Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, May 1, 2012

Ucapan Tema Muktamar Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan

UCAPAN TEMA
MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

KEMANTAPAN AQIDAH
PEMACU KEMENANGAN
OLEH:
USTAZAH NURIDAH BINTI MOHD SALLEH
KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

السلا م عليكم ورحمة الله وبركاته
  بسم الله الرحمن الرحيم


Surah al-Fatah: ayat 1 hingga 5, maksudnya;

1. Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (Wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,

2. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).

3. Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) Dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya).

4. (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia-lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

5. (Allah melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan - ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; Dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka);

Yang dikasihi Puan Pengerusi Majlis,
Yang diraikan perasmi Muktamar kita
Yang Berbahagia Ustaz Zaharuddin, ahli Majlis Syura Ulama,

Yang diraikan juga pemerhati Dewan Muslimat PAS Pusat,
YB Puan Siti Zailah Yusuf, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat,

Yang dihormati pemerhati-pemerhati Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan
Saudara Kamaruzaman, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan
Saudara Khairul Anuar, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan,

Yang Berusaha Puan Dr Rosni Adam, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan dan saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan,
Yang dikasihi Ketua-Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan-Kawasan atau wakilnya beserta
Para perwakilan Dewan Muslimat PAS Kawasan-Kawasan,

Yang dikasihi Puan Marsita Abdullah isteri Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan
dan isteri-isteri Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan yang lain
Para pemerhati, Tuan Puan serta anak-anak yang dikasihi sekalian.

Sidang muktamar dirahmati Allah sekalian,

Alhamdulillah,  syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya jua dapat DMPWP hari ini mengadakan Muktamarnya bagi kali ke 29. Kepada semua yang terlibat saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas segala kerjasama yang telah diberikan. Moga semuanya mendapat pertimbangan yang besar di hadapan Allah azzawajalla sejak kini hinggalah ke padang mahsyar nanti. Insya Allah.

Kali ini PAS di semua peringkat bermesyuarat agung dan bermuktamar dalam suasana menghadapi  Pilihan Raya Umum Ke 13. Kita berbekal dengan semangat dan harapan menggunung untuk memastikan kemenangan jemaah kita yang dikasihi ini bersama-sama Pakatan Rakyat seluruhnya. Dalam perlawanan di atas padang yang senget, dan diadili oleh rakyat yang tidak mendapat maklumat dan hujah yang tepat dari semua pihak, pasukan kita tentunya perlu melipatgandakan usaha bagi meraih sokongan dari rakyat. Kita tidak menafikan bahawa pertembungan yang tidak adil ini amat memeritkan kita. Namun ia tidak boleh melemahkan semangat kita untuk gigih berjuang. 
Firman Allah s.w.t dalam surah at-Taubah: ayat 42;


42. Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

Lebih-lebih lagi riak-riak sokongan padu majoriti rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat semakin jelas. Rakyat dari segenap peringkat dan latar belakang semakin berani tampil bersuara untuk menyatakan pendirian bagi meruntuhkan kesombongan rejim UMNO dan Barisan Nasional. Ini dapat kita saksikan sendiri dengan sambutan rakyat terhadap BERSIH 3.0 pada hari Sabtu, 28 April baru-baru ini.

Sidang muktamar yang dirahmati Allah,

Keberanian rakyat ini bukan sesuatu yang terpencil. Hakikatnya landskap politik dunia telah mengalami perubahan yang sangat ketara dalam tempoh 15 bulan ini. Pemerintahan kukubesi Muammar Ghadafi yang dianggap sebagai kuasa yang tidak boleh dicabar oleh rakyat Libya selama ini akhirnya tersungkur dengan penuh kehinaan. Ghafadi akhirnya dibunuh oleh rakyatnya sendiri setelah dia dan keluarganya membolot kekayaan negara sekitar USD 80 bilion (USD $80,000 juta). 

Negara Mesir yang didiami 81 juta orang pula terus menjadi tumpuan setelah Presiden diktator Hosni Mubarak terpaksa meletakkan jawatan akibat bantahan berterusan jutaan rakyat di Medan Tahrir dan di seluruh negara. Mubarak yang dahulunya dipuja dan dipuji oleh media pengampu dan juak-juaknya, kini ditinggalkan dalam kehinaan dan diheret ke muka pengadilan atas tuduhan membunuh penentangnya. 

