(Teks ini telah dibacakan oleh YB Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat di Himpunan Muslimat PAS Perak pada 24 Oktober 2009 yang lalu)
Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,
Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada seluruh kepimpinan dan ahli-ahli Dewan Muslimat PAS Perak kerana berjaya mengadakan himpunan muslimat – “Semarakkan One-black Perak” ini.
Sayugia kita mengambil perhatian yang berat bahawa himpunan ini adalah tanda protes dan amarah kita yang mesti kita luah dan semarakkan kepada rakyat.
Kita menentang habis-habisan strategi jahat UMNO Barisan Nasional yang telah memerangkap 2 orang exco kerajaan Pakatan Rakyat dengan ugutan dan kes rasuah di mana akhirnya menjadikan isu tersebut sebagai batu loncatan untuk menculik dan merasuah serta memaksa mereka bersama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak untuk memihak dan menyokong BN. Turut diculik juga ialah seorang wakil BN yang baru saja menyertai Pakatan Rakyat.
Maka berlakulah kudeta (coup de tat) one black Perak ini dan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat secara tidak demokratik. Tindakan jahat dan rakus UMNO BN ini bukanlah buat kali pertama, malah merupakan ulangan terhadap sejarah hitam tumbangnya kerajaan PAS di Terengganu pada 1961 dan kerajaan PBS di Sabah pimpinan Datok Seri Pairin Kitingan pada 1994 yang lalu.
Justeru itu tidak ada alasan syarie’ bagi kita untuk berpeluk tubuh memerhatikan saja kemungkaran yang telah berlaku di depan mata kita. Sesungguhnya dalam usaha kita mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran itu, para muslimat perlu bangkit bersama-sama secara terancang dan bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan yang lebih baik.
Muslimat yang dikasihi sekalian,
Sebelum saya berbicara terus kepada tajuk amanat yang diberikan kepada saya –“Muslimat Pemangkin Perubahan” terlebih dahulu saya mohon berbanyak maaf kerana tidak dapat bersama-sama anda semua pada himpunan kali ini disebabkan komitmen program yang telah dirancang lebih awal untuk lawatan saya ke luar negara dari 21 hingga 30 Oktober ini.
Topik “Muslimat Pemangkin Perubahan” adalah manifestasi gerak kerja yang besar dan merupakan satu tanggungjawab yang berat untuk kita pikul bersama. Tetapi demi kedaulatan Islam yang masih tidak mampu dinobatkan di bumi tercinta ini, juga demi keadilan sejagat yang menuntut kesejahteraan rakyat, para muslimat mesti bangun, berani dan bersungguh-sungguh menyinsing lengan bersama-sama melaksanakan tugas dan amanah ini.
Muslimat yang dikasihi sekalian,
Sesungguhnya apabila disebut muslimat, sebenarnya siapakah insan itu? Jika kita rujuk al-Quran “muslimat” adalah gelaran daripada Allah s.w.t seperti firmanNya dalam ayat 78, surah al-Hajj yang bermaksud:
“ Ia Allah menamakan kamu muslimin sejak dari zaman berzaman dan juga (kamu dipanggil muslimin) di dalam kitab al-Quran…”
Oleh itu muslimat dari sudut kemanusiaan tidak berbeza dengan muslimin kerana asal-usul kejadian kita semua adalah satu. Ertinya Islam telah meletakkan persamaan gender sejak dulu lagi, tidak seperti yang dilaung-laungkan apa yang dikatakan sebagai “gender inequality” oleh puak-puak liberal sekarang. Manifestasi ini dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran pada ayat 189, surah al-‘Araf yang bermaksud:
“ Dialah yang menjadikan kamu daripada jiwa yang satu (nabi Adam a.s.)……”
Justeru itu muslimat yang dikasihi sekalian, muslimat yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t itu adalah kita semua. Kitalah wanita-wanita Islam pendokong Parti Islam SeMalaysia – PAS yang tidak kenal penat lelah berjuang untuk meninggikan dan menegakkan syariat Allah s.w.t yang lengkap dan bermanafaat untuk semua insan, tidak kira apa bangsa dan paras rupa serta agama anutan mereka di bumi tercinta ini.
Oleh itu tugas yang terpikul kepada kita untuk membawa perubahan yang lebih baik secara jelas para muslimat disebut, diminta dan dirayu menjadi “pemangkin” kepada perubahan itu.
Muslimat yang dikasihi sekalian,
Apakah pula yang dimaksudkan sebagai “pemangkin”? Merujuk kepada kamus DBP, pemangkin adalah faktor atau unsur yang dapat mempercepatkan atau menyegerakan berlakunya sesuatu perkembangan dan sama erti dengan catalyst (dalam Bahasa Inggeris).
Maka selaku pemangkin untuk melakukan satu perubahan yang lebih baik kita perlu kepada ciri-ciri utama atau sifat-sifat berikut :
1. Penyuluh – petunjuk kepada matlamat yang terang dan jelas. Selaku penyuluh muslimat perlulah memahami matlamat atau objektif yang hendak dicapai dan bagaimana untuk mencapainya,
2. Pendorong – mempertingkatkan keazaman dan kesungguhan untuk mencapai matlamat. Membantu membina sikap yang istiqamah dan fokus terhadap tugas dan tuntutan yang telah diamanahkan,
3. Pembimbing – membantu dan menunjuk ajar dalam melaksanakan tugas ke arah pencapaian yang cemerlang. Membina sikap agar tidak takut untuk mencuba, tidak phobia terhadap kegagalan. Berani kerana benar dan tidak segan untuk bertanya jika tidak tahu.
4. Pemantau – muhasabah, mengawas, memerhati dan menilai kerja-kerja yang telah dilaksanakan. Membina sikap berani memberi teguran ikhlas serta mengakui kesilapan dan memperbetul tatacara, kerana asasnya mengikut hukum fiqh matlamat tidak menghalalkan cara, mestilah semua gerak kerja berlandaskan cara Islam.
5. Pengiktiraf – memberikan pujian atau pengiktirafan terhadap kejayaan dan kecemerlangan pelaksanaan satu-satu tugas. Memberikan kata-kata semangat agar para muslimat merasai benar-benar hasil kerja yang ia jalankan. Bak kata-kata pendorong dalam Bahasa Inggeris - “give credit to where it is due”.
Kesimpulannya, dalam usaha mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran, setiap tenaga muslimat harus bersedia dilatih sebagai pemangkin yang efektif dan berjaya dibentuk menjadi mujahidah solehah yang amat prihatin dan memahami sasaran dakwahnya.
Seharusnya seluruh tenaga muslimat Perak khasnya dan merata muslimat di Malaysia ini amnya mengambil semangat dan iktibar daripada ikon-ikon pemangkin mujahidin dan mujahidah Islam di sepanjang zaman. Ikon sebagai contoh teladan seperti Sultan Muhammad al-Fateh remaja Islam yang telah menawan kota Constantinople yang sekarang bergelar Istanbul ataupun Salahuddin al-Ayubi yang telah menawan kembali kota suci Baitul Mukaddis, selain ikon contoh teladan paling unggul Rasulullah s.a.w. bukannya “Madonna’’ ataupun “Mariah Carey”.
Akhirnya marilah kita sama-sama memanjatkan doa, bermunajat memohon agar Allah s.w.t memudahkan segala gerak kerja kita dan mengembalikan hak rakyat Perak untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan. Ingatlah pesanan baginda Rasulullah s.a.w bahawa doa itu adalah senjata bagi orang-orang yang beriman.
Wa Allahu ‘alam bis sawab.
