Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, May 8, 2012

Negara Berkebajikan


TAWARAN PAS  -  NEGARA BERKEBAJIKAN


Maksud Negara Berkebajikan.


Negara berkebajikan tawaran PAS ialah sebuah kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip-prinsip adil dan ihsan (al-‘Adl wal Ihsan) di dalam seluruh sistem pemerintahan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (Istibaq al-Khayrat) dan saling bekerjasama (at-Ta’awun) ke arah kejayaan (al-Falah) pemerintahan dan rakyat di dunia dan di akhirat.


Asas Negara Berkebajikan.


Menurut al-Quran kebajikan diterjemahkan daripada perkataan al-bir dan al-khair. Oleh itu perbincangan “Negara Berkebajikan” adalah bertolak daripada surah al-Baqarah : ayat 177 yang menerangkan konsep kebajikan menurut perspektif Islam;


Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (orang-orang yang demikian sifatnya) mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.


Ayat ini menunjukkan bahawa kebajikan menurut Islam membawa maksud yang sangat luas. Ianya merangkumi peranan manusia dalam aspek kebajikan ruhhiyah dan jasad terhadap individu dan masyarakat. Ianya juga menuntut pelaksanaan kebajikan terhadap seluruh ajaran Islam yang meliputi pembinaan peribadi insan hingga ke pembinaan negara.


Objektif Negara Berkebajikan.


Menyempurnakan tanggungjawab “ubudiyyah” lillah. Firman Allah SWT dalam surah az-Zariyat : ayat 56;

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Menegakkan keadilan. FirmanNya dalam surah an-Nisa’ : ayat 58;
  
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Menyebar luaskan kebajikan kepada seluruh rakyat. FirmanNya dalam surah an-Nahl ; ayat 90;

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.


 Ciri-ciri Negara Berkebajikan.


1.      Iman (beriman kepada Allah, hari akhirat, para malaikat dan para nabi). Iman juga menjadi asas dan syarat kepada amal kebajikan. Kebajikan tanpa iman akan  terdedah kepada perbuatan menipu dan tidak berakhlak serta melakukan kezaliman, menyeleweng dan menyalah gunakan kuasa dan sebagainya.  Amalan tanpa iman tidak ada ruh perhitungan dosa dan pahala.

2.      Amal soleh dalam hubungan dengan Allah seperti menunaikan solat, memberi zakat dan sebagainya. Amal soleh sesama manusia seperti memberi nafkah kepada keluarga, membantu mereka yang memerlukan seperti orang-orang miskin, anak-anak yatim dan sebagainya.

3.      Berakhlak mulia seperti menunaikan janji kepada sesiapa saja samada sesama Islam atau bukan Islam. Bersabar menghadapi kesusahan diri sendiri seperti ditimpa sakit, bencana alam serta sabar dalam mengharungi perjuangan.


Pelaksanaan Negara Berkebajikan


Bagi melaksanakan Negara Berkebajikan setiap orang mestilah melakukannya mengikut tempat dan kedudukannya. Sekiranya dia pemimpin negara maka menjadi wajib secara peribadi dalam perkara ibadat dan hubungan dengan masyarakat, sehingga Islam menjadi ciri bagi sesebuah kerajaan dan negara. Firman Allah dalam surah al-Hajj : ayat 41;

 Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Pengertian ayat tersebut menyatakan sifat-sifat pemimpin negara atau sesiapa saja yang melaksanakan Negara Berkebajikan.


1.  Mendirikan Solat.


Pemimpin atau orang-orang yang benar-benar mendirikan solat akan mempunyai hubungan yang baik secara berterusan dengan Allah. Lalu Allah akan menjadi penolong dan memberikan petunjuk kepadanya dalam urusan pengendalian yang diamanahkan kepadanya. Firman Allah dalam surah al-Anfal : ayat 40;

Dan jika mereka berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti daripada menceroboh) maka ketahuilah bahawasanya Allah Pelindung kamu; Dia-lah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong (yang menyelamatkan dan menjayakan kamu).

Kebajikannya tidak sempurna jika pemimpin atau seseorang itu tidak solat walaupun banyak membantu rakyat. Sumbangan atau jasanya menjadi urusan dunia saja, tidak bersifat ikhlas, lebih bersifat rasuah dan menipu untuk menggoda atau memancing sokongan dan sanjungan.


2.  Menunaikan zakat.


Zakat merupakan sumber kewangan pertama di zaman awal Islam. Ianya adalah harta yang diambil dari penganut Islam yang berada secara wajib bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan. Setelah Negara Islam berkembang dan wujudnya masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama maka sumber kewangan negara ditambah dengan penglibatan yang lebih besar dengan pembahagian yang lebih luas. Iaitu ditambah dengan sistem percukaian yang bersifat kebajikan dengan pungutan yang tidak zalim terhadap mereka yang berada untuk masyarakat dan negara.


Hal ini menjadikan kerajaan tidak perlu bimbang dalam Negara Berkebajikan yang diamalkan oleh Islam. Firman Allah dalam surah al-Hasyr : ayat 7;

Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

FirmanNya lagi pada surah al-‘Araf : ayat 96;

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.


3.  Amar makruf.


Islam mewajibkan perkara-perkara yang baik bahkan diperintah melaksanakannya secara wajib dalam perkara-perkara yang menjadi rukun hidup mengikut maqasid syariat (tujuan dan hikmah)

Amar makruf mewajibkan kerajaan bersikap adil dan beramanah kepada semua golongan masyarakatnya. Islam meluaskan perkara makruf bukan saja yang dinaskan, tetapi juga perkara baik yang tiada nas walaupun lahir sejak zaman jahiliyah Arab.

Maka Islam mengekalkan amalan yang bersifat positif bagi melaksanakan konsep adil dalam Pemerintahan Rom, Parsi, Mesir, China dan India setelah berlakunya percampuran hubungan antarabangsa.

Kemunculan tamadun Islam adalah hasil dari semua bangsa dalam masyarakat majmuk yang wujud di zaman keemasan Islam. Samada melalui penganut Islam sendiri atau pandangan bukan Islam juga samada ia warga negara atau warga asing.


4.  Nahi Mungkar.


Mencegah kemungkaran mengandungi konsep umum bukan saja perkara buruk pada zahirnya termasuk juga yang tersirat dalam hati dan amalan buruk yang bersifat spiritual. Dalam Islam ia dinamakan maksiat dan haram, termasuk meninggalkan yang wajib.

Bagi penganut bukan Islam mereka tidak boleh dihalang dalam perkara yang diharuskan agama mereka walaupun diharamkan oleh Islam malah termasuk dalam perkara hak menganut agama.


Negara Berkebajikan dalam al-Quran.


1.  Kisah Nabi Yusuf a.s dalam surah Yusuf : ayat 54-57;

Dan pada masa itu sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah ia rela menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya); dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu; dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu.

Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Dia-lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.


2.  Kisah Nabi Daud a.s dalam surah Sad : ayat 24-26;

Nabi Daud berkata: " Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan Sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!" dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).

Maka Kami ampunkan kesalahannya itu; dan Sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).

Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (Hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.


3.  Kisah Raja Zulqarnain dalam surah al-Kahfi : ayat 93-98;

Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisiNya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.

Mereka berkata: "Wahai Zulqarnain, Sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"

Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya".

Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

(Setelah itu) berkatalah Zulqarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar".


Pengajaran.


1. Kepimpinan yang beriman, bertaqwa, berilmu dan budiman. Jawatan dan kedudukan dijadikan peluang beramal soleh dengan ikhlas kerana Allah. Maka bersikap terbuka kepada teguran dan nasihat kerana mencari jalan benar dan adil, sehingga rasa takut dan malu berlaku zalim dan menyeleweng.

2.  Kuasa pemerintahan adalah amanah mengerjakan amal yang soleh bersifat kebajikan yang berwawasan sehingga hari akhirat. Menegaskan bahawa mereka hanyalah pemegang amanah bukannya berkuasa mutlak seperti Tuhan.

3.  Harta dan rakyat adalah amanah yang wajib ditunaikan dengan ikhlas lalu tidak bermegah dengan kejayaan yang dicapai dan dijadikan amal kebajikan yang diserahkan kepada Allah dengan sifat bertaqwa. Maka mereka tidak menjadikan rakyat dan sumber negara peluang untuk kekayaan, maka pemerintahan maju dan kaya dengan berkat keadilan.

4.  Tidak memaksa rakyat dengan cukai, rasuah dan kerja bagi mengumpul kekayaan untuk pemimpin dan mereka yang berada disekelilingnya. Apabila sumber negara sudah mencukupi maka sebahagian cukai dihapuskan atau diturunkan.


Kerajaan yang zalim dalam al-Quran.


1. Kisah pada surah al-Fajar : ayat 6-14;

(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu Wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, Bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka)

Iaitu penduduk "Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya)

Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?

Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura Iaitu tempat tinggalnya)?

Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh?

(Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing).

Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.

Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;

Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat)



2.  Kisah Raja Firaun pada surah az-Zukhruf : ayat 51-54;

Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - Akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? tidakkah kamu melihatnya?

"Bahkan bukankah Aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?

"(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?"

(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka.


Pengajaran.


Kesemua kerajaan-kerajaan tersebut memerintah secara diktator.

1.  Kekuasaan menjadi milik dan kemahuan, bukannya amanah. Mempunyai kuasa mutlak mengadakan undang-undang, peraturan-peraturan dan pelaksanaannya dengan zalim dan angkuh.

2.  Rakyat dipaksa bagi membina istana, bangunan kemegahan dan kota mempertahankan kuasanya, dengan projek mega menjadi mercu tanda kemewahan yang masih ada kesan sejarahnya walaupun telah dibinasakan oleh Allah sejak ribuan tahun.

3.  Menjadikan harta negara sedikit sahaja untuk rakyat jelata, dengan menganggap merekalah pemiliknya, bukan pemegang amanah, bahkan rakyat dipaksa mencari harta.

4.  Rakyat diperbodohkan dengan kemewahan dan undang-undang yang menakutkan.

5.  Tidak beriman kepada adanya hari akhirat, maka tidak ada wawasan untuk menjadikan kuasa pemerintahan sebagai jambatan selamat di hari akhirat. Mempertahankan kuasa selama-lamanya seolah-olah dunia tidak akan kiamat.

Allah mengutuskan para Rasul menentang kerjaan-kerajaan tersebut. Mereka melawan para Rasul walaupun mereka mengenali Rasul itu dan mengetahuinya adalah orang-orang yang baik, bijak dan berakhlak mulia dikalangan mereka. Para Rasul dan pengikutnya diperbodohkan dan dituduh sesat, perosak dan pemecah belah masyarakat. Dalam masa yang sama pemimpin negara itu angkuh dengan kuasa dan kekayaan harta mereka.


Tawaran PAS - Agenda Permulaan.


1. Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih.

2. Masyarakat Penyayang, Aman dan Bersepadu.

3. Ekonomi Mapan, Seimbang dan Saksama.

4.  Pendidikan Berkualiti, Berdaya Saing dan Boleh-capai.

5. Perkhidmatan Kesihatan Cekap, Berkualiti dan Boleh-capai.

6.  Kebajikan Langsung, Menyeluruh dan Mesra Rakyat.

7.  Keluarga Harmoni, Bahagia dan Bermoral.

8.  Pekerja Produktif, Berdaya Saing dan Terbela.  

9.. Kemudahan Prasarana Berkualiti, Cekap dan Bertaraf Dunia.

10.  Alam Sekitar Segar, Terpelihara dan Lestari.


Negara Berkebajikan PAS berbeza dengan Negara Kebajikan UMNO

Masih ramai yang keliru sehingga tidak memahami perbezaan di antara konsep “Negara Berkebajikan” dan “Negara Kebajikan”. Konsep Negara Berkebajikan dalam Islam mempunyai wawasan yang jauh hingga ke akhirat – mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat. Manakala konsep Negara Kebajikan seperti yang diamalkan di Negara-Negara Barat terutamanya di Scandinavia iaitu “welfare state” hanya bermatlamatkan dunia di atas asas sekularisme iaitu pemisahan antara dunia dan akhirat. Misalnya konsep Negara Kebajikan UMNO berwawasan 2020 saja.


Contoh terkini pelaksanaan Negara Kebajikan UMNO ialah kebajikan rakyat hanya untuk mereka yang menyokong UMNO saja seperti dalam pembahagian royalti minyak yang dirampas apabila Trengganu di perintah oleh PAS. Juga penafian hak royalti kepada Kelantan yang di bawah pemerintahan PAS selama lebih 20 tahun. Seolah-olah rakyat yang menyokong PAS di kedua buah negeri ini tidak berhak di atas royalti minyak tersebut. Sebaliknya UMNO sanggup tanpa rasa segan silu menyalurkannya dalam bentuk “wang ehsan” yang disalurkan melalui jabatan yang diwujudkan bagi pihak kerajaan persekutuan yang didominasi oleh UMNO.

Banyak lagi pelaksanaan “kebajikan” UMNO yang sangat aneh seperti melambat-lambatkan pembayaran peruntukan per kapita bagi kemudahan awam di negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kebajikan yang dilaksanakan oleh PAS menyeluruh kepada semua rakyat termasuk kepada kaum-kaum minoriti etnik Tionghua, India, Siam, Orang Asal dan termasuk juga penyokong-penyokong UMNO sendiri.

UMNO menganut konsep ekonomi "Kroni Kapitalisme" berusaha mewujudkan beberapa peniaga-peniaga gergasi konglomerat "giant corporations" yang diharap memayungi peniaga-peniaga kecil dan sederhana Bumiputera. Tetapi realitinya gergasi-gergasi ini memonopoli dan menekan para peniaga kecil dan sederhana yang malang ini. Jelas tindakan ini sangat bertepatan dengan amaran Allah SWT di dalam al-Quran pada surah al-Hasyr : ayat 7 ;


"....(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu........"


Realitinya segala kekayaan negara 90% dimiliki oleh tidak sampai 10% golongan koperat ini manakala 90% rakyat jelata hanya memiliki 10% dari kekayaan negara. Malah UMNO melihat bahawa segala perkhidmatan asasi rakyat seperti, air bersih, kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam dan lain-lain sebagai peluang-peluang perniagaan untuk mengaut untung. Sehingga UMNO menubuhkan syarikat-syarikat perniagaan milik penuh kerajaan "government link companies - GLC" untuk bersaing dengan pihak swasta bagi terlibat dengan kegiatan perniagaan dan monopoli.


Bagi PAS dan Pakatan Rakyat semua perkhidmatan asasi ini adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah dan kebajikan kepada rakyat jelata.


P A S  U N T U K  S E M U A   -   P A S  F O R  A L L.


Kertas kerja ini dibentang pada Taklimat Isu Semasa Dewan Muslimat PAS Bagan Serai, Perak pada 5 Mei 2012 - Sabtu, 10.00 pagi.

 

No comments: