Ramadhan – inspirasi taqwa dan cara mengekalkan ketaqwaan.
Bila tibanya Ramadhan, penghulu segala bulan mengunjungi kita, maka persoalan taqwa akan menjadi fokus utama perbincangan.
Ini kerana matlamat kunjungan Ramadhan yang di dalamnya ada kewajipan berpuasa oleh Allah s.w.t kepada orang-orang yang beriman tidak lain tidak bukan adalah untuk mencetak kita menjadi orang-orang yang bertaqwa.
Seperti maksud firman Allah s.w.t yang telah kita ketahui dalam surah al-Baqarah ayat 183;
“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”
Dalam bahasa yang mudah, taqwa itu bermaksud berhati-hati dan sentiasa berada dalam keadaan beringat-ingat serta berjaga-jaga dalam mematuhi segala hukum-hakam Allah di sepanjang hidup kita di dunia ini. Patuh dan junjung kepada segala suruhan Allah s.w.t dan tinggalkan segala laranganNya.
Betapa baiknya Allah Ya Rahman Ya Rahim mendidik kita orang-orang yang beriman agar menjadi orang-orang yang bertaqwa dengan segala ibadat harian. Kemudian ditambah pula secara intensif dan konsisten dengan mendatangkan Ramadhan pada saban tahun.
Mengapa bersungguh-sungguh Allah s.w.t dalam hal taqwa ini? Sesungguhnya tidak lain tidak bukan adalah apa yang kita dapat fikirkan kerana Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang mahu menjadikan kita orang-orang yang beruntung lagi mulia di sisiNya.
FirmanNya dalam surah al-Hujurat ayat 13:
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang-orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
FirmanNya lagi dalam surah al-‘Araaf ayat 26;
“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menyediakan kepada kamu (bahan untuk) pakaian bagi menutup auratmu dan untuk perhiasan bagimu, tetapi pakaian taqwa itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda keluasan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.”
Justeru itu persoalannya sekarang bagaimana kita dapat mengekalkan sifat taqwa yang telah kita pupuk secara intensif selama sebulan ramadhan ini.
Antara cara paling utama ialah melakukan jihad nafsu. Nafsu adalah suatu unsur ghaib yang ada dalam diri manusia. Sifat nafsu ini suka menggoda manusia melakukan kejahatan.
Firman Allah s.w.t dalam surah Yusuf ayat 53;
“Sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan.”
Oleh itu jihad nafsu adalah jihad membersihkan jiwa dan mensucikan hati dari sifat-sifat yang keji. Kemudian mengisikan hati dengan sifat-sifat mulia yang terpuji.
Sifat-sifat taqwa dapat dikenali melalui TUJUH tanda-tanda; iaitu:
1. HATI – ikhlas melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. Menghindari diri dari segala penyakit hati seperti hasad dengki, buruk sangka, dendam kesumat dan sebagainya.
2. LIDAH – sibuk berzikir, membaca al-Quran, bermuzakarah, nasihat menasihati, bercakap benar dan sebagainya. Menghindarkan diri dari berbohong, mengumpat, mengadu domba, berbual kosong (sia-sia) dan sebagainya.
3. MATA – Menghindari diri dari memandang perkara yang diharamkan oleh Allah seperti memerhati perempuan bukan mahram dengan syahwat, gambar-gambar lucah dan sebagainya. Juga tidak memandang dunia dengan keinginan, sebaliknya mengambil segala iktibar daripadanya.
4. PERUT – Tidak memakan makanan yang haram ataupun syubahat yang tidak dapat diyakini tentang halal dan baiknya.
5. TANGAN – Tidak digunakan untuk memegang dan mengambil perkara yang haram dan bukan haknya.
6. KAKI – Tidak digunakan berjalan ke tempat maksiat, sebaliknya digunakan untuk ziarah, berdakwah, pergi ke masjid atau surau dan sebagainya.
7. PERILAKU – Selalu mencari keredaan Allah dan memastikan segala tindakan adalah benar mengikut akhlak Islam dan juga semata-mata bermatlamat mendapatkan keredaanNya jua.
Kesimpulannya bagi mengekalkan ketaqwaan ialah dengan melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar pada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 93;
“Tidak berdosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh tentang apa yang mereka makan (dahulu), apabila mereka bertaqwa dan beriman, serta mengerjakan amal soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan membuat kebajikan, kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Sesungguhnya manifestasi untuk mengekalkan ketaqwaan adalah berusaha mempertingkatkan akhlak mulia dengan sifat-sifat mahmudah serta menghindarkan diri dari sifat-sifat mazmumah.
Akhir sekali saya mengambil kesempatan ini menyusun sepuluh jari memohon maaf zahir dan batin kepada semua yang mengenali diri saya. Selamat menyambut Hari Raya Eidul Fitri.
Nuridah Mohd Salleh.
No comments:
Post a Comment