MELAHIRKAN MUSLIMAT PAS SEBAGAI IKON WANITA KOTARAYA
Kehidupan di dalam hiruk pikuk kesibukan kotaraya kini banyak memerangkap kita pada suasana yang jauh dari petunjuk Allah s.w.t. Juga di dalam perlumbaan mencari kebahagian ini sering manusia kotraya digamit mengikut jejak langkah segolongan manusia yang memaparkan gaya hidup yang dianggap berjaya dan bahagia. Pada trend kini golongan ini digelar sebagai “ikon”.
Apakah maksud “ikon”? Lafaz kata yang popular ini bermaksud tokoh, dicontohi, diikuti dalam segala hal. Ianya bermaksud segolongan manusia yang menjadi contoh teladan kepada warga kotaraya dalam semua aspek kehidupan. Trend ini juga amat terserlah dihadapi oleh golongan wanita yang saban hari dipaparkan dengan kepelbagaian “ikon” yang memukau dan mempersonakan.
PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang menceburi bidang politik tidak boleh terasing daripada terlibat sama melahirkan ikonnya kepada masyarakat, terutama ikon bagi golongan wanita. Tetapi ikon PAS perlu berjaya memimpin masyarakat ke jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t.
Selama ini tokoh politik wanita kotaraya didominasi oleh wanita-wanita BN dengan penguasaan media yang dimiliki oleh mereka. Tetapi melihat kepada keputusan pilihan raya yang lalu di kotaraya Kuala Lumpur, kita dapati persepsi ini sudah berubah. Ini kerana daripada 11 kerusi parlimen yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat, 10 kerusi telah dapat ditawan oleh PR dan 3 daripadanya dimenangi oleh calon-calon wanita. Malah hanya satu kerusi yang dimenangi BN itu dibantu oleh kelebihan undi pos yang banyak memihak kepada calon mereka. Antara salah satu sebab kemenangan ini yang tidak boleh dinafikan ialah sumbangan tenaga muslimat yang bersungguh-sungguh dan berterusan.
Muslimat PAS khususnya dan wanita anggota Pakatan Rakyat amnya tidak ketinggalan dalam apa-apa program sekalipun. Mahupun program besar yang melibatkan para peserta berdepan dengan tindakan dari anggota polis yang terkenal tidak memihak kepada rakyat awam.
Oleh itu dalam era Pakatan Rakyat sekarang PAS perlu melahirkan lebih ramai lagi ikon-ikon pada segenap bidang kehidupan tidak tertumpu kepada bidang politik semata-mata. Untuk benar-benar menjadi ikon, muslimat mestilah mempunyai garis panduan yang tidak boleh lari daripada panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Panduan tersebut tentunya merujuk kepada al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah s.a.w.
Muslimat PAS sebagai ikon berbeza dengan wanita-wanita lain dianggap sebagai ikon. Ini kerana para muslimat mestilah benar-benar dapat menyelamatkan, mensejahtera dan membahagiakan dirinya dan wanita-wanita mencontohinya di dunia dan di akhirat.
Firman Allah pada surah al-Ahzab: ayat 21 yang bermaksud; “ Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam keadaan senang ataupun susah).”
Oleh itu muslimat mestilah merujuk kepada pengiktirafan Allah SWT terhadap contoh teladan unggul ini, tidak lain tidak bukan ialah nabi Muhammad s.a.w. Selain itu muslimat juga perlu mengikuti jejak langkah manusia-manusia contoh sebagaimana yang telah disebut oleh Allah SWT di dalam surah popular al-Fatihah, ayat: 6-7 yang bermaksud: “Tunjukkanlah kami kepada jalan yang lurus; iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat ke atas mereka”
Untuk memahami siapakah orang-orang yang dikatogerikan oleh Allah SWT sebagai orang-orang yang telah mendapat nikmatNya, kita melihat pula firman seterusnya di dalam surah an-Nisa, ayat: 69 yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka merekalah akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah, iaitu para Nabi-Nabi, Siddiqin (orang-orang yang benar imannya zahir dan batin), orang-orang yang syahid dan orang-orang yang soleh. Dan amat eloklah mereka itu menjadi teman baik.”
