Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, May 22, 2009

Pilihanraya Kecil Penanti


Oleh: USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH


Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat



SENARIO politik yang berpihak kepada Pakatan Rakyat menjadi faktor utama menyebabkan BN tidak mahu bertanding dalam pilihanraya kecil (PRK) Dun Penanti, Pulau Pinang. Ini ditambah dengan krisis politik di Perak dengan perebutan jawatan Menteri Besar yang belum ada kesudahan. BN bimbang semua faktor itu memberi kesan jika bertanding di Dun Penanti yang merupakan kubu kuat Pakatan Rakyat.


Ketua Wanita Umno, Dato' Seri Shahrizat Abd Jalil mengeluarkan kenyataan BN tidak bertanding di Dun Penanti atas alasan tidak mahu merugikan wang rakyat serta membuang masa. Peletakkan jawatan Adun Mohammad Fairus Khairuddin (KeADILan) pada 16 April lalu dianggap tidak wajar diadakan pilihan raya kecil. Manakala Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan BN tidak bertanding di Penanti atas alasan tidak mahu mengikut gelombang yang sengaja dicipta Pakatan Rakyat.

Di manakah kewarasan pemikiran seorang pemimpin nombor satu negara dengan membuat alasan begini? Apakah mungkin Najib mahu menjaga imejnya daripada terus tercalar setelah empat kali tewas dalam PRK? Ditambah pula dengan kes peribadi beliau yang didedahkan dalam akhbar luar negara?



“Manusia merancang, Allah juga merancang, sebaik-baik perancang adalah Allah SWT”. Dalam kegawatan politik Malaysia hari ini, Allah SWT telah memilih Allahyarham YB Hj Ismail Yaakob sebagai tetamu-NYA. Justeru mahu tidak mahu PRK Dun Manik Urai, Kelantan perlu diisytiharkan mengikut perlembagaan Malaysia. Walaupun senario ini amat tidak digemari BN.


Justeru, Saya menyarankan Umno-BN agar tidak meletakkan calon dalam PRK Dun Manek Urai nanti. Ini kerana saya yakin insyAllah rakyat akan tetap memberi kepercayaan kepada PAS untuk menjadi wakil di Dun ini.


Jika BN tidak meletakkan calon ia akan mengelakkan pembaziran sebagaimana yang dinyatakan oleh pimpinan Umno-BN. Begitu juga kepada calon-calon bebas tidak perlu membuang masa untuk bertanding dalam PRK nanti. Apa yang berlaku di Dun Bukit Selambau Umno-BN perlu jadikan sebagai iktibar. Bukankah Najib mengatakan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan”.


Kepada semua ahli-ahli dan penyokong PAS terutamanya petugas-petugas PAS di Dun Penanti perlu terus menjalankan tugas dan berkempen bagi memastikan calon KeADILan memperolehi
kemenangan besar.


Kehadiran kita amat diperlukan atas dasar semangat setiakawan dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat. Jika diberikan pilihan, kita mahu calon-calon bebas yang lain mengikut jejak langkah BN menarik diri daripada bertanding. Biarlah masa dan tenaga itu lebih ditumpukan untuk mentadbir dan berkhidmat kepada rakyat, terutamanya bagi masyarakat di Dun Penanti.


Muslimat seluruh negara akan memberikan sokongan dan bersama-sama berkempen membantu calon Pakatan Rakyat. Marilah kita pastikan kemenangan berpihak kepada calon Pakatan Rakyat dengan berkerja bersungguh-sungguh serta ikhlas agar doa-doa kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.


Kami yakin bahawa rakyat masih bersama-sama dengan Pakatan Rakyat. Malah BN juga yakin bahawa rakyat tidak bersama mereka pada kali ini. Sebab itu awal-awal lagi BN telah menarik diri. Bagaimanapun, kita harus peka dan berhati-hati terhadap tindakan dan tipu muslihat BN yang akan menggunakan proksinya pada pilihanraya kecil ini. Sudah menjadi satu yang biasa daripada pengalaman kita di masa lampau bahawa BN tidak akan mudah mengaku kalah walaupun BN tidak bertanding.



"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).”

Surah Anfaal : ayat -60.


Muslimat PAS perlu turun ke Dun Penanti walaupun pilihanraya itu diadakan hampir dengan Muktamar Tahunan Agung PAS kali ke-56.


Para perwakilan dan pemerhati dialu-alukan kehadiran ke muktamar dengan penuh keikhlasan. Selamat Bermuktamar kepada pimpinan di seluruh peringkat, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS.


No comments: