Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, July 11, 2012

Peranan Doa dalam Kehidupan Pejuang Kebenaran

DOA DALAM KEHIDUPAN PEJUANG KEBENARAN


MUQADDIMAH

                Berdoa iaitu memohon sesuatu daripada Allah SWT adalah merupakan sebahagian daripada ibadat yang disyariatkan Islam dan tuntutannya.  Allah sangat suka hambaNya berdoa memohon dan mengharap sentiasa kepadaNya. Orang yang banyak atau sentiasa berdoa kepada Allah adalah juga tanda orang itu menyedari kelemahan yang terdapat dalam dirinya sebagai insan terhadap Penciptanya. Manakala orang yang tidak mahu berdoa , adalah merupakan manusia yang sombong , seolah-olah dirinya cukup sempurna dan melupai kekuasaan Penciptanya.  Oleh itu sebagai pejuang-pejuang Al-Hak atau kebenaran Islam mereka hendaklah sentiasa melazimi ibadah berdoa dalam aktiviti sehariannya agar harapan dan cita-cita menjadi kenyataan.

DEFINISI

                Dalam bahasa Arab doa bermakna meminta , pohon , seru dan seumpamanya.  Sebagaimana juga makna yang ditafsirkan oleh kamus Dewan ialah doa bermaksud kebaikan yang dipinta dengan restu daripada Allah. Mengikut istilah syara’ pula doa ialah setiap permohonan hamba yakni manusia kepada tuhannya iaitu Allah SWT dalam perkara-perkara kebaikan,  kesejahteraan dan kejayaan untuk hidup di dunia dan akhirat. Permohonan kebaikan atau kejayaan tersebut sama ada untuk diri sendiri , diri orang lain , harta benda , jamaah, perjuangan Islam dan sebagainya.

REALITI MANUSIA DI SISI ALLAH SWT

                Insan atau manusia adalah antara makhluk-makhluk ciptaan Allah. Manusia adalah sebaik -baik makhluk ciptaan Allah seperti firmanNya dalam surah At-Tin : ayat - 4; 

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”.

                Walaupun demikian manusia tetap dicipta oleh Allah (swt) dengan penuh kelemahan  seperti firmanNya dalam surah An-Nisa’ ayat - 28;

“Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah”.


                Sebagai makhluk dan hamba Allah manusia sememangya mempunyai ribuan kelemahan. Manusia secara sedar atau tidak sedar, sebenarnya amat memerlukan dan bergantung kepada kewujudan, keesaan dan kekuasaan Allah dalam seluruh aktiviti kehidupannya. Tanpa bantuan Allah dalam semua keperluan manusia , mereka tidak mampu melakukan apa-apa.  Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang sentiasa memelihara manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain. Bahkan bagi manusia yang punya ribuan kelemahan dijaga pula oleh para malaikat Allah seperti firmanNya dalam surah Ar-Ra’du : ayat - 11;
  
“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya”. 

                Bagi manusia yang beriman pula Allah menambah lagi pemeliharaan, pertolongan dan interaksiNya dengan berbagai cara, antaranya ialah melalui doa dan munajat hamba tersebut terhadapNya.

                Oleh itu amalan berdoa dan bermunajat menjadi wasilah terpenting bagi manusia beriman untuk meraih perhatian, petunjuk  dan pertolongan  Allah  dalam segala situasi.


KEDUDUKAN DOA DALAM KEHIDUPAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN


                Sesungguhnya amalan berdoa yang dikurniakan Allah bagi kehidupan orang-orang yang beriman serta berjuang di jalan Allah  sangat mempunyai kekuatan, keajaiban dan keistimewaannya yang tersendiri. Ia mempunyai kedudukan yang amat istimewa dalam kehidupan para mukminin dan pejuang-pejuang Islam. Antara kedudukan dan keistimewaan berdoa dalam kehidupan mukminin ialah :

1. Doa adalah ibadat.

Dalam sebuah hadis sohih , Rasulullah (saw) bersabda :

"الدعاء هو العبادة"

Yang bermaksud :
“Doa itu adalah ibadat”  - (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud, At-Tarmizi,  An-Nasaie , Ibnu Majah dan Al-Hakim)
 
                Alangkah hebatnya kedudukan doa , ia adalah ibadat. Bukankah antara tujuan Allah mencipta manusia adalah untuk beribadat seperti firmanNya dalam surah Az-Zariyyat :  ayat -  56 :

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.

                Oleh itu jika seorang hamba banyak berdoa kepada Allah ianya menandakan bahawa dia adalah seorang ahli ibadat. Sebagaimana  kita insafi bahawa  tiada amalan doa daripada seorang hamba Allah yang hatinya tidak mengandungi rasa pengharapan , pasrah dan pengabdian kepada Allah. Seseorang yang berdoa disamping memohon hajat , sekaligus bertaqarrub , berinteraksi , mengingati dan mengkagumi kebesaran dan keagungan Allah. Kedudukan mereka dekat dengan Allah  seperti firmanNya dalam surah Al-Baqarah :  ayat -  186 ;
  
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”.

                Jika sebaliknya seseorang itu tidak atau kurang berdoa , maka ia berada jauh daripada Allah. Lalu orang-orang yang jauh daripada Allah itu akan mendapati diri mereka juga jauh dari kesejahteraan, kedamaian, ketenangan dan kejayaan dalam hidupnya di dunia dan akhirat. Alangkah malangnya kehidupan manusia seperti ini. Lalu elok kita mengingati kata-kata hebat , Amirul Mukminin Ali Bin Abi Talib (ra) iaitu :

                “Kamu memang unik sekali, kamu mempunyai ubat dan kamu juga mempunyai penyakit, penyakit adalah dosa dan ubat adalah doa dan istighfar, maka perbanyakkanlah berdoa dan bersungguh-sungguh  dalam berdoa.”

                Sesungguhnya berdoa yang merupakan ibadat akan dapat menambahkan iman seseorang terhadap Allah serta dapat memperbaiki akhlaknya dari masa ke masa, selagi ia bertekun dan bersungguh-sungguh  dengan ibadat tersebut. Tambahan pula  ia akan dijaga oleh Allah daripada godaan syaitan laknatullah yang sentiasa mengambil peluang menggoda manusia yang lupakan Allah. 

2. Berdoa adalah amalan yang disukai Allah SWT.

                Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang memang sebenarnya amat menyanyangi hamba-hambanya.  Allah sangat suka kita sentiasa bermohon dan berharap kepadanya. Bahkan dalam banyak ayat-ayat Al-Quran menyuruh kita meminta pertolongan Allah seperti firmanNya dalam surah Al-Fatihah :  ayat -  5 ;

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”.

Bagaimanakah cara untuk kita memohon pertolongan daripadaNya?  Tidak lain tidak bukan antara caranya adalah dengan berdoa. FirmanNya lagi dalam surah Al-A’raf :  ayat -  180 ;
ƒ
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadanya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan”.

                Firman Allah (swt) lagi dalam surah Ghafir : ayat -  60 ;


“Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina”

                Dengan berdoa juga akan membawa seseorang itu mengingati Allah. Sesungguhnya Allah suka hamba-hambaNya sentiasa mengingatiNya. Lalu diberikan ketenangan dan kebahagiaan di hati mereka seperti firmanNya dalam surah Ar-Ra’du :  ayat - 28 ;

  
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia”.

                Lantas manusia yang mendapat keadaan hati yang tenang ini amat suka menghadapkan wajah hatinya kepada Rabbul A’lamin dengan melakukan amal ibadat. Mudah-mudahan dengan itu akan hilanglah rasa sombong, takbur dan ria’ di hati mereka. Lalu hina diri,  malu , takut, redha dan pasrahlah yang akan menguasai jati dirinya  menyebabkan Allah menyayanginya.

3. Doa adalah amalan para nabi.

                Para nabi adalah manusia pilihan Allah dan mereka juga adalah manusia terbaik di kalangan semua manusia. Antara sunnah atau amalan hidup manusia pilihan Allah ini adalah mereka sentiasa berdoa mengharapkan pertolongan Allah. Hati nurani mereka terlalu intim terhadapNya dengan selalu mengingatiNya. Mereka tidak pernah putus asa menyampaikan segala hasrat mereka dengan berdoa kepada Allah. Banyak ayat-ayat Allah memaparkan doa para Nabi ini seperti doa Nabi Nuh (as) dalam surah Nuh : ayat - 28 ;
  
 "Wahai Tuhanku! ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!"

                Nabi Ibrahim (as) juga berdoa seperti firman Allah dalam surah Ibrahim :  ayat -  40 ;

   
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”.

                Nabi kita Muhammad (saw) sendiri mengajar pelbagai doa kepada umatnya untuk dipersembahkan kepada Allah seperti sabdanya :


"لا تدعن فى دبر كل صلاة أن تقول : اللهم أعني علي ذكرك وشكرك وحسن عبادتك"

                Maksudnya :
                Janganlah kamu meninggalkan dalam setiap kali selesai sembahyang untuk berdoa , “Ya Allah , bantulah aku dalam mengingatiMu , bersyukur pada Mu , dan beribadah yang baik kepada Mu.” (Riwayat Ahmad , Abu Daud dan An-Nasaie)

 
4. Doa dapat menahan ketetapan Qada’

                Sesungguhnya doa mempunyai kekuatan dan keajaiban yang tersendiri hinggakan dapat menahan ketetapan Qada’ daripada Allah. Dalam sebuah hadis Baginda (saw) bersabda;

"الدعاء رد القضاء"
Yang bermaksud :
“Doa itu dapat menangkis ketetapan qadha’’  - (Riwayat Al-Hakim)

Sabda Baginda (saw) ini menjelaskan kepada kita betapa hebatnya kekuatan doa. Allah menghindarkan hambanya daripada sesuatu qadha lantaran mereka berdoa kepadaNya. Ia bukanlah sesuatu yang pelik , kerana hal tersebut selari dengan janji Allah seperti firmanNya dalam surah Ghafir : ayat -  60 ;

“Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina”.

                Betapa Allah Al-Mujib iaitu Allah Yang Maha Memperkenankan menjawab permohonan hamba-hambaNya dengan mengkabulkan permintaan mereka. FirmanNya  lagi dalam surah Hud : ayat -  61;

 
“Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya".

5.  Doa adalah senjata orang beriman.

                Sabda Baginda (saw);

"الدعاء سلاح المؤمن وعماد الدين ونور السماوات والأرض"
Maksudnya :
“Doa itu senjata bagi orang-orang mukmin dan tiang agama dan sinar cahaya langit dan bumi.”  - (Riwayat Al-Hakim)

                Betapa hadis ini menunjukkan baiknya Allah  terhadap hamba-hambaNya yang taat kepada perintah-perintahNya. Allah menjadikan doa hamba-hambaNya sebagai perisai diri mereka sendiri dari sebarang bencana.

                Pelbagai ujian dan bencana boleh menimpa seseorang manusia. Ia adalah merupakan lumrah kehidupan ini. Bagi hamba-hamba atau pejuang-pejuang agama Allah jelaslah bahawa doa adalah senjata ampuh yang menjadi penghalang atau benteng penyelamat dari ujian dan bencana tersebut.

6. Doa wasilah penghapus dosa.

                Rasulullah (saw) bersabda. Allah SWT berfirman :

"يا ابن آدم انك ما دعوتنى ورجوتنى غفرت لك على ما كان منك ولا ابالى يا ابن آدم لو بلغت ذنوبك عنان السماء"

Yang bermaksud :
“Wahai anak Adam , sesungguhnya selagi kamu berdoa kepadaKu dan mengharap kepadaKu. Aku akan mengampuni dosa dan kesalahanmu dan Aku tidak peduli dengannya. Wahai anak Adam walau dosa-dosamu sampai ke langit.”   -  (Riwayat Imam Ahmad dan Ad-Darimi)

                Hadis Qudsi ini menjelaskan kepada kita betapa Maha Lembut dan Maha Penyayang Allah  terhadap hamba-hambaNya yang berdosa tetapi terus menerus berdoa kepadaNya. Juga terus menerus mengharapkan ehsan dan kasih Allah, lalu Ia mengampunkan dosa-dosa mereka kerana banyaknya doa dan harapan yang dipinta dariNya. Pernyataaan ini adalah suatu khabar gembira bagi pejuang-pejuang agama Allah agar sentiasa berdoa dan mengharap kepadaNya di samping melaksanakan tugas-tugas menobatkan Islam sebagaimana yang di perintahkan olehNya.

