Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, December 31, 2011

TINTA MUHASABAH

TINTA MUHASABAH – buang yang keruh ambil yang jernih


As Salamu’Alaykum wa Rahmatullahi wa Barakaatuh


Dengan mengharapkan bimbingan taufik dan hidayah dari Allah Rabbul ‘Alamin saya memulakan bicara. Harapan saya amat tinggi menggunung agar paparan dan perkongsian saya ini di bawah panduan Illahi jua.


Dalam kita menghadapi sebarang isu-isu dalaman Jemaah, kita dituntut bersabar dan “hazar” berhati-hati daripada terperangkap dengan agenda musuh. Musuh yang mana satu?


Kita diajar oleh Allah SWT supaya berlindung kepadaNya daripada musuh kita itu. Musuh yang Allah sendiri isytiharkan kepada kita iaitu SYAITAN.


FirmanNya pada surah Yusuf : ayat 5 yang bermaksud:


“…Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata (bagi manusia).”


Allah menegaskan lagi pada surah Yaasin : ayat 60 yang bermaksud;


" Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam supaya kamu jangan menyembah (mengikut jejak langkah) syaitan? Sesungguhnya ia musuh kamu yang nyata!"


Seringkali kita ulangi kalimah ini yang bermaksud:


aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam


Kita selalu juga terlupa bahawa dalam diri kita ada lagi satu musuh yang tersembunyi yang seringkali membisik dan memujuk rayu kita.


FirmanNya lagi pada surah Yusuf ; ayat 53 yang bermaksud :


“…Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).”


Tuan-Puan, saudara dan saudari para pengunjung budiman diharapkan jika ada pandangan-pandangan, saranan dan cadangan bagi memupuk iman serta mengukuhkan silatur-rahim dalam Jemaah, silalah berlumba-lumba memberi respon ikhlas semata-mata untuk Islam kerana Allah jua.


FirmanNya lagi pada surah al-Baqarah : ayat 148 yang bermaksud:


“…Dan setiap umat mempunyai kiblat yang dia menghadap kepadanya; maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu semuanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”


FirmanNya selanjutnya pada surah al-‘Alaq : ayat 1-5 yang bermaksud:


Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk). Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan pena. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”


Berilah respon anda di atas semangat pepatah orang-orang tua “beringat-ingat sebelum kena” juga mengikuti teladan RasulNya. Tinta pena anda akan menjadi saksi kepada kebenaran di akhirat kelak.


FirmanNya lagi pada surah al-Qalam : ayat 1-4 yang bermaksud:


“Nun, demi pena dan apa yang mereka tuliskan. Dengan kurnia Tuhanmu engkau (wahai Muhammad) bukanlah orang gila. Dan sesungguhnya engkau pasti mendapat pahala yang besar yang tidak putus-putusnya. Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang luhur.”


Justeru itu sebarang respon yang datang ikhlas dari hati yang penuh iman akan terang benderang dengan kebenaran bagai bulan purnama yang menerangi alam dengan cahaya lembutnya.


Salam jihad. Moga kita sentiasa mendapat taufik dan hidayah dari Nya jua. Amin.


“ Sirru ‘ala barakatillah ”



Read More......

Friday, December 30, 2011

LA BIANCA - UNTUK RENUNGAN PARA MUSLIMAT

Kisah gadis desa Australia memilih menjadi muslimah – La Bianca

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh2kOrRFIsCF51kkdX56Kozvc8EMj1l5OXrjeN5Q4hKji9XHT-M-Ma1ufywv-UIRTX2f1D7y_GbgEZHnCumPuYEnj4BxO-RH9ueNFlPPcP1GRRoEGNt2P48IHMfuY23RZ7YgSxX3A8oKZB7/s1600/labianca.jpg

La Bianca hanya seorang perempuan desa sederhana yang dibesarkan di sebuah ladang peternakan di Perth, Australia Barat. Ketika masih kanak-kanak, ia mempunyai haiwan kesayangan, seekor kangaru.

Ia juga membantu orang tuanya memelihara lembu dan biri-biri. Walaupun perempuan, La Bianca suka berburu. Arnab dan anjing hutan menjadi sasaran buruannya.

Keluarganya tidak terlalu kuat mengajarkan agama. Tapi La Bianca percaya adanya Tuhan dan ia dididik dengan tradisi dan nilai-nilai moral keluarga Itali, dimana seorang anak gadis sangat dijaga dan dilindungi.

Setiap Minggu, La Bianca dan keluarganya mengikuti misa ke gereja. Namun buat La Bianca, kedatangannya ke gereja cuma ikut-ikutan keluarganya saja, kerana ia mengaku tidak faham apapun tentang agama yang dianutnya.

