Tuntutan Muslimat dalam kerja-kerja Jamaah.
Muqaddimah
Allah s.w.t tidak mencipta manusia di dunia ini tanpa tujuan ataupun main-main saja. Bahkan Allah s.w.t mencipta manusia dengan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh mereka.
FirmanNya pada surah al-Mukminun: ayat 115 dan 116 yang bermaksud;
“ Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) dengan main-main (tanpa tujuan) saja, dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
“Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai ‘Arasy yang mulia.”
Tujuan hidup manusia
Secara mudahnya dan ringkas, matlamat Allah s.w.t mencipta manusia adalah untuk tujuan-tujuan berikut;
i. Beribadat dan taat hanya kepada Allah s.w.t seperti firmanNya pada surah az-Zariyyat: ayat 56 dan 57 yang bermaksud;
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
“Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki mereka memberi makan kepadaKu.”
ii. Menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi, seperti firmanNya pada surah al-Baqarah: ayat 30 yang bermaksud;
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi. Mereka bertanya: Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang-orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahui.”
iii. Menjadikan manusia untuk mereka menunaikan amanah, seperti firmanNya pada surah al-Ahzab: ayat 72 yang bermaksud;
“Sesungguhnya Kami telah bentangkan tanggungjawab amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurna -kannya; dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) Sesungguhnya kebanyakan manusia itu adalah suka melakukan kezaliman dan jahil (suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan)”.
Melaksanakan perintah Allah s.w.t
Manusia hidup di dunia ini adalah merupakan hasil dari ciptaan Allah s.w.t. Oleh itu manusia juga merupakan hambaNya yang diciptakan untuk menyembah dan beribadat kepadaNya. Justeru itu manusia tidak mempunyai pilihan lain daripada taat kepada Penciptanya saja.
Allah mempertegaskan kenyataan ini dalam firmanNya pada surah an-Nahl: ayat 36 yang bermaksud;
“ Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi taghut! Maka di antara mereka (yang menerima seruan itu) ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat terdahulu yang mendustakan Rasul-Rasul mereka.”
Sabda Rasulullah s.a.w:
لاطاعة في معصية ا لله
Maksudnya;
“ Tidak boleh taat pada perkara-perkara maksiat terhadap Allah.”
Berdasarkan beberapa ayat-ayat al-Quran dan sabda Baginda Rasulullah s.a.w tersebut di atas, juga disamping banyak lagi ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang lain yang berkenaan, maka menjadi tanggungjawab manusia memahami dan menurut perintahNya hanya mentaati Allah s.w.t semata-mata ketika hidup di bumi ini. Kenyataan ini dipertegaskan lagi oleh Allah s.w.t dalam firmanNya pada surah an-Nur: ayat 52 yang bermaksud;
“ Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, dan takut melanggar perintah Allah, serta menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.”
Melaksanakan Islam secara berjemaah.
Umat Islam diwajibkan melaksanakan segala perintah Allah s.w.t atau dengan kata lain menegakkan Islam secara bersama-sama atau berjemaah. FirmanNya pada surah al-Maidah: ayat 2 yang bermaksud ;
“ ….. Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam melaksanakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab siksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.
Rasulullah s.a.w bersabda;
“ (Bandingan) antara muslim dengan muslim (yang lain) samalah seperti binaan yang tersusun kukuh, sebahagiannya memperkuatkan yang lain.”
Sabda Baginda lagi;
“ Kekuatan Allah bersama-sama jamaah, sesungguhnya serigala itu hanya akan (dapat) memakan kambing yang terpisah (dari kumpulannya). “
Sabda Baginda lagi;
“ Kamu mestilah (bersama-sama) jamaah muslim dan imam mereka.”
Sebenarnya masih banyak lagi ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang mewajibkan kita melaksanakan kerja-kerja Islam dalam satu jamaah dan bukan hanya bersendirian.
Tanggungjawab bersama
Tugas-tugas melaksanakan tuntutan Islam ini bukan hanya terletak ke atas bahu muslimin saja bahkan tertanggung sama ke atas bahu muslimat juga. Firman Allah s.w.t pada surah at-Taubah: ayat 71 menjelaskan;
“ Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong kepada sebahagian yang lain, mereka menyuruh berbuat kebajikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
Sabda Rasulullah s.a.w pula;
“ Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegah dengan tangannya (kuasa) maka jika tidak mampu hendaklah cegah dengan lidahnya (berkata-kata) maka jika ia tidak mampu juga dengan hati; tapi itulah selemah-lemah iman.”
Jika di dalam hatipun tidak terasa apa-apa terhadap sebarang kemungkaran, ia menunjukkan bahawa ketika itu iman telah tidak wujud lagi di hati walaupun sebesar biji sawi.
Firman Allah s.w.t pada surah al-‘Asr: ayat 1 – 3 yang bermaksud:
“ Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian kecuali orang-orang beriman yang mengajak beramal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran serta nasihat menasihati dengan kesabaran.”
Kenapa perlu berjamaah
1. Tuntutan melaksanakan Islam secara berjamaah merupakan suatu perintah dari Allah s.w.t
Seperti dalam firmanNya pada surah Ali Imran: ayat 104 yang bermaksud;
“ Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan (jamaah) yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Dan merekalah orang-orang yang beruntung.”
2. Tuntutan berjamaah juga merupakan sunnah para Nabi.
Allah s.w.t memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w supaya memberitahu manusia bahawa amal jamaie adalah kerja-kerja Nabi-Nabi dan pengikut-pengikutnya seperti firmanNya pada surah Yusuf: ayat 108;
“ Katakanlah (wahai Muhammad) Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang menurutku menyeru manusia umumnya kepada agama Allah yang berdasarkan kepada keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala ‘itiqad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku daripada golongan yang mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.”
FirmanNya lagi pada surah as-Saaf: ayat 14 yang bermaksud;
“ Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu pembantu-pembantu (pejuang) agama Allah sepertimana pernah diucapkan oleh Isa anak Maryam kepada pengikut-pengikutnya yang setia: Siapakah pembantu-pembantu aku ke jalan Allah? Lalu berkatalah pengikut-pengikut yang setia: Kamilah pembantu-pembantu Allah. Maka berimanlah sebahagian daripada Bani Israil dan kafirlah sebahagian yang lain. Maka Kami berikan pertolongan kepada golongan yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka mereka menjadi orang-orang yang beroleh kemenangan.”
Jelaslah dari pengertian ayat-ayat tersebut bahawa pentingnya berkerja secara berjamaah dan kerja berjamaah itu adalah cara kerja nabi-nabi serta akan mendapat pertolongan dari Allah.
3. Menegakkan Islam adalah suatu tugas berat
Tuntutan menegakkan Islam merupakan suatu perjuangan yang panjang dan berat juga merupakan suatu warisan dari para nabi-nabi terdahulu. Firman Allah s.w.t pada surah at-Taubah: ayat 42 menjelaskan:
“ Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah dan mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh) nescaya mereka akan mengikutimu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dan berkata: Sesungguhnya kalau kami sanggup tentulah kami akan pergi bersamamu. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta.”
FirmanNya lagi pada surah al-Baqarah: ayat 214 yang bermaksud;
“ Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian dan cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka telah ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncang (dengan bermacam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah pertolongan Allah itu amat dekat.”
Sejarah telah membuktikan bahawa perjuangan Islam ini akan sentiasa ditentang habis-habisan oleh golongan al-Mala’ (penguasa atau pemerintah) kerana kedudukan mereka tergugat dengan pelancaran dakwah Islam. Ini juga sifat Islam yang akan merubah kepada suasana yang lebih baik manakala para penguasa atau pemerintah ini hendak mempertahankan status quo mereka.
Justeru itu perjuangan Islam mestilah dilakukan bersama-sama kerana kerja-kerja berat amat sukar dilakukan secara persaorangan dan akan menjadi mudah jika dilakukan secara berjamaah.
4. Suasana mutakhir kejahatan telah melata
Gejala kebatilan, kemaksiatan dan kejahatan kini dilihat telah bermaharajalela di sekeliling kita. Ia bukan sekadar dilakukan secara sembunyi-sembunyi di luar rumah tetapi secara terang-terang dan telah memasuki ruang-ruang dalam rumah kita malah sampai ke dalam bilik tidur kita juga.
Antara sebab utama berleluasanya kebatilan adalah kerana penafian dan pembekuan sifat-sifat hakimiyah Allah s.w.t di bumi kesan daripada penguasaan sistem-sistem dan undang-undang ciptaan manusia yang mengongkong masyarakat.
Kesan-kesan dari kemelut ini mewajibkan kita umat Islam kembali kepada hakimiyah Allah s.w.t dengan berjuang untuk merubah ke arah keadilan Islam dan bekerja bersama-sama untuk menegakkan masyarakat yang beramal dengan tuntutan Islam. Perjuangan mengembalikan masyarakat ke arah keadilan dan kesejahteraan Islam menjadi wajib agar manusia beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dalam segenap bidang kehidupan. FirmanNya pada surah an-Nisa: ayat 65;
“ Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) belum lagi beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”
Firman Allah s.w.t lagi pada surah al-Maidah: ayat 44, 45 dan 47;
“ …dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (dengan mengingkari perintahNya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.”
“…dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Maksudnya;
“..dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.”
Sebenarnya mengikut kaedah syarak oleh kerana menegakkan Islam dan menghukum dengan hukum Allah adalah wajib, maka semua amal ke arah menyempurnakan tuntutan tersebut menjadi wajib juga.
ما لا يتم الوا جب الا به فهو ا جب
Maksudnya;
“ Sesuatu itu tidak sempurna yang wajib melainkan dengannya maka perkara tersebut adalah wajib.”
5. Kepentingan dan maslahah peribadi
Bekerja menegakkan Islam adalah perintah Allah s.w.t dan sunnah para Nabi. Sesiapa yang mentaatinya maka pahala dan pelbagai ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah adalah untuk kebaikan dirinya sendiri. FirmanNya pada surah al-Muddatsir: ayat 38;
“ .. tiap-tiap diri akan bertanggungjawab atas apa yang dilakukan.”
FirmanNya lagi pada surah Maryam: ayat 95;
“ Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat bersendirian.”
FirmanNya lagi pada surah al-Israa’: ayat 7;
“ Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat kebajikan untuk dirimu sendiri”.
Seterusnya firmanNya pada surah al-Ankabut: ayat 6;
“ Dan sesiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri…”
FirmanNya lagi pada surah Muhammad: ayat 7;
“ Wahai orang-orang yang beriman jika kamu tolong Allah, Allah akan tolong kamu dan teguhkan kedudukan kamu.”
Jelaslah bahawa ayat-ayat tersebut di atas menyatakan segala kebaikan yang kita lakukan atau jihad yang dilaksanakan adalah sebenarnya untuk kepentingan diri kita sendiri. Allah s.w.t tidak mempunyai apa-apa keperluan di atas arahan dan perintah tersebut. Sebenarnya semuanya adalah untuk kepentingan kita dan maslahah manusia di dunia dan di akhirat.
FirmanNya pada surah al-Ankabut: ayat 6;
“… Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun) daripada alam semesta.”
Malah jika sekiranya seseorang atau kaum itu ingkar tidak mahu menurut perintahNya serta tidak mahu melaksanakan amanahNya, Allah s.w.t berjanji akan menggantikan pula dengan orang lain ataupun kaum lain seperti pada firmanNya pada surah Muhammad: ayat 38;
“ … Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kamu (ini).”
Sesungguhnya kita hendaklah menginsafi bahawa martabat atau nilai dan harga diri kita hanyalah tinggi dengan Islam dan segala amalan terhadap tuntutannya. Manusia tidak ubah seperti haiwan yang melata tanpa iman dan Islam malah ada yang lebih rendah dari haiwan dan sesat sejauh-jauhnya.
Kesimpulan
Sebenarnya berdasarkan daripada hujah-hujah keterangan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Baginda Rasulullah s.a.w dengan penuh yakin para muslimat tidak ada alasan untuk mengasingkan diri dan tidak bersama-sama menggabungkan diri ke dalam jamaah Islam dalam usaha-usaha menegakkan Islam.
Sesiapa saja yang mengasingkan diri beliau dari tuntutan tersebut akan terjebak dan kesaorangan dalam azab neraka. Sesiapa yang benar-benar mengabungkan diri bersama-sama dalam golongan Islam bererti dia telah bergabung dalam satu kumpulan yang paling mulia yang mendapat hidayah, disamping rumpun para nabi dan para syuhada. Alangkah bahagianya mendampingi golongan ini.
Akhirnya marilah kita renungi firman Allah s.w.t pada surah al-Kahfi: ayat 28;
Maksudnya;
“ Dan jadikanlah diri kamu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan, mereka pada waktu pagi dan petang sangat mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, dan janganlah kamu memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana kamu mahukan kesenangan hidup di dunia. Dan ingatlah kamu mematuhi orang-orang yang kamu ketahui hati-hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami (di dalam al-Quran), serta ia menurut hawa nafsunya dan tingkahlakunya adalah melampaui batas kebenaran.”
Perhatikan pula sabda Baginda Rasulullah berikut;
“ Ada satu rombongan naik sebuah kapal lalu mereka membahagi-bahagikan tempat dan masing-masing mendapat tempat. Tiba-tiba salah seorang dari mereka membuat lubang di tempat duduknya dengan sebilah kapak.
Mereka lalu bertanya: Apa yang kau perbuat? Ia menjawab: Ini tempatku sendiri dan aku boleh buat semahuku!
Jika mereka terus memegang tangannya dia akan selamat dan mereka semua juga akan selamat. Tetapi kiranya mereka biarkan saja dia berbuat begitu ia akan binasa dan semua mereka yang lain turut binasa.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.
Sekian salam ukhuwah, yang baik dari Allah s.w.t segala kelemahan dari diri yang fakir. Wallahu ‘Alam.
1 comment:
Pesanan yang baik...
KELEBIHAN AYAT KURSI | Perkongsian Maklumat Bermanafaat
Post a Comment