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Pusat
24 Oktober 2009
Ayer Tawar, Perak Darul Ridzuan
Monday, October 26, 2009
Muslimat Pemangkin Perubahan
Friday, October 23, 2009
Thursday, September 10, 2009
BERTANDANG KE LANG BUANA MENEMUI KARTIKA
Syukur ke hadrat Ilahi, setelah dua minggu meninggalkan tanah air saya dapat menyedut udara
Alhamdulillah, sesungguhnya Allah s.w.t telah menganugerahkan kita dengan nikmat yang begitu besar yang kadangkala kita lupa. Sepatutnya kita banyak bersyukur di atas kurnia itu dan menjaga keharmonian tanah air kita ini untuk kepentingan dan kesejahteraan semua. Di bumi bertuah ini kita diamanahkan oleh Allah s.w.t untuk mengimarahkannya mengikut peraturannya dengan segala cabaran masyarakat majmuk, sistem pemerintahan dan pendidikan warisan penjajah British yang tebal prejudisnya terhadap Islam. Mampukah kita melaksanakannya tanpa mengikut panduan dan hidayah daripadaNYA?
Sebaik saja saya berada di tanah air, selang beberapa hari saya disambut dengan isu “Sebat” yang hebat diperkatakan di dada media cetak perdana. Pada 3 September, Khamis lalu, saya dan Dr. Najihatus Solehah mewakili DMPP ditemani oleh Puan Lity Atni, AJK DMP Wilayah Persekutuan, bersama-sama suami dan beberapa orang anak-anak kami telah dapat menziarahi wanita yang telah secara tiba-tiba terkenal di atas isu itu.
Wanita itu tidak lain tidak bukan ialah Kartika Sari Dewi Sukarno, 32 tahun. Bersama-sama kami juga telah sedia menanti rombongan Ketua DMPN Perak, Puan Bariah Alang Sapri bersama-sama AJKnya. Lebih kurang jam 11.30 pagi kami tiba di Resort Lang Buana, di pinggir sungai Perak, tempat kediaman Encik Sukarno ayah Kartika. Kami dipersilakan naik ke anjung rumahnya oleh adik perempuan Kartika yang sedang mendukung bayinya.
Kami diberitahu bahawa Kartika, ayah dan abangnya telah keluar sejak dari pagi lagi. Saya mengambil keputusan untuk menunggu mereka pulang kerana temu janji telahpun diatur terlebih dahulu. Sementara menunggu Kartika pulang, saya sempat bersama-sama DMPN Perak yang sedang mengadakan sidang media mengenai isu “Sebat” itu. Beberapa wakil media dan bloggers hadir. Apabila tiba sesi soaljawab mereka meminta saya bersama-sama menjawab soalan-soalan yang diutarakan oleh wartawan.
Alhamdulillah, selang beberapa jam kami menunggu penuh sabar, dengan kehendak dan perancangan Allah s.w.t. jua lebih kurang jam 1.30 tengah hari Kartika, bapa dan abangnya Encik Hatta telah tiba ke rumah itu. Seterusnya bapa Kartika mengalu-alukan kehadiran kami.
Kami terpaksa menunggu sekejap untuk Kartika keluar bertemu kami. Dia masuk terus ke rumahnya untuk menemui anak-anaknya, seorang lelaki berumur 7 tahun berkeadaan seorang anak istimewa dan seorang lagi anak perempuan berumur 5 tahun yang menghidapi penyakit jantung berlubang dan masalah paru-paru. Saya dapat melihat kesan jahitan pada dada anak kecil itu. Kami juga dapat memahami kebimbangan Kartika terhadap keadaan anak-anaknya.
Kartika nampak selesa menerima kedatangan kami. Setelah bertaaruf dan mengenalkan diri masing-masing kami terus mengadakan dialog dengan Kartika dan bapanya. Pelbagai soalan yang diajukan oleh rombongan kami kepada mereka berdua. Semua persoalan dijawab dengan penuh kesungguhan dan panjang lebar terutama oleh bapanya. Saya mendengar dengan penuh minat dan melihat Kartika sendiri begitu konfiden dan memang pandai menjawab. Kartika bagaikan seorang yang dapat menguasai bidang komunikasi dan begitu konsisten dengan pegangannya.
Semasa dialog itu berjalan lancar, seketika saya tersentak dengan kenyataannya yang agak memeranjatkan saya bila beliau memberitahu insiden dimana jika mereka yang ditangkap atas kesalahan meminum arak, termasuk Kartika, bersetuju membayar RM2,000.00 atas kesalahan tersebut dan tidak hadir perbicaraan walaupun berkali-kali dipanggil, kes-kes tersebut akan digugurkan. Tetapi jika mengaku bersalah serta enggan merayu atas hukuman tersebut akan dikenakan denda RM5,000.00 dengan 6 kali sebatan oleh Mahkamah.
Sesuatu yang pelik! Bagi mereka yang tidak memahami pelaksanaan undang-undang syariah dan halangan-halangan terhadap perjalanannya di
Astaghfirullah! Alangkah ajaib dan takjubnya kepada apa yang berlaku terhadap pelaksanaan undang-undang syariah. Ya Allah, inikah yang sering berlaku dan menjadi perkara biasa di Mahkamah Syariah? Bagaimana pula sikap para hakim dan pengamal undang-undang syariah terhadap dilemma ini? Mengapa jadi begini? Ampuni kami Ya Allah, berikan kami hidayah dan kekuatan menghadapinya. Kasihanilah kami, Ya Allah. Bantulah kami dalam perjuangan menegakkan agamaMu. Jadikanlah kami sebenar-benar hambamu yang melaksanakan perintahMu. Ampunilah kami, Ya Allah, tunjukkanlah kami sebenar-benar jalan ke arah redhaMu.
Kita dapat melihat begitu gawat sekali pimpinan UMNO menghadapi dilemma ini. Buat julung-julung kalinya kita dapat saksikan bahawa Perdana Menteri, Datok Seri Najib mengucapkan kalimah “tarbiyyah”. Sebenarnya siapa pula yang hendak dan perlu ditarbiyyah? Banyak pihak pula yang mengutarakan pandangan, cadangan dan tuntutan yang tidak melihatnya dari sudut pandangan Islam. Ramai yang tidak yakin dengan keadilan undang-undang Islam sebenar tanpa merujuk kepada pendapat dan pandangan para ulama’ muktabar.
Bagi kami kesimpulan yang dapat diambil daripada pertemuan dengan Kartika adalah begitu jelas sekali.
Kami menghormati keikhlasan beliau untuk bertaubat dan kesal di atas kesalahan dan ketelanjurannya.
Kami menghormati sikapnya yang sanggup dan bersedia menjalani hukuman yang telah dijatuhkan. Kami bersama-samanya menuntut agar hukuman yang akan dilaksanakan mematuhi benar-benar syarat-syarat pelaksanaan undang-undang Islam yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.
Iaitu dapat dirumuskan bahawa kami menyokong tuntutannya untuk mendapatkan keadilan Islam tulen.
NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua DMPP.
Thursday, September 3, 2009
Kembara di Bumi Barakah Makkah al-Mukaramah
Alhamdulillah, suasana di Mekah khususnya masih panas dalam ingatan. Bayangan kaabah kadangkala bermain-main di mata, tersenyum sendiri, hati terasa sangat gembira dan bersyukur terhadap peluang dan kelapangan yang dianugerah oleh Allah s.w.t dalam semua sudut sehingga memungkinkan program ziarah DMPP ke 3 ini dapat saya ikuti.
Walaupun suhu di Mekah mencecah sehingga maksimum 55 C dan wabak H1N1 sedang menular di seluruh dunia, tetapi manusia muslim terus berbondong-bondong datang mengunjungi bumi barakah ini. Namun bila tiba di tanah air dan membaca sebuah akhbar tempatan, ia membicarakan hal keadaan hotel-hotel di kota Mekah mendakwa mengalami sedikit kemerosotan tempahan akibat kurangnya jamaah yang datang kali ini disebabkan penularan wabak H1N1 tersebut.
Jika difikirkan sepintas lalu, ianya anih sekali. Wallahu ‘alam, saya tidak pasti berapa peratus kekurangan kehadiran jamaah, tetapi apa yang dapat dilihat manusia muslim sentiasa penuh sesak di dalam Masjidil Haram dan melempah keluar di perkarangan masjid ketika waktu solat. Ia boleh dilihat juga menerusi gambar-gambar yang sempat saya rakam untuk kenang-kenangan.
Saya merasai bahawa bagi rakyat Malaysia yang menunaikan ibadah umrah dalam suhu yang kadang-kadang mencecah sehingga 55 C, sangatlah teruja serta merupakan satu ujian besar dari Allah s.w.t. Walaubagaimanapun ibadah ini menjelaskan kepada kita bahawa Islam adalah agama yang menjana kecergasan dan mementingkan kebersihan dan kesihatan.
Mana tidaknya, ia dibuktikan dengan rukun tawaf misalnya, memerlukan kita melakukan tawaf mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan. Jika seseorang itu dapat bertawaf dengan betul-betul menghampiri di tepi Kaabah serta Hijir Ismail, bermakna ia telah berjalan sejauh lebih kurang 400 meter bagi tujuh pusingan.
Namun disebabkan keadaan jamaah yang ramai, sentiasa mengelilingi Kaabah, memang sukar seseorang itu dapat bertawaf secara begitu, malah ia mungkin berada di tempat yang lebih jauh yang mengakibatkan ia berjalan lebih jauh juga serta memakan masa yang lebih panjang.
Rukun seterusnya, iaitu saie, menghendaki seseorang itu berjalan sejauh lebih kurang 400 meter dari Safa ke Marwa pada satu perjalanan. Oleh itu bagi tujuh kali turutan, seseorang itu telah berjalan sejauh 2.8 kilometer dan akan memakan masa yang lebih lama jika terdapat ramai jamaah bersama-sama serentak melakukan ibadah saie itu.
Disamping itu pula, di sepanjang perjalanan saie, jamaah digalakkan untuk berlari-lari anak di antara dua tanda lampu hijau. Hikmah berlari-lari anak itu selain daripada mengingati dan menghayati peristiwa yang telah dilalui oleh Siti Hajar ketika mencari air untuk anaknya nabi Ismail, secara langsung aktiviti ini juga dapat melonggarkan otot-otot kaki dan lutut serta tapak kaki kita.
Gerakan-gerakan yang dilakukan tersebut dalam melaksanakan ibadah umrah jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang bukan sahaja melatih dan memfokuskan dalaman rohani insan, tetapi juga mementingkan kecergasan fizikal. Jika diteliti dari sudut kesihatan, kegiatan tersebut amat baik untuk meningkatkan kecergasan tubuh badan dengan mengeluarkan peluh bagi membuang segala toksid serta unsur-unsur yang tidak diperlukan oleh tubuh kita.
Kesimpulan yang dapat kita manafaatkan dari ibadah umrah ini ialah bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang serasi dan selaras dengan kejadian fitrah manusia. Sesungguhnya Maha Bijaksana Allah mencipta manusia dan seterusnya menyediakan syariatnya untuk manusia sesuai dengan fitrahnya. Allah juga tidak membiarkan manusia meraba-meraba mencari sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa manafaat yang dicarinya. Justeru itu marilah kita mentaati semua syariat Allah s.w.t yang sebenarnya paling sesuai dengan fitrah kejadian manusia.
Sesungguhnya benarlah firman Allah s.w.t di dalam al-Quran pada surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud:
“ Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan (tuntutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”
Nuridah Mohd Salleh
Ketua DMPP
PENYERTAAN UMRAH TARBAWI MUSIM KE-4 SUDAH DIBUKA !!!
daftar SEGERA...tempat adalah TERHAD !!!

Tuesday, September 1, 2009
PRK Permatang Pasir di bumi barakah Mekah
Alhamdulillah, saya baru selamat kembali dari bumi kesayangan Baginda junjungan Rasulullah s.a.w. iaitu dua kota suci Mekah dan Madinah.
Saya turut bersama-sama program Umrah Tarbawi DMPP musim ke 3, buat kali kedua bersama-sama Unit Amal Pahang dengan ahli-ahli rombongan seramai 59 orang.
Buat seketika kami berada jauh daripada tanah air, tetapi masih mengingati segala yang ditinggalkan buat sementara di Malaysia, disamping memanjatkan sepenuh doa dan harapan agar semuanya diberikan kesejahteraan dalam kehidupan seharian. Malah terutamanya saya teringat sangat tentang PRK Permatang Pasir yang kebetulan berlaku semasa saya di tanah suci.
Pengumuman t entang tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada PRK Permatang Pasir tersebut dibuat ketika saya dan rombongan sedang berada di Mekah.
Oleh itu saya dan sahabat-sahabat berusaha melakukan tugasan kami terus memohon ke hadrat Illahi Yang Maha Kaya, agar jamaah kita, PAS dengan meletakkan calon Ustaz Mohd Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang selaku wakil Pakatan Rakyat diberikan kejayaan yang cemerlang.
Saya sendiri amat teruja merasakan satu tanggungjawab besar untuk kami ahli-ahli jamaah yang berada di tanah suci untuk bersama-sama para sahabat lain di tanah air berjuang memenangkan calon kita.
Saya setakat terdaya mengambil inisiatif bermunajat kehadrat Illahi setiap kali di depan Multazam, di Hijir Ismail, semasa bertawaf mengililingi Kaabah serta bersaie’ di antara Shafa dan Marwa, terus memohon agar Allah Yang Maha Memakbulkan permohonan, memelihara dan merahmati jamaah kita dan memberikan kejayaan yang cemerlang di PRK Permatang Pasir.
Kami menaruh keyakinan besar bahawa PAS akan menumpaskan BN sekali lagi di Permatang Pasir. Alhamdulillah, saya sendiri amat terasa bahawa kejayaan akan menyebelahi kita dan saya husnul-zan kepada Allah Yang Maha Kaya bahawa BN akan kecundang.
Ketika kami sibuk bersiap untuk pulang ke tanah air, setiba di Jeddah pada 25 Ogos disebelah petang, kami dapat berita yang menyatakan bahawa PAS sedang mendahului BN. Alhamdulillah, akhirnya maklumat yang kami terima bahawa PAS menang di Permatang Pasir.
Tahniah kepada seluruh jentera PAS dan Pakatan Rakyat di semua peringkat di atas kemenangan tersebut. Terhadap YB Ustaz Mohd Salleh Man tahniah diucapkan dan segunung harapan diserahkan agar YB dapat meneruskan tugas yang ditinggalkan oleh allahyarham YB Dato’ Hamdan dengan penuh dedikasi. Insya-Allah berbakti kepada masyarakat kerana Allah selagi hayat dikandung badan.
Tahniah juga kepada PAS Pulau Pinang, teruskan usaha membantu YB kita ini sebagaimana yang telah dilaksanakan kepada allahyarham YB Dato’ Hamdan yang lalu. Mudah-mudahan kemenangan ini akan meningkatkan lagi usaha, tekad dan azam PAS Pulau Pinang untuk terus melangkah maju.
Akhirnya tidak lupa juga ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua jentera HalWa dan Muslimat PAS yang dikasihi, yang telah bertungkus-lumus merancang semasa saya masih berada di tanah air lagi, serterusnya turun padang merasai denyut nadi dan rintihan masyarakat Permatang Pasir. Semoga usaha-usaha amar makruf ini mendapat ganjaran yang sewajarnya dari Allah s.w.t.
Nuridah Mohd Salleh
Ketua DMPP Read More......
Friday, August 7, 2009
Lelaki pro-ISA bukan orang PAS
PAS tidak mempunyai rekod Mohd Khairul Azam Abd Aziz, yang gagal menyerahkan memorandum menyokong ISA minggu lalu, sebagai seorang ahli parti itu seperti dakwaannya.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata semakan menunjukkan pemimpin Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) itu bukan ahlinya.
"Kita dah semak semua dan kita tidak ada rekod pun bahawa Khairul ini ahli PAS di mana-mana (kawasan) pun.
"Saya nafikan. Dia tidak ada kena-mengena dengan PAS," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.
Mohd Khairul dilaporkan mendakwa beliau seorang ahli parti itu di Sungai Ramal, Kajang.
Pengamal undang-undang itu dipetik berkata beliau akan menyaman PAS jika mengambil tindakan disiplin kerana menyokong ISA, satu pendirian yang bertentangan dengan keputusan parti yang mahu ia dimansuhkan.
kaknuri : sumber dari Malaysiakini
KENYATAAN MEDIA WANITA PAKATAN RAKYAT
4 Ogos 2009
Wanita Pakatan Rakyat menggesa agar kerajaan segera menghapuskan Akta zalim ISA yang disalahgunakan oleh mereka yang berkuasa. Polis dipergunakan untuk melaksanakan wewenangan dengan kuasa yang terkandung dalam Akta zalim ISA. ISA memberi kuasa untuk menangkap dan memerenjara rakyat tanpa alas an dan bukti yang sah.
Wanita Pakatan Rakyat juga amat kesal dengan kenyataan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil, dalam usaha menutup kelemahan Umno-BN, Sahrizat solah-olah seperti Zionis Israel yang mempertikai kanak-kanak Palestin yang berada bersama-sama ibu bapa mereka mereka dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.
ISA adalah satu Akta yang zalim dan diwujudkan hanya untuk menegakkan kepentingan Umno-BN. Oleh itu, ia wajar dituntut oleh sekelian rakyat, termasuk anak-anak yang menjadi pewaris masa depan negara. Sebuah negara yang mendokong demokrasi sewajarnya tidak menghalang sebarang perhimpunan aman. Tuntutan rakyat agar ISA dimansuhkan dan bukan hanya dipinda tidak mendapat perhatian kerajaan Malaysia pimpinan Umno-BN. Polis yang diperguna untuk mengukuhkan kepentingan Umno-BN telah memperalat ISA untuk menangkap sesiapa yang disukai tanpa alasan yang hak atau dakwaan dengan bukti yang sahih. ISA adalah alat yang memberi wewenangan kepada sebuah pemerintahan seperti kerajaan Umno-BN untuk meneruskan agenda menghalang kebebasan berhimpun dan bersuara. Pandangan yang lain dari Umno-BN disekat berhabisan dan tidak diberi ruang secukupnya agar didengari oleh rakyat. Media arus perdana di Malaysia adalah nerat sebelah (bias) dan memperkukuh kewujudan Akta zalim ISA.
Polis telah mengamalkan budaya menghukum dan menyiksa mereka yang ditangkap ketika perhimpunan aman menentang ISA. Para OKT (orang kena tahan) telah sengaja tidak di layan dengan sewajarnya dan dibiarkan tanpa makan dan minum yang sempurna ketika dalam tahanan. OKT adalah tidak bersalah dan belum dijatuhkan sebarang hukuman oleh mana-mana mahkamah, maka wajar mereka dilayan sebagai rakyat Malaysia yang lengkap segala hak-hak kewarganegaraan mereka. Sharizat lebih wajar menegur pihak polis, yang di bawah kuasa Menteri dalam Negeri, Hishamuddin Hussein, untuk melaksanakan tugasan mereka secara adil dan profesional, bukannya menjadi alat atau barua mana-mana golongan, hatta Umno-BN sendiri.
