Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, May 12, 2012

Pengorbanan dalam perjuangan



PENGORBANAN DALAM PERJUANGAN

Muqaddimah

Perjuangan menegakkan Islam secara syumul di dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia amnya adalah merupakan sesuatu kerja yang tidak mudah lagi mengambil masa yang panjang seperti firman Allah s.w.t dalam surah at-Taubah : ayat 42;
 

Maksudnya;

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah dan mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh) nescaya mereka akan mengikutimu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dan berkata : Sesungguhnya kalau kami sanggup tentulah kami akan pergi bersamamu. (Dengan sumpah dusta itu) Mereka membinasakan diri mereka sendiri sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta.”

Perjuangan ini menuntut penganut-penganut dan pencinta-pencintanya kepada kesungguhan dan pengorbanan. Oleh itu kefahaman tentang konsep pengorbanan sebenar dan keperluannya mestilah difahami oleh petugas-petugas perjuangan Islam ini.

Pengertian pengorbanan

Pengorbanan berasal daripada perkataan korban. Menurut Kamus Dewan antara lain ia bermaksud; pemberian iaitu kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu sebagai tanda kebaktian, kasih dan lain-lain.

Pengorbanan itu juga memberi maksud perihal mengorbankan segala yang punya seperti jiwa raga, harta benda, masa, kehidupan dan segalanya untuk tujuan mencapai sesuatu matlamat.  Dalam teori ekonomi disebut sebagai “kos melepas” untuk mendapatkan marginal sesuatu yang optimum.

Dalam Bahasa Arab ia disebut “qurban” iaitu dari kata dasar “qarraba” yang bermaksud mendekatkan. Maka dari sudut istilah ia membawa maksud; segala bentuk daya usaha yang membawa diri seseorang mendekatkkan dirinya kepada Allah SWT.

Dari sudut fikrah harakiyyah, pengorbanan juga disebut “tadhiyyah”.  Ia mengandungi makna yang luas merangkumi pengorbanan maddiyah, maliyyah, fikriyyah, nafsiyyah dan jasadiyyah. Penggunaan istilah ini telah dimasyhurkan oleh asy-Syahid Hasan al-Banna. Beliau telah meletakkan tadhiyyah sebagai rukun kelima dalam membina 10 rukun baiah bagi pembentukan keperibadian anggota Jemaah. Natijahnya terbentuk baitul muslim, mujtama’ muslim dan daulah Islamiyyah. Justeru itu ia menjadi pra syarat yang mesti dihayati oleh petugas-petugas perjuangan Islam.

Realiti kehidupan duniawi

Menegakkan Islam atau melaksanakan amal makruf nahi mungkar ini adalah usaha dan kerja yang bertentangan dengan hawa nafsu manusia dan kehendak syaitan laknatullah. Tuntutan hawa nafsu dan bisikan syaitan memang suka kepada kejahatan dan mengajak manusia terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan.

Firman Allah s.w.t dalam surah Yusuf : ayat 53;
Maksudnya;

“ ….sesungguhnya nafsu manusia itu sangat mendorong melakukan kejahatan kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah mereka daripada hasutan nafsu itu) Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

FirmanNya lagi dalam surah Faatir : ayat 6;

Maksudnya;

“Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya) sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni api neraka yang menyala-nyala (menjulang-julang).”

Angkara nafsu dan syaitan

Akibat daripada angkara nafsu dan syaitan menjadikan manusia lebih menyukai kehidupan duniawi, lalai dan leka serta mementingkan diri sendiri. Namun Allah SWT tidak menyukai cara hidup begini dan mengancam dengan amaranNya dalam surah at-Taubah : ayat 24;
  
Maksudnya;

“Katakanlah (wahai Muhammad):Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau pasangan) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan rugi, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksa); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

Seterusnya Allah SWT menegaskan bahawa kehidupan dunia hanyalah mainan dan sia-sia saja seperti firmanNya dalam surah al-Ankabut : ayat 64;

 
“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat)”.

Pengorbanan yang dituntut

Justeru itu kita perlu berjuang melaksanakan perintah Allah, demi mencapai keredhaanNya. Perjuangan itu pula memerlukan pengorbanan. Pengorbanan yang menjurus kepada melaksanakan perintah Illahi bagi menjamin diri dan jiwa raga mencapai keredhaanNya.

Firman Allah s.w.t dalam surah at-Taubah : ayat 111;
 


Maksudnya;


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah; maka (diantara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian itu) sebagai janji yang benar di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya selain daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan ketahuilah bahawa jual-beli itu ialah kemenangan yang besar.”

Allah SWT juga menyifatkan bahawa orang-orang yang mati mengorbankan dirinya untuk perjuangan pada jalan Allah itu, sebagai suatu kematian yamg amat mulia. FirmanNya dalam surah Ali Imran : ayat 169 -171;



169.Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
170.(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
171.Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.

Maka dapatlah disimpulkan bahawa para petugas Islam mestilah bersedia untuk berkorban di dalam perkara berikut:

i.  al-anfus   :  Diri (perasaan, tenaga, akal, masa dan nyawa)
ii. al-amwal : Harta benda (Sanggup mengeluarkan zakat, bersedeqah, hidup sederhana,   mengeluarkan belanja untuk kegunaan Jemaah, melakukan kebajikan kepada yang   memerlukan).

Kedudukan pengorbanan dalam Islam

1. Perintah Allah SWT 

Pengorbanan yang dilaksanakan dalan Jemaah Islam merupakan suatu tuntutan Allah SWT terhadap orang-orang yang beriman. FirmanNya dalam surah at-Taubah : ayat 41; 

 
“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”.

2. Sunnah Rasul

Tuntutan berkorban dalan Jemaah Islam juga adalah sunnah Rasulullah s.a.w dan para solihin. Firman Allah lagi dalam surah at-Taubah : ayat 88; 


“(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya”.

3. Faktor kejayaan

Pengorbanan adalah elemen penentu kejayaan dalam perjuangan. Kejayaan akan menjadi manis dan lebih bererti. Lumrah kehidupan mengajar kita bahawa sesuatu kejayaan, kemenangan dan kebahagian memerlukan pengorbanan. Keterangan ayat-ayat al-Quran tersebut dalam surah as-Saaf dan at-Taubah menjelaskan kepada kita bahawa pengorbanan adalah faktor penentu sesuatu kejayaan. Bak kata pepatah “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. Cita-cita untuk mendapatkan kejayaan tanpa usaha dan pengorbanan hanya akan menjadi angan-angan dan omongan kosong sahaja.

4. Keperluan dakwah

Tidak ada kejayaan dalam dakwah tanpa pengorbanan. Inilah hakikat yang pasti dilalui oleh para amilin dalam usaha-usaha dakwah dengan jelas dan nyata. Mereka mestilah mempersiapkan  diri serta bersedia berkorban untuk meleburkan diri dalam perjuangan jika ingin melihat matlamat perjuangan Islam menjadi kenyataan.

Dakwah tidak akan hidup dan berkembang melainkan dengan jihad. Jihad pula tidak akan berlaku tanpa pengorbanan. Inilah jalan yang telah ditempuh oleh para nabi dan solihin sepanjang zaman seperti dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa : ayat 74;



“Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar”.

Demikianlah peri pentingnya kefahaman yang dihasilkan daripada tarbiyah yang berkesan melahirkan pengorbanan dan dapat membuahkan kemenangan di dunia dan akhirat.

Kisah-kisah Pengorbanan dalam al-Quran dan as-Sunnah

1. Kisah Qabil dan Habil anak-anak kepada Nabi Adam a.s.

Allah SWT merakamkan kisah pengorbanan dalam surah al-Maidah : ayat 27;

“Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah) lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): "Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!" (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa”

2. Kisah Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Kisah teladan dari dua orang Nabi anak beranak yang sanggup berkorban apa sahaja walaupun dengan nyawa kerana kasih dan patuh terhadap perintahNya dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah as- Shaffat : ayat 102 – 105;

102. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
103. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami),
104. Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!
105. "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

3. Kisah Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.

Saidina Abu Bakar telah mengorbankan dan membelanjakan seluruh hartanya untuk perjuangan bersama-sama Rasulullah s.a.w. Baginda bertanya kepadanya: “Apakah yang kamu tinggalkan kepada keluarga kamu?” Lalu beliau menjawab: “ Aku telah tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya”

4. Kisah Suhaib r.a.

Antara para sahabat Rasulullah s.a.w, Suhaib telah mengorbankan seluruh harta yang dimiliki demi perjuangan membantu baginda. Lantas Allah SWT mengiktirafnya bersama-sama orang-orang sepertinya dalam al-Quran pada surah al-Baqarah : ayat 207;
š
207.Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambanya.

Rasulullah s.a.w dengan gembira menyambutnya seraya berkata:“Wahai Suhaib, Tuhanmu telah membeli daganganmu (menerima pengorbananmu)”.

5. Kisah para sahabiyah yang bersama-sama Rasulullah s.a.w

Saidatina Khadijah r.a. adalah orang yang mula-mula beriman dan melakukan pengorbanan harta benda dan kemewahan serta keselesaan hidupnya untuk bersama-sama baginda. Sumaiyyah pula syahid mengorbankan nyawanya demi untuk mempertahankan aqidah. Ummu Sulaim (Khansa’) pula sanggup mengorbankan tiga anak-anak lelakinya di medan jihad. Beliau begitu sedih mengadu kepada baginda bahawa dia tidak ada anak lelaki lagi untuk pergi ke medan jihad.

Nusaibah pula pergi ke medan perang dan sanggup menjadikan dirinya sebagai benteng melindungi baginda. Asma’ pula dengan penuh keletihan sarat mengandung sanggup mendaki bukit untuk menghantar bekalan dalam keadaan para pemuda tangkas Quraisy memburu Rasulullah s.a.w dan bapanya Abu Bakar yang sedang bersembunyi dalam peristiwa hijrah.

Sesungguhnya mereka semua telah melakukan pengorbanan yang sangat bernilai demi perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Begitulah tarbiyah nabawiyyah yang dinikmati oleh para sahabat secara praktikal yang menjadi contoh teladan bagi kita.

Ganjaran dari Allah SWT kepada mereka yang berkorban

Allah SWT menjanjikan ganjaran di dunia dan akhirat kepada mereka yang sanggup berkorban seperti firmanNya dalam surah as-Shaff : ayat 10 -13;

 
10.Wahai orang-orang yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
12.(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan yang besar.
13.Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.

FirmanNya lagi pada surah Saba’ : ayat 39;


39.Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia- lah jua sebaik-baik pemberi rezeki".

Seterusnya firmanNya pada surah Ali Imran : ayat 157;

 
157.Demi sesungguhnya! jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa - semasa mengerjakan kebajikan umum), Sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup).

Adalah berdasarkan ayat-ayat di atas ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT berbentuk pada dua peringkat di dunia dan akhirat.

1. Ganjaran di dunia

i.   Mendapat pertolongan Allah SWT dalam urusan duniawinya.
ii. Menikmati kemenangan hasil perjuangannya
iii.Mendapat jaminan Allah SWT tentang rezekinya tanpa disedari dari mana datang     puncanya.
iv. Allah SWT menggantikan dengan berlipat ganda segala yang telah dibelanjakan ke jalanNya.

2. Ganjaran di akhirat

i.   Mendapat jaminan keselamatan dari azab neraka yang pedih.
ii. Mendapat keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan.
iii.Dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
iv. Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di syurga bernama “Adn”.


Kesimpulan

Kita hendaklah mengambil contoh teladan generasi terdahulu yang telah beroleh kemenangan dalam perjuangan menegakkan Islam. Jadikanlah perjuangan ini dalam gerak kerja amal jamaie keutamaan yang didahulukan. Pastikan setiap detik masa yang dianugerah oleh Allah SWT tidak berlalu dengan sia-sia dan sentiasa dalam ruang lingkup bersama-sama Jemaah.

Sayugia didalam kesibukan gerak kerja amal jamaie janganlah lupa memastikan zuriat kita bersedia menjadi pewaris dan generasi pelapis perjuangan. Yakinlah bahawa pengorbanan yang dilakukan untuk perjuangan Islam merupakan suatu perniagaan atau pelaburan yang sangat menguntungkan. Yakinlah juga bahawa segala kepayahan dan perit getir mengharungi liku-liku perjuangan Islam akan mendapat pertolongan dari Allah SWT yang telah dijanjikanNya. Siapakah yang pasti dan lebih baik menunaikan janjiNya selain dari Allah?


Read More......

Tuesday, May 8, 2012

Tawaran Buku Jingga


TAWARAN BUKU JINGGA – PAKATAN RAKYAT


1. Apakah itu Buku Jingga?

        i.            Buku Jingga adalah sebuah buku yang menerangkan dasar-dasar Pakatan Rakyat dalam keseluruhan aspek pentadbiran negara yang melibatkan reformasi politik, ekonomi dan sosial.

      ii.            Ia turut memuatkan program 100 hari Pakatan Rakyat, apabila mendapat mandat rakyat memerintah negara kita ini.

    iii.            Ia juga adalah suatu pernyataan gambaran yang jelas bagaimana kerajaan Pakatan Rakyat akan mengubah landskap kehidupan seluruh rakyat Malaysia.


2. Apakah rasionalnya tawaran Buku Jingga?

        i.            Ia adalah satu kesepakatan lanjutan daripada permuafakatan yang telah dimeterai bersama oleh Pakatan Rakyat melalui Dasar Bersama yang diangkat oleh perwakilan-perwakilan dari PAS, PKR dan DAP dalam tahun 2009 pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama. Dasar Bersama ini mempertegaskan sebuah piagam yang mengikat ketiga-tiga parti di dalam komponen Pakatan Rakyat kepada dasar-dasar perjuangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, contohnya menjulang Perkara 153 mempertahankan institusi Raja Berpelembagaan dan Perkara 152 bagi memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

      ii.            Dasar Bersama ini merupakan sebuah kerangka utama perjuangan Pakatan Rakyat, tetapi perlu diterjemahkan kepada program-program yang dilaksanakan secara praktikal untuk merealisasikan matlamatnya. Bagi menghuraikan sejelas-jelasnya bentuk program-program pelaksanaan ini, Buku Jingga diterbitkan untuk menggariskan semua langkah-langkah yang akan diambil bagi melaksanakan reformasi politik, ekonomi dan sosial tersebut.

    iii.            Secara politiknya ia adalah jawapan yang akan menutup dakwaan UMNO Barisan Nasional bahawa Pakatan Rakyat hanya pandai membangkang saja tanpa mempunyai perancangan dan program pelaksanaan untuk mentadbir kerajaan Persekutuan. Apa yang jelas bahawa dengan kehadiran Buku Jingga menyebabkan UMNO Barisan Nasional menjadi “defensive” – mencari helah membela diri – dan terpaksa memberi respon positif terhadap program-program yang akan dilaksanakan dengan meniru dan melaksanakan program yang serupa tetapi masih menjaga kepentingan mereka bukan kepentingan rakyat. Misalnya memansuhkan Akta ISA tetapi menggantikannya dengan dua akta lain yang masih mengekalkan pelaksanaan tahan tanpa bicara.


3. Bagaimanakah pendekatan yang ditegaskan dalam Buku Jingga?

Pertama : Pengurusan Ekonomi.

                       i.            Mewujudkan suasana yang kondusif untuk ekonomi negara berkembang dengan pesat dan pengurusan perniagaan yang produktif serta persaingan sihat terjamin dan adil.

                      ii.            Potensi ekonomi negara tidak tercapai dengan cemerlang akibat pelbagai kebejatan dan kronisme yang dilakukan oleh UMNO Barisan Nasional.

                     iii.            Kurangnya dokongan sektor swasta yang hampir dimonopoli oleh kroni-kroni dan pelaburan asing yang mula beralih ke negara-negara jiran disebabkan iklim pelaburan yang tidak menjamin pertumbuhan yang adil kepada mereka.

                      iv.            Asas-asas pentadbiran negara yang kurang meyakinkan dengan gejala rasuah, campurtangan politik dalam kehakiman dan badan-badan penguatkuasaan, ketidak telusan dalam sistem pilihan raya merendahkan daya saing dan tarikan peluang pelaburan di mata antarabangsa serta komuniti dunia perniagaan.

                         v.            Sebuah kerajaan yang dilihat memanipulasi institusi-institusi utama negara sudah tentu akan mengambil sikap sambil lewa dalam mempertahankan hak-hak para peniaga dan pelabur. Malah sangat membimbangkan mereka bahawa undang-undang dan penguatkuasa boleh saja diperkotak-katikan bagi menganiaya mereka serta terpaksa memberi rasuah dalam survival perniagaan yang berterusan.

                       vi.            Bagi menjamin kesejahteraan rakyat ekonomi negara perlu berkembang pesat agar hasil negara meningkat serta peluang pekerjaan yang berkualiti dinikmati oleh rakyat.

                     vii.            Bagi memastikan ekonomi berkembang sihat reformasi politik yang memperbaiki perjalanan institusi-institusi Badan Kehakiman, Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya amat perlu dilaksanakan dengan jayanya agar dapat menghilangkan kerisauan golongan peniaga dan pelabur.

                   viii.            Justeru itu reformasi ekonomi tidak akan berlaku tanpa didahului dengan reformasi politik. Sedangkan UMNO Barisan Nasional cuba mengaburi mata rakyat dengan pelbagai program transformasi ekonomi dan kononnya transformasi politik bagi mengekalkan status quo dan menjamin survival politik serta kroni-kroni mereka bukan untuk kesejahteraan rakyat.

                       ix.            Justeru itu agenda utama dan janji-janji Pakatan Rakyat yang diperincikan dalam tawaran Buku Jingga adalah bersabit dengan reformasi politik, iaitu memansuhkan ISA (menghapuskan tahanan tanpa bicara), pemulihan dan reformasi Badan Kehakiman, Polis Di Raja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya, serta penubuhan satu Suruhanjaya Di Raja mengenai kemelut warga pendatang asing di Sabah.


Kedua :  Kesejahteraan Rakyat.

        i.            Meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dan membantu kesempitan rakyat termiskin.

      ii.            Kos sara hidup yang semakin meningkat menjejaskan kesejahteraan rakyat akibat kegagalan UMNO Barisan Nasional mengawal kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan.

    iii.            Kualiti hidup rakyat semakin menurun saban hari disebabkan kenaikan gaji dan upah tahunan yang tidak selari dengan kenaikan harga barangan keperluan dan kos sara hidup.

     iv.            Langkah-langkah drastik perlu diambil bagi menghapuskan semua bentuk penyelewengan sementara usuha-usaha pemulihan ekonomi berjalan dan peningkatan pelaburan asing digiatkan. Semua ini tidak akan tercapai tanpa reformasi politik.

       v.            Langkah-langkah ini terkandung di dalam tawaran Buku Jingga adalah:

a.      Mengambil alih lebuhraya-lebuhraya dengan tujuan menghapuskan tol.
b.      Mengembalikan konsesi air kepada kerajaan negeri-negeri dengan tujuan menurunkan tarif air yang dikenakan kepada rakyat.
c.       Memperkenalkan perkhidmatan WI-FI percuma kepada rakyat di bandar dan separa bandar.
d.      Mengekalkan subsidi bahan api dan keperluan makanan kepada golongan termiskin dengan mengalihkan subsidi koprat kepada subsidi untuk rakyat.


Ketiga :  Meningkatkan Pendapatan Rakyat.

        I.            Meningkatkan pendapatan rakyat dengan mengagihkan kekayaan negara secara sama rata serta mengutamakan rakyat termiskin dan tertindas.

      II.            Langkah-langkah drastik diperlukan bagi memberi tumpuan mengagihkan kekayaan kepada golongan sasar yang memberi kesan besar kepada ekonomi setempat terdiri daripada sektor perkhidmatan awam, peneroka Felda dan golongan termiskin dan tertindas.

    III.            Tiga golongan sasar yang diberikan keutamaan dalam termpoh 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir negara ialah:

1.      Golongan pendidik adalah golongan terbesar bagi perkhidmatan awam. Dianggarkan terdapat seramai 520,000 orang termasuk pegawai pendidikan dan pentadbir. Selama ini mereka dilupakan dan tidak dibela walaupun amanah besar diberikan kepada mereka bagi menyediakan sumber manusia terlatih bagi pembangunan negara. Tawaran elaun khas RM500.00 seorang diberikan kepada pendidik dan semua yang terlibat dengan kerjaya perguruan bagi mengangkat martabat perguruan dan seterusnya menarik lebih ramai golongan cerdik pandai menyertai kerjaya perguruan.

2.      Golongan rakyat di negeri-negeri termiskin – Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu. Ironinya negeri-negeri ini merupakan negeri-negeri yang kaya dengan sumber petroleum dimana hasilnya hampir dibolot oleh kerajaan Persekutuan. Tawaran Pakatan Rakyat menjanjikan royalti petroleum sebanyak 20 peratus secara terus kepada rakyat di negeri-negeri tersebut. Tindakan ini bagi menggiatkan lebih banyak program membasmi kemiskinan dan meningkatkan keupayaan mereka.

3.      Golongan Generasi Kedua dan Ketiga Peneroka Felda – mereka tersisih selama ini akibat usaha-usaha pengkopratan Felda yang tidak langsung memberi tempat kepada mereka. Juga usaha-usaha menggiatkan pembangunan semula dan ransangan ekonomi di kawasan-kawasan rancangan yang selama ini masih ketinggalan. Tawaran Buku Jingga menjanjikan pembukaan tanah-tanah Felda Plantation kepada mereka bagi membolehkan mereka terlibat sama menyumbang kepada arus pembangunan serta mendapatkan sumber yang mampu membantu kesulitan hidup yang mereka hadapi sekarang.


Keempat :  Program 100 Hari Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program berikut:

  • Mereformasikan institusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
  •  Memasuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
  • Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.
  •  Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 billion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
  • Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.
  • Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
  • Menyediakan perkhidmatan internet WI-FI percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
  • Membatalkan Felda Plantation bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
  • Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Trengganu dan Kelantan kepada 20%
  • Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

Kelima : Matematik Buku Jingga.

1.  Janji memansuhkan tol bermula dengan mengambil alih PLUS.

a. Kos :

i.        KWSP dan Khazanah Berhad telah pun memiliki 66% saham PLUS.
ii.      Aset dan operasi PLUS dianggarkan berjumlah RM 23 billion.
iii.    Mengambil alih PLUS hanya perlukan RM 7 – 8 billion.
iv.     Kos menyelenggara tahunan PLUS adalah RM 300 juta.
v.       Kos pengurusan tahunan PLUS adalah RM 300 juta.
vi.     Jumlah kutipan tol PLUS setiap tahun adalah RM 2 billion.
vii.   Jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kepada PLUS setiap tahun adalah RM 800 juta.

b. Bagaimana menampung:

i.        Hentikan ketirisan RM 28 billion setahun dan gunakan subsidi gas kepada koprat berjumlah RM 19 billion setahun untuk mengambil alih PLUS.

ii.      Kos menyelenggara dan pengurusan PLUS (yang belum dikurangkan) sekarang berjumlah RM 600 juta adalah lebih rendah dari belanja yang ditanggung kerajaan sebanyak RM 800 juta setiap tahun bagi membayar pampasan.

iii.    Jika kerajaan menyelenggara PLUS tanggungan kewangan masih rendah tetapi baiknya dan kesan terus kepada rakyat dapat menjimatkan RM 2 billion tol yang kini terpaksa dibayar.


2.  Janji imbuhan khas RM 500 seorang setiap bulan kepada guru-guru.

a.  Kos :

i.        Anggaran jumlah keseluruhan guru dan pegawai pendidikan adalah 520,00 orang.

ii.      Kos setiap tahun adalah RM 3.2 billion.

b.  Bagaimana menampung:

i.        Hentikan ketirisan RM 28 billion setahun dan gunakan sebahagian daripada subsidi gas kepada koprat berjumlah RM 19 billion yang telah diselamatkan, sudah lebih dari cukup bagi membayar imbuhan guru setiap tahun.


3. Janji memulangkan konsesi air kepada rakyat.

a. Kos :

i.        Sudahpun dilaksanakan dengan jayanya di Selangor.

ii.      Skim berjaya menampung belanja RM 12 juta setiap bulan disalur terus kepada rakyat dalam bentuk air percuma.

b. Bagaimana menampung:

i.        Ambil contoh pengurusan air oleh kerajaan Selangor.

ii.      Skim dapat menampung RM 12 juta sebulan atau RM 144 juta setahun bagi pembiayaan air percuma kepada rakyat.


4.  Janji melupuskan Felda Plantation dan menawarkan tempat rancangan tanah kepada        
     generasi kedua dan ketiga Felda.

a. Kos :

        I.            Mengagihkan tanah-tanah yang diurus oleh Felda Plantation sekarang kepada mereka.

      II.            Menggunakan aset bukan tanah Felda Plantation untuk menampung kos penyelenggaran dan pengurusan peserta disamping bakinya digunakan untuk pembangunan rancangan tanah.

b.  Bagaimana menampung.

i.        Reformasi pengendalian dan pengurusan tanah-tanah rancangan supaya lebih mesra peneroka tanpa membebankan Felda.

ii.      Mencairkan aset bukan tanah Felda Plantation dan menyusun semula semua aktiviti perniagaan Felda.


U B A H  S E K A R A N G  -  S E L A M A T K A N  M A L A Y S I A

Kertas kerja ini dibentang pada Taklimat Isu Semasa Dewan Muslimat PAS Bagan Serai, Perak pada 5 Mei 2012 - Sabtu jam 10.00 pagi.


Read More......

Negara Berkebajikan


TAWARAN PAS  -  NEGARA BERKEBAJIKAN


Maksud Negara Berkebajikan.


Negara berkebajikan tawaran PAS ialah sebuah kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip-prinsip adil dan ihsan (al-‘Adl wal Ihsan) di dalam seluruh sistem pemerintahan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (Istibaq al-Khayrat) dan saling bekerjasama (at-Ta’awun) ke arah kejayaan (al-Falah) pemerintahan dan rakyat di dunia dan di akhirat.


Asas Negara Berkebajikan.


Menurut al-Quran kebajikan diterjemahkan daripada perkataan al-bir dan al-khair. Oleh itu perbincangan “Negara Berkebajikan” adalah bertolak daripada surah al-Baqarah : ayat 177 yang menerangkan konsep kebajikan menurut perspektif Islam;


Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (orang-orang yang demikian sifatnya) mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.


Ayat ini menunjukkan bahawa kebajikan menurut Islam membawa maksud yang sangat luas. Ianya merangkumi peranan manusia dalam aspek kebajikan ruhhiyah dan jasad terhadap individu dan masyarakat. Ianya juga menuntut pelaksanaan kebajikan terhadap seluruh ajaran Islam yang meliputi pembinaan peribadi insan hingga ke pembinaan negara.


Objektif Negara Berkebajikan.


Menyempurnakan tanggungjawab “ubudiyyah” lillah. Firman Allah SWT dalam surah az-Zariyat : ayat 56;

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Menegakkan keadilan. FirmanNya dalam surah an-Nisa’ : ayat 58;
  
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Menyebar luaskan kebajikan kepada seluruh rakyat. FirmanNya dalam surah an-Nahl ; ayat 90;

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.


 Ciri-ciri Negara Berkebajikan.


1.      Iman (beriman kepada Allah, hari akhirat, para malaikat dan para nabi). Iman juga menjadi asas dan syarat kepada amal kebajikan. Kebajikan tanpa iman akan  terdedah kepada perbuatan menipu dan tidak berakhlak serta melakukan kezaliman, menyeleweng dan menyalah gunakan kuasa dan sebagainya.  Amalan tanpa iman tidak ada ruh perhitungan dosa dan pahala.

2.      Amal soleh dalam hubungan dengan Allah seperti menunaikan solat, memberi zakat dan sebagainya. Amal soleh sesama manusia seperti memberi nafkah kepada keluarga, membantu mereka yang memerlukan seperti orang-orang miskin, anak-anak yatim dan sebagainya.

3.      Berakhlak mulia seperti menunaikan janji kepada sesiapa saja samada sesama Islam atau bukan Islam. Bersabar menghadapi kesusahan diri sendiri seperti ditimpa sakit, bencana alam serta sabar dalam mengharungi perjuangan.


Pelaksanaan Negara Berkebajikan


Bagi melaksanakan Negara Berkebajikan setiap orang mestilah melakukannya mengikut tempat dan kedudukannya. Sekiranya dia pemimpin negara maka menjadi wajib secara peribadi dalam perkara ibadat dan hubungan dengan masyarakat, sehingga Islam menjadi ciri bagi sesebuah kerajaan dan negara. Firman Allah dalam surah al-Hajj : ayat 41;

 Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Pengertian ayat tersebut menyatakan sifat-sifat pemimpin negara atau sesiapa saja yang melaksanakan Negara Berkebajikan.


1.  Mendirikan Solat.


Pemimpin atau orang-orang yang benar-benar mendirikan solat akan mempunyai hubungan yang baik secara berterusan dengan Allah. Lalu Allah akan menjadi penolong dan memberikan petunjuk kepadanya dalam urusan pengendalian yang diamanahkan kepadanya. Firman Allah dalam surah al-Anfal : ayat 40;

Dan jika mereka berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti daripada menceroboh) maka ketahuilah bahawasanya Allah Pelindung kamu; Dia-lah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong (yang menyelamatkan dan menjayakan kamu).

Kebajikannya tidak sempurna jika pemimpin atau seseorang itu tidak solat walaupun banyak membantu rakyat. Sumbangan atau jasanya menjadi urusan dunia saja, tidak bersifat ikhlas, lebih bersifat rasuah dan menipu untuk menggoda atau memancing sokongan dan sanjungan.


2.  Menunaikan zakat.


Zakat merupakan sumber kewangan pertama di zaman awal Islam. Ianya adalah harta yang diambil dari penganut Islam yang berada secara wajib bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan. Setelah Negara Islam berkembang dan wujudnya masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama maka sumber kewangan negara ditambah dengan penglibatan yang lebih besar dengan pembahagian yang lebih luas. Iaitu ditambah dengan sistem percukaian yang bersifat kebajikan dengan pungutan yang tidak zalim terhadap mereka yang berada untuk masyarakat dan negara.


Hal ini menjadikan kerajaan tidak perlu bimbang dalam Negara Berkebajikan yang diamalkan oleh Islam. Firman Allah dalam surah al-Hasyr : ayat 7;

Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

FirmanNya lagi pada surah al-‘Araf : ayat 96;

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.


3.  Amar makruf.


Islam mewajibkan perkara-perkara yang baik bahkan diperintah melaksanakannya secara wajib dalam perkara-perkara yang menjadi rukun hidup mengikut maqasid syariat (tujuan dan hikmah)

Amar makruf mewajibkan kerajaan bersikap adil dan beramanah kepada semua golongan masyarakatnya. Islam meluaskan perkara makruf bukan saja yang dinaskan, tetapi juga perkara baik yang tiada nas walaupun lahir sejak zaman jahiliyah Arab.

Maka Islam mengekalkan amalan yang bersifat positif bagi melaksanakan konsep adil dalam Pemerintahan Rom, Parsi, Mesir, China dan India setelah berlakunya percampuran hubungan antarabangsa.

Kemunculan tamadun Islam adalah hasil dari semua bangsa dalam masyarakat majmuk yang wujud di zaman keemasan Islam. Samada melalui penganut Islam sendiri atau pandangan bukan Islam juga samada ia warga negara atau warga asing.


4.  Nahi Mungkar.


Mencegah kemungkaran mengandungi konsep umum bukan saja perkara buruk pada zahirnya termasuk juga yang tersirat dalam hati dan amalan buruk yang bersifat spiritual. Dalam Islam ia dinamakan maksiat dan haram, termasuk meninggalkan yang wajib.

Bagi penganut bukan Islam mereka tidak boleh dihalang dalam perkara yang diharuskan agama mereka walaupun diharamkan oleh Islam malah termasuk dalam perkara hak menganut agama.


Negara Berkebajikan dalam al-Quran.


1.  Kisah Nabi Yusuf a.s dalam surah Yusuf : ayat 54-57;

Dan pada masa itu sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah ia rela menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya); dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu; dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu.

Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Dia-lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.


2.  Kisah Nabi Daud a.s dalam surah Sad : ayat 24-26;

Nabi Daud berkata: " Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan Sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!" dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).

Maka Kami ampunkan kesalahannya itu; dan Sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).

Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (Hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.


3.  Kisah Raja Zulqarnain dalam surah al-Kahfi : ayat 93-98;

Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisiNya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.

Mereka berkata: "Wahai Zulqarnain, Sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"

Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya".

Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

(Setelah itu) berkatalah Zulqarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar".


Pengajaran.


1. Kepimpinan yang beriman, bertaqwa, berilmu dan budiman. Jawatan dan kedudukan dijadikan peluang beramal soleh dengan ikhlas kerana Allah. Maka bersikap terbuka kepada teguran dan nasihat kerana mencari jalan benar dan adil, sehingga rasa takut dan malu berlaku zalim dan menyeleweng.

2.  Kuasa pemerintahan adalah amanah mengerjakan amal yang soleh bersifat kebajikan yang berwawasan sehingga hari akhirat. Menegaskan bahawa mereka hanyalah pemegang amanah bukannya berkuasa mutlak seperti Tuhan.

3.  Harta dan rakyat adalah amanah yang wajib ditunaikan dengan ikhlas lalu tidak bermegah dengan kejayaan yang dicapai dan dijadikan amal kebajikan yang diserahkan kepada Allah dengan sifat bertaqwa. Maka mereka tidak menjadikan rakyat dan sumber negara peluang untuk kekayaan, maka pemerintahan maju dan kaya dengan berkat keadilan.

4.  Tidak memaksa rakyat dengan cukai, rasuah dan kerja bagi mengumpul kekayaan untuk pemimpin dan mereka yang berada disekelilingnya. Apabila sumber negara sudah mencukupi maka sebahagian cukai dihapuskan atau diturunkan.


Kerajaan yang zalim dalam al-Quran.


1. Kisah pada surah al-Fajar : ayat 6-14;

(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu Wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, Bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka)

Iaitu penduduk "Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya)

Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?

Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura Iaitu tempat tinggalnya)?

Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh?

(Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing).

Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.

Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;

Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat)



2.  Kisah Raja Firaun pada surah az-Zukhruf : ayat 51-54;

Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - Akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? tidakkah kamu melihatnya?

"Bahkan bukankah Aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?

"(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?"

(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka.


Pengajaran.


Kesemua kerajaan-kerajaan tersebut memerintah secara diktator.

1.  Kekuasaan menjadi milik dan kemahuan, bukannya amanah. Mempunyai kuasa mutlak mengadakan undang-undang, peraturan-peraturan dan pelaksanaannya dengan zalim dan angkuh.

2.  Rakyat dipaksa bagi membina istana, bangunan kemegahan dan kota mempertahankan kuasanya, dengan projek mega menjadi mercu tanda kemewahan yang masih ada kesan sejarahnya walaupun telah dibinasakan oleh Allah sejak ribuan tahun.

3.  Menjadikan harta negara sedikit sahaja untuk rakyat jelata, dengan menganggap merekalah pemiliknya, bukan pemegang amanah, bahkan rakyat dipaksa mencari harta.

4.  Rakyat diperbodohkan dengan kemewahan dan undang-undang yang menakutkan.

5.  Tidak beriman kepada adanya hari akhirat, maka tidak ada wawasan untuk menjadikan kuasa pemerintahan sebagai jambatan selamat di hari akhirat. Mempertahankan kuasa selama-lamanya seolah-olah dunia tidak akan kiamat.

Allah mengutuskan para Rasul menentang kerjaan-kerajaan tersebut. Mereka melawan para Rasul walaupun mereka mengenali Rasul itu dan mengetahuinya adalah orang-orang yang baik, bijak dan berakhlak mulia dikalangan mereka. Para Rasul dan pengikutnya diperbodohkan dan dituduh sesat, perosak dan pemecah belah masyarakat. Dalam masa yang sama pemimpin negara itu angkuh dengan kuasa dan kekayaan harta mereka.


Tawaran PAS - Agenda Permulaan.


1. Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih.

2. Masyarakat Penyayang, Aman dan Bersepadu.

3. Ekonomi Mapan, Seimbang dan Saksama.

4.  Pendidikan Berkualiti, Berdaya Saing dan Boleh-capai.

5. Perkhidmatan Kesihatan Cekap, Berkualiti dan Boleh-capai.

6.  Kebajikan Langsung, Menyeluruh dan Mesra Rakyat.

7.  Keluarga Harmoni, Bahagia dan Bermoral.

8.  Pekerja Produktif, Berdaya Saing dan Terbela.  

9.. Kemudahan Prasarana Berkualiti, Cekap dan Bertaraf Dunia.

10.  Alam Sekitar Segar, Terpelihara dan Lestari.


Negara Berkebajikan PAS berbeza dengan Negara Kebajikan UMNO

Masih ramai yang keliru sehingga tidak memahami perbezaan di antara konsep “Negara Berkebajikan” dan “Negara Kebajikan”. Konsep Negara Berkebajikan dalam Islam mempunyai wawasan yang jauh hingga ke akhirat – mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat. Manakala konsep Negara Kebajikan seperti yang diamalkan di Negara-Negara Barat terutamanya di Scandinavia iaitu “welfare state” hanya bermatlamatkan dunia di atas asas sekularisme iaitu pemisahan antara dunia dan akhirat. Misalnya konsep Negara Kebajikan UMNO berwawasan 2020 saja.


Contoh terkini pelaksanaan Negara Kebajikan UMNO ialah kebajikan rakyat hanya untuk mereka yang menyokong UMNO saja seperti dalam pembahagian royalti minyak yang dirampas apabila Trengganu di perintah oleh PAS. Juga penafian hak royalti kepada Kelantan yang di bawah pemerintahan PAS selama lebih 20 tahun. Seolah-olah rakyat yang menyokong PAS di kedua buah negeri ini tidak berhak di atas royalti minyak tersebut. Sebaliknya UMNO sanggup tanpa rasa segan silu menyalurkannya dalam bentuk “wang ehsan” yang disalurkan melalui jabatan yang diwujudkan bagi pihak kerajaan persekutuan yang didominasi oleh UMNO.

Banyak lagi pelaksanaan “kebajikan” UMNO yang sangat aneh seperti melambat-lambatkan pembayaran peruntukan per kapita bagi kemudahan awam di negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kebajikan yang dilaksanakan oleh PAS menyeluruh kepada semua rakyat termasuk kepada kaum-kaum minoriti etnik Tionghua, India, Siam, Orang Asal dan termasuk juga penyokong-penyokong UMNO sendiri.

UMNO menganut konsep ekonomi "Kroni Kapitalisme" berusaha mewujudkan beberapa peniaga-peniaga gergasi konglomerat "giant corporations" yang diharap memayungi peniaga-peniaga kecil dan sederhana Bumiputera. Tetapi realitinya gergasi-gergasi ini memonopoli dan menekan para peniaga kecil dan sederhana yang malang ini. Jelas tindakan ini sangat bertepatan dengan amaran Allah SWT di dalam al-Quran pada surah al-Hasyr : ayat 7 ;


"....(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu........"


Realitinya segala kekayaan negara 90% dimiliki oleh tidak sampai 10% golongan koperat ini manakala 90% rakyat jelata hanya memiliki 10% dari kekayaan negara. Malah UMNO melihat bahawa segala perkhidmatan asasi rakyat seperti, air bersih, kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam dan lain-lain sebagai peluang-peluang perniagaan untuk mengaut untung. Sehingga UMNO menubuhkan syarikat-syarikat perniagaan milik penuh kerajaan "government link companies - GLC" untuk bersaing dengan pihak swasta bagi terlibat dengan kegiatan perniagaan dan monopoli.


Bagi PAS dan Pakatan Rakyat semua perkhidmatan asasi ini adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah dan kebajikan kepada rakyat jelata.


P A S  U N T U K  S E M U A   -   P A S  F O R  A L L.


Kertas kerja ini dibentang pada Taklimat Isu Semasa Dewan Muslimat PAS Bagan Serai, Perak pada 5 Mei 2012 - Sabtu, 10.00 pagi.

 

Read More......