Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, May 8, 2009

Dedikasi Buat Ibu




Selamat hari Ibu. Dedikasi agung sepanjang masa diberikan kepada seluruh kaum ibu sejajar dengan pengorbanan melahirkan dan mendidik generasi sehingga ke hari ini.

Wanita yang bergelar seorang ibu berhak mendapat penghormatan, pengiktirafan, penghargaan , dan ihsan atau kebaikan dari anak-anak. Allah S.W.T telah menyuruh manusia mengabdikan diri kepada-Nya, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mensyukuri ALLAH.

Penghargaan terhadap segala pengorbanan ibu terhadap anak-anaknya dan keluarga yang tidak ternilai bukan bersifat ‘bermusim’atau hanya sekadar satu hari. Di Malaysia umumnya sambutan Hari Ibu dilaksanakan pada 10 Mei 2009. Tidak selayaknya jerih perit seorang ibu hanya ‘dikenang’ dengan memberi anugerah dan penghormatan pada satu hari dalam setahun.

“Dekat padamu..” Tema pada sambutan Hari Ibu pada kali ini..Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berpendapat para ibu sewajarnya sentiasa didekati dengan kasih sayang,perhatian , penghormatan oleh anak-anak dan keluarga. Biarlah dekat seorang ibu dengan perhatian , rahmat dan kasih sayang ALLAH atas ketulusan budi dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi. Bukan kerana seorang ibu mengharapkan kepada balasan atas pengorbanan mereka..tetapi kerana ibu memiliki sekeping hati yang diselaputi rasa kasih sayang sehingga segala kesukaran dan kesulitan semasa mengandung sehinggalah anak-anak telah membesar tidak membekas di sanubarinya.

Penekanan untuk berbuat baik kepada ibu boleh kita hayati melalui hadis Rasulullah S.A.W di mana dalam sebuah riwayat seorang lelaki datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya, "Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?" Jawab baginda, "Ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu dan selepas itu orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".

Firman Allah, bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya" (Surah al Ankabut, ayat 8).

Imbasan terhadap sirah Rasulullah S.A.W dalam proses awal Tarbiyyah Islamiyyah ke arah pembentukan generasi Ummah Islamiyyah , baginda amat menitikberatkan perkara paling asas dalam pembentukan ummah iaitu bermula dari proses memperbaiki usrah (keluarga). Maka, penghayatan Islam menerusi keluarga yang dibina tidak boleh tidak adalah bermula dari memperbaiki wanita.

Institusi keluarga yang berjaya adalah keluarga yang didalamnya wujud ‘rasa mahabbah’ atau kasih sayang yang didasari oleh pemupukan dan penerapan nilai-nilai Islam. Asas penting pembinaan keluarga adalah untuk membajai ‘faham Islam’ sehingga nukleus kecil dalam pembentukan keluarga akan berkembang kepada proses pembentukan masyarakat yang harmoni.

Oleh yang demikian, peranan ibu sebagai ‘mahaguru ‘alam’ tidak dapat dinafikan. Mahaguru inilah yang memainkan peranan paling awal untuk mendidik generasi.

Wanita yang tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya bisa menggegarkan dunia. Sehingga ada pepatah mengatakan bahawa wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia di mana seorang ibu itu memerlukan masa 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang.

Sebagai pendidik 'alam ini, setiap ibu perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan melalui proses tarbiyah (didikan) supaya kita mampu memberi didikan yang seimbang kepada anak-anak dalam semua aspek kehidupan. Bukan didikan dalam membentuk aspek pembinaan material semata-mata, tetapi bermula dari membentuk jatidiri seorang individu dengan akhlak yang mulia.

Oleh itu kita sebagai ibu perlu memahami peranan kita kerana kesannya amatlah mendalam yang mana ia mampu memperbaiki masyarakat sekiranya dihalakan kesana. Sebenarnya ibu yang baik sungguh mendapat tempat yang mulia, ia sentiasa dihormati dan disanjung tinggi oleh Islam.

Pengurniaan taraf seorang ibu banyak tercatit dalam Al Quran dan As Sunnah Rasulullah S.A.W.

Suka cita DMPP mengajak sekalian rakyat Malaysia yang semuanya pernah berada dalam rahim seorang wanita mulia bergelar ibu. “Berbuat baiklah kepada ibu kita..Ingati dengan segar terhadap segala budi baik mereka semasa mengandungkan kita selama 9 bulan, bertarung nyawa melahirkan kita, malah mendidik kita..temanilah ibu di kala senang dan susah, hargailah mereka, sayangilah mereka, doakan lah ibu sentiasa dilindungi dan dipermudahkan dalam segala perkara.”

Ibu, Terima kasih atas segala pengorbananmu.

“Ya Allah Ya Tuhan Kami, Ampunilah Dosa Kami dan Dosa Kedua Ibu Bapa Kami Dan Peliharalah Mereka Sebagaimana Mereka Memelihara Kami Semasa Kami Kecil.”

No comments: