Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, April 24, 2012

Merayakan kejayaan

MERAYAKAN KEJAYAAN DAN ADAB-ADABNYA

Adalah menjadi fitrah manusia sentiasa mengharapkan kejayaan, berusaha mendapatkan kemenangan dan berjuang untuk mendapatkan kedudukan yang lebih baik dalam hidupnya. Manusia sanggup menghadapi sebarangan rintangan dan kepayahan demi mencapai kejayaan.

Allah s.w.t sendiri pun mengajar kita untuk sentiasa berdoa untuk mengharapkan kebaikan seperti firmanNya pada surah al-Baqarah : ayat 201;



Maksudnya;

“….. wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Kejayaan dalam sesuatu usaha atau aktiviti yang dilakukan oleh sesiapapun akan membuahkan rasa gembira di hati. Kegembiraan ini dikongsi bersama-sama oleh ahli keluarga, sahabat handai ataupun pengikut-pengikut. Selalunya akan lahirlah usaha-usaha untuk meraikan ataupun merayakan kejayaan tersebut.

Pelbagai cara dilakukan untuk merayakan dan melahirkan rasa kegembiraan ini. Selalunya tindakan spontan dalam melahirkan rasa kegembiraan ini banyak dipengaruhi oleh suasana sekitar tanpa berfikir panjang.

Sebenarnya Islam sebagai “ad-Din” – a way of life, yang penuh dengan peradaban dan tata susila telah memandu penganut-penganutnya dengan cara yang sesuai dan diredhai oleh Allah s.w.t dalam kita merayakan kejayaan.

Sebagai contoh dalam kisah kejayaan pembukaan Makah – “Fathul Makkah” seperti dirakamkan oleh Allah s.w.t pada surah an-Nasr : ayat 1 – 3;



Maksudnya;

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (berjaya menguasai Makah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia sangat-sangat menerima taubat.”

Amat jelas kita dapati pengajaran Allah s.w.t daripada ayat-ayat tersebut. Bagaimana perlunya kita orang-orang yang beriman memilih cara yang berbeza dalam menyambut atau merayakan kejayaan dengan penuh adab dan tidak terbawa-bawa oleh perasaan saja.

Sebagaimana yang dimaklumi bahawa pembukaan kota Makah adalah satu kejayaan yang amat besar serta bukannya mudah. Ianya bukan suatu kejayaan seorang individu ataupun sesuatu kelompok. Ianya adalah suatu kejayaan yang dirindui oleh segenap orang-orang yang beriman dan muhajirin yang menjadi mangsa kezaliman. Ianya juga suatu kejayaan yang suci yang dinanti-nantikan oleh para malaikat di langit dan insan di bumi.

Sesungguhnya kejayaan pembukaan kota Makah adalah suatu kejayaan yang dipandu dan diwahyukan oleh Allah kepada baginda Rasulullah s.a.w. Baginda dan muhajirin khususnya yang bertahun-tahun berhijrah ke Madinah sangat merindui untuk dapat kembali ke Makah kampong halaman mereka.

Hasrat mereka selama ini dihalang oleh musyrikin Makah dengan rintangan dan tentangan yang sangat kuat. Mereka juga berazam membebaskan Makah dari cengkaman musyrikin serta membebaskan Kaabah yang mulia daripada deretan berhala-berhala. Terutamanya juga membebaskan Makah daripada penguasaan pembesar-pembesar musyrikin yang ganas dan zalim.

Akhirnya segala kezaliman, keegoan dan keganasan pembesar-pembesar musyrikin dapat dipatahkan dan lenyap tunduk kepada baginda Rasullulah s.a.w. dan umat Islam.

Jika kita meneliti sejarah lampau terhadap peradaban manusia dalam kisah-kisah peperangan seringkali Raja-Raja atau Panglima-Panglima baik di Timur mahupun di Barat sebelum kedatangan Islam, mereka yang menang akan membalas dendam dan menzalimi musuh-musuh tawanan mereka serta merampas dan merosakkan harta benda mereka. Ataupun sekurang-kurangnya mencerca dan memaki hamun mereka dengan perasaan marah dan dendam kesumat.

Tetapi bagi Rasulullah s.a.w dan pengikut-pengikutnya pula, ketika itu mereka sanggup memberikan beberapa syarat hanya rumah-rumah tertentu saja dibenarkan menjadi tempat perlindungan bagi penduduk-penduduk Makah. Antara rumah yang diberi jaminan adalah rumah Abu Suffian yang merupakan tokoh utama penentang Baginda. Namun Baginda s.a.w yang berakhlak terpuji mengampunkan beliau dan penduduk-penduduk yang menyokongnya. Bagi penduduk-penduduk yang tidak melawan keselamatan mereka dijamin.

Demikianlah hebatnya Islam, bukan saja umat Islam wajib berlaku adil kepada sesama mereka tetapi perlu berlaku adil juga terhadap musuh-musuh mereka. Sesungguhnya keadilan Islam adalah untuk semua. Di dalam peristiwa pembukaan Makah itu pejuang-pejuang Islam bukan saja tidak dibenarkan menzalimi musuh-musuh tawanan mereka malah dilarang mencerca dan menghina mereka. Mereka juga diminta untuk sentiasa bertasbih memuji Allah s.a.w dan bersyukur di atas kejayaan itu.

Justeru itu kita hendaklah mengambil iktibar daripada perisitiwa tersebut. Janganlah kerana melihat orang ramai datang berduyun-duyun pada ceramah-ceramah anjuran kita, kita terbawa-bawa melafazkan kata-kata dan melakukan perkara yang dimurkai Allah s.w.t.

Janganlah pula bila Allah memberi sedikit kemenangan dan kejayaan kita terbawa-bawa melafazkan kata-kata yang tidak diredhai olehNya. Salah satu strategi dakwah adalah menerangkan dengan bercakap benar bagi mendedahkan kemaksiatan dan kezaliman pembesar-pembesar musuh kita kepada pengikut-pengikut mereka. Memang kita menentang pemimpin-pemimpin mereka yang zalim tetapi jangan lupa tugas besar kita juga adalah membawa pengikut-pengikut mereka bersama-sama menyokong kita dalam menegakkan perjuangan kebenaran ini.

1 comment:

muas said...

pencerahan yang baik daripada usazah..terima kasih