Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 28, 2011

MELAHIRKAN IKON MUSLIMAT PAS

MELAHIRKAN MUSLIMAT PAS SEBAGAI IKON WANITA KOTARAYA


Kehidupan di dalam hiruk pikuk kesibukan kotaraya kini banyak memerangkap kita pada suasana yang jauh dari petunjuk Allah s.w.t. Juga di dalam perlumbaan mencari kebahagian ini sering manusia kotraya digamit mengikut jejak langkah segolongan manusia yang memaparkan gaya hidup yang dianggap berjaya dan bahagia. Pada trend kini golongan ini digelar sebagai “ikon”.


Apakah maksud “ikon”? Lafaz kata yang popular ini bermaksud tokoh, dicontohi, diikuti dalam segala hal. Ianya bermaksud segolongan manusia yang menjadi contoh teladan kepada warga kotaraya dalam semua aspek kehidupan. Trend ini juga amat terserlah dihadapi oleh golongan wanita yang saban hari dipaparkan dengan kepelbagaian “ikon” yang memukau dan mempersonakan.


PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang menceburi bidang politik tidak boleh terasing daripada terlibat sama melahirkan ikonnya kepada masyarakat, terutama ikon bagi golongan wanita. Tetapi ikon PAS perlu berjaya memimpin masyarakat ke jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t.


Selama ini tokoh politik wanita kotaraya didominasi oleh wanita-wanita BN dengan penguasaan media yang dimiliki oleh mereka. Tetapi melihat kepada keputusan pilihan raya yang lalu di kotaraya Kuala Lumpur, kita dapati persepsi ini sudah berubah. Ini kerana daripada 11 kerusi parlimen yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat, 10 kerusi telah dapat ditawan oleh PR dan 3 daripadanya dimenangi oleh calon-calon wanita. Malah hanya satu kerusi yang dimenangi BN itu dibantu oleh kelebihan undi pos yang banyak memihak kepada calon mereka. Antara salah satu sebab kemenangan ini yang tidak boleh dinafikan ialah sumbangan tenaga muslimat yang bersungguh-sungguh dan berterusan.


Muslimat PAS khususnya dan wanita anggota Pakatan Rakyat amnya tidak ketinggalan dalam apa-apa program sekalipun. Mahupun program besar yang melibatkan para peserta berdepan dengan tindakan dari anggota polis yang terkenal tidak memihak kepada rakyat awam.


Oleh itu dalam era Pakatan Rakyat sekarang PAS perlu melahirkan lebih ramai lagi ikon-ikon pada segenap bidang kehidupan tidak tertumpu kepada bidang politik semata-mata. Untuk benar-benar menjadi ikon, muslimat mestilah mempunyai garis panduan yang tidak boleh lari daripada panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Panduan tersebut tentunya merujuk kepada al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah s.a.w.


Muslimat PAS sebagai ikon berbeza dengan wanita-wanita lain dianggap sebagai ikon. Ini kerana para muslimat mestilah benar-benar dapat menyelamatkan, mensejahtera dan membahagiakan dirinya dan wanita-wanita mencontohinya di dunia dan di akhirat.


Firman Allah pada surah al-Ahzab: ayat 21 yang bermaksud; “ Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam keadaan senang ataupun susah).”


Oleh itu muslimat mestilah merujuk kepada pengiktirafan Allah SWT terhadap contoh teladan unggul ini, tidak lain tidak bukan ialah nabi Muhammad s.a.w. Selain itu muslimat juga perlu mengikuti jejak langkah manusia-manusia contoh sebagaimana yang telah disebut oleh Allah SWT di dalam surah popular al-Fatihah, ayat: 6-7 yang bermaksud: “Tunjukkanlah kami kepada jalan yang lurus; iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat ke atas mereka”


Untuk memahami siapakah orang-orang yang dikatogerikan oleh Allah SWT sebagai orang-orang yang telah mendapat nikmatNya, kita melihat pula firman seterusnya di dalam surah an-Nisa, ayat: 69 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka merekalah akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah, iaitu para Nabi-Nabi, Siddiqin (orang-orang yang benar imannya zahir dan batin), orang-orang yang syahid dan orang-orang yang soleh. Dan amat eloklah mereka itu menjadi teman baik.”


Berdasarkan maksud ayat di atas, fahamlah kita bahawa mereka yang diiktiraf mendapat nikmat Allah SWT ternyata terdiri daripada 4 golongan saja. Iaitu para Nabi-Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin. Inilah 4 golongan manusia yang mesti menjadi contoh teladan kepada muslimat agar mereka benar-benar menjadi ikon yang menyelamatkan dan menyejukkan pandangan mata terhadap wanita-wanita yang lain.


Marilah kita hurai secara ringkas keempat-empat golongan ikon yang diiktiraf oleh Allah SWT ini. Muslimat PAS yang menjadi ikon kesejahteraan hidup ini perlu mengambil golongan ini sebagai ikutan kehidupan seharian.


Pertama: para Nabi-Nabi

Nabi-Nabi adalah manusia biasa tetapi istimewanya mereka dilantik oleh Allah SWT. Mereka diutuskan untuk mengajak, mengajar, mendidik, memandu manusia ke jalan yang diredai Allah SWT. FirmanNya di dalam surah ali-Imran, ayat: 161 yang bermaksud: “Dan tidaklah patut bagi seseorang nabi itu disangkakan berkhianat.”

FirmanNya lagi di dalam surah al-Anbia, ayat: 25 yang bermaksud: “Dan kami tidak utuskan sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, oleh itu beribadatlah kepadaKu.”


Kedua: as-Siddiqin (orang-orang yang benar imannya)

Contoh insan yang dinobatkan sebagai as-Siddiqin ialah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, seorang sahabat Rasulullah SAW dan khalifah pertama yang tersohor. Beliau adalah seorang ikon, seorang hamba Allah yang cemerlang dalam semua aspek kehidupannya.

Allah SWT menceritakan ciri-ciri orang-orang as-siddiqin di dalam al-Quran pada surah al-Hujurat, ayat: 15 yang bermaksud: “Adapun orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang as-siddiqun.”


Ketiga: as-Syuhada (orang-orang yang mati syahid di jalan Allah)

As-Syuhada adalah orang-orang yang mati dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Allah amat menghargai golongan yang mati syahid di dalam perjuangan menegakkan Islam, seperti firmanNya pada surah at-Taubah, ayat: 111 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah. Maka (antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Tuarat, Injil dan al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”


Keempat: as-Solihin (orang-orang yang soleh)

Siapakah golongan yang keempat ini? Apakah ciri-ciri orang-orang yang soleh? Al-Quranul karim tidak melupakan untuk menjelaskan ciri-ciri atau sifat-sifat golongan keempat yang diredai Allah ini pada surah ali-Imran, ayat: 113 – 114 yang bermaksud: “Ahli-ahli kitab tidaklah sama, diantaranya ada golongan (yang telah memeluk Islam) dan (tetap berpegang kepada agama Allah yang benar), mereka membaca ayat-ayat Allah dan pada waktu malam mereka kerjakan sembahyang (tahajjud)."

"Mereka itu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran dan mereka bersegera melakukan kebaikan dan mereka itulah orang-orang yang soleh.”


Kesimpulan

Berdasarkan pada ayat-ayat Allah terhadap kempat-empat golongan yang telah berjaya menguasai dunia ini dan menjadi ikutan kepada manusia yang lain, maka muslimat sebagai ikon mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:

i. Taat kepada Allah dan Rasul dalam semua urusan.

ii. Akhlak terpuji kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

iii. Berani kerana benar.

iv. Tidak ragu-ragu terhadap ajaran Islam dan sanggup mati untuk Islam.

v. Berilmu dan mengajarkan ilmunya.

vi. Berjuang bersungguh-sungguh dengan harta benda dan jiwa raga di jalan Allah.

vii. Banyak membaca al-Quran dan solat tahajjud di waktu malam.

viii. Meyakini kehidupan akhirat dan bersedia untuk menghadapinya.

ix. Melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

x. Bersegera dalam melakukan kebajikan.


Sebagai ikon kesejahteraan, keadilan, kebijaksanaan, keberanian, kesantunan, muslimat perlu mendidik diri dengan sifat-sifat yang telah dijelaskan oleh al-Quran secara isitiqamah. Di atas usaha-usaha yang isitiqamah itu barulah para muslimat dapat mencapai martabat ikon dan kejayaan di dunia dan akhirat yang diidam-idamkan.

Read More......

Sunday, November 20, 2011

ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN


Kita biasa mendengar lafaz kata istiqamah diulang oleh para penceramah ataupun saranan dan tuntutan dari pimpinan kepada pengikut-pengikutnya agar mengamalkan sikap tersebut. Sejauhmanakah seseorang itu memahami tuntutan berisitiqamah akan mempengaruhi tindak-tanduknya mencapai matlamat yang dingini. Apakah itu istiqamah?


Definasi:


Istiqamah bermaksud berdiri teguh atau tetap pendirian sepanjang masa atas dasar kebenaran dan petunjuk serta beramal dengan segala tuntutannya.


Dengan kata lain istiqamah adalah tindak-tanduk yang berterusan melaksanakan perintah Allah seperti firmanNya pada surah Fussilat : ayat 30; bermaksud,


“ Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham). Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadapmu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepadamu.”


Kedudukan istiqamah dalam Islam:


1. Istiqamah adalah amalan yang sangat disukai oleh Allah s.w.t. seperti sabda Rasulullah s.a.w. dari riwayat Bukhari dan Muslim:

“Amalan yang paling disukai Allah adalah kekal walaupun sedikit”

2. Istiqamah menjadi kunci kejayaan. Para nabi dan solihin memiliki istiqamah lalu mereka mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

3. Istiqamah adalah ciri penting bagi melayakkan seseorang menjadi pemimpin. Berisitiqamah adalah amalan para nabi dan shahabatnya, para solihin ataupun mereka yang berjiwa besar. Hanya orang-orang yang berjiwa besar dan beristiqamah saja yang layak memikul tanggungjawab dan berjaya di dunia dan akhirat.


Ciri-ciri istiqamah:


1. Beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w – membawa diri dan umat ke jalan mencari keredaan Allah s.w.t. semata-mata.

2. Ikhlas beramal sepenuhnya untuk Allah dan kebahagian hari akhirat.

3. Sabar dan berdaya tahan, tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu yang boleh mengubah keyakinan terhadap Allah dan RasulNya.

4. Mempunyai disiplin diri yang baik serta keazaman yang tinggi – Jadual amalan harian perlu dibuat dan dilaksanakan sepenuhnya.

5. Berhati-hati dalam sebarang tindakan dan memastikan keseimbangan dari sikap suka bertangguh-tangguh (difa’iyah) ataupun terburu-buru (musta’jil).


Cara-Cara mencapai istiqamah:


1. Iman serta ta’abbud;

Sabda Rasulullah: Katakan; “Aku beriman kepada Allah kemudian hendaklah beristiqamah.”

Perlaksanaannya:-

- Beriman sepenuh hati kepada Allah dan RasulNya.

- Sentiasa taat dan tekun melaksanakan perintah Allah – sanggup berkorban apa saja.

- Berdisiplin dan berhemah tinggi – tunaikan amanah secara baik, sempurna dan tepat pada masanya (up to date).

- Keazaman yang kuat dan usaha-usaha yang tidak mengenal mundur.

- Sentiasa berdoa dan berharap kepada pertolongan Allah untuk terus beristiqamah.

- Taslim dan tawakkal – menyerah diri kepada Allah dan segala usaha dan kata putus tertakluk kepada ketentuan Allah semata-mata.


2. Taqwa serta ta’abbud;

Perlaksanaannya:-

- Mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah dan Rasul.

- Sentiasa memelihara hubungan baik dengan Allah (cinta dan kasih, berani dan cemas, cita-cita dan harap, redha dan tawakkal hanya untuk Allah s.w.t)

- Memperhambakan diri semata-mata kepada Allah secara mutlak (dalam semua ikatan peribadi, keluarga dan masyarakat)

- Jihad atau perjuangan kerana Allah – oleh itu akan ada tekun, berani kerana benar, mempercayai kebolehan diri sendiri.

- Berakhlak dengan akhlak mahmudah.

- Sentiasa berusaha menjauhi dosa-dosa kecil apatah lagi dosa besar.


Hikmah dari istiqamah:


- Mendapat keredaan Allah.

- Mempunyai keimanan yang teguh.

- Dihormati kalangan masyarakat.

- Hidup lebih teratur dan berdisiplin.

- Tidak mudah dipengaruhi maksiat.

- Menjamin kejayaan hidup di dunia dan akhirat.


Akibat tidak istiqamah:


- Iman menjadi lemah dan merasa amat berat melakukan perkara yang makruf.

- Mudah kalah dengan godaan nafsu dan tipu muslihat serta hasutan syaitan.

- Gagal dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

- Dipandang hina oleh kalangan masyarakat.

- Mendapat kemurkaan Allah.


Kesimpulan:


Istiqamah adalah satu amalan yang terpuji yang disukai oleh Allah s.w.t. Seseorang yang beristiqamah akan mendapat pertolonganNya serta mampu menghadapi segala halangan dengan yakin dan tabah.

Read More......

Saturday, November 19, 2011

DAGING KORBAN TERTERA KALIMAH ALLAH


Minggu lepas kami sibuk berkumpul anak beranak sekeluarga di rumah disamping merebus semua daging-daging korban yang hampir penuh di dalam peti sejuk di dapur sumbangan daripada ibadat korban Eidul Adha yang telah kami hadir pada hari raya pertama, kedua dan ketiga.

Pada hari pertama kami menghadiri upacara korban oleh PAS Wilayah Persekutuan
di sekitar kawasan parlimen Titiwangsa.

Kalau tak silap 36 ekor lembu telah dikorbankan serta diagih-agihkan di surau-surau
kawasan perumahan PPR dan masjid-masjid sekitar kawasan. Letih juga ikut rombongan mengelilingi kawasan.

Tidak lupa juga acara korban yang dijalankan di surau Taman Melewar dekat rumah kami, 15 ekor lembu tumbang serta di markaz PAS Kawasan Titiwangsa di Kg Pandan 6 ekor lagi.

Dipendekkan celoteh setelah sejuk daging-daging korban itu, kita orang pun pakat potong kecil-kecil untuk dibuat gulai. Sedang asyik Ustazah memotong, anak bungsu kami Sumaiyyah terlihat sesuatu dn berteriak".. masya Allah, umi ada kalimah Allah la.."

Dulu kami hanya dengar cerita di paparkan di internet, tapi sekarang Allah anugerahkan keajaiban di depan mata.. JELAS SEKALI KALIMAH ALLAH....
Ada 3 bentuk, ada yang jelas ALLAH, ada yang tertera LILLAH pula.. seolah-olah mengisytiharkan sessungguhnya korban ini hanyalah kerana Alllah...... Tapi sayang
tak pasti daging lembu mana diantara banyak lembu korban tu....

Nampaknya zaman mutakhir ni ALLAH tunjukkan secara tunai KEBENARAN pada
sesiapa yang DIA pilih, kami paparkan keajaiban ini untuk dikongsi bersama pada semua.

Allahu Akbar.... Allahu Akbar..... Allahu Akbar..

Read More......

TAHANAN TERBARU ISA - NAJIB CAKAP TAK SERUPA BIKIN


KUALA LUMPUR, 19 Nov: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meluahkan rasa amat kecewa dan terkejut dengan penangkapan terbaru 13 individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) atas kegiatan gerakan militan di Sabah.


“Tindakan pihak berkuasa ini benar-benar mengejutkan dan sama sekali bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri yang berani dan bersejarah untuk memansuhkan ISA serta pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia serta perseimbangan antara hak tersebut dengan peraturan undang-undang dalam sistem demokrasi berparlimen negara – yang telah lama dinanti-nantikan dan amat dialu-alukan dengan sepenuh hati oleh rakyat,” kata pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan.


Katanya, selaras dengan seruan yang telah dibuat sebelum ini agar undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan, Suruhanjaya menggesa agar pihak berkuasa membebaskan kesemua mereka yang ditahan di bawah undang-undang tersebut dan memberikan hak mereka kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam.


Suruhanjaya juga, ujarnya menyeru kerajaan supaya menghentikan penggubalan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan agar menangani isu berkaitan keganasan di bawah undang-undang lain yang sedia ada; dan sementara pemansuhan ISA dibuat, tiada sebarang penangkapan akan dijalankan di bawah akta itu.

Read More......

Thursday, November 17, 2011

GERAKAN MANSUHKAN ISA (GMI)
&
SUARA RAKYAT MALAYSIA (SUARAM)
Kenyataan Akhbar: 17 November 2011
Penahanan dibawah ISA: Pembohongan dan Hipokrasi Kerajaan Terbongkar !


Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengutuk tindakan polis dan kerajaan Malaysia kerana menahan 11orang dari Tawau dibawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Angka ini adalah tidak rasmi kerana ada sumber yang mengatakan angkanya kemungkinan 14 orang.

Tindakan terkutuk ini amat dikesali kerana ianya bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia pada 15 September berkenaan dengan pemansuhan ISA. Apakah rasional disebalik penahanan? Adakah Perdana Menteri Malaysia cuba memperdayakan rakyat Malaysia dengan sikap hipokrasi beliau ? PM perlu berasa malu atas penangkapan ini!

Menurut sumber kami, setakat ini tuduhan keatas 11 orang ini masih tidak pasti dan dipercayai kemungkinan mereka dikaitkan dengan keganasan.
Berikut adalah nama-nama yang ditahan dibawah ISA pada 14 dan 15 haribulan November 2011 (Bukan rasmi):
Bil
Senarai Nama
Pekerjaan
1
Mohd Nazri Bin Dollah
Guru Agama SMK Kinabutan
2
Yusof Bin Saripuddin
Peniaga Ayam
3
Muhd Adnan Bin Umar
Guru Pusat Tuisyen MJU
4
Muhd Abduh Bin Umar
Pemandu Lori
5
Adwan

6
Faizal Bin Hamma
Pengedar Akhbar Harian
7
Joni @ Muadz
Pengedar Akhbar Harian
8
Azmi

9
Suriadi

10
Darto Bin Bandu
Guru Pusat Tuisyen MJU
11
Bakar Bin Baba
Guru Smk Umas-Umas

Tangkapan tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga / Waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA).

Penangkapan tanpa waran, tanpa notis atau dimaklumkan dilakukan di hadapan isteri dan anak-anak terlalu tragis. Situasi ini dilakukan oleh pihak polis yang lengkap bersenjata dengan cara yang kasar bagai satu rompakan dan dirampas beberapa komputer riba (laptop) dan sejumlah wang tunai.


BN Tidak boleh Hidup Tanpa ISA

Penahanan terbaru ini mengesahkan kesangsian yang terdapat di kalangan rakyat Malaysia berkenaan pemansuhan ini. Kini ianya amat pasti bahawa pengumuman itu hanyalah untuk kepentingan politik Najib dan tidak serius dan jujur dalam memansuhkan akta zalim ini. ISA adalah akta yang zalim dan yang membenarkan penahanan tanpa bicara di mana ianya bercanggah dengan hak asasi manusia.

Kerajaan UMNO/BN memang tidak boleh bertahan tanpa ISA. Kerajaan UMNO/BN ini memerlukan alat politik ini terus berkuasa dan mewujudkan ketakutan di kalangan rakyat Malaysia.Tindakan penggunaan ISA sememangya telah memberikan satu tamparan kepada kerajaan BN dalam pilihan raya akana datang kerana masih menipu rakyat dengan masih menggunakan ISA secara rahsia.


Mansuhkan ISA Sekarang

Kami juga ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa sejak beberapa dekad yang lalu, beribu-ribu orang telah ditahan tanpa bicara di bawah ISA bukan untuk apa yang mereka lakukan atau berkata tetapi berdasarkan tuduhan tanpa bukti dan sering palsu daripada pihak ketiga. Orang yang telah ditahan bukan untuk jenayah yang mereka lakukan atau dibuktikan di mana-mana mahkamah dan beribu-ribu dibiarkan merana di dalam sel-sel tahanan rahsia di seluruh negara.

Oleh itu, SUARAM dan GMI menyeru Perdana Menteri untuk mansuhkan ISA dengan segera dan membebaskan semua tahanan. Kami juga menyeru kerajaan untuk menghentikan menggubal undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan dan untuk menangani isu-isu keganasan dengan undang-undang yang sedia ada.


Read More......