Demikan jugalah nasib Presiden Tunisia Zine Abidin ben Ali dan bekas Presiden Yaman Ali Abdullah Saleh. Semua perkembangan ini membuktikan bahawa sekuat mana sesuatu rejim itu, pasti akan runtuh dan musnah jika dikehendaki oleh Allah SWT. Mudah-mudahan Allah juga menghancurkan pemerintahan Bashar Al-Assad yang sedang menzalimi umat Islam di Syiria. Allah berfirman (Ali Imran: 26):

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ 

26. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Sidang muktamar yang dirahmati Allah sekalian,

Walaupun angin fenomena ‘Arab Spring’ di Timur Tengah tidak bertiup kencang di nusantara ini, namun sedikit sebanyak kebangkitan baru ini turut dirasai di negara kita. Di sana semangat dan ketahanan anak-anak muda dalam memperjuangkan kebenaran dan kemanusiaan banyak ditunjangi dengan sokongan teknologi internet, menggunakan aplikasi twiter, facebook, SMS, youtube dan seumpanyanya, kebangkitan sebelah sini juga banyak didorong oleh faktor yang sama. Tsunami PRU12 2008 membuktikan bahawa wahana berasaskan teknologi ini banyak membantu gerakan politik. 

Teknologi baru anugerah Allah ini sifatnya terbuka. Siapa yang banyak dan bijak menggunakannya, maka dia yang mendapat manfaat yang berganda. Siapa yang leka dia akan ditinggalkan dan kecundang. Tidak seperti media konvensional, media internet ini sukar dikekang oleh pemerintah yang cuba mempertahankan kuasa dengan tektik zalim dan kotor. Ia sebenarnya membuka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk kita memanfaatkannya.

Sidang muktamar yang dirahmati Allah sekalian,

Walau bagaimana pun, usahlah kita memandang remeh cabaran politik dalam negara kita. Penguasaan parti pemerintah dalam media cetak dan eletronik seolah-olah tidak boleh dicabar. Kongkongan inilah yang membolehkan UMNO dan BN mencanangkan propaganda palsu mereka. Kesannya, orang-orang kampung, atau penghuni ibu kota sama ada di pangsapuri perumahan rakyat, atau di taman-taman perumahan amat mudah dipengaruhi. 

Tambahan pula mereka menggunakan segenap jentera kerajaan termasuklah JKKK, badan Kebajikan Masyarakat Malaysia (KEMAS), Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan (JASA), dan Seranta Felda. Malah badan seperti SPR, SPRM, pasukan Polis, DBKL, Perbadanan Putrajaya serta badan-badan perisikan dipergunakan untuk kepentingan politik UMNO dan BN. Semua ini adalah cabaran buat kita dalam menghadapi pertempuran tersengit dalam PRU13 nanti.

Alhamdulillah di peringkat Pakatan Rakyat, kita telah berusaha membulatkan tekad untuk sama-sama bergandingan membangunkan perubahan baru. Bagi PAS, kerjasama kita adalah atas prinsip saling mempercayai yang berpaksikan kepada konsep “tahaluf siyasi” yang diteladani dari gerakan politik Rasulullah SAW. 

Muslimat PAS selaku jentera wanita terbesar dan paling berpengalaman dalam komponen Pakatan Rakyat perlu menunjukkan ketrampilan yang unggul dan mempamerkan contoh yang terbaik buat rakan-rakan dari PKR dan DAP. Peranan jentera muslimat tentunya lebih besar kerana kita bukan sahaja memimpin sesama kita, bahkan turut memimpin petugas-petugas dari parti-parti rakan.  

Bagi kita di Wilayah Persekutuan, Alhamdulillah sebenarnya kita telah menguasai sokongan rakyat dengan kemenangan besar kawasan-kawasan parlimen yang dipertandingkan. Tetapi disebabkan telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita tidak ada peruntukan Dewan Undangan Negeri seperti negeri-negeri lain, maka kemenangan tersebut tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk warga Wilayah Persekutuan. Tanpa menguasai Putrajaya kita tidak dapat melaksanakan mandat besar yang kita perolehi.

