Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, May 12, 2010

USUL SALAH SEORANG NAIB PRESIDEN PAS
DARI KALANGAN PIMPINAN MUSLIMAT ADALAH SANGAT WAJAR.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para perwakilan dan ahli-ahli Mesyuarat Agong PAS Kawasan Kubang Kerian, Kelantan kerana meluluskan usul agar salah seorang Naib Presiden PAS dipilih daripada kalangan muslimat. Seterusnya mengusulkan agar salah seorang Timbalan Pesuruhjaya Negeri-Negeri dipilih dari kalangan muslimat juga.

Sekalung penghargaan ikhlas juga bagi PAS Kawasan Jasin, Melaka yang telah mengikut jejak langkah PAS Kubang Kerian dalam isu Naib Presiden itu. Juga pada mana-mana PAS Kawasan lain yang bercadang membawa usul yang sama di dalam mesyuarat agong mereka yang sedang dan akan berlangsung.

Sebenarnya telah ada usaha-usaha daripada kalangan muslimat yang prihatin dan memandang jauh kedepan agar usul yang sama diangkat pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri-Negeri dan seterusnya dibawa ke Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Walau bagaimanapun takdirnya PAS Kawasan Kubang Kerian telah mendahului dengan lulusnya usul tersebut secara rasminya pada mesyuarat agong mereka yang lalu. Apa yang menarik adalah usul tersebut tidak akan diterima tanpa sokongan daripada para perwakilan dan ahli-ahli mesyuarat yang jelasnya didominasi oleh kalangan orang-orang lelaki.

Maka bagi saya ianya memudahkan lagi urusan muslimat dan dalam hal ini saya sekali lagi mengucapkan tahniah di atas keprihatinan para perwakilan terhadap pengukuhan sumbangan muslimat ini. Senario ini juga menggambarkan dengan jelas bahawa pendokong PAS di peringkat akar umbi telah mengiktiraf peranan besar muslimat dalam bersama-sama berganding bahu menegakkan Islam dan memajukan PAS. Ia juga membuktikan kesedaran mereka bahawa sebahagian besar penyokong setia PAS adalah para wanita yang jelas diketahui berjumlah lebih daripada 50 peratus pemilih yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya.

Nampaknya PAS Kawasan-Kawasan dari negeri Kelantan telah membuat satu rekod lagi dalam memperkasakan sumbangan muslimat tehadap PAS. Sayugia kita ingat kembali bahawa dalam isu mengangkat dan memilih pimpinan muslimat sebagai calon pilihanraya telah diusulkan oleh PAS Kawasan Kota Bharu tidak lama dulu. Peristiwa ini tercatat dalam sejarah PAS walaupun PAS Kawasan Dungun, Terengganu telah terlebih dulu mengangkat Puan Khadijah Sidik sebagai wakil rakyat. Tetapi beliau telah dipilih oleh pimpinan teringgi PAS semasa itu bukan pilihan PAS Kawasan Dungun.

Tahniah! PAS Kelantan masih jadi juara dalam menghargai dan memperkasa sumbangan muslimat selama ini dengan adanya dua ADUN di dalam Dewan Undangan Negeri dan seorang daripadanya adalah EXCO dalam pentadbiran kerajaan negeri. Mudah-mudahan PAS Kelantan akan terus maju dan memberikan perhatian yang sewajar serta memberi laluan mudah bagi muslimat sebagai contoh teladan yang akan diikuti oleh PAS negeri-negeri lainnya.

Penghargaan juga bagi PAS Kedah dan Selangor yang telah mengangkat ADUN muslimat masing-masing sebagai ahli EXCO kerajaan negeri. Juga tidak lupa kepada PAS Kelantan, Selangor dan Wilayah Persekutuan yang telah berjaya meletakkan 3 orang pimpinan muslimat sebagai ahli parlimen.

Sehubungan itu juga usul PAS Kubang Kerian agar salah seorang Timbalan Pesuruhjaya Negeri dipilih dari kalangan muslimat bukanlah sesuatu yang baru. Sebenarnya PAS Wilayah Persekutuan di era kepimpinan Haji Subky Latif sebagai Pesuruhjaya telah melantik salah seorang Timbalannya dari kalangan pimpinan muslimat. Tradisi ini juga telah dikuti oleh Pesuruhjaya berikutnya Haji Mohd Nor Mohammad satu ketika dulu.

Sejarah gemilang PAS juga telah tercatat bahawa Puan Khadijah Sidik, selain daripada pernah menjadi wakil rakyat, beliau juga pernah memegang jawatan Pesuruhjaya bagi PAS negeri Johor. Oleh itu para muslimat Johor harus berbangga dan mepertingkatkan usaha-usaha dalam memperkasa sumbangan muslimat di Johor.

Satu pekembangan yang menarik dan mengorak langkah maju setapak lagi kini adalah perlantikan dua orang wakil muslimat sebagai ahli Majlis Syura Ulama PAS. Tindakan mengukuhkan kedudukan pimpinan muslimat dalam hiraki parti ini sangatlah bertepatan dengan kehendak rakyat sekarang yang telah mengiktiraf sumbangan besar wanita dalam kemajuan dan kesejahteraan negara. Ianya juga amat selari dengan perjuangan Pakatan Rakyat dalam membawa harapan baru bagi Malaysia.

Oleh itu kedudukan salah seorang Naib Presiden bagi muslimat, saya harap laluannya tidaklah sukar bahkan akan dipermudahkan. Dewan Muslimat PAS Pusat juga akan menyokong penuh kepada sesiapa yang layak bagi memegang amanah ini. Semua wakil-wakil rakyat PAS dari kalangan muslimat dan mantan Timbalan-Timbalan Pesuruhjaya negeri dari kalangan muslimat telah memainkan peranan mereka dengan baik dan berterusan untuk jamaah kita. Saya percaya jika terpilih salah seorang muslimat sebagai Naib Presiden PAS, beliau juga akan dapat menjalankan tugasnya dengan baik dan dapat sokongan bulat daripada semua pendokong muslimat PAS di semua peringkat.

Akhirnya pada kesempatan ini saya rasa masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada para ibu-ibu serta mereka yang menghargai sumbangan para ibu. Mudah-mudahan para ibu khususnya ibu-ibu di kalangan muslimat PAS yang dikasihi akan dapat menjadi ibu-ibu yang cemerlang dan dibantu oleh suami-suami yang penyayang serta dipermudahkan oleh Allah s.w.t dalam segala urusan. Amin.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
Kuala Lumpur, 10 Mei 2010.

2 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum Puan,

Dengan kewujudan jawatan untuk muslimah yang diketengahkan ini terlihat objektif keperluan permasalahan ummah yang tidak mendapat teladan untuk dimodeulkan dari kalangan kepimpinan mukminah yang upaya membawa syariah dietikakan dari sudut keperluan dihayati makna pembinaan insan di dalam mewujudkan sambutan akhirat sebagai masa hadapan yang memerlukan daya saing yang sihat setiap sudut aktiviti kehidupan seperti mana yang diungkapkan di dalam mikro dan makro ekonomi yang menyerlahkan tuntutan penghayatan kita dari maksud muamalah dengan Allah dan muamalah dengan manusia.

Memahami matlamat menunggaki 'mujaddid' sebagai pembaharu zaman kesyumulan dan keuniversalan siasah adalah membenarkan natijah demokrasi dilaksanakan yang dijadikan pilihan mewujudkan pemerintahan yang adil tatkala sistem kediktatoran dan pemerintahan ketenteraan secara umumnya tidak diterima.

Anonymous said...

mai aaii, sikit punya berbelit, blh tlg simplify?