitu dengan melaksanakan segala yang disuruhNya dan menjauhi dan meninggalkan segala laranganNya dalam segenap bidang kehidupan.
Peranan politik dalam amal jamaie.
Sebagaimana yang telah difahami, bidang politik adalah sesuatu yang menjurus kepada segala usaha dan tindakan mengenai pemerintahan dan pentadbiran hal ehwal masyarakat, negara ataupun yang berkaitan dengan hubungan dengan negara lain.
Hal ini selari dengan tujuan Allah SWT mencipta manusia sebagai khalifah iaitu bertanggungjawab mengatur dan mentadbir hidup manusia dalam segenap bidang.
Justeru itu politik tidak terkecuali dalam mentadbir hidup manusia dan selari dengan aspirasi serta tuntutan al-Quran dan as-Sunnah. Namun politik Islam memastikan kehidupan manusia diatur, ditadbir dan dihayati mengikut perintah dan ketentuan oleh Pemerintah Maha Agung iaitu Allah SWT.
Sesungguhnya dalam Islam politik tidak boleh dipisahkan ataupun diketepikan sama sekali daripada urusan hidup manusia muslim. Samalah juga tidak boleh mengabaikan segala urusan ibadat dalam kehidupan seharian.
Banyak contoh-contoh dalam Islam yang membuktikan bahawa urusan politik adalah agenda hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah. Salah satu contoh jelas kita lihat Allah mengutus para Rasul sebagai utusanNya bagi memimpin manusia mengatur dan mentadbir urusan dunia mereka mengikut panduan dan ketentuanNya seperti firmanNya pada surah an-Nahli: ayat 36 yang bermaksud;
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahnya menyeru mereka) hendaklah mereka menyembah Allah dan jauhi taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan) ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-Rasulnya.”
FirmanNya lagi pada surah al-Maidah: ayat 50 yang bermaksud;
“Sesudah itu patutkah mereka berkehendakkan lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal (pada orang-orang yang penuh yakin) tiada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.”
Sebenarnya tidak hairanlah bila kita menghayati dakwah baginda Rasulullah s.a.w dalam usaha dakwahnya selama 23 tahun, tidak hanya menekankan persoalan aqidah, ibadah dan kekeluargaan (nikah kahwin cerai dan sebagainya) sahaja. Tetapi ia juga menekankan hal ehwal politik dan pemerintahan negara. Baginda bukan hanya meninggalkan kepada umatnya sunnah-sunnah beribadah dan kekeluargaan tetapi juga sunnah-sunnah berpolitik dan pemerintahan negara.
Hijrah Baginda ke bumi Madinah setelah 13 tahun menjadi Ketua Pembangkang kepada sistem pemerintahan jahiliyah di Mekah, adalah untuk menjadi Ketua Negara memerintah dan memimpin rakyat jelata untuk tunduk kepada ketentuan Allah serta menjalankan undang-undang Islam.
Amalan yang dengan jelas menunjukkan bahawa politik itu sebahagian daripada ad-Din iaitu cara hidup Islam telah ditunjukkan oleh Baginda. Kemudian diikuti pula oleh para sahabat Baginda yang menjadi khulafah ar-Rasyidin seterusnya.
Pandangan yang mengatakan agama suku, politik suku adalah sama sekali menyanggah semua amalan yang dilakukan oleh Baginda serta menyimpang jauh dari ajaran Islam.
Maka kita sebagai anggota-anggota jamaah Islam hendaklah mengikut contoh teladan yang ditunjukkan oleh Baginda serta menjalankan kegiatan politik sebagai salah satu tuntutan Islam yang syumul secara menyeluruh seperti firman Allah pada surah al-Baqarah: ayat 208 yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam sepenuhnya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu yang terang nyata.”
Kita dituntut berpolitik mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Baginda seperti Firman Allah pada surah al-Ahzab: ayat 21 yang bermaksud;
“Demi sesungguhnya adalah bagi diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta yang menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang).”
Peranan tarbiyah dalam amal jamaie.
Perjuangan menegakkan Islam sebagai ad-Din bukanlah suatu kerja yang mudah dan boleh dilakukan secara sambil lewa atau kerja sampingan. Ianya mesti diterapkan dan dihayati ke dalam diri individu muslim, keluarga, masyarakat dan negara agar manusia benar-benar memberikan pengabdian atau penghambaan yang mutlak kepada Allah SWT dan patuh mengikut teladan RasulNya dalam setiap urusan hidup.
FirmanNya pada surah at-Taubah: ayat 42 yang bermaksud;
“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka akan mengikuti kamu; tetapi tempat yang hendak dituju jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dan berkata: Kalau kami sanggup tentulah kami akan pergi bersamamu. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta.”
Perjuangan yang besar dan perjalanan yang jauh ini hanya akan dapat dirasa dekat dan mudah oleh orang-orang yang beriman yang yakin kepada janji dan pertolongan Allah SWT.
Keyakinan yang teguh dan pegangan yang kuat terhadap kebenaran Islam sahajalah yang akan meletakkan ahli-ahli jamaah berada di dalam saf perjuangan dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Mereka akan terus beristiqamah dan tidak ragu terhadap celaan orang yang suka mencela serta tidak gentar dengan halangan yang datang.
Justeru itu disinilah letaknya peri pentingnya tarbiyah dalam gerak kerja amal jamaie. Tarbiyah yang tersusun dan berterusan akan meningkatkan iman dan seterusnya mengaktifkan gerak kerja ke arah menjadi pemangkin kepada kejayaan amal jamaie seperti yang diungkapkan oleh cerdik pandai: “Keimanan bukannya dengan cita-cita, tetapi apa yang tersemat di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan.”
Sebenarnya tujuan atau matlamat tarbiyah secara umum yang perlu diketahui oleh ahli-ahli jamaah ialah:
1. Beribadat atau pengabdian hanyalah kepada Allah SWT
2. Menjadi khalifah Allah di atas muka bumi
3. Berkenal-kenalan dan berbaik-baik sesama manusia
4. Menjalankan syariat Allah di bumi
Matlamat khusus pula bagi ahli-ahli jamaah adalah;
1. Memahami dan menghayati perjuangan Islam
2. Jujur dan ikhlas dalam perjuangan
3. Berkerja bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat perjuangan
4. Mengetahui amanah jihad dan pengorbanan
5. Taat kepada arahan pucuk pimpinan selagi tidak berlaku maksiat kepada Allah dalam waktu susah atau senang
6. Membersihkan minda dan pemikiran dari unsur-unsur yang tidak Islam
7. Merasai bahawa sesama ahli-ahli jamaah adalah bersaudara
8. Menaruh kepercayaan terhadap sesama sendiri terutama kepada pimpinan
9. Istiqamah mendekatkan diri dengan Allah dengan menunaikan ibadah fardhu sesempurna mungkin
10. Melazimi melakukan ibadah-ibadah sunat seperti qiamulail, zikrullah, solat tahajjud dan solat-solat sunat nawafil, puasa sunat dan selalu membaca al-Quran.
Kesimpulan.
Natijah daripada memahami politik dan tarbiyah seperti yang digariskan Islam dan mengikuti contoh teladan dari Rasulullah s.a.w, akan melancarkan lagi gerak kerja amal jamaie serta mengundang kemenangan dan keberkatan dari Allah SWT seperti firmanNya lagi pada surah al-Ankabut: ayat 69 yang bermaksud;
“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka gembira dan beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
FirmanNya lagi pada surah Muhammad: ayat7 yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah nescaya Allah akan menolong kamu (mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
Justeru itu sebarang usaha yang dilakukan dengan pertolongan dari Allah akan menjadi mudah dan beroleh kemenangan.
Wa Allahu ‘alam bis sawab.
(Kertas kerja ini dibentang pada Ijtimak petugas-petugas pilihanraya Dewan Muslimat PAS Kawasan Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan – 1/12/2001.)
No comments:
Post a Comment