Sidang muktamar sekalian,
Usah dilupa bahawa kekuatan sebenar kita adalah terletak pada kehebatan Islam yang tersimpul utuh pada aqidah yang sahih. Aqidah adalah dasar perjuangan kita. Ia juga menjadi asas kemenangan kita. Aqidah juga menjadi sumber motivasi dalam perjuangan kita. Allah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 15:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُون 

15. Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Keteguhan kita bersama aqidah perjuangan adalah suatu yang mesti diutamakan. Kita sama sekali tidak boleh tergugat dengan cubaan, baik yang berbentuk kesenangan mahu pun berbentuk tekanan. Memang kita akan diuji, namun bagi orang yang beriman, ujian adalah pengukuh kepada keyakinan perjuangan. Allah berfirman dalam surah Maryam: ayat 76;

وَيَزِيدُ اللَّهُ الَّذِينَ اهْتَدَوْا هُدًى وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ 
 رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ مَرَدًّا
76. Dan Allah akan menambahkan hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya’

Sidang muktamar sekalian,

Kemenangan yang kita dambakan mesti kemenangan yang bersama dengan keredhaan Allah. Tiada makna kemenangan tanpa keredhaan Allah. Kerana itulah, perjuangan ini mesti selamanya selari dengan aqidah dan syariat. Alhamdulillah, kita dalam Parti Islam ini mempunyai sejumlah ulama yang sentiasa memantau dan menjaga garis perjuangan parti. Bahkan kita ada institusi Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama yang memastikan setiap langkah parti adalah menepati ketentuan Ilahi. 

Oleh kerana kita mahukan kemenangan hakiki yang diredhai Illahi, maka kita perlu pastikan kemenangan itu menepati syarat kemenangan menurut Islam. Rasulullah SAW dan para sahabat berjaya meraih kemenangan demi kemenangan setelah menempuh saat-saat sulit dalam membina kekuatan aqidah khususnya diperingkat dakwah di Makkah. Tarbiyah Rasulullah berjaya melahirkan generasi paling hebat dalam sejarah manusia, yang menyerahkan diri sepenuhnya hanya kepada Allah dalam semua perkara seperti yang dirakam oleh Allah pada surah al-An’am: ayat 162 dan 163;

162. Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

163. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja Aku diperintahkan, dan Aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".

Antara strategi utama yang dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah SAW, Khulafah ar-Rasyidin dan pemimpin-pemimpin Islam terulung tidak lain tidak bukan seperti yang disimpulkan dalam frasa Arab termasyhur yang bermaksud, ‘abid (ahli ibadah) diwaktu malam dan umpama singa yang tangkas diwaktu siang. Mudah-mudahan kita dapat mengambil pengajaran daripadanya dan membudayakannya dalam seharian hidup kita. Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat seperti mereka. 

Sidang muktamar sekalian,

Selain itu dikesempatan ini saya juga ingin mengingatkan bahawa muslimat kini juga mempunyai fungsi yang penting untuk mendekati pengundi bukan Islam. Dewan Muslimat bersama-sama dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu menggiatkan usaha meraih sokongan masyarakat bukan Islam agar mereka bersedia bersama-sama meletakkan keyakinan untuk memenangkan calon-calon PAS dan Pakatan Rakyat.

Sidang muktamar sekalian,

Wilayah Persekutuan sebagaimana telah disebut adalah antara penyumbang utama kerusi-kerusi Parlimen kepada Pakatan Rakyat dalam PRU 2008 yang lalu. Semua kerusi digondol oleh PR kecuali di Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa. Alhamdulillah PAS berjaya mendapat kerusi sulung di Titiwangsa dan insya Allah bagi PRU13 ini, ketiga-tiga kerusi yang tidak dimenangi lagi diamanahkan kepada PAS Wilayah Persekutuan untuk merampasnya dari UMNO Barisan Nasional.

Maka tanggungjawab getir ini bagi mempertahankan kemenangan di Titiwangsa dan meraih kemenangan baru di Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan mesti digalas dengan penuh nekad. Memang cabaran ini adalah besar namun usahlah kita menganggapnya sebagai mustahil. Banyak perkara yang dahulunya dianggap mustahil, namun kini telah berlaku dengan kehendak Allah. Allah berfirman dalam surah Yaasin: ayat 81 dan 82;

81. Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana ia menciptakan mereka dahulu? Ya! diakui dan dipercayai berkuasa! dan Dia-lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha mengetahui.

82. Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! " maka ia terus menjadi.

Apa yang penting ialah, usaha, kerjasama, doa dan tawakkal. Jentera pilihanraya muslimat perlu diperhebatkan. Tenaga-tenaga muslimat yang sebelum ini hanya terlegar diperingkat kawasan perlu dibawa bersama-sama turut menggerakkan program kita diperingkat negeri khususnya dalam membantu kemenangan di kawasan kita bertanding. 

Demikian juga anggota dan pendokong Nisa’ perlu bersama-sama bekerja dalam berusaha ke arah kemenangan Islam di Wilayah Persekutuan ini. Peranan Nisa’ yang bersemangat waja amat perlu untuk menarik sokongan anak-anak muda secara bersungguh-sungguh, hikmah dan kreatif. 

Sebenarnya kemenangan menegakkan Undang-Undang Allah sebagaimana hasrat PAS yang tercatat dalam Perlembagaannya, Fasal 5 adalah sangat besar manfaatnya bagi kita orang-orang yang beriman seperti diungkapkan oleh Allah di dalam surah al-Fatah : ayat 1-5 yang telah saya baca dengan maksudnya di awal ucapan saya tadi.


Dalam ayat-ayat tersebut Allah menerangkan berbagai ganjaran yang akan dinikmati oleh orang-orang yang beriman yang memenangi perjuangan kebenaran sebagaimana yang telah dikecapi oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w beserta pengikutnya ketika itu.


Kita dapat rumuskan ganjaran diperolehi oleh mereka yang menang dalam jihad dan perjuangan kebenaran itu adalah:
  1. Allah ampunkan dosa-dosa yang telah lalu dan akan datang,
  2. Allah menyempurnakan nikmatNya ke atas mereka,
  3. Allah tunjukkan mereka pada jalan yang lurus,
  4. Allah membantu mereka dengan pertolongan yang hebat,
  5. Allah memberikan ketenangan di hati,
  6. Allah menambahkan keimanan,
  7. Allah masukkan ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai indah.
Demikianlah tawaran Allah kepada golongan yang berjaya di dunia dan akhirat. Mudah-mudahan ianya menjadi sumber motivasi dan inspirasi bagi kita dalam mengharungi perjuangan kehidupan yang sementara ini.

Sidang muktamar sekalian,

Di kesempatan ini, saya ingin menarik keprihatinan muslimat sekelian tentang perkembangan inisiatif Dana Sumayyah bagi membina ibu pejabat DMPWP. Projek ini adalah perancangan jangka panjang bagi memastikan dewan mempunyai pusat yang boleh menampung aktiviti kita. Diharap agar pihak pemimpin di peringkat kawasan dan cawangan dapat menghebahkan perkara ini bagi memastikan agar usaha kita ini mendapat sokongan dari semua pihak.

DMPWP memerlukan sumbangan usahasama muslimat sekalian agar cita-cita kita ini menjadi kenyataan. Rebutlah peluang tawaran yang telah dijanjikan oleh Allah seperti pada firmanNya dalam surah al-Baqarah : ayat 245;

 
245. Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Para muslimat sidang muktamar sekalian,

Sebagai penutup, marilah sama-sama kita mendoakan agar Allah memberikan kekuatan kepada barisan pimpinan DMPWP, pimpinan kawasan-kawasan dan seluruh ahli-ahli dewan muslimat untuk berusaha memartabatkan Islam di muka bumi Allah ini, khususnya di Malaysia. Moga amal kita yang lalu dan yang akan datang diterima oleh Allah dan dikira sebagai amal soleh disisiNya.

Sekian. Wa Billahi Taufik wal Hidayah, As Salaamu’Alaykum wa Rahmatullahi wa Barakaatuh.

No comments: