Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, July 26, 2012

RAMADAN MENJANA TAQWA

RAMADAN MENJANA KETAQWAAN

MUQADDIMAH :

Alhamdulillah, kita masih lagi dipanjangkan umur oleh Allah (swt) dan dapat bertemu dengan Ramadan lagi. Ramadan merupakan bulan paling mulia juga penghulu segala bulan. Bulan yang dirindui kehadirannya oleh para sahabat (ra) dan mereka juga menangisi atas pemergiannya.

Sabda Rasulullah (saw) yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya yang bermaksud: 

“Dari Abi Mas’ud Al-Ghifari (ra) berkata : Aku mendengar Rasulullah (saw) bersabda : Andaikata umatku mengetahui kelebihan Ramadan, nescaya mereka mengidamkan agar setahun dijadikan Ramadan"

KEWAJIPAN BERPUASA :

Sebagaimana kita maklumi, dalam bulan Ramadan ini jugalah umat Islam diperintahkan berpuasa oleh Allah (swt) seperti firmanNya dalam surah Al-Baqarah : ayat 185:
   
"Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur"

As-Saum”dari sudut bahasa membawa maksud menahan diri daripada sesuatu. Mengikut syara’ pula, saum  bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

INSAN TAQWA :

Terlalu banyak keutamaan atau faedah-faedah yang diperolehi oleh orang-orang yang beriman yang berpuasa Ramadan. Hikmah terbesar dari pensyariatan puasa Ramdan ini adalah untuk membentuk insan yang bertaqwa. Firman Allah (swt) dalam surah Al-Baqarah ayat 183;

"Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa"

MAKSUD TAQWA :

Dalam bahasa Arab perkataan taqwa berasal dari kata kerja “ittaqa” yang bermaksud “berwaspada dan berjaga-jaga” atau takut kepada Allah (swt) dan menjauhi segala laranganNya. Ittaqa juga bermaksud menjadikanNya pelindung daripada sesuatu perkara.

Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa Saidina Omar pernah bertanya Ubai bin Ka’ab, "apakah taqwa itu? Ubai menjawab, “pernahkah kamu melalui jalan berduri?” Saidina Omar menjawab “pernah”, Ubai menyambungnya “lalu apa yang kamu lakukan?” Saidina Omar menjawab “ Aku berhati-hati waspada dan penuh keseriusan” maka Ubai berkata “ Maka itulah taqwa.”

Oleh itu taqwa bermaksud takut dan taat kepada Allah (swt) pada setiap masa dan berwaspada serta berhati-hati dalam setiap tindakan agar tidak menyalahi daripada kehendak dan reda Allah (swt), lalu menjadikanNya pelindung dan pemelihara daripada sebarang perkara buruk dan bahaya.

KENAPA MESTI BERTAQWA :

1) Taqwa iaitu melakukan segala yang terpuji, yang dicintai oleh Allah (swt) adalah merupakan satu tanggungjawab pengabdian manusia terhadap Allah (swt). Ia adalah suatu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh manusia yang beriman. Firman Allah (swt) dalam surah Al-Maidah ayat 35 :

"Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan"

2) Taqwa juga adalah ukuran kemuliaan seseorang manusia di sisi Allah (swt). Orang beriman yang bercita-cita untuk mencapai kemulian di sisi Allah (swt) mestilah berusaha menjadi orang yang bertqwa. Firman Allah (swt) dalam surah Al-Hujurat ayat 13 :
 
"Wahai umat manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)"

Ayat ini menjelaskan bahawa ketaqwaan seseorang itulah yang menjadi ukuran manusia di sisi Allah (swt).

3) Kehidupan manusia di dunia ini hanyalah sementara sahaja, akhirat jua destinasi terakhir yang telah ditentukan oleh Allah (swt). Oleh itu, kehidupan manusia di dunia ini ibarat musafir di perjalanan. Sudah tentu para musafir memerlukan bekalan dalam perjalanannya. Maka Allah (swt) memerintahkan sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 197:
 
" …. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari kemurkaanNya) dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)"

Lalu dapatlah kita fahami menerusi ayat ini bahawa taqwa adalah sebaik-sebaik bekalan yang perlu disediakan dan dibawa oleh musafir-musafir duniawi iaitu manusia keseluruhannya untuk dibawa bertemu dengan Allah (swt) ke akhirat kelak.

PUASA DAN TAQWA

Hikmah terbesar dari pensyariatan puasa adalah taqwa dan ketaqwaan. Ia sebagaimana mafhum daripada ayat 183, surah Al-Baqarah di atas. Perhatikanlah juga sabda Baginda (saw) tentang adab orang yang berpuasa, sabdanya :

"الصيام جنة , فلا يرفث ولا يجهل وان امرؤ قاتله او شاتمه , فليقل اني صائم"
Maksudnya :
“Puasa itu adalah perisai. Jika kamu berpuasa, maka janganlah berkata-kata keji dan bersikap tidak ramah. Jika ada yang mengajak bertengkar atau mencaci kamu, katakanlah saya sedang berpuasa.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah (saw) sentiasa menganjurkan umatnya untuk selalu menjaga kemurniaan puasa, agar mereka mendapat pahala yang berlipat gandanya. Sabda Baginda (saw) :

"من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في ان يدع طعامه وشرابه"
Maksudnya :
“Barang siapa yang tidak dapat meninggalkan ucapan dusta dan amalannya. Maka Allah (swt) tidak punya kepentingan terhadapnya sekalipun dia telah meninggalkan makan dan minumnya.”
(Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud dan lain-lain daripada Abu Hurairah ra )

Berdasarkan ayat Al-Quran dan hadis-hadis Baginda (saw) tersebut bahawa dengan berpuasa sebenar, iaitu bukan sekadar menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa tetapi juga menjaga anggota zahir daripada perbuatan sia-sia dan keji, serta hati yang penuh ikhlas terhadap Allah (swt) mampu menjadikan manusia beriman insan yang bertaqwa.

AMALAN-AMALAN UTAMA DI BULAN RAMADAN

Bagi menjamin tarbiyah Ramadan ini menghasilkan taqwa maka amalan-amalan utama ini perlu dilaksanakan, iaitu :

1) Berpuasa dengan sesungguh hati. Sabda Baginda (saw) :

"من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه"
Maksudnya :
“Sesiapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripadaNya maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

2) Menjaga segala anggota badan daripada melakukan perkara sia-sia dan maksiat, sabda Baginda (saw) mafhumnya:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah (swt) tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (Allah tidak berhajat kepada puasanya).
(Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud dan lain-lain daripada Abu Hurairah ra )

3) Banyakkan berdoa ketika sedang berpuasa, sedang berbuka puasa dan malam Al-Qadar. Dari Abu Hurairah (ra), sabda Rasulullah (saw) mafhumnya :

“Tiga manusia yang tidak akan ditolak doa mereka oleh Allah (swt) :
                i) Orang yang berpuasa hingga ia berbuka.
                ii) Imam (pemimpin) yang adil.
                iii) Doa orang yang dizalimi.”  -  (Riwayat Imam Tarmizi dan Ibnu Majah)

4) Banyakkan berzikir, beristighfar dan memohon diberi syurga dan dijauhi neraka. Daripada Umar (ra), sabda Baginda (saw) mafhumnya :

“Orang yang berzikir kepada Allah (swt) di bulan Ramadan, akan dikurniakan keampunan untuknya. Dan orang yang memohon dari Allah di bulan Ramadan, ia tidak akan kecewa.”
(Riwayat Imam At-Tabrani dan Al-Baihaqi)

5) Memperbanyakkan membaca Al-Quran dan bertadarrus. Ramadan adalah bulan diturunkan Al-Quran, oleh itu elok kita memperbanyakkan membacanya. Tambahan pula, Allah (swt) akan menambah gandakan pahala kebaikan di bulan ini. Sabda Baginda (saw) :

"اقرؤا القرءان فانه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه"
Maksudnya :
“Bacalah Al-Quran, sesungguhnya pada hari kiamat nanti, Al-Quran akan datang sebagai pembawa syafaat kepada yang membacanya.”                                                                         (Riwayat Muslim)

6) Memperbanyakkan sedekah dan melakukan kebaikan untuk orang lain. Anas (ra) menceritakan seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah (saw) : 

“Ya Rasulullah (saw), apakah sedekah yang paling afdhal?” Jawab Rasulullah (saw) : sedekah pada bulan Ramadhan.”
(Riwayat Imam At-Tarmizi)

7) Segera berbuka sebaik sahaja masuk waktu berbuka. Sabda Baginda (saw) :

"لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر"
Maksudnya :
“Manusia akan selalu dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa”
(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

8) Memberi makan untuk orang yang berbuka puasa. Dari Zaid bin Khalid (ra), sabda Baginda (saw) :
"من فطر صائما كان له مثل أجره ولا ينقص من أجره شيء"
Maksudnya :
“ Sesiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka pahalanya seumpama orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikit pun.”
(Riwayat Imam Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Majah)

9) Bersahur, daripada Anas (ra), Rasulullah (saw) bersabda :

"تسحروا فان في السحور بركة"
Maksudnya :
           “Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada barakah.”  -  (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

10) Menghidupkan Ramadan dengan qiamullail (terawih, tahajjud dan lain-lain). Daripada Abu Hurairah (ra), sabda Baginda (saw) :

"من قام رمضان ايمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه."
Maksudnya :
“Orang yang mengerjakan solat malam pada malam-malam Ramdhan dengan penuh keimanan dan harapan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosa yang telah lalu.”            (Riwayat Imam Bukhari)

11) Mencari malam Al-Qadar dan beribadat di dalamnya. Rasulullah (saw) bersabda :

"من كان متحريها فليحرها ليله السابع والعشرين"
Maksudnya :
“Orang yang ingin menjumpai malam Al-Qadar, maka berusahalah mencarinya pada malam ke 27.”
(Riwayat Imam Ahmad)

Dalam Hadis lain  Baginda (saw) bersabda :

"من قام ليلة القدر ايمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه."
Maksudnya :
“Orang yang beribadah pada malam Al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala oleh Allah (swt), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuninya.”
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

12) Menggiatkan ibadah di sepuluh malam terakhir Ramadan. Terdapat hadis di mana Saidatina Aisyah (ra) menceritakan :  

“Rasulullah (saw) apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan, Baginda (saw) bangun menghidupkan malamnya.”

13) Beriktikaf, Saidatina Aisyah (ra) menceritakan : 

“Rasulullah (saw) beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan hingga ia meninggal dunia. Kemudian isteri-isteri Baginda meneruskan iktikaf selepas kewafatan Baginda (saw).”
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

14) Menunaikan umrah sunat bagi yang berkemampuan. Dari Ibnu Abbas (ra), sabda Baginda (saw) :

"عمرة في رمضان كحجة وفي لفظ كحجه معي"

Maksudnya :
“Sekali umrah pada bulan Ramdhan menyamai pahala sekali haji atau sekali haji bersamaku.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

GANJARAN TERHADAP ORANG YANG BERTAQWA

Antara ganjaran-ganjaran Allah (swt) kepada orang-orang yang bertaqwa ialah :

1) Terlepas daripada ujian-ujian kesusahan, seperti firmanNya dalam surah At-Thalaq ayat 2 :

"… Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)"

2) Urusan rezeki dalam jaminan Allah (swt), firman Allah (swt) dalam surah At-Thalaq ayat 3 :
 
"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya"

Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

3) Urusan kerja atau hidupnya dipermudahkan, At-Thalaq ayat 4 :


"…Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya"

4) Amalannya diperbaiki oleh Allah (swt), frimanNya dalam surah Al-Ahzab ayat 70-71 :
  
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara)"

"Supaya ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan"

5) Dosanya diampunkan, Al-Ahzab ayat 71 :

"..Dan mengampunkan dosa-dosa kamu…"

6) Amalan diterima, Allah (swt) menerima amal ibadat orang-orang yang bertaqwa. FirmanNya  dalam surah Al-Maidah ayat 27 :

"..Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa"

7) Hidup dan hasil usahanya diberkati. Keberkatan diberikan oleh Allah (swt) pada umurnya, usahanya dan lain-lain aktivitinya. FirmanNya, surah Al-‘Araaf ayat 96 :
 
"Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi…"

8) Allah (swt) mengajarnya ilmu. Orang-orang yang bertaqwa mendapat ilmu terus dari Allah (swt). FirmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 282 :
 
"..Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu"

9) Mendapat pimpinan dan perlindungan dari Allah (swt), firmanNya dalam surah Al-Jathiyyah ayat 19 :
 
"…dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang Engkaulah pemimpinnya)"

11) Selamat dari tipu daya musuh. FirmanNya, surah Ali Imran ayat 120 :

" ..dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan".

12) Selamat dari api neraka, firmanNya dalam surah Maryam ayat 63 :

"Itulah taman syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami"

Sesungguhnya inilah antara keuntungan-keuntungan yang ditawarkan oleh Allah (swt) kepada orang-orang yang bertaqwa. Bukankah kita amat memerlukan ganjaran-ganjaran tersebut demi kebahagian dan kelangsungan hidup di dunia dan akhirat?

Ayuh marilah kita terus dan tingkatkan jihad melawan serakah hawa nafsu dan melaksanakan amar maaruf nahi mungkar dengan bersungguh-sungguh. Semoga tarbiyah Ramadan menjadi 1001 inspirasi kebahagiaan duniawi dan ukhrawi.

1 comment:

Unknown said...

Ramadhan is coming soon.. :) sangat bermanfaat.. terima kasih kak.. :)