DOA DALAM KEHIDUPAN PEJUANG KEBENARAN
MUQADDIMAH
Berdoa
iaitu memohon sesuatu daripada Allah SWT adalah merupakan sebahagian daripada ibadat
yang disyariatkan Islam dan tuntutannya. Allah sangat suka hambaNya berdoa memohon dan
mengharap sentiasa kepadaNya. Orang yang banyak atau sentiasa berdoa kepada
Allah adalah juga tanda orang itu menyedari kelemahan yang terdapat dalam
dirinya sebagai insan terhadap Penciptanya. Manakala orang yang tidak mahu
berdoa , adalah merupakan manusia yang sombong , seolah-olah dirinya cukup
sempurna dan melupai kekuasaan Penciptanya. Oleh itu sebagai pejuang-pejuang Al-Hak atau
kebenaran Islam mereka hendaklah sentiasa melazimi ibadah berdoa dalam aktiviti
sehariannya agar harapan dan cita-cita menjadi kenyataan.
DEFINISI
Dalam
bahasa Arab doa bermakna meminta , pohon , seru dan seumpamanya. Sebagaimana juga makna yang ditafsirkan oleh kamus
Dewan ialah doa bermaksud kebaikan yang dipinta dengan restu daripada Allah. Mengikut
istilah syara’ pula doa ialah setiap permohonan hamba yakni manusia kepada tuhannya
iaitu Allah SWT dalam perkara-perkara kebaikan, kesejahteraan dan kejayaan untuk hidup di
dunia dan akhirat. Permohonan kebaikan atau kejayaan tersebut sama ada untuk
diri sendiri , diri orang lain , harta benda , jamaah, perjuangan Islam dan
sebagainya.
REALITI MANUSIA DI SISI ALLAH SWT
Insan
atau manusia adalah antara makhluk-makhluk ciptaan Allah. Manusia adalah sebaik
-baik makhluk ciptaan Allah seperti firmanNya dalam surah At-Tin : ayat - 4;
“Sesungguhnya Kami
telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan
sesuai dengan keadaannya)”.
Walaupun
demikian manusia tetap dicipta oleh Allah (swt) dengan penuh kelemahan seperti firmanNya dalam surah An-Nisa’ ayat - 28;
“Allah (sentiasa)
hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan
berkeadaan lemah”.
Sebagai
makhluk dan hamba Allah manusia sememangya mempunyai ribuan kelemahan. Manusia
secara sedar atau tidak sedar, sebenarnya amat memerlukan dan bergantung kepada
kewujudan, keesaan dan kekuasaan Allah dalam seluruh aktiviti kehidupannya. Tanpa
bantuan Allah dalam semua keperluan manusia , mereka tidak mampu melakukan
apa-apa. Allah yang Maha Pemurah lagi
Maha Penyayang sentiasa memelihara manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain.
Bahkan bagi manusia yang punya ribuan kelemahan dijaga pula oleh para malaikat
Allah seperti firmanNya dalam surah Ar-Ra’du : ayat - 11;
“Bagi tiap-tiap
seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari
belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah
Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila
Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan
kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau
menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat
menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya”.
Bagi
manusia yang beriman pula Allah menambah lagi pemeliharaan, pertolongan dan interaksiNya
dengan berbagai cara, antaranya ialah melalui doa dan munajat hamba tersebut
terhadapNya.
Oleh
itu amalan berdoa dan bermunajat menjadi wasilah terpenting bagi manusia
beriman untuk meraih perhatian, petunjuk dan pertolongan Allah dalam segala situasi.
KEDUDUKAN DOA DALAM KEHIDUPAN
ORANG-ORANG YANG BERIMAN
Sesungguhnya
amalan berdoa yang dikurniakan Allah bagi kehidupan orang-orang yang beriman
serta berjuang di jalan Allah sangat
mempunyai kekuatan, keajaiban dan keistimewaannya yang tersendiri. Ia mempunyai
kedudukan yang amat istimewa dalam kehidupan para mukminin dan pejuang-pejuang
Islam. Antara kedudukan dan keistimewaan berdoa dalam kehidupan mukminin ialah
:
1. Doa adalah ibadat.
Dalam sebuah
hadis sohih , Rasulullah (saw) bersabda :
"الدعاء هو العبادة"
Yang bermaksud :
“Doa itu adalah ibadat” - (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud, At-Tarmizi,
An-Nasaie , Ibnu Majah dan Al-Hakim)
Alangkah
hebatnya kedudukan doa , ia adalah ibadat. Bukankah antara tujuan Allah mencipta
manusia adalah untuk beribadat seperti firmanNya dalam surah Az-Zariyyat : ayat - 56 :
“Dan (ingatlah) Aku
tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan
beribadat kepadaKu”.
Oleh
itu jika seorang hamba banyak berdoa kepada Allah ianya menandakan bahawa dia
adalah seorang ahli ibadat. Sebagaimana kita insafi bahawa tiada amalan doa daripada seorang hamba Allah
yang hatinya tidak mengandungi rasa pengharapan , pasrah dan pengabdian kepada
Allah. Seseorang yang berdoa disamping memohon hajat , sekaligus bertaqarrub ,
berinteraksi , mengingati dan mengkagumi kebesaran dan keagungan Allah.
Kedudukan mereka dekat dengan Allah seperti firmanNya dalam surah Al-Baqarah : ayat - 186 ;
“Dan apabila
hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka):
Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan
permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka
menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman
kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”.
Jika
sebaliknya seseorang itu tidak atau kurang berdoa , maka ia berada jauh
daripada Allah. Lalu orang-orang yang jauh daripada Allah itu akan mendapati
diri mereka juga jauh dari kesejahteraan, kedamaian, ketenangan dan kejayaan
dalam hidupnya di dunia dan akhirat. Alangkah malangnya kehidupan manusia
seperti ini. Lalu elok kita mengingati kata-kata hebat , Amirul Mukminin Ali
Bin Abi Talib (ra) iaitu :
“Kamu memang unik sekali, kamu mempunyai ubat dan
kamu juga mempunyai penyakit, penyakit adalah dosa dan ubat adalah doa dan
istighfar, maka perbanyakkanlah berdoa dan bersungguh-sungguh dalam berdoa.”
Sesungguhnya
berdoa yang merupakan ibadat akan dapat menambahkan iman seseorang terhadap
Allah serta dapat memperbaiki akhlaknya dari masa ke masa, selagi ia bertekun
dan bersungguh-sungguh dengan ibadat
tersebut. Tambahan pula ia akan dijaga
oleh Allah daripada godaan syaitan laknatullah yang sentiasa mengambil peluang
menggoda manusia yang lupakan Allah.
2. Berdoa adalah amalan yang
disukai Allah SWT.
Allah
yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang memang sebenarnya amat menyanyangi hamba-hambanya. Allah sangat suka kita sentiasa bermohon dan
berharap kepadanya. Bahkan dalam banyak ayat-ayat Al-Quran menyuruh kita
meminta pertolongan Allah seperti firmanNya dalam surah Al-Fatihah : ayat - 5 ;
“Engkaulah sahaja
(Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon
pertolongan”.
Bagaimanakah
cara untuk kita memohon pertolongan daripadaNya? Tidak lain tidak bukan antara caranya adalah
dengan berdoa. FirmanNya lagi dalam surah Al-A’raf : ayat -
180 ;
“Dan Allah
mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah)
kepadanya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang
berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya mereka akan
mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan”.
Firman
Allah (swt) lagi dalam surah Ghafir : ayat -
60 ;
“Dan Tuhan kamu
berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan
kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan
berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina”
Dengan
berdoa juga akan membawa seseorang itu mengingati Allah. Sesungguhnya Allah suka
hamba-hambaNya sentiasa mengingatiNya. Lalu diberikan ketenangan dan
kebahagiaan di hati mereka seperti firmanNya dalam surah Ar-Ra’du : ayat - 28 ;
"(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang
tenteramlah hati manusia”.
Lantas
manusia yang mendapat keadaan hati yang tenang ini amat suka menghadapkan wajah
hatinya kepada Rabbul A’lamin dengan melakukan amal ibadat. Mudah-mudahan
dengan itu akan hilanglah rasa sombong, takbur dan ria’ di hati mereka. Lalu
hina diri, malu , takut, redha dan
pasrahlah yang akan menguasai jati dirinya
menyebabkan Allah menyayanginya.
3. Doa adalah amalan para
nabi.
Para
nabi adalah manusia pilihan Allah dan mereka juga adalah manusia terbaik di
kalangan semua manusia. Antara sunnah atau amalan hidup manusia pilihan Allah
ini adalah mereka sentiasa berdoa mengharapkan pertolongan Allah. Hati nurani
mereka terlalu intim terhadapNya dengan selalu mengingatiNya. Mereka tidak
pernah putus asa menyampaikan segala hasrat mereka dengan berdoa kepada Allah. Banyak
ayat-ayat Allah memaparkan doa para Nabi ini seperti doa Nabi Nuh (as) dalam
surah Nuh : ayat - 28 ;
"Wahai Tuhanku! ampunkanlah bagiku, dan
bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan
beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan
perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang
zalim melainkan kebinasaan!"
Nabi
Ibrahim (as) juga berdoa seperti firman Allah dalam surah Ibrahim : ayat - 40 ;
"Wahai
Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga
zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”.
Nabi
kita Muhammad (saw) sendiri mengajar pelbagai doa kepada umatnya untuk dipersembahkan
kepada Allah seperti sabdanya :
"لا تدعن فى دبر كل صلاة أن تقول : اللهم أعني علي ذكرك وشكرك
وحسن عبادتك"
Maksudnya
:
Janganlah kamu meninggalkan dalam setiap kali selesai
sembahyang untuk berdoa , “Ya Allah , bantulah aku dalam mengingatiMu ,
bersyukur pada Mu , dan beribadah yang baik kepada Mu.” (Riwayat Ahmad , Abu
Daud dan An-Nasaie)
4. Doa dapat menahan ketetapan Qada’
Sesungguhnya
doa mempunyai kekuatan dan keajaiban yang tersendiri hinggakan dapat menahan
ketetapan Qada’ daripada Allah. Dalam sebuah hadis Baginda (saw) bersabda;
"الدعاء رد القضاء"
Yang bermaksud :
“Doa itu dapat
menangkis ketetapan qadha’’ - (Riwayat
Al-Hakim)
Sabda Baginda
(saw) ini menjelaskan kepada kita betapa hebatnya kekuatan doa. Allah
menghindarkan hambanya daripada sesuatu qadha lantaran mereka berdoa kepadaNya.
Ia bukanlah sesuatu yang pelik , kerana hal tersebut selari dengan janji Allah seperti
firmanNya dalam surah Ghafir : ayat - 60
;
“Dan Tuhan kamu
berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan
kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan
berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina”.
Betapa
Allah Al-Mujib iaitu Allah Yang Maha Memperkenankan menjawab permohonan
hamba-hambaNya dengan mengkabulkan permintaan mereka. FirmanNya lagi dalam surah Hud : ayat - 61;
“Dan kepada kaum
Thamud, Kami utuskan saudara mereka Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku!
Sembahlah kamu akan Allah! sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya.
Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu
memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik,
kemudian kembalilah kepadanya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya
Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya".
5. Doa adalah
senjata orang beriman.
Sabda
Baginda (saw);
"الدعاء سلاح المؤمن وعماد الدين ونور السماوات والأرض"
Maksudnya :
“Doa itu senjata bagi orang-orang
mukmin dan tiang agama dan sinar cahaya langit dan bumi.” - (Riwayat Al-Hakim)
Betapa
hadis ini menunjukkan baiknya Allah terhadap hamba-hambaNya yang taat kepada
perintah-perintahNya. Allah menjadikan doa hamba-hambaNya sebagai perisai diri
mereka sendiri dari sebarang bencana.
Pelbagai
ujian dan bencana boleh menimpa seseorang manusia. Ia adalah merupakan lumrah
kehidupan ini. Bagi hamba-hamba atau pejuang-pejuang agama Allah jelaslah
bahawa doa adalah senjata ampuh yang menjadi penghalang atau benteng penyelamat
dari ujian dan bencana tersebut.
6. Doa wasilah penghapus dosa.
Rasulullah
(saw) bersabda. Allah SWT berfirman :
"يا ابن آدم انك ما دعوتنى ورجوتنى غفرت لك على ما كان منك
ولا ابالى يا ابن آدم لو بلغت ذنوبك عنان السماء"
Yang bermaksud :
“Wahai anak Adam , sesungguhnya
selagi kamu berdoa kepadaKu dan mengharap kepadaKu. Aku akan mengampuni dosa
dan kesalahanmu dan Aku tidak peduli dengannya. Wahai anak Adam walau
dosa-dosamu sampai ke langit.” - (Riwayat Imam Ahmad dan Ad-Darimi)
Hadis
Qudsi ini menjelaskan kepada kita betapa Maha Lembut dan Maha Penyayang Allah terhadap hamba-hambaNya yang berdosa tetapi
terus menerus berdoa kepadaNya. Juga terus menerus mengharapkan ehsan dan kasih
Allah, lalu Ia mengampunkan dosa-dosa mereka kerana banyaknya doa dan harapan
yang dipinta dariNya. Pernyataaan ini adalah suatu khabar gembira bagi
pejuang-pejuang agama Allah agar sentiasa berdoa dan mengharap kepadaNya di
samping melaksanakan tugas-tugas menobatkan Islam sebagaimana yang di perintahkan
olehNya.
7. Doa adalah
interaksi hamba dengan Khaliknya.
Ibadah
berdoa sekaligus merangkumi ibadah-ibadah lain seperti zikrullah yang
mengandungi tasbih, takbir, tahmid, istighfar dan sebagainya. Ia memang disuruh
oleh Allah untuk kita melaksanakannya seperti firmanNya dalam surah Al-Jumaah :
ayat - 10 :
“Kemudian setelah
selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan
urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia
Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya
kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”.
Ibadah berdoa
yang sebenar boleh mencapai ciri perhambaan (ubudiyyah) seseorang hamba Allah dan
sekaligus mewujudkan komunikasi atau interaksi yang berterusan antara makhluk
dan khaliknya. Ia menyambung tali perhubungan yang kukuh dan intim antara
manusia dan tuhannya. Oleh itu tidak boleh dinafikan bahawa berdoa adalah
sebahagian daripada amalan bertaqarrub dan berinteraksi dengan Allah.
Keadaan
ini adalah cukup jelas kerana tiada
amalan doa sebenar daripada seorang hamba Allah yang hatinya kosong dan alpa
terhadapNya. Tidak tercetus doa sebenar daripada hamba Allah yang tiada rasa
rendah diri, dhaif, khusyuk dan tawadhuk. Seseorang yang berdoa di samping ia memohon
hajat, sebenarnya ia sedang mengingati Allah (zikrullah) dan serentak
mengkagumi kehebatan serta pasrah kepadaNya. Situasi ini mewujudkan perhubungan
yang berterusan antara hamba dengan Penciptanya.
SYARAT-SYARAT AGAR DOA DIMAKBULKAN
1. Berdoa dengan ikhlas.
Kita
hendaklah sentiasa berdoa memohon dan
beramal semata-mata kerana Allah sahaja seperti firmanNya dalam surah Al-Bayyinah : ayat - 5 ;
“Pada hal mereka
tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan
ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan
sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar”.
2. Bertaqwa kepada
Allah SWT.
Untuk
memastikan doa di terima Allah seseorang itu mestilah bertaqwa kepadaNya.
Maksud taqwa itu ialah sentiasa taat terhadap perintah-perintahNya dan sentiasa
menjauhi segala laranganNya. Firman Allah dalam surah Muhammad : ayat - 33 :
“ Wahai orang-orang
yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan
janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!”
Amalan
seseorang seperti berdoa dan sebagainya akan menjadi rosak atau batal iaitu
tidak di terima Allah jika ia melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh
Allah.
Allah
juga berfirman dalam surah Al-Maidah : ayat - 27
;
“ Dan bacakanlah
(Wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan
Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua
mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada
Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak
diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya
aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima
(korban) dari orang-orang yang bertaqwa.”
Daripada
firman-firman Allah di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa taqwa iaitu
melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya adalah antara syarat sesuatu
amal itu seperti berdoa dan lain-lain akan diterima oleh Allah.
3. Khusyuk, tawadhuk serta bersungguh-sungguh.
Ketika
berdoa kita dikehendaki melakukannya dengan penuh khusyuk serta merendah diri
dan merendahkan suara kepada Allah. Kita mestilah merasakan kebesaran , kehebatan
dan keagungan Allah. Kita juga dengan sedar menginsafi kelemahan dan kehinaan
diri. Hanya Allah sahajalah yang mampu memenuhi segala hajat dan permohonan
kita.
Maka tidak
hairanlah Allah berfirman dalam surah Al-A’raf : ayat - 55 ;
“Berdoalah kepada
Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya
Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”
Firman
Allah juga dalam surah Al-Anbiya : ayat – 90;
“Maka Kami
perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami
perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya.
(Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-Rasul itu ialah kerana)
sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan
sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka
pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada kami.”
Pendoa
juga dituntut agar benar-benar menyakini tiada siapa yang boleh membantu
kecuali Allah sahaja. Biarlah ketika bermohon itu dengan jiwa raga dan emosi yang
bersungguh-sungguh dan penuh terdesak seolah-olah kita berada keseorangan di
tengah-tengah lautan yang tidak bertepi serta sedang di lambung ombak badai.
Tiada siapa yang dapat membantu kecuali Allah. Inilah gambaran yang diberi oleh
Allah dalam firmanNya pada surah Al-Ankabut : ayat – 65;
“Dalam pada itu,
apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka
memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya.
Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku
syirik kepadaNya.”
4. Yakin doa dimakbulkan.
Pendoa
dikehendaki berdoa dengan penuh perasaan dan rendah diri serta yakin bahawa
Allah akan memakbulkan doanya. Seperti firmanNya dalam beberapa ayat yang telah
disebutkan sebelum ini iaitu seperti firmanNya dalam surah Ghafir ayat 60.
Baginda (saw)
juga bersabda tentang hal ini :
"ادعوا الله وأنتم
موقنون بالاجابة واعلموا أن الله تعالى لا يستجيب دعاء من قلب غافلا لآهٍ"
Maksudnya
:
“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan penuh
yakin bahawa Tuhan akan memperkenankan doa kamu. Dan ketahuilah sesungguhnya
Allah (swt) tidak akan memperkenankan doa daripada hati yang lalai atau keluh
kesah.” - (Riwayat At-Tarmizi)
5. Memahami apa yang dipinta.
Sebaik-baiknya
pendoa mestilah mengetahui apa yang dipinta dan dihajatkan kepada Allah.
Sebenarnya bila pendoa memahami erti dan maksud yang dipinta tentulah ia akan
berdoa dengan lebih yakin dan khusyuk. Firman Allah dalam surah Hud : ayat
- 46;
“Allah berfirman:
"Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia
telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya
bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu
sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku
melarangmu dari menjadi orang yang jahil".
Sebaik-baiknya
berdoalah dengan doa yang singkat dan penuh maka seperti doa yang telah diajar
oleh Nabi , seperti contoh-contoh berikut :
"رَبَّنا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ
حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Wahai Tuhan kami , anugerahkanlah kebaikan kepada kami di dunia
dan akhirat , dan lindungilah kami daripada api neraka.” - (Riwayat
Al-Bukhari dan Muslim)
"اللَّهُمَّ إِنِّي أسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ"
“Ya Allah ,
sesungguhnya aku memohon keampunan dan keselamatan (dari berbagai musibah)
kepadaMu.” - (Riwayat Ahmad , Abu Daud , An-Nasa’I , Ibnu
Majah , Ibnu Hibban dan Al-Hakim)
"اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى
وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى"
“Ya Allah ,
sesungguhnya aku memohon petunjuk , ketaqwaan , kehormatan dan kecukupan
kepadaMu.” - (Riwayat Muslim , Ahmad Dan At-Tarmizi)
"اللَّهُمَّ اهْدِنِي وَسَدِّدْنِي"
“Ya Allah , tunjukilah aku dan kurniakanlah aku kebenaran dalam
ucapan dan perbuatan.” - (Riwayat Muslim , Ahmad dan Abu Daud)
"اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ
نَفْسِي"
“Ya Allah , berilah
aku kecekapan dalam bertindak dan lindungilah aku dari keburukan jiwaku.” - (Riwayat
At-Tarmizi)
"يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى
دِينِكَ"
“Ya Allah , Yang Memutarbalikkan Hati , teguhkanlah hatiku di
atas agamaMu.” - (Riwayat Ahmad , At-Tarmizi , Ibnu Majah dan
Al-Hakim)
اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى
طَاعَتِكَ"
“Ya Allah , Yang Memalingkan Hati , palingkanlah hatiku kepada
ketaatan kepadaMu.” - (Riwayat Muslim dan Ahmad)
6. Tidak meminta perkara-perkara yang berdosa.
Amat
penting hal ini diberi perhatian oleh para pendoa yang berhajat doa dan kehendaknya
di terima Allah. Sabda Baginda (saw);
"ما على الارض مسلم يدعوا الله تعالي بدعوة الا اتاه الله
اياها او صرف عنه من السوء مثلها ما لم يدع باثم أو قطيعة رحيم."
Yang
bermaksud :
“Tidak ada orang Islam di muka bumi ini yang berdoa
kepada Allah SWT dengan suatu doa melainkan Allah SWT kabulkan permintaannya
itu atau Allah SWT jauhi kejahatan daripadanya selama dia tidak mendoakan
dengan doa yang membawa kepada dosa atau memutuskan silaturrahim.” - (Riwayat At-Tarmizi)
7. Berusaha selari dengan doa yang dipinta.
Ia
bermaksud seseorang pendoa perlulah berusaha setelah ia berdoa. Ia jangan
sekali memohon sesuatu yang mustahil tetapi malas berusaha seperti mahukan kejayaan dalam perjuangan
tetapi tidak bersungguh-sungguh atau malas melaksanakan tuntutan perjuangan tersebut.
Mahu jadi pandai tetapi malas belajar.
Syarat
ini juga bermaksud bahawa penyebab kepada keberhasilan doa itu juga perlu diusahakan.
Seperti firmanNya dalam surah Al-Imran : ayat - 142;
“Adakah kamu
menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah
(wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh)
di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah
dan cekal hati dalam perjuangan).”
8. Tidak berlebihan dalam
berdoa.
Para
ulama’ mengatakan berlebihan dalam berdoa atau memohon sesuatu yang mustahil
terjadi adalah menyalahi syariat. Umpamanya pendoa berdoa memohon kepada Allah agar
ia menjadi Nabi atau misalnya berdoa agar iman lebih hebat daripada iman
Saidina Abu Bakar As-Siddiq (ra).
Diceritakan
bahawa Abdullah bin Mughaffal seorang pejuang besar lagi sangat berani mendengar
anaknya berdoa : “Ya Allah sesungguhnya aku memohon istana yang putih pada
sudut kanan syurgaMu” lalu Abdullah pun
berkata pada anaknya : “Wahai anakku, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah
(saw) bersabda :
"ليكونن أقوام من أمتى يغتدون في الطهور والدعاء"
Yang
bermaksud :
“Sesungguhnya
akan ada beberapa golongan dari umatku yang sangat berlebihan dalam bersuci dan
berdoa.” - (Riwayat
Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)
DOA YANG TIDAK DIMAKBULKAN
Ibrahim
bin Adham seorang Ulama’ terkemuka pada abad ke-VII Hijrah pernah menjawab soalan penduduk negeri Basrah
tentang kenapa doa penduduk negeri tersebut bagaikan tidak dimakbulkan Allah,
sedangkan Allah telah berjanji untuk mengabulkan doa hambanya sepertimana
firmanNya yang bermaksud : “Berdoalah kepadaKu nescaya Aku perkenankan.”
Mendengar
persoalan itu, Ibrahim bin Adham menjawab : Sesungguhnya ketahuilah oleh kamu bahawa ada
sepuluh sebab kenapa doa itu ditolak, antaranya :
1.
Kamu mengaku mengenali Allah tetapi kamu tidak memenuhi hakNya (mengikut
segala suruhanNya serta meninggalkan segala laranganNya).
2.
Kamu mengaku mencintai Rasulullah
tetapi kamu tidak mengikuti sunnahnya.
3.
Kamu membaca Al-Quran tetapi kamu
tidak mengamalkan segala isi kandungannya.
4.
Kamu mengaku bahawa syaitan adalah
musuh kamu tetapi kamu patuh kepadanya.
5.
Kamu berdoa mohon dijauhi api neraka
tetapi kamu mendekatinya dengan selalu berbuat maksiat.
6.
Kamu berdoa semoga dimasukkan ke dalam
syurga tetapi kamu tidak berusaha untuknya.
7.
Kamu tahu bahawa kematian itu pasti
tetapi kamu tidak bersiap sedia untuknya.
8.
Kamu selalu membuka keaiban saudara
kamu tetapi kamu tidak meihat keaiban diri kamu sendiri.
9.
Kamu memakan rezeki dan nikmat Allah
tetapi kamu tidak mahu mensyukurinya.
10.
Kamu mengkebumikan orang yang
meninggal dunia tetapi kamu tidak mengambil iktibar darinya.
Sesungguhnya
kemungkinan salah satu perkara tersebut menjadi penyebab mengapa doa kamu tidak
dimakbulkan”. Demikianlah penjelasan
Ulama’ tersebut.
ADAB BERDOA
1.
Sebaik-baiknya hendaklah dalam keadaan
suci daripada hadas besar dan hadas kecil.
2.
Menghadap qiblat. Jabir bin Abdullah (ra) meriwayatkan bahawa
Rasulullah (saw) datang ke tempat wuquf di padang Arafah lalu baginda (saw)
duduk menghadap qiblat dan berterusan berdoa hingga maghrib.
3.
Mengangkat kedua-dua tangan sehingga
kira-kira terdedah bahagian bawah ketiak dan kedua telapak tangan sunat
terdedah ke arah muka.
4.
Merendahkan diri dan suara, kira-kira
antara terdengar dan tidak, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-A’raf :
ayat - 55;
“Berdoalah kepada Tuhan
kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”
Serta
firman Allah (swt) dalam surah Al-Isra’ : ayat - 110;
“Katakanlah (wahai
Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama
"Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu
adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta
mulia". Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga
janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana
antara itu.”
5.
Berdoa dengan nama-nama Allah Al-Husna seperti firmanNya dalam surah Al-A’raf :
ayat - 180 :
“Dan Allah mempunyai
nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan
menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari
kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan
mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”
6. Mulai berdoa dengan menyebut nama atau memuji
Allah seperti membaca "الحمدلله رب
العالمين" diikuti membaca selawat keatas Nabi.
7. Berdoa
sepenuh hati khusyuk dan tawadhuk dengan harapan doa dimakbulkan serta tiada
kejemuan dalam berdoa.
8. Meminta semua
hajat kepada Allah dan ulangi 3 kali terutama pada hajat yang amat diperlukan.
9. Sebelum
diakhiri dengan ucapan amin setiap doa hendaklah ditutup dengan selawat ke atas
Nabi serta puji-pujian kepada Allah sebagaimana pada pembukaan doa.
MASA-MASA YANG MUSTAJAB UNTUK
BERDOA
a) Waktu mustajab berdoa :
1-
Selepas azan.
2-
Antara iqamah dan sembahyang.
3-
Antara dua khutbah Jumaat.
4-
Waktu sahur.
5-
Satu pertiga malam.
6-
Waktu hujan turun.
7-
Ditengah medan peperangan yang terlalu sengit.
8-
Semasa melihat Ka’abah.
9-
Ketika Tawaf dan Sai’e.
10-
Selepas setiap kali mendirikan sembahyang.
11-
Ketika berpuasa wajib atau sunat.
12-
Semasa dalam kesusahan serta penderitaan.
13-
Selepas membaca Al-Quran.
14-
Waktu hampir saat berbuka puasa.
15-
Semasa meminum air zam-zam.
16-
Ketika ayam berkokok (waktu pagi / subuh).
17-
Semasa berkumpul di majlis zikir.
18-
Ketika bermusafir kerana Allah SWT.
b) Hari mustajab berdoa :
1-
Hari dan malam Jumaat.
2-
Hari Arafah.
3-
Hari dan malam raya.
4-
Malam Lailatul Qadar.
5-
Malam Nifsu Sya’ban.
6-
Awal malam bulan Rejab.
7-
Malam Israk dan Mikraj (27 Rejab).
c) Bulan mustajab berdoa :
1-
Bulan Ramadhan.
2-
Bulan Haji.
3-
Bulan Rejab.
4-
Bulan Sya’ban.
d) Tempat mustajab berdoa :
1-
Dikala melihat Ka’bah dan dalam Ka’bah.
2-
Di sisi Multazam.
3-
Di makam Nabi Ibrahim.
4-
Dalam Hijir Ismail.
5-
Di telaga zam-zam.
6-
Di Bukit Safa’ dan Marwah.
7-
Di tempat kelahiran Rasulullah (saw).
8-
Di Raudhah Masjid Nabi (saw).
9-
Di tempat wajib Haji seperti di Arafah , Muzdalifah , Mina dan di sisi Jumrah
yang tiga.
10-
Di tempat mulia yang lain seperti di masjid-masjid dan tempat ibadat Muslim.
11-
Di rumah sendiri dan di tanah yang lapang.
MANFAAT-MANFAAT BERDOA
1)
Dapat selalu menghadapkan muka kepada Allah SWT dengan tawadhuk dan rendah
diri.
2)
Mendapatkan keredhaan Allah dan rahmat kurniaNya.
3)
Menghasilkan hajat-hajat dan keperluan seseorang.
4)
Menjadi perisai diri dari sebarang bencana termasuk tekanan perasaan dan tipu daya musuh.
5)
Memudahkan segala pekerjaan atau urusan yang susah.
6)
Memperteguh iman dan meningkatkan taqwa kepada Allah SWT.
7)
Menghilangkan perasaan sombong, bangga diri dan takbur.
8)
Menjauhkan diri dari syaitan laknatullah.
KESIMPULAN
Wahai
pejuang-pejuang Islam, banyaknya kemudahan dan nikmat Allah SWT kepada kita. Di
wajibkan kita berjuang di jalanNya, namun Dia tidak biarkan kita terkapai-kapai
menyongsong kejayaan. Dia sediakan senjata ampuh untuk kita gunakan. Ayuh!
apalagi jauhkan diri dari maksiat, berkerjalah angkatlah tangan, perbanyakkan
doa munajat, rayu tangis kita terhadapNya agar kita diberikan pertolongan, kekuatan dan kejayaan di dunia dan di
akhirat.
1 comment:
Kaka tolong ye Sye 👉🏻👈🏻🥺
Post a Comment