Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, March 6, 2009

HIMPUNAN 100,000 RAKYAT




JANGAN LUPA SEMUA PENCINTA ILMU DAN PENCINTA BAHASA, HADIR BERAMAI-RAMAI DI ISTANA NEGARA. Rakyat dari setiap negeri perlu turun bagi menyatakan sokongan terhadap perhimpunan aman 100,00 rakyat bantah PPSMI, 7 Mac ini. Bagi muslimin dan muslimat yang mahu melihat masa depan anak-anak kita terjamin dalam pelajaran dan jatidiri sebagai anak bangsa, marilah turun pada hari perhimpunan tersebut.
Perhimpunan ini turut akan disertai oleh wanita dari Pakatan Rakyat. Saya berharap perhimpunan ini tidak diganggu gugat oleh polis.
Biarkanlah kami sebagai rakyat untuk menyatakan bantahan kerana sudah enam tahun isu PPSMI diperlakukan Umno dan BN. Hakikatnya rakyat boleh nampak sejauh mana keberkesanan PPSMI dan yang menerima risikonya adalah anak-anak kita.
Penghapusan PPSMI tanggungjawab semua pihak, jadi usah gentar mempertahankan hak demi kepentingan generasi akan datang. Takbir !


Read More......

Monday, February 23, 2009

Tawan Perhatian ALLAH kepada kita

Kita perlu mempunyai jentera / tentera / petugas yang berkeupayaan (yang kuat). Bagaimana caranya untuk kita menjadi kuat? Apa kayu ukur yang mengatakan kita kuat? Penilaian keupayaan yang saya maksudkan melihat kepada sejauh mana kita ikut nilai Islam iaitu MARDHATILLAH (keredhaan ALLAH). Biarlah ia sejajar dengan keredhaan Allah.


“Laahawlawala Quwwata illa billah..” Tiada daya kekuatan kecuali dengan ALLAH yang Maha Tinggi dan Agung. Perlu kita menginsafi bahawa kekuatan dan keupayaan yang perlu kita bina adalah berdasarkan keizinan dan kehendak ALLAH. So, bagaimana kebergantungan kita kepada ALLAH dalam melaksanakan tugas-tugas seharian apatah lagi dalam gerakerja pilihanraya dan dakwah.


Apa yang saya sarankan ? Saya mohon..apabila kita menghayati wirid Lahawla Wala Quwata illa Billah, kita mengakui bahawa segala daya kekuatan adalah dari ALLAH. Maka, hubungan kita dengan ALLAH perlu kita perbaiki dari sehari ke sehari.


Saya melihat contoh bagaimana Sallehuddin Al Ayubi memimpin para pejuang dalam peperangan. Standart tenteranya adalah barisan yang melazimi dan merasai kelazatan halawatul iman dengan Qiamullail. Beliau tidak suka tenteranya tidak solat tajhajjud..itu lah kekuatan ‘taalluq billah’-kebergantungan kepada ALLAH yang akan menjana kekuatan spiritual setiap individu seterusnya mengaktifkan secara menyeluruh kekuatan jentera. MasyaALLAH !


Jagalah akhlak dan peliharalah hati kita supaya sentiasa ikhlas dalam setiap perkara. Keintiman kita kepada Allah ini adalah sunnah perjuangan. ALLAH maha Adil, penilaian Allah terletak kepada sanubari kita. Kita melaksanakan tanggungjawab ini bukan untuk survival mempertahankan negeri-negeri Pakatan Rakyat, tetapi survival yang lebih utama adalah mempertahankan survival kita di akhirat..Membujur lalu, melintang patah..kita berkeyaqinan atas dasar aqidah yang mantap bukan lah kerja kita secara bermusim.


Doa adalah senjata orang mukmin. Kita ada ALLAH Ya Rahman Ya Rahim, mudah-mudahan Allah campakkan dalam hati kita rasa kasih padaNYA melebihi segala-galanya.

Selain dari jentera yang berkeupayaan, jentera yang ada perlulah berada dalam satu saff yang tersusun. “mereka merancang dan ALLAH juga merancang, dan ALLAH lah sebaik-baik perancang.”

Kita perlu bermuhasabah terutama peringkat kepimpinan, Adakah perancangan kita selari sepertimana yang ALLAH kehendaki?

ALLAH menyebut dalam surah AL Baqarah 249 : “." Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."

Dalam surah as Saff ayat 4 Allah menyatakan bahawa “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” Biarlah kita sentiasa menyantuni akhlak di kala menang dan kalah, bekerja bersunggu-sungguh di setiap peringkat. Jadilah ‘abid di malam hari dan berjuang habis-habisan di siang hari.

Wallahu’alam. 


Read More......

Betapa hebat perancangan ALLAH

Baru- baru ini saya ke Bukit Selambau , bertemu muslimat di sana, rata-rata sudah mula menggerakkan jentera untuk pilihanraya kecil..Saya mengingatkan betapa isu di Perak, sering memeranjatkan kita..masa menang kita terperanjat, masa berlaku rampasan kuasa di perak kita pun terperanjat..semasa Arwah YB Roslan di Bukit Gantang kembali ke Rahmatullah kita turut terperanjat..

Di Selangor, selepas kes di Perak..Terdengar suara-suara meminta Selangor berjaga-jaga, kemudian tanpa disangka-sangka Bukit Lanjan pula menjadi sasaran. Seterusnya di Kedah, Bukit Selambau pula..Situasi yang berbeza di Perak dan 3 bukit ini memberi gambaran awal cabaran yang bakal dihadapi. Belum pun sampai setahun pada negeri –negeri diperintah Pakatan Rakyat, pelbagai situasi dan keadaan yang berlaku amat merisaukan.

Betapa hebat perancangan Allah..Apa –apa yang berlaku sekarang, perlu kita hayati firman Allah dalam surah al Mulk, mafhumNya. “Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (al Mulk ayat1-2)

Sebagai orang Islam, kita perlu kembali..setiap perkara ada kebaikan kepada kita. Kita perlu ambil apa yang ada, ambil dengan dada yang lapang, redha menghadapi apa yang diatur oleh Allah S.W.T..Supaya ianya membuahkan keberkatan. Kerana tiada gunanya sekiranya nilaian hebat itu hanya pada pandangan manusia. Kita perlu ingat bahawa soal pemerintahan yang dibawa oleh PAS, mempunyai asas yang kuat. Rasulullah dan para sahabat memegang tampuk pemerintahan malah berjihad untuk menegakkan daulah islamiyyah. Apabila sudah ada tampuk pemerintahan Islam, barulah apa yang ALLAH kehendaki dapat kita laksanakan secara kolektif.

Tujuan mewujudkan masyarakat yang mempunyai nilai-nilai Islam dalam rangka mendapat keredhaan ALLAH. Semata-mata hendak memastikan perintah ALLAH dapat dilaksanakan.
Sudah 50 tahun apa yang dilakukan oleh Umno Barisan Nasional ? Orang Melayu sudah terpencil dari persada yang sepatutnya..kini menjadi juara hisap dadah, juara rempit, dan pelbagai lagi juara-juara negatif. Perangkaan anak luar nikah meningkat dengan mendadak. Daripada 70 ribu setahun telah meningkat sehingga 270 ribu anak luar nikah yang didaftarkan.

Jadi, apa yang saya ingin tekankan kita mesti bersungguh-sungguh bukan sekadar memenangkan negeri dalam PRK, tetapi yang paling utama, pertahankan bumi untuk mencapai sistem khilafah Islam. Kita perlu sedar bahawa perjuangan yang dalam ruang lingkup yang ditetapkan ALLAH terletak dalam kategori jihad. Dalam hal ini, kita ingin mengambil kekuasaan (dalam konteks kuasa pemerintahan) untuk melaksanakan titah perintah ALLAH. Proses melonjakkan matlamat ini perlu dihayati bersama iaitu matlamat pemerintahan itu perlu diperolehi untuk laksana perintah ALLAH.

Wallahu'alam.

Read More......

Wednesday, February 18, 2009

Majlis Hi Tea Dewan Muslimat PAS Pusat






Pada 14 Februari 2009 bersamaan 18 safar 1430 H, Dewan Muslimat PAS alhamdulillah telah melaksanakan Hi Tea Wanita. Saya lampirkan sedikit ucapan sebagai ingatan bersama. :)


Penubuhan Dewan Muslimat PAS dicadangkan oleh sdr. Ustaz Haji Zabidi ‘Ali, seorang ahli Jawatankuasa Agung PAS dari Seberang Prai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS dan dipersetujui pada 3hb. April, 1952 kira-kira 57 tahun dahulu. Penubuhannya dibuat pada 3hb. Januari, 1953 serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan PAS kali pertama bertempat di Kepala Batas Seberang Prai, maka terbentuklah Jawatankuasa seramai 7 orang yang diketuai Puan Sharifah Rahmah.

Tujuan Penubuhan Dewan Muslimat PAS menurut nas cadangan awal adalah : “Mengelola dan memimpin ahli wanita supaya dapat mengambil bahagian yang tertentu bersama-sama ahli PAS lelaki bagi mencapai tujuan PAS dalam meninggikan taraf kehormatan serta memelihara maruah kaum wanita. Juga berikhtiar menjayakan rancangan-rancangan kebajikan, pendidikan dan pembelajaran, kebersihan dan ekonomi.”


Melihat kepada senario perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara maju, peranan wanita dalam membangunkan masyarakat amat penting. Sumbangan wanita tidak dapat dinafikan malah diakui penyumbang terbesar dalam pelbagai sektor khususnya dalam bidang akademik, pendidikan, ekonomi dan politik. Kita sebagai wanita sudah tentu mengimpikan Malaysia yang kita sayangi membangun secara kolektif dan bersepadu bukan sahaja dalam aspek duniawi malah ukhrawi. Kita inginkan Malaysia menjadi Negara maju yang mempunyai masyarakat bermoral, beretika, bertoleransi, mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang luhur. Maka, peringkat kepimpinan wanita sendiri perlu bersifat seimbang dan bersepadu. Di dalam kecemerlangan kerjaya, kepentingan rumahtangga dan pendidikan anak-anak serta keterlibatan wanita dalam kepimpinan mestilah dilaksanakan sebaik-baiknya.

Tanggungjawab sosial dalam memurnikan masyarakat seharusnya menjadi agenda bersama. Pengislahan masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai latar belakang bukanlah satu perkara yang mudah, tetapi memerlukan komitmen yang jitu melalui partisipasi semua pihak. Menjadi harapan saya agar dalam aspek- aspek pembangunan dan pemulihan masyarakat, kita dapat berganding bahu dan memimpin tangan bersatu dalam satu gerakan yang komprehensif. Saya yakin dan percaya walaupun kita mempunyai latar belakang politik dan lapangan yang berbeza, namun masih ada ruang yang cukup besar untuk kita mencari titik persamaan dalam merangka agenda ummah.

Agenda ummah atau agenda masyarakat ke arah melihat masyarakat yang lebih harmoni dari sudut pendidikan, kekeluargaan dan sosial telah menjadi keutamaan merentasi perbezaan politik, bangsa dan agama. Kita mahu sistem nilai dalam masyarakat yang telah korup dipulihkan dalam satu pelan tindakan strategik yang menyeluruh. Kita garap bersama dan kita laksana bersama.

Antara titik-titik persamaan yang ingin saya nukilkan pada hari ini adalah melalui nilai-nilai positif (6 K) iaitu Kebenaran, Keadilan, Kebebasan, Ketelusan, Kebajikan & Ketaqwaan.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al Maidah ayat ke-2 “ Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum karena mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”

Melihat kepada perkembangan politik semasa, saya mewakili Dewan Muslimat PAS ingin menyatakan kesediaan kita bersama-sama dalam menggembleng tenaga memberi informasi yang tepat kepada masyarakat. Masyarakat perlu diberikan maklumat yang adil dan telus melalui media massa supaya demokrasi sebenar dapat dilaksanakan. Apa yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional di Negeri Perak secara hakikatnya telah menafikan hak rakyat dalam menentukan kepimpinan negeri.

Hadirin-hadirat yang saya kasihi sekalian,

Hasil kajian yang dilakukan oleh Penganalis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah terhadap penduduk di negeri itu yang bermula di Pasir Salak sehingga ke Kuala Gula. 97 peratus rakyat Perak mahukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan iaitu sebagai cara terbaik mengatasi kemelut politik di negeri itu serta memberi peluang mereka 'meraikan' demokrasi. Abu Hassan menjelaskan, peratusan tersebut yang menunjukkan desakan rakyat Perak yang merupakan natijah gerakan massa rakyat yang merasa tertekan, penghidupan terganggu serta seluruh sistem ekonomi, politik dan sosial yang sudah punah.

Inilah bukti yang jelas menunjukkan bahawa demokrasi di Malaysia hakikatnya telah mati atau mungkin menjadi nyawa-nyawa ikan akibat penguasaan politik songsang dan rosak.

Dua pertiga pengundi Perak mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya tergempar diadakan di negeri itu ekoran krisis politik sejak penghujung bulan lalu. Kajian pendapat umum kendalian Merdeka Center, yang dikeluarkan pada 13 Februari 2009, menunjukkan hampir 74 peratus mahukan DUN dibubarkan manakala 76 peratus pengundi juga ingin melihat "pilihan raya menerusi rakyat" diadakan untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Justeru, wanita amat berperanan dalam mengatur aspek-aspek pengukuhan untuk mengimplemenkan visi dan misi kita sehingga ke peringkat grassroot atau akar umbi. Pelbagai pendekatan dan metodologi yang kontemporari harus direncana bersama agar impak positif dapat dilihat dalam negeri-negeri di Malaysia.

Kita juga menyedari cabaran semasa di Malaysia, pihak yang benar sentiasa yang akan diasak dari pelbagai sudut dan penjuru. Dalam hal ini , kita harus bersedia mempertingkatkan kualiti kepimpinan wanita dalam segenap aspek. Kita perlu meningkatkan peranan dan penglibatan dalam pelbagai sektor bagi membantu memantapkan pentadbiran negeri-negeri dan seterusnya membantu membangunkan masyarakat. Dengan adanya pelan yang komprehensif yang merangkumi dasar umum, objektif sehingga kepada pelan tindakan yang dapat diukur, setiap kerja dapat dilaksanakan dengan baik, dipantau dan dinilai pencapaiannya serta diperbaiki dari semasa ke semasa.

Akhir kata, saya berharap medan ini dapat menjadi satu permulaan jalinan ukhuwah dan kasih sayang antara kita seterusnya mampu menjana jalinan kerjasama yang lebih baik. InsyaALLAH.

"Resmi padi tunduk berisi,
Tumbuh melata si pokok tebu,
Ayuh Wanita Bersatu Hati,
Langkah diatur teguh bersatu..”

Semoga Wanita Satu Hati, tema pada majlis Hi- Tea ini dapat menjadi pencetus kepada pembinaan ‘Harapan Bersama atas Asas Kerjasama Merubah Bersama” Ke arah Malaysia yang lebih baik.

Sekian, Wabilahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera Kepada Semua.

Read More......

Tuesday, January 6, 2009

Kuala Terengganu dan Palestin Hari Ini


Pada hari ini 9 Muharam 1430 Hijriah , 6 Januari 2009..Proses penamaan calon bagi pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu menjadi perhatian rata-rata rakyat Malaysia. Penggerak dan para petugas parti dari komponen-komponen parti yang bertanding sudah berpencak di medan. Masing-masing menyusun strategi dan mengukuhkan jentera masing-masing agar agenda perjuangan dapat diteruskan.

Justeru, barisan saf muslimat turut membanjiri Kuala Terengganu untuk menyumbang bagi memastikan kemenangan berpihak pada PAS, InsyaALLAH. Kita berharap jentera dari pelbagai negeri dapat bersatu dalam melaksanakan tanggungjawab dengan seikhlas mungkin.


Sebagaimana Allah mengingatkan kita dalam Al Quran (al Taubah 9:71)


Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. ”


Hujah ini menunjukkan pada kita tentang keharusan penglibatan wanita (muslimat) dalam membangun masyarakat dan Negara. Wanita digalakkan terlibat dalam bidang agama, ekonomi malah politik. Kebanyakan ulama’ mentafsirkan perkataan awliya’ dengan makna tolong menolong dan bekerjasama di antara satu sama lain serta ikatan persaudaraan sesama Islam yang erat dan bersama-sama dalam saf perjuangan iaitu medan perang untuk berjihad. Ayuh jadikan medan pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu sebagai medan perang untuk kita berjihad. Takbir!


Dalam kita melalui proses penamaan calon pada hari ini, fikiran dan jiwa Islami kita tidak lupa pada nasib saudara-saudara kita di Palestin. Serangan Israel di Gaza telah pun masuk hari ke-10 sejak dilancarkan 27 Disember yang lalu.


  • Jumlah korban yang dilaporkan melebihi 524 orang termasuk 94 kanak-kanak sementara lebih 2,500 orang cedera.
  • Tentera Israel telah mengebung Gaza City dan membahagi dua Genting Gaza selepas kawal jalan raya utama.
  • Pertempuran sengit di Jabaliya dan Beit Lahiya.
  • Dua serangan tentera Zionis semalam meragut nyawa lima anak kecil
  • Serangan udara jet pejuang Israel mengenai 130 sasaran sejak malam semalam.
  • Sejak semalam 75 penduduk Palestin terbunuh
  • Hampir 1000 bedilan dilancarkan di Gaza
  • Bekalan air dan makanan semakin meruncing, bekalan elektrik terputus


Semoga semangat jihad sahabat-sahabat kita di Palestin diperteguhkan ALLAH SWT. Semangat jihad dan keberanian yang ada pada batang tubuh pemuda, muslimah dan kanak-kanak Palestin wajar dijadikan contoh/ suntikan semangat pada para penggerak parti PAS di setiap peringkat.


Selain itu saya turut kesal kerana bakal Presiden Amerika Syarika, Barrack Obama yang dijangka tidak akan mengubah dasar luar Negara itu terhadap Israel. Sudah tentu Barrack Obama sendiri tidak berani mengubah dasar tersebut kerana turut mengakui peranan dan sokongan Yahudi amat penting dalam menentukan kemenangan seseorang calon Presiden AS.


Ingatlah, firman ALLAH :

“ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah Itulah petunjuk (yang benar)". dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. ” (al Baqarah :120)


Sama-sama kita menunaikan solat hajat dan bermunajat semoga ALLAH membantu mujahidin Palestin serta memastikan kemenangan PAS di Kuala Terengganu. Salam JUANG ! Wasalam




Read More......

Thursday, December 25, 2008

Majlis Perasmian Perhimpunan Perwakilan Wanita JIM


Berkesempatan bertemu Norhayati (Sister In Islam) yang turut hadir dalam Majlis Perasmian tersebut.


Semasa jamuan ringan


Antara jemputan yang hadir

Majlis Perasmian

Alhamdulillah pada 21 November 2008 (Jumaat) bersamaan 23 Zulkaedah 1429H, saya diizinkan ALLAH memenuhi jemputan ke Perasmian Perhimpunan Perwakilan Wanita Nasional ke-15 bertempat di Kompleks Darul Puteri, Cheras, Kuala Lumpur.

Tema Perhimpunan tersebut adalah "Membangun Gagasan Wanita Pemangkin Perlaksanaan Syariah". Ribuan Terima kasih kepada Wanita JIM atas jemputan. Saya juga berkesempatan bertemu dengan Harlina Haliza Siraj, Ketua Wanita JIM 2007-2009. Walaupun seketika, semoga pertemuan ini dapat dijadikan medan pembinaan ukhuwah dalam gerakerja Islam. (maaf tidak dapat sertakan gambar bersama beliau)



Read More......

Sesi Perbincangan




Semasa sesi perbincangan dengan Datin Seri Wan Azizah Wan Ibrahim semasa beliau masih memegang jawatan sebagai YB Parlimen Permatang Pauh merangkap Ketua Pembangkang.






Read More......

Wednesday, December 17, 2008

Pertandingan Suburkan Amalan Demokrasi


Gambar : Perjumpaan SENADA 14 November 2008

Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada Dato' Seri Shahrizat Abd Jalil kerana keberanian mengumumkan keputusan untuk bertanding menentang Tan Sri Rafidah Aziz bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno sesi 2009 - 2011.

Keputusan Shahrizat tidak memeranjatkan saya. Ini kerana riak-riak untuk bertanding sudah boleh saya ramalkan berdasarkan beberapa senario yang dilaporkan oleh akhbar tempatan.

Sebagai contoh Dato' Kamaliah Ibrahim daripada awal lagi telah mengistiharkan akan bertanding menentang Shahrizat untuk jawatan Naib Ketua Pergerakan Wanita.

Manakala Shahrizat pula hanya berdiam diri dan tidak memberi sebarang komen terhadap Kamalia.

Beliau menyatakan agar pelan peralihan kuasa yang dikatakan Rafidah dapat dipercepatkan daripada Jun 2009 ke Mac tahun sama.

Keyakinan saya yang Shahrizat akan bertanding bertambah kuat apabila kunjungan saya bersama degelasi Dewan Muslimat PAS Pusat menemui beliau bagi mendengar taklimat tentang Sekretariat Pembelaan dan Pemerkasaan Wanita Islam (Senada) di pejabatnya, di Putrajaya.

Ketika saya dibawa masuk ke biliknya, kami bertanya khabar dalam banyak perkara terasuk soal keluarga. Manakal soal jawatan dalam parti masing-masing tidak terlepas menjadi perbualan kami.

Saya boleh katakan kunjungans aya bersama AJK tertinggi Dewan Muslimat PAS Pusat dan rombongan melunakkan lagi laluan Kak Izat untuk bertanding.

Kak Izat boleh tersenyum dengan kehadiran saya dan rombongan. Bagis aya adalah adil jika Rafidah mempercepatkan pelan peralihan jawatan pada Mac 2009.

Ini kerana andai kata pelan awal peralihan jawatan diterima oleh semua kepimpinan Wanita Umni termasuk Kamalia ia bermana Rafidah akan menjadi Ketua Pegerakan Wanita Umno hanya tiga bulan.

Manakala Shahrizat pula akan menyandang Pemangku Ketua Pergerakan itu selama lebih kurang tiga tahun.

Ini sesuatu yang tidak manis bagi Shahrizat atau pertubuhan wanita itu sendiri kerana Rafidah bukan meninggal dunia tetapi dirancang pelan peralihan begitu.

Lainlah kalau Rafidah memang sudah tahu akan meninggal dunia pada Jun 2009. Ada andaian yang dibuat kenapa Rafidah mahu pelan peralihan itu dilakukan pada Jun 2009.

Ada mengatakan Rafidah masih mengintai-intai jawatan menteri Kabinet yang akan disusun semula oleh BN setelah pemilihan AJK dalam Umno itu selesai, itu pun kalau BN memerintah Malaysia lagi.

Jika ketika penyusunan Kabinet tersebut Rafidah masih Ketua Pergerakan Wanita cerahlah hasratnya untuk menjadi menteri lagi. Itulah antara andaian yang dibuat dengan pelan peralihan kuasa Rafidah yang pelik itu.

Andai kata BN memerintah lagi sebenrnya sebagai wanita saya suka Rafidah dilantik bukan kerana kedudukannya sebagai Ketua Pergerakan Wanita tetapi sememangnya beliau layak untuk jawatan menteri Kabinet.

Justeru, saya sarankan Kak Rafidah beri saja laluan kepada Shahrizat atau ikut saja macam kami Muslimat PAs.

Pertandingan di peringat tertinggi telah beberapa sesi berlaku tetapi kami dengan izin Allah masih 'steady' lagi meneruskan agenda kami.

Ini kerana insya-ALLAH pertandigan itu menunjukkan kesuburan amalan demokrasi dalama Muslimat PAS





Read More......

Tuesday, December 16, 2008

Peranan Penting Muslimat dalam memperkasakan amal jariah

Firman Allah s.w.t ;

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebajikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Bijaksana"

( at – Taubah : ayat 7 1)

Kini PAS berjaya meraih kemenangan di beberapa negeri, atas dasar "tahaluf siasi" kerjasama politik. Maka tanggungjawab mengisi kemenangan ini sudah tentulah dipikul oleh semua. Di dalam konsep bantu-membantu dan sokong-menyokong, Muslimat PAS tidak terlepas dari melaksanakan tanggungjawab mengisi kemenangan ini, Insya-Allah.


Sebagai salah satu sayap kepada PAS, Muslimat PAS mesti dilihat melepasi kepungan pemencilan. Ia hendaklah dilihat sebagai tenaga penting dalam semua bidang kemasyarakatan khususnya dalam menaikkan martabat wanita, meletakkan hak-hak wanita kembali ke tempat asalnya serta membela masyarakat wanita yang ditindas.


Perjuangan suci kita amatlah jauh berbeza dengan perjuangan feminisme barat yang dilihat rencam bersaing hebat dengan kaum lelaki di segenap ruang kehidupan. Peranan Muslimat adalah sebagai pendokong dan pelengkap terhadap agenda besar ketamadunan ummah seperti yang ditunjukkan oleh para sahabiyah dan isteri-isteri baginda Rasulullah s.a.w.

Firman Allah s.w.t.
Maksudnya:

"Wanita itu mempunyai hak-hak, sama seperti juga mempunyai tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan baik, dan lelaki mempunyai kelebihan darjat di atas mereka. Dan sesunggunya Allah Maha Mulia lagi Bijaksana.”

( al-Baqarah : ayat 228)


Semestinya sifat-sifat terpuji yang telah dipamerkan oleh para isteri Rasulullah s.a.w menjadi ikutan setiap anggota Dewan Muslimat. Sebagai contoh ;

o Saidatina Khadijah terkenal dengan pengorbanannya yang tinggi kepada perjuangan Islam yang dipimpin oleh baginda Rasulullah s.a.w.

o Saidatina Aisyah terkenal dengan kepintarannya memahami agama yang disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w. serta menjadi pakar rujuk kepada para sahabat.

o Saidatina Zainab pula terkenal dengan sifat penyayang, pemurah dan budiman terutama kepada orang-orang miskin sehingga dia mendapat nama julukan "Ummul Masaakin" (ibu orang-orang miskin).

Malahan kesemua isteri-isteri Rasulullah s.a.w terkenal dengan sifat-sifat mulia, ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah s.wt dan Rasulullah s.a.w. Sifat-sifat mulia ini perlu menjadi contoh teladan kepada para muslimat untuk menyediakan diri sebagai muslimah contoh kepada masyarakat wanita khususnya di Malaysia.

Read More......

Friday, December 5, 2008

Mengisi Kemenangan Melestari Kebajikan

Fiman Allah s.w.t:

"Dan mereka yang diberikan kekuasaan memerintah di atas muka bumi, mereka mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat, dan menyuruh kepada maaruf serta mencegah kemungkaran, dan kepada Allah dikembalikan segala urusan”
(al-Haj : ayat 41)

Menyedari PAS sebagai sebuah jamaah Islam yang mewarisi perjuangan baginda Rasulullah s.a.w., kita harus mengisi kemenangan dengan memastikan wujudnya nilai-nilai Islam yang universal di dalam masyarakat. Ia adalah nilai-nilai yang berteraskan pengabdian yang mutlak terhadap Allah s.w.t.


Sesungguhnya dalam kegembiraan mendapat sokongan rakyat, PAS janganlah terlupa menguatkan iltizam dan membina kekuatan daya intelek atau ”intelectual prowness” sama ada di kalangan ulama mahu pun profesional.

Adunan benteng aqidah yang kukuh yang bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t dan kekuatan daya intelek ini akan dapat menjamin semua peringkat kepimpinan PAS merealisasikan kehendak dan mandat rakyat serta mengurus perubahan dengan bijaksana.

Pada akhirnya, penghayatan inilah penentu dalam mengukur kewibawaan dan daya saing jamaah dan pencapaian yang cemerlang yang bercirikan ruh Islamiyah.


Teras utama kepada penghayatan Islam.

Penghayatan Islam yang syumul adalah melalui kesepaduan Islam-Iman-Ihsan yang telah diajarkan oleh Allah s.w.t kepada baginda Rasulullah s.a.w.

Kesepaduan prinsip Islam-Iman-Ihsan meletakkan keredhaan Allah s.w.t sebagai puncak utama kehidupan. Enam rukun sebagai prinsip hidup yang berteraskan kepada prinsip ketuhanan melalui rukun iman:

Prinsip tauhid beriman kepada Allah Yang Maha Esa akan melahirkan manusia yang melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah s.w.t ;

Prinsip keikhlasan melalui rukun iman kedua iaitu beriman kepada malaikat yang mana kita yakin segala perbuatan kita akan dicatat oleh malaikat. Keyakinan ini akan melahirkan manusia yang tidak mengutamakan ganjaran dunia tetapi melakukan kerja sebaik dan seikhlas mungkin kerana semuanya telah dicatat oleh malaikat untuk diberi ganjaran syurga oleh Allah s.w.t ;

Prinsip kepimpinan melalui rukun iman ketiga iaitu beriman kepada rasul. Rasulullah s.a.w menjadi idola – contoh teladan seorang pejuang yang mempunyai tanggungjawab perjuangan dan pengorbanan yang tinggi ;

Prinsip pembelajaran melalui rukun iman keempat iaitu beriman kepada Kitab-kitab. Al-Quran sebagai petunjuk dalam segenap ruang kehidupan yang seterusnya melahirkan manusia seimbang yang mendapat didikan terus daripada yang Allah s.w.t ;

Prinsip wawasan melalui rukun iman kelima iaitu beriman kepada hari akhirat. Wawasan yang akan melahirkan manusia yang sentiasa menghitung setiap perbuatan bagi memastikan ianya mendapat ganjaran yang kekal abadi ;

Dan terakhir prinsip hamba yang telah ditentukan qada’ dan qadarnya oleh tuannya melalui rukun iman keenam. Ketentuan yang akan melahirkan manusia yang mengenal diri sendiri, rendah diri sesama manusia apatah lagi sesama ahli jamaah dan hanya taat dan takut kepada yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa.


Jalan menuju ketaqwaan.

Setelah diterapkan enam prinsip kehidupan manusia berteraskan rukun iman, Allah s.w.t juga melengkapi kehidupan manusia dengan mekanisma kehidupan berteraskan kepada lima rukun Islam.

Mekanisma pertama adalah pembentukan matlamat melalui penghayatan kalimah syahadah yang akan melahirkan manusia yang mempunyai matlamat yang jelas iaitu berpusatkan kepada pengabdian terhadap Allah s.w.t dan menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh teladan dalam kehidupan ;

Mekanisma kedua adalah pembentukan peribadi melalui rukun islam kedua iaitu solat yang akan melahirkan manusia berdisiplin, taat, bertanggungjawab, jujur dan ikhlas dalam setiap tindakan ;

Mekanisma ketiga adalah pembentukan benteng diri melalui rukun Islam ketiga iaitu puasa yang akan melahirkan manusia yang kuat yang mampu bertahan dengan segala cabaran dan dugaan hidup ;

Mekanisma keempat adalah pembentukan kesatuan melalui nilai zakat yang akan melahirkan manusia yang bersatu dan tolong menolong antara satu sama lain demi kebenaran dan keadilan ;

Dan mekanisma kelima iaitu pembentukan tindakan melalui nilai rukun haji yang akan melahirkan manusia progresif, inovatif dan mempunyai daya saing dan daya juang yang tinggi.

Sesungguhnya Islam sebagai ad-Din, iaitu satu sistem hidup yang lengkap dan universal amat sesuai untuk semua kaum pada sepanjang zaman.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

"Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu."
( al-Maidah : ayat 3)

Justeru itu, PAS sebagai wadah gerakan dakwah dan siasah perlu berperanan memimpin dan membimbing masyarakat ke jalan kebenaran yang diredhai Allah s.w.t

Read More......