Yang ia tahu, ia harus memakai gaun berwarna putih dan mengucapkan beberapa baris doa semasa perlu melakukan komuni. Yang ia tahu, Jesus dan Maria hanya patung yang dipasang di gereja. Tapi, La Bianca tetap percaya Tuhan itu ada dan ia tetap berdoa pada Tuhan.

Hingga beralih remaja, La Bianca tidak pernah pergi ke bandar, sehingga ia menjadi remaja yang merasa puas dan naif. Walaupun demikian, ada sisi positif dari keadaan seperti itu.

La Bianca menjadi remaja yang sikapnya lebih semulajadi dan lebih terbuka. Jika orang-orang bandar suka bersikap lebih keras dan emosional, orang desa seperti La Bianca suka menerima setiap orang seadanya.

Hanya pada usia 16 tahun, La Bianca meninggalkan kehidupan desa. Keluarga besar La Bianca yang keturunan Itali, banyak dimana-mana dan tinggal di bandar-bandar Australia dan ia tinggal dengan salah seorang emak saudaranya.

La Bianca mendapat pekerjaan pertamanya sebagai resepsionis. Di tempat kerjanya ia bertemu dengan seorang muslimah berasal Afrika Selatan bernama Tasneem.

Tasneem bukan tipikal muslim yang taat. Ia tidak mengenakan tudung atau solat, tapi Tasneem selalu memastikan ia tidak makan makanan yang dilarang dalam agama Islam.

Tasneem juga tidak minum minuman beralkohol. Namun Tasneem sering pergi keluar berkawan. Orang tua Tasneem mengizinkan anak perempuan mereka berkawan, asalkan pulang tidak terlalu larut malam.

Satu perkara yang dipelajari La Bianca dari Tasneem adalah puasa di bulan Ramadan. Ia selalu merasa tertarik dengan Muslim, kerana setiap muslim yang ia jumpai selalu bersikap mesra, ramah dan menerimanya seadanya, dan ia melihat seorang muslim selalu cinta keluarga.

La Bianca merasa nyaman bersosialisasi dengan teman-teman muslimnya. Suasana kekeluargaan yang ia rasakan, membuatnya selalu teringat akan kehidupan desa yang ia tinggalkan selama ini.

Secara khusus, La Bianca mengaku lebih senang bergaul dengan mereka yang berasal dari atau keturunan orang Afrika. Kerana orang-orang Afrika, menurutnya, lebih mesra dan ramah.

Sedangkan orang Eropah, kata La Bianca, sikapnya dingin dan banyak menciptakan dinding pemisah di tengah pergaulan dengan orang lain.

Sikap La Bianca sama dengan ayahnya, yang selalu menghormati semua orang, tanpa melihat latar belakang etniknya. Berbeza dengan ibunya yang agak rasis. Ibu Bianca masih beranggapan bahawa orang-orang Eropah lebih bertamadun dibandingkan dengan bangsa lainnya.

Kerana sering bergaul dengan muslim, teman-teman muslim Bianca terus bertambah. Dari mereka, ia tahu bahawa seorang muslim wajib menunaikan salat lima waktu setiap hari. Tapi La Bianca mulai banyak tahu tentang Islam ketika ia menikah dengan seorang lelaki muslim.

“Saya ingat, ketika ia bertemu saya, ia terus mengenalkan saya pada ibunya dan mengatakan bahawa mereka ingin membuat komitmen jangka panjang–berkahwin dan membina keluarga,”kata La Bianca.

Sejak itu, ia mulai mengikuti kursus agama Islam. Ia juga mulai mengubah cara berpakaiannya. La Bianca mulai mengenakan baju dan kain yang longgar. Ia mengatakan, semasa belajar tentang Allah Yang Maha Besar, ia merasa semua ajaran Islam masuk akal, indah dan harmoni.
Perkara terberat bagi Bianca setelah belajar Islam adalah ketika ia memakai tudung. Tudung yang dikenakannya, mengubah citra dan sangat mempengaruhi jiwanya.

“Di kampung halaman, di peternakan keluarga kami, di tempat kerja, orang selalu menanyakan mengapa saya mengenakan tudung itu,” ungkap Bianca.

Pertama kali melihatnya bertudung, ayah Bianca berfikir bahawa Bianca tidak menghormati teman-teman ayahnya jika tidak mengenakan busana yang membuat senang teman-teman ayah Bianca.

Bianca mengakui, awalnya ia merasa bersalah kerana membuat ayahnya merasa tidak dihormati. Tapi seiring dengan menguatnya keyakinan pada Allah Yang Mahakuasa, Bianca menyedari bahawa ia ingin membuat Allah Swt senang lebih dari keinginannya untuk menyenangkan manusia.

“Saya berkata pada diri saya sendiri, bahawa saya tidak mahu membuat tolak ansur apapun, kerana saya tahu bahawa saya sudah melakukan perkara yang benar. Saya juga tahu, jika saya mulai melakukan kompromi, maka kompromi itu tidak akan pernah berhenti dan saya akan hidup tanpa Islam sama sekali. Saya tidak mahu itu terjadi,” tukas La Bianca.

Walaupun diawal mengenakan tudung ia merasa tidak selesa dan kesukaran. La Bianca merasakan sendiri, setelah mengenakan tudung, tidak ada lelaki yang berani menggodanya dan ia merasa lebih dihormati sebagai perempuan.

“Saya mengagumi konsep bahawa kaum perempuan ibarat harta karun berharga, dan oleh sebab itu harus dilindungi dan hanya boleh dilihat oleh mereka yang berhak melihatnya,” ujar La Bianca.

Ia akhirnya mengucapkan dua kalimat syahadat, disaksikan oleh beberapa orang sahabatnya pada tahun 2008. Bagi Bianca, Islam adalah kebenaran dan ia ingin terus dan terus memperdalam pengetahuannya tentang agama Islam.

Suami dan keluarga suaminya memberikan sokongan moral pada La Bianca untuk mengenakan tudung, walaupun perlu waktu untuk La Bianca untuk pada akhirnya mengenakan tudung dengan betul. eramuslim.com

Read More......

Wednesday, December 28, 2011

PROGRAM "JOM KEMBALI KE SEKOLAH" PAS TITIWANGSA


Pada Sabtu 24 Disember 2011 yang lalu telah berlangsung program "Jom Kembali ke Sekolah - JOMLAH" anjuran PAS Titiwangsa bersama-sama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Titiwangsa dan Yayasan Prihatin Titiwangsa di Surau al-Falah, Perumahan Rakyat Hiliran Ampang, Kampong Pandan, Kuala Lumpur. Sumbangan pakaian seragam sekolah dan busana muslimat telah diberikan oleh Pertubuhan Amal Khadijah PERAMAH.


Sumbangan diberikan kepada fakir miskin, anak-anak yatim, armalah (ibu tunggal) di kawasan sekitar. Mereka adalah para pemilih di kawasan Parlimen Titiwangsa.


Antara barang-barang sumbangan terdapat sedikit barang-barang keperluan dapur seperti beras, gula, susu pekat manis, sardin, minyak masak dan lali-lain. Dengan peningkatan harga barangan keperluan harian yang melambung sekarang diharapkan sumbangan ini dapat membantu sebanyak sedikit golongan mustadh'afin ini.

Diadakan juga perkhidmatan gunting rambut percuma kepada anak-anak lelaki mereka yang akan ke bangku sekolah tidak lama lagi. Sambutan dari masyarakat sekitar sangat menggalakkan.


Disamping itu diadakan juga program motivasi pelajar yang dikendalikan oleh pakar motivasi popular Ustaz Raihan Abdul Aziz (Tanyalah Ustaz TV9) yang juga merupakan Naib Yang Di Pertua PAS Titiwangsa.


Adik-adik sedang asyik mendengar celoteh dan kata-kata perangsang dari Ustaz Raihan.


Petugas-petugas Pusat Khidmat juga membantu penduduk untuk membuat laporan sebarang masalah setempat dan juga mendaftar dan memeriksa daftar pemilih.


Sambutan masyarakat setempat sangat baik. Pihak surau juga mengadakan gotong royong memasak bubur asyura untuk diedar keseluruh penduduk di kompleks perumahan ini.

Bermesra dengan pimpinan Dewan Muslimat PAS Titiwangsa sebelum mereka mengada ziarah rumah ke rumah pada kompleks Perumahan Hiliran Ampang, Kampong Pandan.


Read More......

SUMBANGAN PAKAIAN SERAGAM SEKOLAH KEPADA DEWAN MUSLIMAT PAS SELANGOR

Sumbangan dari PERAMAH siap sedia untuk di agihkan kepada mustadh'afin yang memerlukan.

Pada Jumaat 23 Disember 2011 yang lalu telah berlangsung penyerahan sumbangan pakaian seragam sekolah dari Pertubuhan Amal Khadijah PERAMAH kepada Dewan Muslimat PAS Selangor di Shah Alam. DMPPS diwakili oleh Ketuanya Hajah Wan Hasrina Wan Hassan.


Selaku Penaung PERAMAH, saya telah ditugaskan mewakili NGO bagi tujuan tersebut. Sumbangan yang sama telah diberi juga kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib serta Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Titiwangsa.


Read More......

Tuesday, December 20, 2011

PROGRAM MAKAM MALAM PAS BATU, KUALA LUMPUR

Meraikan VIP jemputan Puan Normah Alwi isteri Timbalan Presiden PAS Haji Mohammad Sabu yang juga merupakan mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (muslimat pertama pada era abad ke 21 yang dilantik sebagai TPJ) di majlis Makan Malam PAS Batu, Kuala Lumpur bertempat di Dewan Dato Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Gombak pada Ahad 18/12/11 jam 9.00malam.


Read More......

PROGRAM ASYURA PERDANA PAS LEMBAH PANTAI

Pada Ahad 18/12/11 jam 12.30 tengah hari kami berkejar ke Jalan Kubor, Pantai Dalam bagi meraikan program Asyura Perdana PAS Lembah Pantai bersama YB Dr Hatta Md Ramli, Ahli parlimen Kuala Krai. Acara yang popular dengan masyarakat setempat dianjurkan oleh PAS Lembah Pantai dengan melibatkan semua cawangan-cawangan PAS setempat.

Uniknya terdapat 3 jenis resipi bubur asyura dari Kedah, Kelantan dan Terengganu hanya boleh didapati di situ saja dimana penduduk-penduduk bergotong royong memasak dalam suasana harmoni tradisi kampong.


Read More......

KARNIVAL KHIDMAT MASYARAKAT PAS TITIWANGSA

Beramah mesra dengan penduduk-penduduk setempat.

Pada 18/12/11 Ahad bermula jam 8.30 pagi telah berlangsung Karnvial Khidmat Masyarakat PAS Titiwangsa anjuran bersama PAS Titiwangsa dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Titiwangsa bertempat di Perumahan Awam Desa Rejang.

Penduduk-penduduk diberi penerangan mengenai program-program PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya. Mereka juga dibantu untuk menyelesaikan sebarang masalah setempat.

Mereka juga dibantu mengisi borang bantuan untuk warga emas. Sambutan adalah amat menggalakkan terutama dari kaum bukan Islam. Mereka tidak segan meminta dan menerima risalah-risalah dan bahan kempen PAS dan Pakatan Rakyat. Bagi rakyat Selangor yang duduk di situ mereka dibantu untuk memohon program-program kebajikan yang dianjurkan oleh kerajaan Selangor.



Tak cukup tangan para petugas untuk menyantuni dan membantu pengunjung karnival.

Mereka terpaksa beratur untuk mendapat khidmat kerana sambutan yang begitu baik yang tidak dapat dijangka oleh penganjur. Tetapi mereka dengan penuh disiplin sanggup bersabar menanti giliran.


Para petugas muslimat PAS Titiwangsa dan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan tekun melayan para pengunjung.

para petugas menziarahi rumah ke rumah pada kompleks perumahan sehingga ke tingkat 19 pada semua blok-blok kawasan perumahan awam itu.

Read More......

Pertemuan dengan Muslimat PAS Tasek Gelugor

Pada 17/12/11 Sabtu jam 3.30 petang diadakan pertemuan ramah mesra dengan pimpinan Muslimat PAS Tasek Gelugor. Banyak isu-isu masyarakat dan hal ehwal parti dibincang dalam semangat ukhuwah. Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sangat-sangat menghargai peranan akar umbi PAS untuk membantu khidmat masyarakat setempat.

Perkongsian secara mesra dalam menghadapi situasi baru dimana PAS terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang, walaupun PAS hanya menang 1 kerusi DUN.

Bukti kesepakatan dan semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat berkhidmat untuk rakyat.


Read More......

KONVENSYEN MALAYSIA NEGARA BERKEBAJIKAN PERINGKAT PULAU PINANG

Pada 17/12/11 Sabtu jam 9.00 pagi berlangsung pelancaran Konvensyen Malaysia Negara Berkebajikan Peringkat Pulau Pinang, di Kompleks JKK Kampong Pajak Song, Kepala Batas.

Dewan di Kompleks JKK ini dulunya dimonopoli oleh UMNO sebelum Mac 2008. Sekarang diselia oleh PAS & PKR Cawangan Kg Pajak Song dibantu PAS Kepala Batas .

Terdapat juga Perpustakaan Desa dan Pusat Khidmat Masyarakat di dalam kompleks ini serta padang permainan kanak-kanak.

Konvensyen ini dianjurkan oleh Lajnah Penerangan PAS Pulau Pinang dengan kerjasama PAS Kepala Batas dan PAS Tasek Gelugor.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membentang dokumen "Negara Berkebajikan - Tawaran PAS" yang telah dilancarkan oleh Dato Seri Tuan Guru Presiden minggu lepas di Shah Alam, Selangor.


Read More......

PROGRAM TURBAH PAS WILAYAH PERSEKUTUAN KE PALIMEN LEMBAH PANTAI

Pada 16/12/2011 Jumaat jam 9.00malam berlangsung program lawatan TURBAH PAS Wilayah Persekutuan ke Jentera Pilihan Raya PAS Lembah Pantai bertempat di Markaz Kawasan di Kampong Pasir, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Delegasi PAS Wilayah Persektuan diketuai oleh Haji Mohammad Nor Mohammad, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan bersama-sama beberapa anggota Harian Badan Perhubungan Negeri.

Setelah diperturunkan beberapa arahan, peserta-peserta diberi ruang untuk menyatakan pandangan dan saranan mereka di acara dailog tersebut dalam semangat ukhwah.


Read More......

KES RAYUAN BERSIH 1 DI KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR

Pada 14/12/2011 Rabu jam 11.00 telah berlangsung pendengaran rayuan dari pihak pendakwaraya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan semua tertuduh atas kesalahan di bawah Akta Polis Seksyen 27 (5)a - berhimpun secara haram. Mereka ditangkap termasuk saya di beberapa tempat berasingan sekitar perkarangan bangunan Parlimen pada 17/1/2008 beberapa hari sebelum Himpunan Bersih 1 - 2008.

Nostalgia - bergembira setelah dibebaskan oleh Mahkamah atas tuduhan berhimpun secara haram pada 8/10/2010. Ketika itu 3 orang tertuduh sudah bergelar YB.

Keputusan Mahkamah Rayuan akan didengar pada 10/1/2012 akan datang. 10 orang responden yang terlibat:

1. YB Dr Hatta Md Ramli - Ahli Parlimen Kuala Krai
2. YB Mohd Nasir Hashim - ADUN Kota Damansara
3. Ang Hiok Gai
4. Mohd Sabri Sapiai
5. Hashim Awang
6. Ustz Nasarudin Hassan Tantawi - Ketua Pemuda PAS
7. Azira Ariffin
8. Mohd Badilah Muda
9. YB Dr Lo' Lo' Ghazali - Ahli Parlimen Titiwangsa (allahyarhamah)
10. Ustzh Nuridah Mohd Salleh

Panel peguam-peguam yang mewakili semua responden:

1. Mohd Zamri - Ketua
2. Arif Azami
3. Azizan
4. Mohd Razlan Jalaluddin
5. Dr Zulqarnain Lukman.


Read More......

Monday, December 19, 2011

Al-Hak wa al-Batil : teras kehidupan muslim


Adalah sudah menjadi sunatullah bahawa setiap sesuatu kejadian itu ada pasangan atau lawannya. Begitu juga dengan kehidupan di dunia ini ada manusia yang kaya dengan miskin, baik dan buruk, kecil dan besar dan sebagainya.


Perjuangan kehidupan yang sementara ini sudah tentu akan bertemu dengan pasangan atau lawannya iaitu suatu pertentangan antara yang hak dan batil. Tiada siapa yang dapat lari dari sunatullah ini. Segala tindak-tanduk kita sangatlah dipengaruhi oleh suasana sejauh mana kita dapat memahami dan menggarap persoalan ini.


Allah SWT melalui wahyu yang diturunkan kepada baginda Rasulullah s.a.w telah menjelaskan dengan terang dan nyata terhadap fenomena ini di dalam al-Quran. Firman-Nya pada surah ar-Ra’dd : ayat 17 yang bermaksud:


“Demikianlah Allah membuat perumpamaan bagi yang hak dan batil. Adapun buih akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada nilainya, adapun yang memberi manafaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.”


Bagaimanakah kita merungkai persoalan pertentangan antara al-hak dan al-batil ini?


Definasi:


Al-Hak adalah salah satu asmaul husna (nama-nama) Allah SWT yang bermaksud, “Yang Maha Benar”. Ia juga membawa maksud benar atau kebenaran, sah dan betul.


Al-Batil pula bermaksud batal, salah, sia-sia atau tidak benar.


Beberapa contoh ayat-ayat Allah di dalam al-Quran yang menjelaskan persoalan antara hak dan batil;


1. Firman-Nya pada surah al-Baqarah : ayat 147 yang bermaksud:

“Al-Hak (kebenaran) itu daripada Tuhanmu, maka janganlah kamu termasuk daripada golongan orang-orang yang ragu-ragu.”


2. Firman-Nya lagi pada surah al_Baqarah : ayat 42 yang bermaksud;

“Dan janganlah kamu mencampur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula, padahal kamu semua mengetahuinya.”


3. Selanjutnya firman-Nya pada surah al-Anfal : ayat 8 yang bermaksud;

“… supaya Allah menegakkan yang hak (benar) dan menghapuskan yang batil (kufur dan syirik) sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.”


Kefahaman dan perilaku muslim sebenar.


Berdasarkan ayat-ayat tersebut jelaslah bahawa al-hak adalah sesuatu yang baik lagi benar daripada Allah SWT serta Dia menuntut agar manusia menyebar dan melaksanakannya. Al-hak itu meliputi segala kehendak dan perintah-Nya untuk dipatuhi dan dilaksanakan.


Manakala al-batil pula adalah lawan pada al-hak. Ia suatu yang tidak benar, wajib ditinggalkan, tidak harus wujud serta wajib disingkirkan dan dihapuskan mengikut hukum syarak. Ia juga meliputi segala yang dibenci dan dilarang oleh Allah. Justeru itu ia juga tidak patut digemari dan dilakukan oleh manusia.


Sesungguhnya sebagai seorang muslim yang beriman kepada semua rukun-rukun Islam dan rukun-rukun iman, kita mestilah pada sepanjang masa berpegang dan memihak kepada al-hak yang datang daripada Allah. Malah sebagai pendokong-pendokong gerakan Islam yang benar-benar yakin dengan apa yang datang daripada Allah, kita juga dituntut menjadi pejuang-pejuang kepada kebenaran itu. Kebenaran yang jelas merupakan perjuangan menegakkan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan tatalaku bernegara di bumi ini.


Firman-Nya pada surah ar-Rum : ayat 30 yang bermaksud;

“Maka tegakkanlah wajahmu mengadap agama suci iaitu fitrah Allah yang dijadikan manusia di atasnya. Tiada tukar ganti terhadap ciptaan Allah itu. Itulah dia agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”


Firman-Nya lagi pada surah al-Baqarah : ayat 208 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam agama Islam keseluruhannya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”


Manusia muslim sama sekali tidak boleh cenderong atau memihak kepada kebatilan atau kepada segala perkara yang dilarang dan dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman-Nya lagi pada surah al-Maidah : ayat 50 yang bermaksud;


“Sesudah itu patutkah mereka berkehendakkan lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal tiada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah bagi mereka yang penuh yakin.”


Selanjutnya Allah SWT menegaskan lagi di dalam al-Quran pada surah an-Nisa’: ayat 65 yang bermaksud;


“Maka demi Tuhanmu, (wahai Muhammad) mereka tidaklah beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerimanya dengan sepenuhnya."


Kenapa kita mesti tahu dan ambil berat terhadap pertentangan al-hak dan al-batil?


Sebagaimana yang kita ketahui bahawa manusia dan alam semesta ini adalah ciptaan Allah seperti firman-Nya pada surah ar-Rum : ayat 22 yang bermaksud;


“Dan antara tanda-tanda (membuktikan kekuasaaanNya dan kebijaksanaanNya) ialah ciptaan langit dan bumi (dan apa yang ada antaranya)……”


Manusia hendaklah menyedari hakikat ini, semestinya akur dan menyerah diri kepada penciptanya. Mereka juga mesti sedar diri bahawa mereka tidak terjadi dengan sendirinya sebagaimana dakwaan sesetengah golongan yang keliru. Dakwaan tersebut tidak dapat diterima oleh mereka yang mempunyai akal yang waras. Sememangnya dari sudut logik akal manusia tidak dapat diterima bahawa dirinya dan segala sesuatu di bumi ini terjadi tanpa ada yang menciptakannya.


Maka Allah SWT dalam banyak ayat-ayatNya di dalam al-Quran menjelaskan dan mengajar kita bahawa Dialah pencipta alam semesta ini. Justeru itu ayat pertama yang diwahyukan kepada junjungan kita Rasulullah s.a.w adalah pada surah al-‘Alaq : ayat 1 dan 2 yang bermaksud;


“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk); Ia menciptakan manusia daripada segumpal darah beku…..”


Sebenarnya segala sesuatu di bumi ini adalah milik Allah SWT. Firman-Nya pada surah al-Baqarah : ayat 284, yang selalu kita wiridkan selepas solat fardhu, maksudnya;


“Milik Allahlah segala sesuatu yang ada di langit dan dibumi……...”


Firman-Nya lagi pada surah ali Imran : ayat 189 yang bermaksud;

“Dan milik Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dan Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”


Allah juga yang menentukan neraca pertimbangan antara yang hak dan batil. Maka segala perkara dan tindak-tanduk manusia ciptaan-Nya di bumi yang disukai dan diredhai-Nya adalah al-hak (benar) sebaliknya segala yang dilarang dan dimurkai-Nya adalah al-batil. Inilah pilihan yang jelas dan tuntutan dari Allah bagi manusia terhadap al-hak dan al-batil yang perlu dipatuhi.


Sebagai makhluk ciptaan Allah dan miliknya, kita mesti menyedari bahawa kita adalah hambaNya dan tiadalah pilihan lain kecuali akur dan taat patuh kepada kehendakNya. Iaitu melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.


Sesungguhnya apabila bertembung antara yang hak dan batil, maka orang-orang yang beriman yang yakin terhadap Allah akan memilih yang hak dan tidak akan berpaling dari kebenaran seperti firmanNya pada surah al-Ahzab : ayat 36 yang bermaksud;


“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidak harus mereka) memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat terhadap hukum Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”


Bagaimana kita dapat pastikan bahawa kita sentiasa berada pada landasan yang hak.


i.Menginsafi diri selaku hamba dan pelaksanaan amanah sebagai khalifah


Menyedari bahawa manusia ialah hamba dan khalifah Allah seperti firman-Nya pada surah az-Zariyat : ayat 56 yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”


Firman-Nya lagi pada surah al-Baqarah : ayat 30 yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.”


Maka kita selaku anggota-anggota Jemaah Islam akan mengikuti petunjuk Allah dengan melaksanakan yang hak tanpa sebarang pertikaian. Sebagai orang-orang yang beriman yang penuh yakin kita mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahNya, barulah layak kita digelar sebagai hamba dan khalifahNya.


ii.Mengingati kembali kesaksian kita akan patuh taat kepada Allah


Sebenarnya manusia telah berjanji dengan Allah di alam azali lagi akan memberikan kepatuhan dan ketaatan kepadaNya sebagai Rabb, iaitu Maha Pencipta, Pemilik dan Penguasa alam semesta secara mutlak. Kita diingatkan olehNya dengan firman-Nya pada surah al-‘Araf : ayat 172 -173 yang bermaksud:


“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari sulbi (tulang belakang) mereka, dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman) : Bukankah Aku ini Tuhanmu. Mereka menjawab: Betul (Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi. Yang demikian itu supaya kami tidak berkata pada hari akhirat kelak : Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat kesaksian tauhid) ini.”


“Atau supaya kami tidak mengatakan : Sesungguhnya ibu-bapa kamilah yang telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu sedang kami adalah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Maka adakah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat dahulu itu?”


Justeru itu menyedari hakikat kesaksian kita itu, kita mesti berusaha menghindari diri dari mengikuti dan melakukan kebatilan. Sebagaimana jaminan Allah bagi orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan yang hak dan menjauhi yang batil, Allah akan memberikan perhatian dan pertolonganNya di dunia dan akhirat seperti firman-Nya pada surah al-Ankabut : ayat 69 yang bermaksud;


“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”


iii.Berusaha menambah ilmu-ilmu yang dapat mendekat diri dengan Allah


Sesungguhnya ilmu pengetahuan adalah alat yang paling berkesan membantu kita mengikuti petunjuk dari Allah SWT. Ianya adalah penyuluh yang terang nyata sebagai cahaya kebenaran yang dapat membantu kita mencapai kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Ilmu yang hak (benar) juga datangnya dariNya dan Allah menempelak orang-orang tidak berusaha mencari ilmu seperti firmanNya pada surah az-Zumar : ayat 9 yang bermaksud;


“…. Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”


Selain dari itu ilmu juga merupakan alat untuk mempertingkatkan dan mencapai iman yang sempurna. Sesungguhnya ilmu dan iman tidak dapat dipisahkan kerana beramal tanpa ilmu adalah kerja sia-sia. Juga dengan memiliki ilmu, Allah akan memberikan kemulian kepada mereka yang berusaha mendapatnya serta mengangkat mereka kepada beberapa darjat seperti firman-Nya pada surah al-Mujadalah : ayat 11 yang bermaksud;


“…supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”


iv. Bersungguh-sungguh beramal dengan kebenaran


Sebenarnya ilmu menuntut seorang itu beramal dengannya. Orang-orang yang berilmu tanpa beramal diibaratkan sebagai pohon yang tidak menghasilkan buah. Sifat ilmu juga bahawa ia akan hilang jika tidak dilaksanakan.


Para sahabat yang ditarbiyah oleh Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik contoh teladan terhadap orang-orang yang bersegera melakukan sesuatu yang hak dari ilmunya. Mereka bukan saja cintakan ilmu serta berusaha menyebarkannya tetapi sanggup melaksanakan dengan istiqamah.


Sebenarnya kekuatan iman yang bertahta di hati banyak bersumberkan ilmu. Iman juga dapat menjadi penggerak dan terjahan motivasi kepada seluruh aktiviti kehidupan untuk mencapai keredhaan ilahi. Keteguhan iman yang berumbi di hati juga dapat menjana tenaga luar biasa yang membuat pemiliknya menjadi rajin, aktif dan seronok melakukan yang hak sebagai orang-orang yang sentiasa melakukan amal soleh.


Jaminan ganjaran bagi orang-orang yang melakukan amal soleh adalah seperti firman-Nya pada surah al-Kahfi : ayat 107 dan 108 yang bermaksud;


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh disediakan bagi mereka syurga-syurga firdaus sebagai tempat tetamu (yang serba mewah). Mereka kekal di dalamnya (mereka juga) tidak ingin berpindah daripadanya,”


v. Berjemaah dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar.


Gerak kerja bagi melaksanakan perkara al-hak dan menghapuskan al-batil bukanlah suatu kerja mudah yang dapat disempurnakan secara individu. Tugas ini amat perlu dijalankan dengan bantuan orang-orang lain secara berjemaah bagi mencapai kejayaan.


Bagi usaha-usaha menegakkan yang hak dan mencegah yang batil memerlukan segenap anggota Jemaah menjana usahasama di semua peringkat mengikut kemampuan masing-masing. Firman Allah pada surah Ali Imran : ayat 104 yang bermaksud;


“Dan hendaklah ada dari kalangan kamu suatu umah (golongan) yang menyeru manusia kepada kebaikan, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan.”


Beberapa contoh amalan yang batil


Sebagaimana kita ketahui sudah menjadi sunatullah bahawa perkara batil ada di mana-mana tidak terkecuali dalam segenap kegiatan harian manusia. Setiap yang hak itu ada penentang yang batil seperti contoh manusia berdepan dalam segenap aspek kehidupan berikut:


1. Ekonomi


- Memberi dan menerima riba’.

- Penipuan dan penindasan dalam jual beli.

- Menyorokkan barang-barang keperluan asas masyarakat bagi meningkatkan permintaan agar dapat melipatgandakan harga

- Mengurangkan timbangan atau mencampurkan barangan yang tidak baik mutunya dengan yang baik


2. Politik


- Memilih dan membantu pemimpin yang zalim dan jahat

- Memberi dan mengambil rasuah

- Membina kelompok dan menganjurkan adu domba

- Menggunakan kuasa bagi kesempatan untuk kepentingan peribadi dan kroni


3. Sosial


- Pergaulan bebas lelaki dan perempuan

- Membuka aurat di depan yang bukan mahram dan di khalayak ramai

- Melakukan maksiat seperti minum arak, berzina dan lain-lain

- Menganjur dan mengalakkan orang-orang agar lalai dan leka daripada menunaikan perkara makruf seperti acara hiburan yang melampau dan video lucah


4. Pendidikan


- Tidak menghiraukan disiplin pendidikan al-Quran dan sunnah Rasul

- Tidak mengindahkan pelaksanaan ibadah-ibadah fardhu

- Mendewakan dan mempromosi pendidikan yang bercanggah dengan Islam

- Menghalang dan menyusahkan pelaksanaan perkara makruf


Contoh teladan golongan manusia penegak al-hak dan penghapus al-batil


Al-Quran tidak lupa daripada memberikan contoh teladan terhadap golongan yang telah diiktiraf oleh Allah SWT sebagai pejuang-pejuang al-hak dan penentang al-batil yang berjaya. Golongan ini mendapat nikmat Allah iaitu ditempatkan disyurga seperti firmanNya pada surah an-Nisa : ayat 69 yang bermaksud;


“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya maka mereka akan (ditempatkan disyurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah pada mereka; iaitu Nabi-nabi dan orang-orang siddiqin (orang-orang yang benar imannya), dan orang-orang syahid serta orang-orang yang soleh. Dan amat eloklah mereka itu menjadi teman rakan (bagi orang-orang yang taat).”


Kesimpulan


Pertentangan al-hak dan al-batil akan berlaku sehingga malaikat izrafil meniup sangkakala menanda dunia kiamat. Sebenarnya al-hak dan al-batil itu jelas nyata bagi orang-orang sedar dirinya sebagai hamba Allah dan berpegang kepada petunjukNya iaitu al-Quran dan as-Sunnah RasulNya.


Sesungguhnya al-hak iaitu kebenaran dapat mengalahkan yang batil walaupun yang hak itu dilihat terlalu lemah berdepan dengan kebatilan yang gagah perkasa bila sampai ketentuan dari Allah. Cuma bila masanya tiba dan bagaimana akan berlaku hanya di dalam ilmu Allah dan orang-orang yang diberi ilham dan dikasihiNya saja.


Justeru itu benarlah "deklarasi" Allah SWT di dalam al-Quran pada surah al-Isra' : ayat 81 yang bermaksud;

"Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap."


Wa allahu alam bis sawab.



Read More......