Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, February 16, 2011

PERJUANGAN RASULULLAH S.A.W MEMBAWA MISI PERUBAHAN

Saban tahun umat Islam di Malaysia khususnya tidak pernah lupa untuk menyambut ulang tahun kelahiran junjungan besar Rasulullah s.a.w. Berbagai majlis sambutan diadakan di masjid-masjid dan surau-surau serta pada kebiasaannya diadakan juga upacara rasmi perarakan maulidur rasul.


Sebenarnya kita tidaklah semata-mata hanya memperingati dan merayakan kedatangan Rabiul Awal bulan kelahiran baginda. Tapi apa yang lebih penting di dalam kegairahan kita bersama-sama menyambut hari kelahiran baginda ialah iktibar dari misi perjuangannya dalam membawa manusia berhijrah dari kegelapan jahiliah kepada cahaya iman dan taqwa kepada Allah s.w.t.


Misi perubahan yang menjadi intipati perjuangan baginda adalah untuk menegakkan Islam. Islam yang telah diwahyukan oleh Allah s.w.t sesuai dengan peranan baginda sebagai Rasul - “pesuruh Allah” sepertimana yang ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya pada surah Ali Imraan: ayat 144 yang bermaksud:


“ Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir) ?....”


Di dalam kesempatan kita menyambut maulidur rasul ini seringkali kita terlupa atau tidak memberikan fokus terhadap misi perjuangan baginda. Misi perubahan yang unggul di dalam sejarah kemanusiaan membawa Islam sebagai ad-Deen - “a way of life” selari dengan sifatnya yang universal merentasi semua kaum dan warna kulit iaitu Islam untuk semua – “ Islam for all. Kesejagatan keadilan Islam ini terserlah jika kita menghayati dan menyelusuri sirah perjuangan baginda.


Disamping itu kita selalu mendengar puji-pujian dan laungan para peserta perarakan malidur rasul bahawa baginda adalah sebagai contoh teladan unggul bertepatan dengan firman Allah s.w.t di dalam al-Quran pada surah al-Ahzaab: ayat 21 yang bermaksud:


“ Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (kerdhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang).”


Adalah penting terutamanya kepada pendokong dan daie gerakan Islam mengambil iktibar dari peristiwa misi awal baginda pergi berdakwah ke Taif. Sambutan yang baginda terima daripada penduduk Taif sangat mengecewakan. Bukan saja mereka tidak ambil peduli ajakan baginda untuk membuat perubahan malah baginda dihujani dengan batu-batu hingga menyebabkan baginda luka berdarah. Melihatkan keadaan baginda yang terluka itu malaikat meminta baginda agar mengizinkannya untuk membalikkan batu-batu besar agar menghempap mereka semua ke dalam bumi.


Tapi apakah yang diminta oleh baginda ketika bermunajat kepada Allah? Baginda memohon Allah memberikan hidayah kepada mereka kerana mereka masih jahil. Sikap unggul penuh kesabaran dan ketabahan serta pemaaf ini perlu kita contohi dalam misi untuk membawa perubahan.


Baginda sesekali tidak menaruh dendam malah berlapang dada menerima kejahilan mereka dan bersimpati memohon Allah memberikan hidayah petunjuk kepada mereka. Seharusnya inilah salah satu contoh teladan yang patut kita ikuti di dalam komitmen kita berjemaah baik sesama anggota jemaah mahupun kepada sasaran dakwah kita.


Sesungguhnya kalau kita bersikap membalas dendam dan tidak mengambil contoh teladan daripada Rasulullah itu, pada hakikatnya kita samalah jahil dengan mereka yang memusuhi kita. Malah misi perubahan yang kita ingin jayakan tidak akan tercapai.


Seharusnya dari penolakan yang kita terima itu kita hendaklah bermuhasabah mencari pendekatan yang lebih baik untuk memenangi hati mereka. Ingatlah sebuah hadis baginda Rasulullah yang bermaksud bahawa semua amalan itu bermula dengan niat di hati. Jika niat di hati kita penuh dengan dendam kesumat natijah yang akan kita dapat akhirnya akan memusnah kita. Tapi jika niat kita ikhlas kerana Allah maka hasil yang akan kita perolehi kelak, insya Allah akan membahagiakan kita dan semua yang berkenaan.


Oleh itu marilah kita bersama-sama beriltizam membawa misi perubahan ke arah sebuah masyarakat yang adil dan berkebajikan untuk semua dengan mengambil contoh teladan dari Rasulullah s.a.w. Marilah kita jayakan moto Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua – “ Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia”.


Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
15 Februari 2011.

No comments: