Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, November 20, 2011

ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN


Kita biasa mendengar lafaz kata istiqamah diulang oleh para penceramah ataupun saranan dan tuntutan dari pimpinan kepada pengikut-pengikutnya agar mengamalkan sikap tersebut. Sejauhmanakah seseorang itu memahami tuntutan berisitiqamah akan mempengaruhi tindak-tanduknya mencapai matlamat yang dingini. Apakah itu istiqamah?


Definasi:


Istiqamah bermaksud berdiri teguh atau tetap pendirian sepanjang masa atas dasar kebenaran dan petunjuk serta beramal dengan segala tuntutannya.


Dengan kata lain istiqamah adalah tindak-tanduk yang berterusan melaksanakan perintah Allah seperti firmanNya pada surah Fussilat : ayat 30; bermaksud,


“ Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham). Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadapmu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepadamu.”


Kedudukan istiqamah dalam Islam:


1. Istiqamah adalah amalan yang sangat disukai oleh Allah s.w.t. seperti sabda Rasulullah s.a.w. dari riwayat Bukhari dan Muslim:

“Amalan yang paling disukai Allah adalah kekal walaupun sedikit”

2. Istiqamah menjadi kunci kejayaan. Para nabi dan solihin memiliki istiqamah lalu mereka mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

3. Istiqamah adalah ciri penting bagi melayakkan seseorang menjadi pemimpin. Berisitiqamah adalah amalan para nabi dan shahabatnya, para solihin ataupun mereka yang berjiwa besar. Hanya orang-orang yang berjiwa besar dan beristiqamah saja yang layak memikul tanggungjawab dan berjaya di dunia dan akhirat.


Ciri-ciri istiqamah:


1. Beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w – membawa diri dan umat ke jalan mencari keredaan Allah s.w.t. semata-mata.

2. Ikhlas beramal sepenuhnya untuk Allah dan kebahagian hari akhirat.

3. Sabar dan berdaya tahan, tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu yang boleh mengubah keyakinan terhadap Allah dan RasulNya.

4. Mempunyai disiplin diri yang baik serta keazaman yang tinggi – Jadual amalan harian perlu dibuat dan dilaksanakan sepenuhnya.

5. Berhati-hati dalam sebarang tindakan dan memastikan keseimbangan dari sikap suka bertangguh-tangguh (difa’iyah) ataupun terburu-buru (musta’jil).


Cara-Cara mencapai istiqamah:


1. Iman serta ta’abbud;

Sabda Rasulullah: Katakan; “Aku beriman kepada Allah kemudian hendaklah beristiqamah.”

Perlaksanaannya:-

- Beriman sepenuh hati kepada Allah dan RasulNya.

- Sentiasa taat dan tekun melaksanakan perintah Allah – sanggup berkorban apa saja.

- Berdisiplin dan berhemah tinggi – tunaikan amanah secara baik, sempurna dan tepat pada masanya (up to date).

- Keazaman yang kuat dan usaha-usaha yang tidak mengenal mundur.

- Sentiasa berdoa dan berharap kepada pertolongan Allah untuk terus beristiqamah.

- Taslim dan tawakkal – menyerah diri kepada Allah dan segala usaha dan kata putus tertakluk kepada ketentuan Allah semata-mata.


2. Taqwa serta ta’abbud;

Perlaksanaannya:-

- Mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah dan Rasul.

- Sentiasa memelihara hubungan baik dengan Allah (cinta dan kasih, berani dan cemas, cita-cita dan harap, redha dan tawakkal hanya untuk Allah s.w.t)

- Memperhambakan diri semata-mata kepada Allah secara mutlak (dalam semua ikatan peribadi, keluarga dan masyarakat)

- Jihad atau perjuangan kerana Allah – oleh itu akan ada tekun, berani kerana benar, mempercayai kebolehan diri sendiri.

- Berakhlak dengan akhlak mahmudah.

- Sentiasa berusaha menjauhi dosa-dosa kecil apatah lagi dosa besar.


Hikmah dari istiqamah:


- Mendapat keredaan Allah.

- Mempunyai keimanan yang teguh.

- Dihormati kalangan masyarakat.

- Hidup lebih teratur dan berdisiplin.

- Tidak mudah dipengaruhi maksiat.

- Menjamin kejayaan hidup di dunia dan akhirat.


Akibat tidak istiqamah:


- Iman menjadi lemah dan merasa amat berat melakukan perkara yang makruf.

- Mudah kalah dengan godaan nafsu dan tipu muslihat serta hasutan syaitan.

- Gagal dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

- Dipandang hina oleh kalangan masyarakat.

- Mendapat kemurkaan Allah.


Kesimpulan:


Istiqamah adalah satu amalan yang terpuji yang disukai oleh Allah s.w.t. Seseorang yang beristiqamah akan mendapat pertolonganNya serta mampu menghadapi segala halangan dengan yakin dan tabah.

No comments: