Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, November 21, 2008

Ramadhan & Syawal Yang Berlalu

Syawal 1429 hijrah ini, sudah sampai ke penghujungnya. Ini bermakna sudah hampir sebulan kita umat Islam menjalani kehidupan di medan sebenar setelah melalui satu fasa latihan intensif di bulan Ramadhan.

Madrasah Ramadhan atau medan latihan di bulan Ramadhan ini dapat membantu kita membentuk sikap positif yang perlu dalam kehidupan seharian. Ibadat yang yang kita laksanakan perlu dihayati bukan saja dalam Ramadhan tapi seterusnya dalam bulan-bulan lain. Sebagaimana Islam menganjurkan kita beristiqamah dalam sesuatu amalan, begitulah juga dengan ibadat yang dilakukan dalam Ramadhan. Ia perlu diteruskan sepanjang tahun sehinggalah kita berjumpa Ramadhan satu lagi. Ramadhan seterusnya bertindak sebagai medan pengukuhan meningkatkan mutu dan prestasi amalan menjadikannya lebih baik dan mantap dari setahun ke setahun.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan di dalam sebulan Ramadhan, kita diberi perisai oleh ALLAH dengan pelbagai pemberian bagi menyempurnakan ketaqwaan kita terhadapNya. Perisai-perisai ini lah yang dikurniakan Allah hanya pada bulan Ramadhan untuk memberi nilai mata tambah atau bonus pada manusia :

Antara perisai-perisai yang Allah berikan di dalam Ramadhan ialah:

Nafsu manusia yang suka mengajak kepada keburukan dibiarkan lemah dengan berlapar di siangnya.
Malamnya pula digalakkan sangat-sangat kita melakukan ibadah-ibadah sunat seperti solat terawikh,witir, membaca al Quran, Qiamullail dan lain-lain ibadah.
Syaitan pula diriwayatkan dibelenggu oleh Allah, tidak dapat lagi untuknya bebas menyesatkan manusia.
Semangat umat juga dikobar-kobarkan terus untuk melakukan segala kebaikan dengan paparan kelebihan-kelebihan Ramadhan daripada bulan-bulan yang lain.

Tujuan atau objektif puasa Ramadhan itu sendiri amat jelas iaitu untuk menjadikan kita orang-orang yang bertaqwa kepada ALLAH. Kenapa kita perlu menjadi orang yang bertaqwa kepadaNYA?

Berdasarkan ayat 13 surah al-Hujurat, ALLAH SWT menerangkan bahawa orang-orang yang paling mulia atau paling baik disisiNYA ialah orang-orang yang bertaqwa. Ini bermakna orang-orang yang bertaqwa sahaja yang selamat hidupnya di dunia dan di akhirat.

Setelah berlalunya Ramadhan yang untuk sekian kalinya, berdasarkan umur kita masing-masing, maka bolehlah bertanya pada diri sendiri, sudah berjayakah kita menjadi golongan yang benar-benar bertaqwa kepadaNYA? Soalan ini perlu setiap kita yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat menjawabnya. Ini adalah kerana taqwa itu adalah neraca atau ukuran Allah terhadap manusia, bukan pada keturunan, pangkat, harta, rupaparas, dan warna kulit.

Piawaian atau ukuran ALLAH ini terpaksa kita utamakan dalam hidup kita kerana hidup kita di dunia hanya sebentar sahaja dan kita terpaksa berdepan dengan mahkamah ALLAH di padang mahsyar nanti.

Jawapan kepada soalan seterusnya ini juga mesti menjadi titik tolak aktiviti kehidupan kita pada setiap detik iaitu apa itu taqwa? Menurut Ab. Rahman al-sa’di, taqwa ialah memelihara diri daripada kemurkaan ALLAH dan azabNYA dengan mengikut perintah dan meninggalkan larangan, serta mengambil petunjukNYA dan mengambil manfaat daripada petunjuk itu. Taqwa itu dilakukan dengan aqidah, amalan zahir dan batin.

Bagi merealisasikan taqwa itu dalam diri, amat perlu kita merujuk beberapa ayat-ayat Al Quran yang menceritakan ciri-ciri orang yang bertaqwa iaitu :

Al Baqarah ayat 1-5
Al Baqarah ayat 177
Ali Imran ayat 100
Ali Imran ayat 100
Ali Imran ayat 133-136
Al –Maidah ayat 8
Al-Maidah ayat 100
Al –A’raf ayat 201-202
Al Anbia ayat 48-50
Az Zumar ayat 33
Az Zukhruf ayat 67
Qaf ayat 31-33
Az Zariyat 15-19

Justeru, marilah kita sama berlumba-lumba dalam mencapai piawaian ketaqwaan yang dikehendaki ALLAH, berusahalah kerana Allah sentiasa memberi petunjuk kepada hamba-hambaNYA yang berusaha untuk mencapai ketaqwaan.

Sebagai mukmin sejati yang bertaqwa, kita hanya mencintai ALLAH dan mentaatinya. Dalam keadaan apa pun, pegangan sejati kita hanyalah ALLAH. Apabila kita menjadikan ALLAH sebagai pegangan yang kukuh, dengan izin ALLAH, dalam menghadapi kesulitan atau kegagalan, kita tetap kukuh, malah lebih kukuh dari batu karang . Mari sama-sama kita implemenkan sifat dan nilai ketaqwaan hasil didikan Ramadhan Al Mubarak 1429 dalam kehidupan seharian agar ianya menjadi momentum ke arah pembentukan MALAYSIA yang lebih barakah !

Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
27 Oktober 2008

No comments: