Al-Wala’ wal Bara’
1. 1. Pengertian dari sudut bahasa:
i. Wala’ - berasal daripada perkataan yang membawa maksud: dekat, kasih, mengikut, memberi pertolongan, memberi perlindungan dan seumpamanya.
ii. Bara’ – berasal daripada perkataan yang membawa maksud: bebas, mensucikan diri, berlepas diri, permusuhan.
2. 2. Contoh ayat-ayat Allah s.w.t berkenaan dengan al-wala’ dan al-bara’
a. Al-wala’
i. Maksudnya: “ dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, sesungguhnya Parti Allah itulah yang mencapai kemenangan.”
- Al-Maidah: ayat 56.
ii. Maksudnya; “ orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan mereka bertolong bantu antara satu sama lain, menyuruh berbuat makruf dan mencegah melakukan mungkar, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat dan mentaati Allah serta Rasul, mereka itulah orang-orang yang diberi rahmat oleh Allah."
- At-Taubah: ayat 71.
iii. Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu ambil bapa-bapa dan saudara mara kamu menjadi wali (pemimpin) sekiranya mereka lebih mengutamakan kekafiran dari keimanan, dan sesiapa yang menganbil mereka menjadi pemimpin mereka itulah orang-orang yang zalim.”
- At-Taubah; ayat 23.
iv. Maksudnya: “ Sesungguhnya pemimpin kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka itu adalah orang-orang yang ruku’.” - Al-Maidah: ayat 54.
b. Al-Bara’
i. Maksudnya: “ Katakanlah: Hanyasanya Dialah sahaja Ilah yang Maha Esa, dan sesungguhnya Aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan.” - Al-An’am: ayat 19.
ii. Maksudnya:“ Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya, Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah."
- Az-Zuhruf: ayat 26.
3. 3. Pengertian al-Wala’ dan al-Bara’ dari sudut syarak:
i. Al-Wala’ : kesesuaian sikap hamba dengan apa yang diredhai dan disukai Allah, samada dalam bentuk ucapan, perbuatan, keyakinan dan peribadi tertentu.
ii. Al-Bara’ : kesesuaian sikap hamba dengan apa yang dimurkai, dibenci dan tidak diredhai Allah, samada dalam bentuk ucapan, perbuatan, keyakinan dan peribadi tertentu.
iii. Oleh itu sasaran al-wala’ ialah segala yang diredhai oleh Allah, manakala sasaran al-Bara’ ialah segala yang dimurkai oleh Allah.
4. 4. Pengertian al-wala’ dan al-Bara’ dari segi istilah:
i. Al-Wala’ : meletakkan kecintaan yang sebenar serta kesetiaan dan penghormatan yang tinggi kepada pimpinan dengan sokongan dan bantuan dalam apa jua bentuk sekalipun.
ii. Al-Bara’ : tidak meletakkan kecintaan yang sebenar serta kesetiaan dan penghormatan yang tinggi kepada pimpinan, seterusnya membenci, menamatkan hubungan dan mengadakan permusuhan dalam apa jua bentuk sekalipun.
5. 5. Konsep al-Wala’ dan al-Bara’ dalam jamaah Islam;
Wala’ merupakan asas terpenting dalam sesebuah jamaah Islam. Setiap orang yang berada di dalam jamaah tersebut mestilah memberikan wala’ kepada pimpinan kerana tanpa wala’ sesebuah jamaah akan hancur dan mudah diperkotak-katikan oleh musuh. Pihak musuh sentiasa mencari jalan menghancurkan sesebuah jamaah dari dalam dan mengakibatkan matlamat menegakkan agama Allah s.w.t tinggal angan-angan saja.
Saidina Omar r.a. menyatakan:
Maksudnya: “ Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa pimpinan, tiada pimpinan tanpa ketaatan.”
Islam mewajibkan penganutnya memberikan wala’ – ketaatan dan kesetiaan yang sepenuhnya kepada kepimpinan dan adalah haram sama sekali menderhaka atau enggan menurut arahan pimpinan.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran:
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu.” - An-Nisa’ : ayat 59.
Rasulullah s.a.w. menjelaskan di dalam hadisnya:
Maksudnya: “ Dengar dan taatlah walaupun kamu dipimpin oleh seorang hamba Habasyi yang rambutnya seperti kismis.”
- Riwayat al-Bhukari (sohih Bukhari : 6723).
6. 6. Syarat-syarat al-Wala’ wal Bara’.
Al-Wara’ dan al-Bara’ merupakan satu perkara yang sangat ditekankan oleh Islam. Namun wala’ kepada pimpinan tidak mutlak seperti kepada Allah dan RasulNya. Ia perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
i. Pemimpin tersebut hendaklah menjalankan syariat Islam. Mana-mana pemimpin yang menolak hukum Allah s.w.t. maka haramlah diberikan wala’. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Uli-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada Allah dan RasulNya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik dan lebih elok pula kesudahan."
- An-Nisa’ : ayat 59.
Ulama’ tafsir menyatakan perkataan “athi’u” tidak diletakkan sebelum perkataan “ Ulil-Amri minkum” kerana tidak semua pemimpin mesti ditaati. Mereka hanaya ditaati jika mereka taat kepada Allah dan Rasul saja. Sebaliknya rakyat tidak boleh taat kepada pemimpin yang ingkar kepada Allah dan RasulNya.
ii. Pemimpin mestilah adil dan saksama dalam setiap tindakan berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Oleh itu kita hendaklah al-Bara’ – berlepas diri daripada pemimpin yang zalim. Firman Allah s.w.t :
Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baik kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.” - An-Nisa’ : ayat 58.
iii. Pemimpin tersebut hendaklah sentiasa melakukan amar makruf nahi mungkar. Wala’ tidak boleh diberikan kepada pemimpin yang menyuruh atau menggalakkan rakyatnya melakukan maksiat seperti mendirikan pusat pelacuran, hiburan yang melampau dan melekakan, judi dan lain-lain. Sabda Rasulullah s.a.w:
Maksudnya: “Tiada ketaatan pada maksiat kepada Allah, sesungguhnya ketaatan hanya kepada makruf.” - Riwayat Muslim (sohih Muslim : 1840).
Manakala dalam masalah khilafiah, rakyat wajib akur kepada arahan atau ijtihad pimpinan, meskipun ijtihad tersebut bercanggah dengan pendapat mereka, agar Jemaah Islam tetap utuh dan tidak tergolong dalam golongan yang dimurkai oleh Allah dan RasulNya.
Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:
“ Sesiapa yang melihat pimpinannya dalam perkara yang tidak disukainya, maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang memecah-belahkan jamaah walaupun sejengkal lalu mati, maka tidaklah matinya itu kecuali dalam keadaan jahiliah.”
- Riwayat al-Bukhari (sohih Bukhari : 6646).
Sabda Baginda selanjutnya:
“ Aku menyuruh kamu dengan lima perkara yang Allah memerintahkan aku denganNya: dengar, taat, jihad, hijrah dan jamaah. Sesungguhnya sesiapa yang memecah-belahkan jamaah walau sejengkal, maka ia telah mencabut Islam dari lehernya, kecuali jika ia kembali. Sesiapa yang menyeru dengan seruan jahiliah, maka sesungguhnya dia sedang berjengkit di atas neraka. Lalu berkata seorang lelaki, “ Wahai Rasulullah! Walaupun dia solat dan puasa?” Jawab Baginda, “ Walaupun dia solat dan berpuasa.”
- Riwayat at-Tarmizi (sunan Tarmizi:2941).
Kaedah ada menjelaskan bahawa: “
Wala’ bagi ahli kebenaran dan al-Bara’ daripada ahli kebatilan.”
Walllahu ‘Alam bis Sawab.
No comments:
Post a Comment