Berdasarkan maksud ayat di atas, fahamlah kita bahawa mereka yang diiktiraf mendapat nikmat Allah SWT ternyata terdiri daripada 4 golongan saja. Iaitu para Nabi-Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin. Inilah 4 golongan manusia yang mesti menjadi contoh teladan kepada muslimat agar mereka benar-benar menjadi ikon yang menyelamatkan dan menyejukkan pandangan mata terhadap wanita-wanita yang lain.
Marilah kita hurai secara ringkas keempat-empat golongan ikon yang diiktiraf oleh Allah SWT ini. Muslimat PAS yang menjadi ikon kesejahteraan hidup ini perlu mengambil golongan ini sebagai ikutan kehidupan seharian.
Pertama: para Nabi-Nabi
Nabi-Nabi adalah manusia biasa tetapi istimewanya mereka dilantik oleh Allah SWT. Mereka diutuskan untuk mengajak, mengajar, mendidik, memandu manusia ke jalan yang diredai Allah SWT. FirmanNya di dalam surah ali-Imran, ayat: 161 yang bermaksud: “Dan tidaklah patut bagi seseorang nabi itu disangkakan berkhianat.”
FirmanNya lagi di dalam surah al-Anbia, ayat: 25 yang bermaksud: “Dan kami tidak utuskan sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, oleh itu beribadatlah kepadaKu.”
Kedua: as-Siddiqin (orang-orang yang benar imannya)
Contoh insan yang dinobatkan sebagai as-Siddiqin ialah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, seorang sahabat Rasulullah SAW dan khalifah pertama yang tersohor. Beliau adalah seorang ikon, seorang hamba Allah yang cemerlang dalam semua aspek kehidupannya.
Allah SWT menceritakan ciri-ciri orang-orang as-siddiqin di dalam al-Quran pada surah al-Hujurat, ayat: 15 yang bermaksud: “Adapun orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang as-siddiqun.”
Ketiga: as-Syuhada (orang-orang yang mati syahid di jalan Allah)
As-Syuhada adalah orang-orang yang mati dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Allah amat menghargai golongan yang mati syahid di dalam perjuangan menegakkan Islam, seperti firmanNya pada surah at-Taubah, ayat: 111 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah. Maka (antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Tuarat, Injil dan al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”
Keempat: as-Solihin (orang-orang yang soleh)
Siapakah golongan yang keempat ini? Apakah ciri-ciri orang-orang yang soleh? Al-Quranul karim tidak melupakan untuk menjelaskan ciri-ciri atau sifat-sifat golongan keempat yang diredai Allah ini pada surah ali-Imran, ayat: 113 – 114 yang bermaksud: “Ahli-ahli kitab tidaklah sama, diantaranya ada golongan (yang telah memeluk Islam) dan (tetap berpegang kepada agama Allah yang benar), mereka membaca ayat-ayat Allah dan pada waktu malam mereka kerjakan sembahyang (tahajjud)."
"Mereka itu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran dan mereka bersegera melakukan kebaikan dan mereka itulah orang-orang yang soleh.”
Kesimpulan
Berdasarkan pada ayat-ayat Allah terhadap kempat-empat golongan yang telah berjaya menguasai dunia ini dan menjadi ikutan kepada manusia yang lain, maka muslimat sebagai ikon mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:
i. Taat kepada Allah dan Rasul dalam semua urusan.
ii. Akhlak terpuji kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
iii. Berani kerana benar.
iv. Tidak ragu-ragu terhadap ajaran Islam dan sanggup mati untuk Islam.
v. Berilmu dan mengajarkan ilmunya.
vi. Berjuang bersungguh-sungguh dengan harta benda dan jiwa raga di jalan Allah.
vii. Banyak membaca al-Quran dan solat tahajjud di waktu malam.
viii. Meyakini kehidupan akhirat dan bersedia untuk menghadapinya.
ix. Melaksanakan amar makruf nahi mungkar.
x. Bersegera dalam melakukan kebajikan.
Sebagai ikon kesejahteraan, keadilan, kebijaksanaan, keberanian, kesantunan, muslimat perlu mendidik diri dengan sifat-sifat yang telah dijelaskan oleh al-Quran secara isitiqamah. Di atas usaha-usaha yang isitiqamah itu barulah para muslimat dapat mencapai martabat ikon dan kejayaan di dunia dan akhirat yang diidam-idamkan.
No comments:
Post a Comment