Ketika perhimpunan berlangsung, gedung dan perniagaan sekitar lokasi terlibat telah penuh dikunjungi oleh pelanggan. Begitu juga dengan restoren dan kedai-kedai makan yang penuh dengan pengunjung. Pengangkutan awam, khususnya perkhimatan LRT, Monorail dan bas dipenuhi oleh penumpang yang kesemuanya memberi keuntungan yang besar kepada perniagaan. Sebenarnya kegiatan polis yang menyimbah air asid and asaplah yang telah menjejaskan kegiatan ekonomi rakyat Malaysia pada hari Perhimpunan menentang ISA 1hb Ogos lalu. Bahkan polis juga telah mengakibatkan lalulintas jalanraya yang penuh sesak kerana sekatan jalanraya yang dikenakan. Halangan dalam pengamalan demokrasi sebenar adalah punca kerugian perniagaan, kegiatan ekonomi rakyat Malaysia dan huru-hara di jalanraya Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan lain .
Kerajaan Malaysia pimpinan Umno-BN sebenarnya sangat cemas dengan kebangkitan rakyat yang menuntut perubahan, dengan menuntut pemansuhan ISA.
Wanita Pakatan Rakyat menyokong penuh sebarang perhimpunan aman rakyat Malaysia dan menuntut agar pihak polis di bawah Kementerian Dalam Negeri memainkan peranan mereka menyuburkan amalan demokrasi ini, bukan sebaliknya. Kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sharizat Abdul Jalil, Wanita Pakatan Rakyat menggesa beliau agar hentikan bersikap ala Zionis yang mempertahankan keganasan polis terhadap rakyat.
kaknuri : video akan menyusul
Wednesday, July 15, 2009
TAHNIAH atas kemenangan Islam di Manek Urai..!!
TAHNIAH atas kemenangan calon PAS, YB Fauzi di atas kemenangan di dalam Pilihanraya Kecil Manek Urai. Saya mengucapkan selamat bertugas dengan penuh komitmen dan kesungguhan untuk mencapai redhaNYA.
TAHNIAH juga buat Mursyidul Am PAS, TG Nik Abd Aziz merangkap Menteri Besar Kelantan di atas kepimpinan tarbawi beliau di Kelantan sehingga berjaya mengekang penularan kuasa batil daripada bertapak di Manek Urai.
TAHNIAH juga buat semua petugas-petugas di Manek Urai terutamanya petugas-petugas muslimat yang sanggup meninggalkan anak-anak dan keluarga demi memastikan Islam berjaya di Manek Urai. Semoga usaha kita mendapat penilaian di sisiNYA.
TAHNIAH juga buat semua pimpinan-pimpinan muslimat yang sudah sedia sibuk dengan tugasan-tugasan tersendiri, tetapi tidak lupa untuk mencurahkan bakti dan tenaga untuk memastikan PAS bertapak semula di Manek Urai.
TAHNIAH juga buat semua pengundi yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan dorongan kepada PAS Kelantan. Semoga kita dirahmati ALLAH.
TAHNIAH Manek Urai!! Semoga Allah memberkati dan mencurahkan rahmatNYA di Manek Urai.
Tuesday, July 14, 2009
Himpunan Mansuhkan ISA
Tuesday, July 7, 2009
Di Manek Urai
Menghadiri Bengkel Sihat & Comel di Manjor pada 4 Julai yang lalu...
Terserempak dengan Muslimat Jerantut (antara penggerak penting sewaktu menjadi calon PRU di DUN Tahan).
Ni pula dengan Wanita Keadilan dari Jeli.