Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, September 10, 2009

BERTANDANG KE LANG BUANA MENEMUI KARTIKA



Syukur ke hadrat Ilahi, setelah dua minggu meninggalkan tanah air saya dapat menyedut udara Malaysia sekali lagi apabila kapalterbang mendarat jam 1.05pm di KLIA. Saya terasa keletihan sedikit tetapi dapat merasakan bahawa bumi bertuah ini memang indah dan nyaman. Walaupun pernah mendengar sendiri beberapa sahabat dan tetamu luar negeri memuji keindahan tanah air kita, tetapi kali ini setelah banyak kali mengalaminya sendiri saya akur.

Alhamdulillah, sesungguhnya Allah s.w.t telah menganugerahkan kita dengan nikmat yang begitu besar yang kadangkala kita lupa. Sepatutnya kita banyak bersyukur di atas kurnia itu dan menjaga keharmonian tanah air kita ini untuk kepentingan dan kesejahteraan semua. Di bumi bertuah ini kita diamanahkan oleh Allah s.w.t untuk mengimarahkannya mengikut peraturannya dengan segala cabaran masyarakat majmuk, sistem pemerintahan dan pendidikan warisan penjajah British yang tebal prejudisnya terhadap Islam. Mampukah kita melaksanakannya tanpa mengikut panduan dan hidayah daripadaNYA?

Sebaik saja saya berada di tanah air, selang beberapa hari saya disambut dengan isu “Sebat” yang hebat diperkatakan di dada media cetak perdana. Pada 3 September, Khamis lalu, saya dan Dr. Najihatus Solehah mewakili DMPP ditemani oleh Puan Lity Atni, AJK DMP Wilayah Persekutuan, bersama-sama suami dan beberapa orang anak-anak kami telah dapat menziarahi wanita yang telah secara tiba-tiba terkenal di atas isu itu.

Wanita itu tidak lain tidak bukan ialah Kartika Sari Dewi Sukarno, 32 tahun. Bersama-sama kami juga telah sedia menanti rombongan Ketua DMPN Perak, Puan Bariah Alang Sapri bersama-sama AJKnya. Lebih kurang jam 11.30 pagi kami tiba di Resort Lang Buana, di pinggir sungai Perak, tempat kediaman Encik Sukarno ayah Kartika. Kami dipersilakan naik ke anjung rumahnya oleh adik perempuan Kartika yang sedang mendukung bayinya.

Kami diberitahu bahawa Kartika, ayah dan abangnya telah keluar sejak dari pagi lagi. Saya mengambil keputusan untuk menunggu mereka pulang kerana temu janji telahpun diatur terlebih dahulu. Sementara menunggu Kartika pulang, saya sempat bersama-sama DMPN Perak yang sedang mengadakan sidang media mengenai isu “Sebat” itu. Beberapa wakil media dan bloggers hadir. Apabila tiba sesi soaljawab mereka meminta saya bersama-sama menjawab soalan-soalan yang diutarakan oleh wartawan.

Alhamdulillah, selang beberapa jam kami menunggu penuh sabar, dengan kehendak dan perancangan Allah s.w.t. jua lebih kurang jam 1.30 tengah hari Kartika, bapa dan abangnya Encik Hatta telah tiba ke rumah itu. Seterusnya bapa Kartika mengalu-alukan kehadiran kami.

Kami terpaksa menunggu sekejap untuk Kartika keluar bertemu kami. Dia masuk terus ke rumahnya untuk menemui anak-anaknya, seorang lelaki berumur 7 tahun berkeadaan seorang anak istimewa dan seorang lagi anak perempuan berumur 5 tahun yang menghidapi penyakit jantung berlubang dan masalah paru-paru. Saya dapat melihat kesan jahitan pada dada anak kecil itu. Kami juga dapat memahami kebimbangan Kartika terhadap keadaan anak-anaknya.

Kartika nampak selesa menerima kedatangan kami. Setelah bertaaruf dan mengenalkan diri masing-masing kami terus mengadakan dialog dengan Kartika dan bapanya. Pelbagai soalan yang diajukan oleh rombongan kami kepada mereka berdua. Semua persoalan dijawab dengan penuh kesungguhan dan panjang lebar terutama oleh bapanya. Saya mendengar dengan penuh minat dan melihat Kartika sendiri begitu konfiden dan memang pandai menjawab. Kartika bagaikan seorang yang dapat menguasai bidang komunikasi dan begitu konsisten dengan pegangannya.

Semasa dialog itu berjalan lancar, seketika saya tersentak dengan kenyataannya yang agak memeranjatkan saya bila beliau memberitahu insiden dimana jika mereka yang ditangkap atas kesalahan meminum arak, termasuk Kartika, bersetuju membayar RM2,000.00 atas kesalahan tersebut dan tidak hadir perbicaraan walaupun berkali-kali dipanggil, kes-kes tersebut akan digugurkan. Tetapi jika mengaku bersalah serta enggan merayu atas hukuman tersebut akan dikenakan denda RM5,000.00 dengan 6 kali sebatan oleh Mahkamah.

Sesuatu yang pelik! Bagi mereka yang tidak memahami pelaksanaan undang-undang syariah dan halangan-halangan terhadap perjalanannya di Malaysia akan menjadi sungguh keliru. Memang pun ramai yang keliru termasuk Menteri-Menteri sendiri terutama bagi mereka yang melihatnya serta membandingkan dengan pelaksanaan undang-undang sivil. Setelah 52 tahun merdeka beginikah caranya komitmen UMNO untuk pelaksanaan undang-undang Islam?

Astaghfirullah! Alangkah ajaib dan takjubnya kepada apa yang berlaku terhadap pelaksanaan undang-undang syariah. Ya Allah, inikah yang sering berlaku dan menjadi perkara biasa di Mahkamah Syariah? Bagaimana pula sikap para hakim dan pengamal undang-undang syariah terhadap dilemma ini? Mengapa jadi begini? Ampuni kami Ya Allah, berikan kami hidayah dan kekuatan menghadapinya. Kasihanilah kami, Ya Allah. Bantulah kami dalam perjuangan menegakkan agamaMu. Jadikanlah kami sebenar-benar hambamu yang melaksanakan perintahMu. Ampunilah kami, Ya Allah, tunjukkanlah kami sebenar-benar jalan ke arah redhaMu.

Kita dapat melihat begitu gawat sekali pimpinan UMNO menghadapi dilemma ini. Buat julung-julung kalinya kita dapat saksikan bahawa Perdana Menteri, Datok Seri Najib mengucapkan kalimah “tarbiyyah”. Sebenarnya siapa pula yang hendak dan perlu ditarbiyyah? Banyak pihak pula yang mengutarakan pandangan, cadangan dan tuntutan yang tidak melihatnya dari sudut pandangan Islam. Ramai yang tidak yakin dengan keadilan undang-undang Islam sebenar tanpa merujuk kepada pendapat dan pandangan para ulama’ muktabar.

Bagi kami kesimpulan yang dapat diambil daripada pertemuan dengan Kartika adalah begitu jelas sekali.

Kami menghormati keikhlasan beliau untuk bertaubat dan kesal di atas kesalahan dan ketelanjurannya.

Kami menghormati sikapnya yang sanggup dan bersedia menjalani hukuman yang telah dijatuhkan. Kami bersama-samanya menuntut agar hukuman yang akan dilaksanakan mematuhi benar-benar syarat-syarat pelaksanaan undang-undang Islam yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Iaitu dapat dirumuskan bahawa kami menyokong tuntutannya untuk mendapatkan keadilan Islam tulen.


NURIDAH MOHD SALLEH

Ketua DMPP.

Read More......

Thursday, September 3, 2009

Kembara di Bumi Barakah Makkah al-Mukaramah

Alhamdulillah, suasana di Mekah khususnya masih panas dalam ingatan. Bayangan kaabah kadangkala bermain-main di mata, tersenyum sendiri, hati terasa sangat gembira dan bersyukur terhadap peluang dan kelapangan yang dianugerah oleh Allah s.w.t dalam semua sudut sehingga memungkinkan program ziarah DMPP ke 3 ini dapat saya ikuti.

Walaupun suhu di Mekah mencecah sehingga maksimum 55 C dan wabak H1N1 sedang menular di seluruh dunia, tetapi manusia muslim terus berbondong-bondong datang mengunjungi bumi barakah ini. Namun bila tiba di tanah air dan membaca sebuah akhbar tempatan, ia membicarakan hal keadaan hotel-hotel di kota Mekah mendakwa mengalami sedikit kemerosotan tempahan akibat kurangnya jamaah yang datang kali ini disebabkan penularan wabak H1N1 tersebut.

Jika difikirkan sepintas lalu, ianya anih sekali. Wallahu ‘alam, saya tidak pasti berapa peratus kekurangan kehadiran jamaah, tetapi apa yang dapat dilihat manusia muslim sentiasa penuh sesak di dalam Masjidil Haram dan melempah keluar di perkarangan masjid ketika waktu solat. Ia boleh dilihat juga menerusi gambar-gambar yang sempat saya rakam untuk kenang-kenangan.

Saya merasai bahawa bagi rakyat Malaysia yang menunaikan ibadah umrah dalam suhu yang kadang-kadang mencecah sehingga 55 C, sangatlah teruja serta merupakan satu ujian besar dari Allah s.w.t. Walaubagaimanapun ibadah ini menjelaskan kepada kita bahawa Islam adalah agama yang menjana kecergasan dan mementingkan kebersihan dan kesihatan.

Mana tidaknya, ia dibuktikan dengan rukun tawaf misalnya, memerlukan kita melakukan tawaf mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan. Jika seseorang itu dapat bertawaf dengan betul-betul menghampiri di tepi Kaabah serta Hijir Ismail, bermakna ia telah berjalan sejauh lebih kurang 400 meter bagi tujuh pusingan.

Namun disebabkan keadaan jamaah yang ramai, sentiasa mengelilingi Kaabah, memang sukar seseorang itu dapat bertawaf secara begitu, malah ia mungkin berada di tempat yang lebih jauh yang mengakibatkan ia berjalan lebih jauh juga serta memakan masa yang lebih panjang.

Rukun seterusnya, iaitu saie, menghendaki seseorang itu berjalan sejauh lebih kurang 400 meter dari Safa ke Marwa pada satu perjalanan. Oleh itu bagi tujuh kali turutan, seseorang itu telah berjalan sejauh 2.8 kilometer dan akan memakan masa yang lebih lama jika terdapat ramai jamaah bersama-sama serentak melakukan ibadah saie itu.

Disamping itu pula, di sepanjang perjalanan saie, jamaah digalakkan untuk berlari-lari anak di antara dua tanda lampu hijau. Hikmah berlari-lari anak itu selain daripada mengingati dan menghayati peristiwa yang telah dilalui oleh Siti Hajar ketika mencari air untuk anaknya nabi Ismail, secara langsung aktiviti ini juga dapat melonggarkan otot-otot kaki dan lutut serta tapak kaki kita.

Gerakan-gerakan yang dilakukan tersebut dalam melaksanakan ibadah umrah jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang bukan sahaja melatih dan memfokuskan dalaman rohani insan, tetapi juga mementingkan kecergasan fizikal. Jika diteliti dari sudut kesihatan, kegiatan tersebut amat baik untuk meningkatkan kecergasan tubuh badan dengan mengeluarkan peluh bagi membuang segala toksid serta unsur-unsur yang tidak diperlukan oleh tubuh kita.

Kesimpulan yang dapat kita manafaatkan dari ibadah umrah ini ialah bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang serasi dan selaras dengan kejadian fitrah manusia. Sesungguhnya Maha Bijaksana Allah mencipta manusia dan seterusnya menyediakan syariatnya untuk manusia sesuai dengan fitrahnya. Allah juga tidak membiarkan manusia meraba-meraba mencari sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa manafaat yang dicarinya. Justeru itu marilah kita mentaati semua syariat Allah s.w.t yang sebenarnya paling sesuai dengan fitrah kejadian manusia.

Sesungguhnya benarlah firman Allah s.w.t di dalam al-Quran pada surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud:

“ Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan (tuntutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”

Nuridah Mohd Salleh
Ketua DMPP


PENYERTAAN UMRAH TARBAWI MUSIM KE-4 SUDAH DIBUKA !!!
daftar SEGERA...tempat adalah TERHAD !!!

Read More......

Tuesday, September 1, 2009

PRK Permatang Pasir di bumi barakah Mekah

Alhamdulillah, saya baru selamat kembali dari bumi kesayangan Baginda junjungan Rasulullah s.a.w. iaitu dua kota suci Mekah dan Madinah.

Saya turut bersama-sama program Umrah Tarbawi DMPP musim ke 3, buat kali kedua bersama-sama Unit Amal Pahang dengan ahli-ahli rombongan seramai 59 orang.

semasa berangkat pergi, bersama Ketua DMP Kuantan dan anak-anak

Syukur kehadrat Illahi, tempoh 2 minggu di bumi barakah itu amat menyegarkan jiwa dan minda. Walaupun fizikal agak keletihan menjalankan ibadah umrah pada pagi dan petang, Alhamdulillah sempat juga saya menyambut kehadiran bulan Ramadhan beberapa hari semasa di Mekah.

Buat seketika kami berada jauh daripada tanah air, tetapi masih mengingati segala yang ditinggalkan buat sementara di Malaysia, disamping memanjatkan sepenuh doa dan harapan agar semuanya diberikan kesejahteraan dalam kehidupan seharian. Malah terutamanya saya teringat sangat tentang PRK Permatang Pasir yang kebetulan berlaku semasa saya di tanah suci.

Pengumuman t entang tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada PRK Permatang Pasir tersebut dibuat ketika saya dan rombongan sedang berada di Mekah.
doa diaminkan sejurus sebelum check-in

Secara sedar dan tidak sedar di dalam tempoh saya memegang amanah selaku ketua DMPP, telah berlaku sebanyak 7 kali PRK di Semenanjung dan satu di Sarawak. Cuma pada PRK Permatang Pasir kali ini saya tidak dapat bersama jentera HalWa dan Muslimat turun padang secara langsung.

Oleh itu saya dan sahabat-sahabat berusaha melakukan tugasan kami terus memohon ke hadrat Illahi Yang Maha Kaya, agar jamaah kita, PAS dengan meletakkan calon Ustaz Mohd Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang selaku wakil Pakatan Rakyat diberikan kejayaan yang cemerlang.

Saya sendiri amat teruja merasakan satu tanggungjawab besar untuk kami ahli-ahli jamaah yang berada di tanah suci untuk bersama-sama para sahabat lain di tanah air berjuang memenangkan calon kita.

Saya setakat terdaya mengambil inisiatif bermunajat kehadrat Illahi setiap kali di depan Multazam, di Hijir Ismail, semasa bertawaf mengililingi Kaabah serta bersaie’ di antara Shafa dan Marwa, terus memohon agar Allah Yang Maha Memakbulkan permohonan, memelihara dan merahmati jamaah kita dan memberikan kejayaan yang cemerlang di PRK Permatang Pasir.

Kami menaruh keyakinan besar bahawa PAS akan menumpaskan BN sekali lagi di Permatang Pasir. Alhamdulillah, saya sendiri amat terasa bahawa kejayaan akan menyebelahi kita dan saya husnul-zan kepada Allah Yang Maha Kaya bahawa BN akan kecundang.

Ketika kami sibuk bersiap untuk pulang ke tanah air, setiba di Jeddah pada 25 Ogos disebelah petang, kami dapat berita yang menyatakan bahawa PAS sedang mendahului BN. Alhamdulillah, akhirnya maklumat yang kami terima bahawa PAS menang di Permatang Pasir.

Tahniah kepada seluruh jentera PAS dan Pakatan Rakyat di semua peringkat di atas kemenangan tersebut. Terhadap YB Ustaz Mohd Salleh Man tahniah diucapkan dan segunung harapan diserahkan agar YB dapat meneruskan tugas yang ditinggalkan oleh allahyarham YB Dato’ Hamdan dengan penuh dedikasi. Insya-Allah berbakti kepada masyarakat kerana Allah selagi hayat dikandung badan.

Tahniah juga kepada PAS Pulau Pinang, teruskan usaha membantu YB kita ini sebagaimana yang telah dilaksanakan kepada allahyarham YB Dato’ Hamdan yang lalu. Mudah-mudahan kemenangan ini akan meningkatkan lagi usaha, tekad dan azam PAS Pulau Pinang untuk terus melangkah maju.

Akhirnya tidak lupa juga ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua jentera HalWa dan Muslimat PAS yang dikasihi, yang telah bertungkus-lumus merancang semasa saya masih berada di tanah air lagi, serterusnya turun padang merasai denyut nadi dan rintihan masyarakat Permatang Pasir. Semoga usaha-usaha amar makruf ini mendapat ganjaran yang sewajarnya dari Allah s.w.t.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua DMPP

Read More......