7.  Doa adalah interaksi hamba dengan Khaliknya.

                Ibadah berdoa sekaligus merangkumi ibadah-ibadah lain seperti zikrullah yang mengandungi tasbih, takbir, tahmid, istighfar dan sebagainya. Ia memang disuruh oleh Allah untuk kita melaksanakannya seperti firmanNya dalam surah Al-Jumaah :  ayat  - 10 :

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”.

Ibadah berdoa yang sebenar boleh mencapai ciri perhambaan (ubudiyyah) seseorang hamba Allah dan sekaligus mewujudkan komunikasi atau interaksi yang berterusan antara makhluk dan khaliknya. Ia menyambung tali perhubungan yang kukuh dan intim antara manusia dan tuhannya. Oleh itu tidak boleh dinafikan bahawa berdoa adalah sebahagian daripada amalan bertaqarrub dan berinteraksi dengan Allah.

                Keadaan ini adalah cukup jelas  kerana tiada amalan doa sebenar daripada seorang hamba Allah yang hatinya kosong dan alpa terhadapNya. Tidak tercetus doa sebenar daripada hamba Allah yang tiada rasa rendah diri, dhaif, khusyuk dan tawadhuk. Seseorang yang berdoa di samping ia memohon hajat, sebenarnya ia sedang mengingati Allah (zikrullah) dan serentak mengkagumi kehebatan serta pasrah kepadaNya. Situasi ini mewujudkan perhubungan yang berterusan antara hamba dengan Penciptanya.


SYARAT-SYARAT AGAR DOA DIMAKBULKAN

1. Berdoa dengan ikhlas.

                Kita hendaklah sentiasa berdoa  memohon dan beramal semata-mata kerana Allah sahaja seperti  firmanNya dalam surah Al-Bayyinah :  ayat -  5 ;
 
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar”.

2.  Bertaqwa kepada Allah SWT.

                Untuk memastikan doa di terima Allah seseorang itu mestilah bertaqwa kepadaNya. Maksud taqwa itu ialah sentiasa taat terhadap perintah-perintahNya dan sentiasa menjauhi segala laranganNya. Firman Allah dalam surah Muhammad : ayat -  33 :

“ Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!”

                Amalan seseorang seperti berdoa dan sebagainya akan menjadi rosak atau batal iaitu tidak di terima Allah jika ia melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah.

                Allah juga berfirman dalam surah Al-Maidah :  ayat  - 27 ;
  
“ Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.”

                Daripada firman-firman Allah di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa taqwa iaitu melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya adalah antara syarat sesuatu amal itu seperti berdoa dan lain-lain akan diterima oleh Allah.

3.  Khusyuk, tawadhuk serta bersungguh-sungguh.

                Ketika berdoa kita dikehendaki melakukannya dengan penuh khusyuk serta merendah diri dan merendahkan suara kepada Allah. Kita mestilah merasakan kebesaran , kehebatan dan keagungan Allah. Kita juga dengan sedar menginsafi kelemahan dan kehinaan diri. Hanya Allah sahajalah yang mampu memenuhi segala hajat dan permohonan kita.

Maka tidak hairanlah Allah berfirman dalam surah Al-A’raf : ayat -  55 ;

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

                Firman Allah juga dalam surah Al-Anbiya : ayat – 90;

“Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-Rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada kami.”

                Pendoa juga dituntut agar benar-benar menyakini tiada siapa yang boleh membantu kecuali Allah sahaja. Biarlah ketika bermohon itu  dengan jiwa raga dan emosi yang bersungguh-sungguh dan penuh terdesak seolah-olah kita berada keseorangan di tengah-tengah lautan yang tidak bertepi serta sedang di lambung ombak badai. Tiada siapa yang dapat membantu kecuali Allah. Inilah gambaran yang diberi oleh Allah dalam firmanNya pada surah Al-Ankabut : ayat – 65;

“Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.”

4.  Yakin doa dimakbulkan.

Pendoa dikehendaki berdoa dengan penuh perasaan dan rendah diri serta yakin bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Seperti firmanNya dalam beberapa ayat yang telah disebutkan sebelum ini iaitu seperti firmanNya dalam surah Ghafir ayat 60.

Baginda (saw) juga bersabda tentang hal ini :

"ادعوا الله وأنتم موقنون بالاجابة واعلموا أن الله تعالى لا يستجيب دعاء من قلب غافلا لآهٍ"
                Maksudnya :
                “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan penuh yakin bahawa Tuhan akan memperkenankan doa kamu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah (swt) tidak akan memperkenankan doa daripada hati yang lalai atau keluh kesah.”   -  (Riwayat At-Tarmizi)

5. Memahami apa yang dipinta.

                Sebaik-baiknya pendoa mestilah mengetahui apa yang dipinta dan dihajatkan kepada Allah. Sebenarnya bila pendoa memahami erti dan maksud yang dipinta tentulah ia akan berdoa dengan lebih yakin dan khusyuk. Firman Allah dalam surah Hud : ayat -  46;
   
“Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".

                Sebaik-baiknya berdoalah dengan doa yang singkat dan penuh maka seperti doa yang telah diajar oleh Nabi , seperti contoh-contoh berikut :

"رَبَّنا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Wahai Tuhan kami , anugerahkanlah kebaikan kepada kami di dunia dan akhirat , dan lindungilah kami daripada api neraka.”   -  (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


"اللَّهُمَّ إِنِّي أسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ"

“Ya Allah , sesungguhnya aku memohon keampunan dan keselamatan (dari berbagai musibah) kepadaMu.”   -  (Riwayat Ahmad , Abu Daud , An-Nasa’I , Ibnu Majah , Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

"اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى"

“Ya Allah , sesungguhnya aku memohon petunjuk , ketaqwaan , kehormatan dan kecukupan kepadaMu.”   -  (Riwayat Muslim , Ahmad Dan At-Tarmizi)

"اللَّهُمَّ اهْدِنِي وَسَدِّدْنِي"

“Ya Allah , tunjukilah aku dan kurniakanlah aku kebenaran dalam ucapan dan perbuatan.”  -  (Riwayat Muslim , Ahmad dan Abu Daud)

"اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي"

“Ya Allah , berilah aku kecekapan dalam bertindak dan lindungilah aku dari keburukan jiwaku.”  -  (Riwayat At-Tarmizi)

"يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ"

“Ya Allah , Yang Memutarbalikkan Hati , teguhkanlah hatiku di atas agamaMu.”   -  (Riwayat Ahmad , At-Tarmizi , Ibnu Majah dan Al-Hakim)

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ"

“Ya Allah , Yang Memalingkan Hati , palingkanlah hatiku kepada ketaatan kepadaMu.”   -  (Riwayat Muslim dan Ahmad)

6.  Tidak meminta perkara-perkara yang berdosa.

                Amat penting hal ini diberi perhatian oleh para pendoa yang berhajat doa dan kehendaknya di terima Allah. Sabda Baginda (saw);

"ما على الارض مسلم يدعوا الله تعالي بدعوة الا اتاه الله اياها او صرف عنه من السوء مثلها ما لم يدع باثم أو قطيعة رحيم."

            Yang bermaksud :
                “Tidak ada orang Islam di muka bumi ini yang berdoa kepada Allah SWT dengan suatu doa melainkan Allah SWT kabulkan permintaannya itu atau Allah SWT jauhi kejahatan daripadanya selama dia tidak mendoakan dengan doa yang membawa kepada dosa atau memutuskan silaturrahim.”   - (Riwayat At-Tarmizi)

7. Berusaha selari dengan doa yang dipinta.

                Ia bermaksud seseorang pendoa perlulah berusaha setelah ia berdoa. Ia jangan sekali memohon sesuatu yang mustahil tetapi malas berusaha  seperti mahukan kejayaan dalam perjuangan tetapi tidak bersungguh-sungguh atau malas melaksanakan tuntutan perjuangan tersebut. Mahu jadi pandai tetapi malas belajar.

                Syarat ini juga bermaksud bahawa penyebab kepada keberhasilan doa itu juga perlu diusahakan. Seperti firmanNya dalam surah Al-Imran : ayat - 142;

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan).”

8. Tidak berlebihan dalam berdoa.

                Para ulama’ mengatakan berlebihan dalam berdoa atau memohon sesuatu yang mustahil terjadi adalah menyalahi syariat. Umpamanya pendoa berdoa memohon kepada Allah agar ia menjadi Nabi atau misalnya berdoa agar iman lebih hebat daripada iman Saidina Abu Bakar As-Siddiq (ra).

                Diceritakan bahawa Abdullah bin Mughaffal seorang pejuang besar lagi sangat berani mendengar anaknya berdoa : “Ya Allah sesungguhnya aku memohon istana yang putih pada sudut kanan syurgaMu”  lalu Abdullah pun berkata pada anaknya : “Wahai anakku, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah (saw) bersabda :

"ليكونن أقوام من أمتى يغتدون في الطهور والدعاء"

                Yang bermaksud :
                “Sesungguhnya akan ada beberapa golongan dari umatku yang sangat berlebihan dalam bersuci dan berdoa.”   -  (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

DOA YANG TIDAK DIMAKBULKAN

                Ibrahim bin Adham seorang Ulama’ terkemuka pada abad ke-VII Hijrah  pernah menjawab soalan penduduk negeri Basrah tentang kenapa doa penduduk negeri tersebut bagaikan tidak dimakbulkan Allah, sedangkan Allah telah berjanji untuk mengabulkan doa hambanya sepertimana firmanNya yang bermaksud : “Berdoalah kepadaKu nescaya Aku perkenankan.”

                Mendengar persoalan itu, Ibrahim bin Adham menjawab :  Sesungguhnya ketahuilah oleh kamu bahawa ada sepuluh sebab kenapa doa itu ditolak, antaranya :

1.       Kamu mengaku mengenali Allah  tetapi kamu tidak memenuhi hakNya (mengikut segala suruhanNya serta meninggalkan segala laranganNya).
2.       Kamu mengaku mencintai Rasulullah tetapi kamu tidak mengikuti sunnahnya.
3.       Kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak mengamalkan segala isi kandungannya.
4.       Kamu mengaku bahawa syaitan adalah musuh kamu tetapi kamu patuh kepadanya.
5.       Kamu berdoa mohon dijauhi api neraka tetapi kamu mendekatinya dengan selalu berbuat maksiat.
6.       Kamu berdoa semoga dimasukkan ke dalam syurga tetapi kamu tidak berusaha untuknya.
7.       Kamu tahu bahawa kematian itu pasti tetapi kamu tidak bersiap sedia untuknya.
8.       Kamu selalu membuka keaiban saudara kamu tetapi kamu tidak meihat keaiban diri kamu sendiri.
9.       Kamu memakan rezeki dan nikmat Allah tetapi kamu tidak mahu mensyukurinya.
10.   Kamu mengkebumikan orang yang meninggal dunia tetapi kamu tidak mengambil iktibar darinya.

                Sesungguhnya kemungkinan salah satu perkara tersebut menjadi penyebab mengapa doa kamu tidak dimakbulkan”.  Demikianlah penjelasan Ulama’ tersebut.

ADAB BERDOA

1.       Sebaik-baiknya hendaklah dalam keadaan suci daripada hadas besar dan hadas kecil.
2.       Menghadap qiblat.  Jabir bin Abdullah (ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) datang ke tempat wuquf di padang Arafah lalu baginda (saw) duduk menghadap qiblat dan berterusan berdoa hingga maghrib.

3.       Mengangkat kedua-dua tangan sehingga kira-kira terdedah bahagian bawah ketiak dan kedua telapak tangan sunat terdedah ke arah muka.    
          
4.       Merendahkan diri dan suara, kira-kira antara terdengar dan tidak, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-A’raf : ayat -  55;
  
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”
Serta firman Allah (swt) dalam surah Al-Isra’ : ayat  - 110;

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.”

                5. Berdoa dengan nama-nama Allah Al-Husna seperti firmanNya dalam surah Al-A’raf : ayat -  180 :

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”

6.  Mulai berdoa dengan menyebut nama atau memuji Allah seperti membaca "الحمدلله رب العالمين" diikuti membaca selawat keatas Nabi.
7. Berdoa sepenuh hati khusyuk dan tawadhuk dengan harapan doa dimakbulkan serta tiada kejemuan dalam berdoa.
8. Meminta semua hajat kepada Allah dan ulangi 3 kali terutama pada hajat yang amat diperlukan.
9. Sebelum diakhiri dengan ucapan amin setiap doa hendaklah ditutup dengan selawat ke atas Nabi serta puji-pujian kepada Allah sebagaimana pada pembukaan doa.

MASA-MASA YANG MUSTAJAB UNTUK BERDOA

a) Waktu mustajab berdoa :

                1- Selepas azan.
                2- Antara iqamah dan sembahyang.
                3- Antara dua khutbah Jumaat.
                4- Waktu sahur.
                5- Satu pertiga malam.
                6- Waktu hujan turun.
                7- Ditengah medan peperangan yang terlalu sengit.
                8- Semasa melihat Ka’abah.
                9- Ketika Tawaf dan Sai’e.
                10- Selepas setiap kali mendirikan sembahyang.
                11- Ketika berpuasa wajib atau sunat.
                12- Semasa dalam kesusahan serta penderitaan.
                13- Selepas membaca Al-Quran.
                14- Waktu hampir saat berbuka puasa.
                15- Semasa meminum air zam-zam.
                16- Ketika ayam berkokok (waktu pagi / subuh).
                17- Semasa berkumpul di majlis zikir.
                18- Ketika bermusafir kerana Allah SWT.

b) Hari mustajab berdoa :

                1- Hari dan malam Jumaat.
                2- Hari Arafah.
                3- Hari dan malam raya.
                4- Malam Lailatul Qadar.
                5- Malam Nifsu Sya’ban.
                6- Awal malam bulan Rejab.
                7- Malam Israk dan Mikraj (27 Rejab).

c) Bulan mustajab berdoa :

                1- Bulan Ramadhan.
                2- Bulan Haji.
                3- Bulan Rejab.
                4- Bulan Sya’ban.

d) Tempat mustajab berdoa :

                1- Dikala melihat Ka’bah dan dalam Ka’bah.
                2- Di sisi Multazam.
                3- Di makam Nabi Ibrahim.
                4- Dalam Hijir Ismail.
                5- Di telaga zam-zam.
                6- Di Bukit Safa’ dan Marwah.
                7- Di tempat kelahiran Rasulullah (saw).
                8- Di Raudhah Masjid Nabi (saw).
                9- Di tempat wajib Haji seperti di Arafah , Muzdalifah , Mina dan di sisi Jumrah yang tiga.
                10- Di tempat mulia yang lain seperti di masjid-masjid dan tempat ibadat Muslim.
                11- Di rumah sendiri dan di tanah yang lapang.

MANFAAT-MANFAAT BERDOA

                1) Dapat selalu menghadapkan muka kepada Allah SWT dengan tawadhuk dan rendah diri.
                2) Mendapatkan keredhaan Allah dan rahmat kurniaNya.
                3) Menghasilkan hajat-hajat dan keperluan seseorang.
          4) Menjadi perisai diri dari sebarang bencana  termasuk tekanan perasaan dan tipu daya musuh.
                5) Memudahkan segala pekerjaan atau urusan yang susah.
                6) Memperteguh iman dan meningkatkan taqwa kepada Allah SWT.
                7) Menghilangkan perasaan sombong, bangga diri dan takbur.
                8) Menjauhkan diri dari syaitan laknatullah.

KESIMPULAN

                Wahai pejuang-pejuang Islam, banyaknya kemudahan dan nikmat Allah SWT kepada kita. Di wajibkan kita berjuang di jalanNya, namun Dia tidak biarkan kita terkapai-kapai menyongsong kejayaan. Dia sediakan senjata ampuh untuk kita gunakan. Ayuh! apalagi jauhkan diri dari maksiat, berkerjalah angkatlah tangan, perbanyakkan doa munajat, rayu tangis kita terhadapNya agar kita diberikan pertolongan,  kekuatan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

1 comment:

Unknown said...

Kaka tolong ye Sye 👉🏻👈🏻🥺