PULANG KE PANGKAL JALAN – BACK TO BASIC
As Salaamu’Alaykum wa Rahmatullahi wa Barakaatuh, menemui para pengunjung yang dirahmati Allah sekalian. Moga kita semua sentiasa dalam rahmat dan keredhaanNya jua.
Sudah lebih tiga bulan saya tidak berkesempatan untuk update dan menemui semua dalam alam maya ini kerana kesuntukan masa dalam kesibukan melaksanakan tugas-tugas penerangan yang meletihkan. Akhawat saudari pembantu saya pula sudah tidak bersama saya kerana menjalankan tugasnya di Kawasan. Dialah selama ini dapat membantu saya sekurang-kurangnya updatekan gambar-gambar program-program yang saya hadiri iaitu secara tidak rasmi dialah web master saya.
Hampir setiap hujung minggu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad saya akan mengikuti konvoi penerangan ke seluruh pelusuk kawasan parlimen di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Kebetulan juga dijemput merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Kawasan-Kawasan dan juga Mesyuarat Agung PAS Kawasan-Kawasan serta memenuhi program-program seminar atau pelancaran gerak kerja jentera pilihanraya Muslimat dan PAS Kawasan-Kawasan.
Seringkali juga sebagai Timbalan Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat saya ditugaskan menggantikan Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pahang pada jemputan ceramah-ceramah umum.
Saya amati dalam perjalanan saya menemui akar umbi penggerak-penggerak PAS di seluruh pelusuk negara baik di bandar atau desa, masih terdapat segelintir para amilin ini yang masih lagi keliru dan kurang yakin dengan perjuangan kita ini terutamanya para muslimat.
Sebenarnya mereka ini harus kita bawa kembali memahami dan menginsafi kedudukan dan asas penglibatan mereka dalam jamaah. Dalam kekalutan serangan-serangan media arus perdana dan fitnah adu domba gedung-gedung fitnah ini yang dikuasai oleh UMNO mereka hampir tenggelam punca. Apakah kita menganggotai Jamaah ini semata-mata benci dengan kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO? Apakah kita bersama-sama Jamaah kerana marah dan jengkel oleh kezaliman yang kita alami selama ini? Ataupun ikut-ikut saja para suami dan sahabat-sahabat kita?
Sesungguhnya buat para amilin terutama para muslimat yang dikasihi ini, marilah kita renung sejenak dan muhasabah diri agar kita tidak terpesong dari matlamat perjuangan. Kita kembali ke pangkal jalan dan menyoal diri, (go back to basic) mengapa kita bersama-sama Jamaah ini?
Oleh itu saya rasa buat seketika kini saya akan cuba fokuskan kembali perkara-perkara asas dalam gerak kerja Jamaah. Bagi yang sudah memahami anggaplah usaha-usaha ini sebagai suatu peringatan. Pada Allah kita berserah dan kepadaNya jua kita mohon pertolongan.
Akhir kalam marilah kita renungi dan hayati keterangan-keterangan Allah s.w.t pada surah al-Baqarah: ayat 256 dan 257 berikut;
Maksudnya;
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (dan cara hidup Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Oleh sebab itu sesiapa yang ingkar kepada thagut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada ikatan tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Maksudnya;
“Allah pelindung bagi orang-orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekufuran) kepada cahaya (iman). Orang-orang kafir pelindung-pelindung mereka ialah taghut (yang ditaati, dipatuhi dan disembah selain Allah) yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekufuran). Mereka itu adalah penghuni nereka; mereka kekal didalamnya.”
No comments:
Post a Comment