Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, January 11, 2012

PECAT HASAN ALI - HENTIKAN POLIMIK AKUR DENGAN KEPUTUSAN JEMAAH . MERAYU PADA MAJLIS SYURA PADA YANG TERLIBAT

PAS: Hasan dipecat kerana salah sendiri bukan sebab Anwar Ibrahim


KUALA LUMPUR, 10 Jan — PAS menegaskan pemecatan keanggotaan Datuk Dr Hasan Ali sebagai ahli parti itu bukan berpunca daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kerana kesalahan sendiri.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata Anwar tiada kaitan dengan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat kelmarin.

“Banyak sebab lain dan untuk memecat keanggotaan ahli ia melibatkan barisan kepimpinan parti dan langkah ini diambil disebabkan tindakan-tindakan yang dianggap merugikan parti.

“Keahlian boleh dipecat jika melakukan tindakan merugikan parti... Anwar tiada kena mengena dalam membuat keputusan dan ia tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana keputusan ini dibincangkan dan dicapai secara bersama,” katanya.

Kelmarin Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan exco kerajaan negeri telah dipecat keanggotaan berkuatkuasa serta-merta kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan dasar parti.


Tindakan memecat Hasan dibuat berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian sebagai ahli PAS.

Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia dan exco kerajaan negeri Selangor sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan yang “menongkah arus”.


Terbaru beliau menolak perhimpunan 901 dan menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.


Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan.

Ekoran pemecatan itu Hasan berkata keputusan itu berpunca daripada Anwar.

Beliau menjelaskan segala kenyataan negatifnya terhadap Penasihat Ekonomi Selangor itu menjadi punca dirinya dipecat PAS.

“Anwar Ibrahim punca saya dipecat,” kata Hasan.


Tuan Ibrahim menambah sekiranya Hasan tidak berpuas hati dengan keputusan itu beliau boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama dalam tempoh 30 hari.


“Keputusan ini sebulat suara... tiada pandangan berbeza.

“Kalau tidak berpuas hati beliau perlu hantar rayuan kepada Majlis Syura Ulama,” katanya.

Read More......

Saturday, January 7, 2012

Lawatan Kerja Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat ke Sarawak

Setibanya di Lapangan Terbang Kuching, rombongan kami disambut oleh Pesuruhjaya PAS Sarawak Haji Adam Ahid.

Mulai hari Rabu 28 Disember 2011 yang lalu Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat telah melangsungkan lawatan kerja ke Sarawak diketuai oleh Ketua Penerangan PAS Pusat sendiri Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Antara anggota-anggota rombongan selain dari saya adalah Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Ustaz Idris Ahad, YB Dr Fadli Hassan, YB Dr Rani Osman, Ustaz Misbahul Munir Masduki, Ustaz Sallehin Mukhyi, Hajah Salbiah Wahab, Puan Khadijah Mahmud dan ahli-ahli jawatankuasa lajnah yang lain.

Kami berpecah kepada 3 kumpulan. Kumpulan pertama diketuai oleh Dato' Tuan Ibrahim pergi ke Sebuyau, kumpulan kedua diketuai oleh Dato' Seri Mohd Nizar pergi ke Sibu dan kumpulan ketiga diketuai oleh saya sendiri pergi ke Sadong Jaya.

Menaiki feri untuk ke program ceramah kelompok dan tahlil di Kampong Iboi, Batang Sadong.

Keesokan harinya 29hb, kami berkunjung ke Tanjung Datu menziarahi bekas calon PAS Tanjung Datu, Puan Nani.

Beramah mesra dan bertanya khabar dengan Puan Nani di rumahnya di Tanjung Datu.

Kemudian kami terus menziarahi isteri calon PAS Sadong Jaya, Abang Eddy, Yang Di Pertua PAS Sadong Jaya juga mantan Ketua Pemuda PAS Sarawak. Isteri beliau baru sahaja menjalani pembedahan.

Pada sebelah malamnya kami menghadiri taklimat 3 Pesuruhjaya-Pesuruhjaya, Dato' Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Haji Adam Ahid Pesuruhjaya PAS Sarawak dan YB Dr Rani Osman Pesuruhjaya PAS Selangor.

Keesokan harinya 30hb kami bersiap untuk meneruskan lawatan kerja ke Sabah.





Read More......

Saturday, December 31, 2011

TINTA MUHASABAH

TINTA MUHASABAH – buang yang keruh ambil yang jernih


As Salamu’Alaykum wa Rahmatullahi wa Barakaatuh


Dengan mengharapkan bimbingan taufik dan hidayah dari Allah Rabbul ‘Alamin saya memulakan bicara. Harapan saya amat tinggi menggunung agar paparan dan perkongsian saya ini di bawah panduan Illahi jua.


Dalam kita menghadapi sebarang isu-isu dalaman Jemaah, kita dituntut bersabar dan “hazar” berhati-hati daripada terperangkap dengan agenda musuh. Musuh yang mana satu?


Kita diajar oleh Allah SWT supaya berlindung kepadaNya daripada musuh kita itu. Musuh yang Allah sendiri isytiharkan kepada kita iaitu SYAITAN.


FirmanNya pada surah Yusuf : ayat 5 yang bermaksud:


“…Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata (bagi manusia).”


Allah menegaskan lagi pada surah Yaasin : ayat 60 yang bermaksud;


" Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam supaya kamu jangan menyembah (mengikut jejak langkah) syaitan? Sesungguhnya ia musuh kamu yang nyata!"


Seringkali kita ulangi kalimah ini yang bermaksud:


aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam


Kita selalu juga terlupa bahawa dalam diri kita ada lagi satu musuh yang tersembunyi yang seringkali membisik dan memujuk rayu kita.


FirmanNya lagi pada surah Yusuf ; ayat 53 yang bermaksud :


“…Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).”


Tuan-Puan, saudara dan saudari para pengunjung budiman diharapkan jika ada pandangan-pandangan, saranan dan cadangan bagi memupuk iman serta mengukuhkan silatur-rahim dalam Jemaah, silalah berlumba-lumba memberi respon ikhlas semata-mata untuk Islam kerana Allah jua.


FirmanNya lagi pada surah al-Baqarah : ayat 148 yang bermaksud:


“…Dan setiap umat mempunyai kiblat yang dia menghadap kepadanya; maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu semuanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”


FirmanNya selanjutnya pada surah al-‘Alaq : ayat 1-5 yang bermaksud:


Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk). Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan pena. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”


Berilah respon anda di atas semangat pepatah orang-orang tua “beringat-ingat sebelum kena” juga mengikuti teladan RasulNya. Tinta pena anda akan menjadi saksi kepada kebenaran di akhirat kelak.


FirmanNya lagi pada surah al-Qalam : ayat 1-4 yang bermaksud:


“Nun, demi pena dan apa yang mereka tuliskan. Dengan kurnia Tuhanmu engkau (wahai Muhammad) bukanlah orang gila. Dan sesungguhnya engkau pasti mendapat pahala yang besar yang tidak putus-putusnya. Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang luhur.”


Justeru itu sebarang respon yang datang ikhlas dari hati yang penuh iman akan terang benderang dengan kebenaran bagai bulan purnama yang menerangi alam dengan cahaya lembutnya.


Salam jihad. Moga kita sentiasa mendapat taufik dan hidayah dari Nya jua. Amin.


“ Sirru ‘ala barakatillah ”



Read More......

Friday, December 30, 2011

LA BIANCA - UNTUK RENUNGAN PARA MUSLIMAT

Kisah gadis desa Australia memilih menjadi muslimah – La Bianca

http://2.bp.blogspot.com/-RKJ13XgX-oo/Th-AqkW-kXI/AAAAAAAAJAM/EmyuleTffDg/s1600/labianca.jpg

La Bianca hanya seorang perempuan desa sederhana yang dibesarkan di sebuah ladang peternakan di Perth, Australia Barat. Ketika masih kanak-kanak, ia mempunyai haiwan kesayangan, seekor kangaru.

Ia juga membantu orang tuanya memelihara lembu dan biri-biri. Walaupun perempuan, La Bianca suka berburu. Arnab dan anjing hutan menjadi sasaran buruannya.

Keluarganya tidak terlalu kuat mengajarkan agama. Tapi La Bianca percaya adanya Tuhan dan ia dididik dengan tradisi dan nilai-nilai moral keluarga Itali, dimana seorang anak gadis sangat dijaga dan dilindungi.

Setiap Minggu, La Bianca dan keluarganya mengikuti misa ke gereja. Namun buat La Bianca, kedatangannya ke gereja cuma ikut-ikutan keluarganya saja, kerana ia mengaku tidak faham apapun tentang agama yang dianutnya.

Yang ia tahu, ia harus memakai gaun berwarna putih dan mengucapkan beberapa baris doa semasa perlu melakukan komuni. Yang ia tahu, Jesus dan Maria hanya patung yang dipasang di gereja. Tapi, La Bianca tetap percaya Tuhan itu ada dan ia tetap berdoa pada Tuhan.

Hingga beralih remaja, La Bianca tidak pernah pergi ke bandar, sehingga ia menjadi remaja yang merasa puas dan naif. Walaupun demikian, ada sisi positif dari keadaan seperti itu.

La Bianca menjadi remaja yang sikapnya lebih semulajadi dan lebih terbuka. Jika orang-orang bandar suka bersikap lebih keras dan emosional, orang desa seperti La Bianca suka menerima setiap orang seadanya.

Hanya pada usia 16 tahun, La Bianca meninggalkan kehidupan desa. Keluarga besar La Bianca yang keturunan Itali, banyak dimana-mana dan tinggal di bandar-bandar Australia dan ia tinggal dengan salah seorang emak saudaranya.

La Bianca mendapat pekerjaan pertamanya sebagai resepsionis. Di tempat kerjanya ia bertemu dengan seorang muslimah berasal Afrika Selatan bernama Tasneem.

Tasneem bukan tipikal muslim yang taat. Ia tidak mengenakan tudung atau solat, tapi Tasneem selalu memastikan ia tidak makan makanan yang dilarang dalam agama Islam.

Tasneem juga tidak minum minuman beralkohol. Namun Tasneem sering pergi keluar berkawan. Orang tua Tasneem mengizinkan anak perempuan mereka berkawan, asalkan pulang tidak terlalu larut malam.

Satu perkara yang dipelajari La Bianca dari Tasneem adalah puasa di bulan Ramadan. Ia selalu merasa tertarik dengan Muslim, kerana setiap muslim yang ia jumpai selalu bersikap mesra, ramah dan menerimanya seadanya, dan ia melihat seorang muslim selalu cinta keluarga.

La Bianca merasa nyaman bersosialisasi dengan teman-teman muslimnya. Suasana kekeluargaan yang ia rasakan, membuatnya selalu teringat akan kehidupan desa yang ia tinggalkan selama ini.

Secara khusus, La Bianca mengaku lebih senang bergaul dengan mereka yang berasal dari atau keturunan orang Afrika. Kerana orang-orang Afrika, menurutnya, lebih mesra dan ramah.

Sedangkan orang Eropah, kata La Bianca, sikapnya dingin dan banyak menciptakan dinding pemisah di tengah pergaulan dengan orang lain.

Sikap La Bianca sama dengan ayahnya, yang selalu menghormati semua orang, tanpa melihat latar belakang etniknya. Berbeza dengan ibunya yang agak rasis. Ibu Bianca masih beranggapan bahawa orang-orang Eropah lebih bertamadun dibandingkan dengan bangsa lainnya.

Kerana sering bergaul dengan muslim, teman-teman muslim Bianca terus bertambah. Dari mereka, ia tahu bahawa seorang muslim wajib menunaikan salat lima waktu setiap hari. Tapi La Bianca mulai banyak tahu tentang Islam ketika ia menikah dengan seorang lelaki muslim.

“Saya ingat, ketika ia bertemu saya, ia terus mengenalkan saya pada ibunya dan mengatakan bahawa mereka ingin membuat komitmen jangka panjang–berkahwin dan membina keluarga,”kata La Bianca.

Sejak itu, ia mulai mengikuti kursus agama Islam. Ia juga mulai mengubah cara berpakaiannya. La Bianca mulai mengenakan baju dan kain yang longgar. Ia mengatakan, semasa belajar tentang Allah Yang Maha Besar, ia merasa semua ajaran Islam masuk akal, indah dan harmoni.
Perkara terberat bagi Bianca setelah belajar Islam adalah ketika ia memakai tudung. Tudung yang dikenakannya, mengubah citra dan sangat mempengaruhi jiwanya.

“Di kampung halaman, di peternakan keluarga kami, di tempat kerja, orang selalu menanyakan mengapa saya mengenakan tudung itu,” ungkap Bianca.

Pertama kali melihatnya bertudung, ayah Bianca berfikir bahawa Bianca tidak menghormati teman-teman ayahnya jika tidak mengenakan busana yang membuat senang teman-teman ayah Bianca.

Bianca mengakui, awalnya ia merasa bersalah kerana membuat ayahnya merasa tidak dihormati. Tapi seiring dengan menguatnya keyakinan pada Allah Yang Mahakuasa, Bianca menyedari bahawa ia ingin membuat Allah Swt senang lebih dari keinginannya untuk menyenangkan manusia.

“Saya berkata pada diri saya sendiri, bahawa saya tidak mahu membuat tolak ansur apapun, kerana saya tahu bahawa saya sudah melakukan perkara yang benar. Saya juga tahu, jika saya mulai melakukan kompromi, maka kompromi itu tidak akan pernah berhenti dan saya akan hidup tanpa Islam sama sekali. Saya tidak mahu itu terjadi,” tukas La Bianca.

Walaupun diawal mengenakan tudung ia merasa tidak selesa dan kesukaran. La Bianca merasakan sendiri, setelah mengenakan tudung, tidak ada lelaki yang berani menggodanya dan ia merasa lebih dihormati sebagai perempuan.

“Saya mengagumi konsep bahawa kaum perempuan ibarat harta karun berharga, dan oleh sebab itu harus dilindungi dan hanya boleh dilihat oleh mereka yang berhak melihatnya,” ujar La Bianca.

Ia akhirnya mengucapkan dua kalimat syahadat, disaksikan oleh beberapa orang sahabatnya pada tahun 2008. Bagi Bianca, Islam adalah kebenaran dan ia ingin terus dan terus memperdalam pengetahuannya tentang agama Islam.

Suami dan keluarga suaminya memberikan sokongan moral pada La Bianca untuk mengenakan tudung, walaupun perlu waktu untuk La Bianca untuk pada akhirnya mengenakan tudung dengan betul. eramuslim.com

Read More......

Wednesday, December 28, 2011

PROGRAM "JOM KEMBALI KE SEKOLAH" PAS TITIWANGSA


Pada Sabtu 24 Disember 2011 yang lalu telah berlangsung program "Jom Kembali ke Sekolah - JOMLAH" anjuran PAS Titiwangsa bersama-sama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Titiwangsa dan Yayasan Prihatin Titiwangsa di Surau al-Falah, Perumahan Rakyat Hiliran Ampang, Kampong Pandan, Kuala Lumpur. Sumbangan pakaian seragam sekolah dan busana muslimat telah diberikan oleh Pertubuhan Amal Khadijah PERAMAH.


Sumbangan diberikan kepada fakir miskin, anak-anak yatim, armalah (ibu tunggal) di kawasan sekitar. Mereka adalah para pemilih di kawasan Parlimen Titiwangsa.


Antara barang-barang sumbangan terdapat sedikit barang-barang keperluan dapur seperti beras, gula, susu pekat manis, sardin, minyak masak dan lali-lain. Dengan peningkatan harga barangan keperluan harian yang melambung sekarang diharapkan sumbangan ini dapat membantu sebanyak sedikit golongan mustadh'afin ini.

Diadakan juga perkhidmatan gunting rambut percuma kepada anak-anak lelaki mereka yang akan ke bangku sekolah tidak lama lagi. Sambutan dari masyarakat sekitar sangat menggalakkan.


Disamping itu diadakan juga program motivasi pelajar yang dikendalikan oleh pakar motivasi popular Ustaz Raihan Abdul Aziz (Tanyalah Ustaz TV9) yang juga merupakan Naib Yang Di Pertua PAS Titiwangsa.


Adik-adik sedang asyik mendengar celoteh dan kata-kata perangsang dari Ustaz Raihan.


Petugas-petugas Pusat Khidmat juga membantu penduduk untuk membuat laporan sebarang masalah setempat dan juga mendaftar dan memeriksa daftar pemilih.


Sambutan masyarakat setempat sangat baik. Pihak surau juga mengadakan gotong royong memasak bubur asyura untuk diedar keseluruh penduduk di kompleks perumahan ini.

Bermesra dengan pimpinan Dewan Muslimat PAS Titiwangsa sebelum mereka mengada ziarah rumah ke rumah pada kompleks Perumahan Hiliran Ampang, Kampong Pandan.


Read More......

SUMBANGAN PAKAIAN SERAGAM SEKOLAH KEPADA DEWAN MUSLIMAT PAS SELANGOR

Sumbangan dari PERAMAH siap sedia untuk di agihkan kepada mustadh'afin yang memerlukan.

Pada Jumaat 23 Disember 2011 yang lalu telah berlangsung penyerahan sumbangan pakaian seragam sekolah dari Pertubuhan Amal Khadijah PERAMAH kepada Dewan Muslimat PAS Selangor di Shah Alam. DMPPS diwakili oleh Ketuanya Hajah Wan Hasrina Wan Hassan.


Selaku Penaung PERAMAH, saya telah ditugaskan mewakili NGO bagi tujuan tersebut. Sumbangan yang sama telah diberi juga kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib serta Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Titiwangsa.


Read More......

Tuesday, December 20, 2011

PROGRAM MAKAM MALAM PAS BATU, KUALA LUMPUR

Meraikan VIP jemputan Puan Normah Alwi isteri Timbalan Presiden PAS Haji Mohammad Sabu yang juga merupakan mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (muslimat pertama pada era abad ke 21 yang dilantik sebagai TPJ) di majlis Makan Malam PAS Batu, Kuala Lumpur bertempat di Dewan Dato Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Gombak pada Ahad 18/12/11 jam 9.00malam.


Read More......

PROGRAM ASYURA PERDANA PAS LEMBAH PANTAI

Pada Ahad 18/12/11 jam 12.30 tengah hari kami berkejar ke Jalan Kubor, Pantai Dalam bagi meraikan program Asyura Perdana PAS Lembah Pantai bersama YB Dr Hatta Md Ramli, Ahli parlimen Kuala Krai. Acara yang popular dengan masyarakat setempat dianjurkan oleh PAS Lembah Pantai dengan melibatkan semua cawangan-cawangan PAS setempat.

Uniknya terdapat 3 jenis resipi bubur asyura dari Kedah, Kelantan dan Terengganu hanya boleh didapati di situ saja dimana penduduk-penduduk bergotong royong memasak dalam suasana harmoni tradisi kampong.


Read More......

KARNIVAL KHIDMAT MASYARAKAT PAS TITIWANGSA

Beramah mesra dengan penduduk-penduduk setempat.

Pada 18/12/11 Ahad bermula jam 8.30 pagi telah berlangsung Karnvial Khidmat Masyarakat PAS Titiwangsa anjuran bersama PAS Titiwangsa dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Titiwangsa bertempat di Perumahan Awam Desa Rejang.

Penduduk-penduduk diberi penerangan mengenai program-program PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya. Mereka juga dibantu untuk menyelesaikan sebarang masalah setempat.

Mereka juga dibantu mengisi borang bantuan untuk warga emas. Sambutan adalah amat menggalakkan terutama dari kaum bukan Islam. Mereka tidak segan meminta dan menerima risalah-risalah dan bahan kempen PAS dan Pakatan Rakyat. Bagi rakyat Selangor yang duduk di situ mereka dibantu untuk memohon program-program kebajikan yang dianjurkan oleh kerajaan Selangor.



Tak cukup tangan para petugas untuk menyantuni dan membantu pengunjung karnival.

Mereka terpaksa beratur untuk mendapat khidmat kerana sambutan yang begitu baik yang tidak dapat dijangka oleh penganjur. Tetapi mereka dengan penuh disiplin sanggup bersabar menanti giliran.


Para petugas muslimat PAS Titiwangsa dan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan tekun melayan para pengunjung.

para petugas menziarahi rumah ke rumah pada kompleks perumahan sehingga ke tingkat 19 pada semua blok-blok kawasan perumahan awam itu.

Read More......

Pertemuan dengan Muslimat PAS Tasek Gelugor

Pada 17/12/11 Sabtu jam 3.30 petang diadakan pertemuan ramah mesra dengan pimpinan Muslimat PAS Tasek Gelugor. Banyak isu-isu masyarakat dan hal ehwal parti dibincang dalam semangat ukhuwah. Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sangat-sangat menghargai peranan akar umbi PAS untuk membantu khidmat masyarakat setempat.

Perkongsian secara mesra dalam menghadapi situasi baru dimana PAS terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang, walaupun PAS hanya menang 1 kerusi DUN.

Bukti kesepakatan dan semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat berkhidmat untuk rakyat.


Read More......