EIDUL FITRI YANG MABRUR
Setelah umat islam difardhukan berjuang mengekang hawa nafsu pada sebulan Ramadhan, Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang membalasnya dengan satu hari yang dinamakan Eidulfitri atau Hari Raya Fitrah.
Pada Eidulfitri atau Hari Raya Fitrah ini umat islam dihalalkan kembali oleh Allah mengikut kebiasaan asalnya iaitu boleh makan-minum pada siang harinya. Maka umat islam disunatkan menyambut hari kemenangan mengekang hawa nafsu ini dengan penuh tata cara yang dibenarkan Ilahi sahaja.
Oleh itu Hari Raya ini adalah kurniaan Allah, maka sambutannya tentulah berbeza dengan sambutan perayaan-perayaan lain yang bukan kurniaan Allah. Agar dengan itu, di waktu atau di tempat mana pun umat islam berada, akan sentiasa mendapat pahala, kasih sayang dan keredhaan Ilahi jua.
Amalan-amalan yang membolehkan sambutan Eidulfitri kita mabrur atau diterima Allah antaranya ialah:
Menghidupkan malam raya dengan amal ibadat.
Contohnya, mendirikan solat fardhu berjemaah, melakukan solat sunat, membaca Al-Quran, bertasbih, bertakbir, beristighfar, memperbanyakkan doa dan melakukan apa sahaja amal-amal kebajikan. Sabda Baginda, mafhumnya:
“Sesiapa yang bangun malam raya fitrah dan malam raya adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekalian hati.” - Riwayat Ibnu Majah.
Mengangkat suara untuk bertakbir.
Waktunya bermula dari terbenam matahari malam raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah maksudnya:
“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangangnya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada mu, supaya kamu bersyukur.” - Al-Baqarah : ayat 185.
Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya:
“Hiasilah raya kamu dengan takbir” - Riwayat Tabrani.
Mendirikan solat fardhu berjemaah seperti solat isyak dan subuh.
Sabda Rasulullah, mafhumnya:
“Solat secara berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.
Mandi sunat Eidulfitri.
Sebelum pergi ke tempat solat untuk mendirikan solat sunat Hari Raya disunatkan terlebih dahulu mandi.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. - Riwayat Ibnu Majah.
Memakai pakaian yang elok dan berwangi-wangian.
Diriwayatkan daripada Zafar bin Muhammad bahawa Rasulullah s.a.w. memakai kain yang bergaris-garis pada setiap kali Hari Raya. - As-Syafie dan Al-Bukhari.
Makan sedikit dahulu sebelum solat sunat Eidulfitri.
Anas berkata: “Adakah Nabi s.a.w. tidak beredar pada Hari Raya Fitri hinggalah Baginda makan beberapa biji tamar.” - Riwayat Bukhari.
Bersegera ke tempat solat dengan berjalan kaki dan menggunakan jalan pergi dan balik yang berbeza.
Diriwayatkan Nabi s.a.w. keluar untuk solat Hari Raya dalam keadaan berjalan kaki dan pulang ke rumah (selepas solat) melalui jalan yang lain daripada yang dilaluinya. - Riwayat Ibnu Majah.
Solat Eidulfitri.
Dari Al-Bara ia berkata; Aku mendengar Nabi s.a.w. berkhutbah: Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah solat. - Riwayat Bukhari.
Mengucapkan tahniah dan mendoakan antara satu sama lain.
Berdasarkan daripada athar Sahabah;
Daripada Jubair bin Nufair:
“Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. apabila mereka berjumpa di Hari Raya, sebahagiannya mengucapkan kepada sebahagian yang lain iaitu semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu (semoga Allah menerima puasa dan amal kita semua).”
Bersedekah.
Islam amat menggalakkan bersedekah bagi mereka yang mempunyai kelebihan terutama di hari-hari kegembiraan seperti Hari Raya. Bahkan tujuan zakat fitrah yang wajib ke atas individu muslim itu sendiri, adalah untuk membantu golongan yang tidak mampu.
Ziarah-menziarahi terutama keluarga terdekat.
Ibnu hajar dalam kitabnya Fath Al-Baari ada menjelaskan Saidina Abu Bakar datang ke rumah Rasulullah s.a.w. semasa Hari Raya adalah untuk berziarah.
Istiqamah dengan syariat islam.
Antara perkara-perkara yang tidak mengikut syariat islam ketika berhari raya ialah:
- Memakai pakaian yang mendedahkan aurat.
- Bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
- Terlalu banyak makan dan minum.
- Terperap di rumah dengan hanya menonton tv, main game atau menghadap internet sahaja.
Insyaallah, mudah-mudahan keghairahan dan keseronokan kita menyambut Eidulfitri adalah hasil pancaran daripada keimanan mengagung dan memuliakan hadiah Allah s.w.t. ini.
Salam Eidulfitri Al-Mubarak, maaf zahir batin.
Nuridah Binti Mohd Salleh
No comments:
Post a Comment