Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, December 5, 2008

Mengisi Kemenangan Melestari Kebajikan

Fiman Allah s.w.t:

"Dan mereka yang diberikan kekuasaan memerintah di atas muka bumi, mereka mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat, dan menyuruh kepada maaruf serta mencegah kemungkaran, dan kepada Allah dikembalikan segala urusan”
(al-Haj : ayat 41)

Menyedari PAS sebagai sebuah jamaah Islam yang mewarisi perjuangan baginda Rasulullah s.a.w., kita harus mengisi kemenangan dengan memastikan wujudnya nilai-nilai Islam yang universal di dalam masyarakat. Ia adalah nilai-nilai yang berteraskan pengabdian yang mutlak terhadap Allah s.w.t.


Sesungguhnya dalam kegembiraan mendapat sokongan rakyat, PAS janganlah terlupa menguatkan iltizam dan membina kekuatan daya intelek atau ”intelectual prowness” sama ada di kalangan ulama mahu pun profesional.

Adunan benteng aqidah yang kukuh yang bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t dan kekuatan daya intelek ini akan dapat menjamin semua peringkat kepimpinan PAS merealisasikan kehendak dan mandat rakyat serta mengurus perubahan dengan bijaksana.

Pada akhirnya, penghayatan inilah penentu dalam mengukur kewibawaan dan daya saing jamaah dan pencapaian yang cemerlang yang bercirikan ruh Islamiyah.


Teras utama kepada penghayatan Islam.

Penghayatan Islam yang syumul adalah melalui kesepaduan Islam-Iman-Ihsan yang telah diajarkan oleh Allah s.w.t kepada baginda Rasulullah s.a.w.

Kesepaduan prinsip Islam-Iman-Ihsan meletakkan keredhaan Allah s.w.t sebagai puncak utama kehidupan. Enam rukun sebagai prinsip hidup yang berteraskan kepada prinsip ketuhanan melalui rukun iman:

Prinsip tauhid beriman kepada Allah Yang Maha Esa akan melahirkan manusia yang melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah s.w.t ;

Prinsip keikhlasan melalui rukun iman kedua iaitu beriman kepada malaikat yang mana kita yakin segala perbuatan kita akan dicatat oleh malaikat. Keyakinan ini akan melahirkan manusia yang tidak mengutamakan ganjaran dunia tetapi melakukan kerja sebaik dan seikhlas mungkin kerana semuanya telah dicatat oleh malaikat untuk diberi ganjaran syurga oleh Allah s.w.t ;

Prinsip kepimpinan melalui rukun iman ketiga iaitu beriman kepada rasul. Rasulullah s.a.w menjadi idola – contoh teladan seorang pejuang yang mempunyai tanggungjawab perjuangan dan pengorbanan yang tinggi ;

Prinsip pembelajaran melalui rukun iman keempat iaitu beriman kepada Kitab-kitab. Al-Quran sebagai petunjuk dalam segenap ruang kehidupan yang seterusnya melahirkan manusia seimbang yang mendapat didikan terus daripada yang Allah s.w.t ;

Prinsip wawasan melalui rukun iman kelima iaitu beriman kepada hari akhirat. Wawasan yang akan melahirkan manusia yang sentiasa menghitung setiap perbuatan bagi memastikan ianya mendapat ganjaran yang kekal abadi ;

Dan terakhir prinsip hamba yang telah ditentukan qada’ dan qadarnya oleh tuannya melalui rukun iman keenam. Ketentuan yang akan melahirkan manusia yang mengenal diri sendiri, rendah diri sesama manusia apatah lagi sesama ahli jamaah dan hanya taat dan takut kepada yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa.


Jalan menuju ketaqwaan.

Setelah diterapkan enam prinsip kehidupan manusia berteraskan rukun iman, Allah s.w.t juga melengkapi kehidupan manusia dengan mekanisma kehidupan berteraskan kepada lima rukun Islam.

Mekanisma pertama adalah pembentukan matlamat melalui penghayatan kalimah syahadah yang akan melahirkan manusia yang mempunyai matlamat yang jelas iaitu berpusatkan kepada pengabdian terhadap Allah s.w.t dan menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh teladan dalam kehidupan ;

Mekanisma kedua adalah pembentukan peribadi melalui rukun islam kedua iaitu solat yang akan melahirkan manusia berdisiplin, taat, bertanggungjawab, jujur dan ikhlas dalam setiap tindakan ;

Mekanisma ketiga adalah pembentukan benteng diri melalui rukun Islam ketiga iaitu puasa yang akan melahirkan manusia yang kuat yang mampu bertahan dengan segala cabaran dan dugaan hidup ;

Mekanisma keempat adalah pembentukan kesatuan melalui nilai zakat yang akan melahirkan manusia yang bersatu dan tolong menolong antara satu sama lain demi kebenaran dan keadilan ;

Dan mekanisma kelima iaitu pembentukan tindakan melalui nilai rukun haji yang akan melahirkan manusia progresif, inovatif dan mempunyai daya saing dan daya juang yang tinggi.

Sesungguhnya Islam sebagai ad-Din, iaitu satu sistem hidup yang lengkap dan universal amat sesuai untuk semua kaum pada sepanjang zaman.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

"Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu."
( al-Maidah : ayat 3)

Justeru itu, PAS sebagai wadah gerakan dakwah dan siasah perlu berperanan memimpin dan membimbing masyarakat ke jalan kebenaran yang diredhai Allah s.w.t

No comments: