Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, November 11, 2011

SAMBUTAN HARI RAYA WANITA PAKATAN RAKYAT DI BATU PAHAT JOHOR

" ......... PAS sejak awal penubuhannya sudah berkonsepkan Se Malaysia - satu Malaysia - dilihat daripada namanya saja iaitu Parti Islam Se Malaysia, 60 tahun dulu bukan sekarang!"


Nostalgia sambutan Hari Raya bersama pimpinan Wanita Pakatan Rakyat di Batu Pahat, Johor.

" ..... sebenarnya kita tiada pilihan lain untuk maju, makmur dan sejahtera sebagai sebuah negara yang berdaulat untuk berpakat dalam muafakat berkhidmat untuk semua!. "



BERPAKAT DAN BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT, BERMUAFAKAT MENDAPAT BERKAT
NEGERI JOHOR BERPOTENSI MELAHIRKAN LEBIH RAMAI WAKIL-WAKIL WANITA PAKATAN RAKYAT DI DEWAN UNDANGAN NEGERI DAN PARLIMEN.

Read More......

Friday, November 4, 2011

PENGORBANAN DAN KETABAHAN SITI HAJAR

Pengorbanan dan ketabahan Siti Hajar

patut jadi ikutan pendokong Muslimat



Seringkali kita dipaparkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya Nabi Ismail a.s. apabila menjelang kedatangan Eidul Adha. Peristiwa yang menggambarkan keimanan yang kental dan keyakinan yang jitu, ketaatan dan pengorbanaan diantara seorang ayah dan anak lelakinya terhadap perintah Allah s.w.t merupakan suatu kisah teladan yang unggul bagi panduan kita mengharungi kehidupan di dunia ini.


Sayangnya kita jarang sekali mendengar ataupun terlalu sedikit saja para penceramah yang telah menyentuh dengan huraian yang mendalam peranan dan pengorbanan Siti Hajar sebagai seorang isteri dan ibu dalam peristiwa tersebut.


Seharusnya kita hayati bagaimana ketabahan dan ketaatan seorang isteri bersama anak yang masih kecil ditinggalkan oleh suaminya di suatu lembah padang pasir yang kering kontang tanpa penduduk semata-mata untuk menyempurnakan perintah Allah s.w.t. Peristiwa Siti Hajar berlari-lari dari Bukit Safa ke Marwah telah disyariatkan oleh Allah dalam ibadah haji sebagai tuntutan saie’.


Sesungguhnya jika kita mengambil iktibar dari peristiwa tersebut di dalam konteks kegiatan dakwah haraki, peranan dan tanggungjawab Muslimat adalah amat besar serta tidaklah mudah tanpa pergantungan kepada pertolongan dari Allah s.w.t.


Peranan, sikap dan tindakan yang telah ditunjukkan oleh Siti Hajar itu sudah cukup untuk kita teladani. Tanpa keimanan yang penuh ikhlas, keyakinan yang jitu, kesetiaan kepada suami, dapat diragui bahawa Siti Hajar berjaya mengharungi segala cabaran yang terbentang di depan matanya.


Sebenarnya dari teladan yang ditunjukkan oleh Siti Hajar itu peranan besar Muslimat adalah sebagai pembantu dan pelengkap terhadap amanah dan tanggungjawab perjuangan Islam bukannya pesaing pada kewujudan kaum lelaki seperti yang dianuti oleh para feminist modern.


Firman Allah s.w.t , pada surah at-Taubah: ayat 71, yang bermaksud:


“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”


Jelaslah juga dari pengertian ayat tersebut bahawa Allah s.w.t mengiktiraf peranan besar yang mesti dilaksanakan oleh Muslimat walaupun bentuk tugas dan skop yang berlainan. Bagi Muslimat PAS, kita yakini bahawa segala perancangan dan usaha-usaha yang telah dan akan kita laksanakan adalah selari dengan semangat ini. Natijahnya adalah bahawa tiada siapa yang boleh meragui kesetiaan dan sumbangan besar Muslimat terhadap perjuangan PAS dalam mengharungi segala cabaran yang mendatang.


Justeru itu dalam kesibukan harian, kita perlu sedari juga bahawa didalam usaha-usaha kita meneruskan perjuangan ini kita sentiasa memerlukan pertolongan dari Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t, pada surah Muhammad: ayat 7, yang bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”


Jumhur ulama berpendapat bahawa tindakan kita bergerak dalam jamaah Islam, isitiqamah dan bersungguh-sungguh melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang telah di amanahkan kepada kita adalah satu manifestasi “menolong agama Allah”. Jika kita dapat menghayati dan berjaya melaksanakan tututan jamaah dengan ikhlas, maka layaklah kita mendapat pertolongan dari Allah s.w.t.


Oleh itu dalam era Pakatan Rakyat kini dimana PAS adalah komponen sebuah parti pemerintah di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, peranan Muslimat adalah berlainan daripada masa-masa lampau. Kita perlu pastikan bahawa peranan kita di dalam melaksanakan tugas selaku Ahli Parlimen, anggota EXCO, ADUN atau Ahli Majlis kerajaan tempatan serta JKK selaras dengan matlamat parti kita dan tuntas dengan permuafakatan dalam tuntutan Pakatan Rakyat.


Peranan PAS adalah penting dalam memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Tetapi perlu diingat bahawa di dalam kegairahan kita melaksanakan tugas-tugas kepada rakyat semua aktiviti dan tuntutan jamaah kita juga perlu berjalan seiring dan tidak dikesampingkan. Parti kita mesti diperkukuhkan agar ianya dapat berperanan dengan efektif pada permuafakatan kerajaan Pakatan Rakyat. Parti yang lemah akan mengakibatkan kerajaan jadi kucar kacir. Tiada kerajaan tanpa parti.


Teladani dan hayatilah pengorbanan serta ketabahan Siti Hajar dalam semua aspek kehidupan kita, sempena merayakan Eidul Adha kita tingkatkan iltizam untuk kita sampai ke Putrajaya. “Sirru ‘ala barakatillah.”

Read More......

Thursday, November 3, 2011

AL-WALA' WAL BARA'

Al-Wala’ wal Bara’


1. 1. Pengertian dari sudut bahasa:


i. Wala’ - berasal daripada perkataan yang membawa maksud: dekat, kasih, mengikut, memberi pertolongan, memberi perlindungan dan seumpamanya.


ii. Bara’ – berasal daripada perkataan yang membawa maksud: bebas, mensucikan diri, berlepas diri, permusuhan.


2. 2. Contoh ayat-ayat Allah s.w.t berkenaan dengan al-wala’ dan al-bara’


a. Al-wala’

i.
Maksudnya: “ dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, sesungguhnya Parti Allah itulah yang mencapai kemenangan.”

- Al-Maidah: ayat 56.


ii. Maksudnya; “ orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan mereka bertolong bantu antara satu sama lain, menyuruh berbuat makruf dan mencegah melakukan mungkar, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat dan mentaati Allah serta Rasul, mereka itulah orang-orang yang diberi rahmat oleh Allah."

- At-Taubah: ayat 71.


iii. Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu ambil bapa-bapa dan saudara mara kamu menjadi wali (pemimpin) sekiranya mereka lebih mengutamakan kekafiran dari keimanan, dan sesiapa yang menganbil mereka menjadi pemimpin mereka itulah orang-orang yang zalim.”

- At-Taubah; ayat 23.


iv. Maksudnya: “ Sesungguhnya pemimpin kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka itu adalah orang-orang yang ruku’.”

- Al-Maidah: ayat 54.


b. Al-Bara’

i.
Maksudnya: “ Katakanlah: Hanyasanya Dialah sahaja Ilah yang Maha Esa, dan sesungguhnya Aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan.”

- Al-An’am: ayat 19.


ii. Maksudnya:“ Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya, Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah."

-
Az-Zuhruf: ayat 26.


3. 3. Pengertian al-Wala’ dan al-Bara’ dari sudut syarak:


i. Al-Wala’ : kesesuaian sikap hamba dengan apa yang diredhai dan disukai Allah, samada dalam bentuk ucapan, perbuatan, keyakinan dan peribadi tertentu.


ii. Al-Bara’ : kesesuaian sikap hamba dengan apa yang dimurkai, dibenci dan tidak diredhai Allah, samada dalam bentuk ucapan, perbuatan, keyakinan dan peribadi tertentu.


iii. Oleh itu sasaran al-wala’ ialah segala yang diredhai oleh Allah, manakala sasaran al-Bara’ ialah segala yang dimurkai oleh Allah.


4. 4. Pengertian al-wala’ dan al-Bara’ dari segi istilah:


i. Al-Wala’ : meletakkan kecintaan yang sebenar serta kesetiaan dan penghormatan yang tinggi kepada pimpinan dengan sokongan dan bantuan dalam apa jua bentuk sekalipun.


ii. Al-Bara’ : tidak meletakkan kecintaan yang sebenar serta kesetiaan dan penghormatan yang tinggi kepada pimpinan, seterusnya membenci, menamatkan hubungan dan mengadakan permusuhan dalam apa jua bentuk sekalipun.


5. 5. Konsep al-Wala’ dan al-Bara’ dalam jamaah Islam;


Wala’ merupakan asas terpenting dalam sesebuah jamaah Islam. Setiap orang yang berada di dalam jamaah tersebut mestilah memberikan wala’ kepada pimpinan kerana tanpa wala’ sesebuah jamaah akan hancur dan mudah diperkotak-katikan oleh musuh. Pihak musuh sentiasa mencari jalan menghancurkan sesebuah jamaah dari dalam dan mengakibatkan matlamat menegakkan agama Allah s.w.t tinggal angan-angan saja.


Saidina Omar r.a. menyatakan:


Maksudnya: Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa pimpinan, tiada pimpinan tanpa ketaatan.”


Islam mewajibkan penganutnya memberikan wala’ – ketaatan dan kesetiaan yang sepenuhnya kepada kepimpinan dan adalah haram sama sekali menderhaka atau enggan menurut arahan pimpinan.


Perkara ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran:


Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu.” - An-Nisa’ : ayat 59.


Rasulullah s.a.w. menjelaskan di dalam hadisnya:


Maksudnya: “ Dengar dan taatlah walaupun kamu dipimpin oleh seorang hamba Habasyi yang rambutnya seperti kismis.”

- Riwayat al-Bhukari (sohih Bukhari : 6723).


6. 6. Syarat-syarat al-Wala’ wal Bara’.


Al-Wara’ dan al-Bara’ merupakan satu perkara yang sangat ditekankan oleh Islam. Namun wala’ kepada pimpinan tidak mutlak seperti kepada Allah dan RasulNya. Ia perlu memenuhi syarat-syarat berikut:


i. Pemimpin tersebut hendaklah menjalankan syariat Islam. Mana-mana pemimpin yang menolak hukum Allah s.w.t. maka haramlah diberikan wala’. Firman Allah s.w.t:


Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Uli-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada Allah dan RasulNya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik dan lebih elok pula kesudahan."
-
An-Nisa’ : ayat 59.


Ulama’ tafsir menyatakan perkataan “athi’u” tidak diletakkan sebelum perkataan “ Ulil-Amri minkum” kerana tidak semua pemimpin mesti ditaati. Mereka hanaya ditaati jika mereka taat kepada Allah dan Rasul saja. Sebaliknya rakyat tidak boleh taat kepada pemimpin yang ingkar kepada Allah dan RasulNya.


ii. Pemimpin mestilah adil dan saksama dalam setiap tindakan berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Oleh itu kita hendaklah al-Bara’ – berlepas diri daripada pemimpin yang zalim. Firman Allah s.w.t :


Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baik kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.”

- An-Nisa’ : ayat 58.


iii. Pemimpin tersebut hendaklah sentiasa melakukan amar makruf nahi mungkar. Wala’ tidak boleh diberikan kepada pemimpin yang menyuruh atau menggalakkan rakyatnya melakukan maksiat seperti mendirikan pusat pelacuran, hiburan yang melampau dan melekakan, judi dan lain-lain. Sabda Rasulullah s.a.w:

Maksudnya: “Tiada ketaatan pada maksiat kepada Allah, sesungguhnya ketaatan hanya kepada makruf.” - Riwayat Muslim (sohih Muslim : 1840).


Manakala dalam masalah khilafiah, rakyat wajib akur kepada arahan atau ijtihad pimpinan, meskipun ijtihad tersebut bercanggah dengan pendapat mereka, agar Jemaah Islam tetap utuh dan tidak tergolong dalam golongan yang dimurkai oleh Allah dan RasulNya.


Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:


“ Sesiapa yang melihat pimpinannya dalam perkara yang tidak disukainya, maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang memecah-belahkan jamaah walaupun sejengkal lalu mati, maka tidaklah matinya itu kecuali dalam keadaan jahiliah.”
- Riwayat al-Bukhari (sohih Bukhari : 6646).


Sabda Baginda selanjutnya:


“ Aku menyuruh kamu dengan lima perkara yang Allah memerintahkan aku denganNya: dengar, taat, jihad, hijrah dan jamaah. Sesungguhnya sesiapa yang memecah-belahkan jamaah walau sejengkal, maka ia telah mencabut Islam dari lehernya, kecuali jika ia kembali. Sesiapa yang menyeru dengan seruan jahiliah, maka sesungguhnya dia sedang berjengkit di atas neraka. Lalu berkata seorang lelaki, “ Wahai Rasulullah! Walaupun dia solat dan puasa?” Jawab Baginda, “ Walaupun dia solat dan berpuasa.”

- Riwayat at-Tarmizi (sunan Tarmizi:2941).


Kaedah ada menjelaskan bahawa:Wala’ bagi ahli kebenaran dan al-Bara’ daripada ahli kebatilan.

Walllahu ‘Alam bis Sawab.

Read More......

Rebutlah keistimewaan 10 hari pertama Zulhijjah |
www.muzir.wordpress.com


Pada bulan Zulhijjah, terdapat padanya satu ibadah yang sangat besar pahalanya di sisi ALLAH `Azza wa Jalla, iaitu ibadah mengerjakan haji bagi sesiapa yang mampu. Ia melengkapkan rukun ISLAM pada diri seseorang Muslim.


Disebut di dalam hadith bahawa ganjaran yang menanti bagi jemaah haji yang memperolehi haji yang mabrur ialah Syurga. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:


“Satu umrah sampai umrah berikutnya adalah kafarat (penebus) dosa-dosa yang terjadi di antara kedua umrah itu. Dan haji yang mabrur tiada balasannya kecuali Syurga” (HR al-Bukhari & Muslim)


Bagi ummat ISLAM yang tidak mempunyai kesempatan untuk mengerjakan ibadah haji, ALLAH `Azza wa Jalla tetap menyediakan keistimewaan yang besar untuk direbut pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah.


Apakah amalan-amalan itu?


1. Memperbanyakkan amalan kebaikan dan ibadah sunnat sepanjang 10 hari pertama pada bulan Zulhijjah.


Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:


“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih di kasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).”


Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?”


Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu(syahid).” (HR al-Bukhari)


2. Puasa pada hari `Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah


Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:


“Puasa itu dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.” (HR Muslim)


3. Solat `Eidul-Adha


Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:


“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan dua hari istimewa kalian itu dengan dua hari yang lebih istimewa daripadanya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha” - Hadith riwayat Abu Daud: 1134, al-Albani mensahihkannya di dalam as-Silsilah as-Sahihah: 2021.


“Sesungguhnya sebaik-baik hari di sisi ALLAH adalah Hari Raya Aidiladha.” - Hadith riwayat Abu Daud: 1765, al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih Abu Daud.


4. Menyembelih haiwan korban selepas Solat `Eidul-Adha.


Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:


“Amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang sangat disukai ALLAH ialah menyembelih korban. Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya. Sesungguhnya ALLAH akan menerima penyembelihan korban itu sebelum darahnya tumpah ke bumi. Maka, kamu hendaklah ikhlaskan diri semasa melakukan korban itu.” - Ibn Majah: 3117 dan at-Tirmizi: 1412


Begitulah di antara beberapa amalan yang wajar menjadi rebutan buat kita ummat ISLAM dalam menambah bekalan menuju Hari Akhirat.


Semoga dengan adanya peringatan ini menjadikan kita di kalangan insan yang beruntung dalam mengambil faedah 10 hari-hari terawal bulan Zulhijjah.


ALLAHU A`LAM.

Read More......

Monday, September 12, 2011

Diari Aidilfitri 1432H

1 syawal

Bergambar bersama keluarga (selepas solat Eidulfitri)

Gambar menjadi pengganti diri buat arwah

Selepas selesai persiapan di rumah, terus ke kubur untuk menziarahi arwah (Al-Fatihah)

Selepas zohor, pergi ke rumah mak itam untuk beraya

Bersama ibu mertua (duduk bersebelahan)











Read More......