Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, March 13, 2010

HARI WANITA SEDUNIA – KESAKSAMAAN HAK, KESAKSAMAAN PELUANG : KEMAJUAN UNTUK SEMUA

Masyarakat antarabangsa meraikan sekali lagi sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac baru-baru ini. Sambutan buat kali ke 99 ini bertemakan "Equal Rights, Equal Opportunities: Progress For All ” – Kesaksamaan Hak, Kesaksamaan Peluang : Kemajuan Untuk Semua".

Usaha meraikan Hari Wanita Sedunia ini merupakan satu pengiktirafan dunia terhadap peranan dan jasa wanita. Namun diharapkan pengiktirafan ini biarlah benar-benar memberi makna kepada kesejahteraan wanita bukan hanya satu acara sambutan sekadar bertukar tema setiap tahun.

Jika dilihat kepada tema sambutan untuk tahun ini, kita dapat gambaran bahawa memang ada banyak yang tidak kena, ataupun banyaknya masalah berkaitan kesejahteraan wanita yang telah diabaikan oleh dunia sejagat. Mungkinkah dunia tidak mampu mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut ataupun dibiarkan ia menjadi satu dilema wanita sejagat?

Seringkali dunia menyaksikan kemelut keganasan rumahtangga, perceraian, penderaan seksual dan pelacuran berlaku dan wanitalah yang menjadi mangsanya tanpa pembelaan. Ditambah pula dengan gejala phornografi, rogol, penderaan terhadap kanak-kanak dan pembuangan bayi yang baru lahir. Gejala tersebut kebiasaannya dikaitkan dengan diskriminasi terhadap wanita, keruntuhan moral dan kemiskinan. Malah wanita sekarang menghadapi serangan penyakit kronik seperti kanser, AIDS-hilang keupayaan melawan penyakit dan penyakit-penyakit yang disebabkan oleh kebiasaan hidup dunia modern yang meminggirkan kepentingan wanita.

Terlalu banyak isu-isu pengabaian kepentingan wanita berlaku, namun pada realitinya isu-isu tersebut tidak digarap sepenuhnya sebagai satu agenda nasional yang perlu mendapat perhatian dan pembelaan daripada pihak berwajib serta masyarakat. Kita juga melihat telah banyak desakan dan tuntutan badan-badan NGO wanita yang prihatin terhadap nasib kaum mereka tidak mendapat respon yang sewajarnya. Oleh itu adalah amat penting segala usaha ke arah merealisasikan tema untuk tahun ini dilipatgandakan dan menjadi satu agenda yang perlu disokong oleh semua pihak.

Justeru itu segala kelemahan yang berkait dengan pelaksanaan menangani pengabaian kepentingan wanita ini akan mengundang impak yang negatif kepada perjalanan dan kesejahteraan masyarakat. Umpamanya kegagalan memberikan rasa hormat yang sepatutnya kepada martabat keinsanan wanita dalam semua lapangan hidup akan mengakibatkan terjadi pencabulan hak-hak wanita itu sendiri.

Sesungguhnya Islam memandang tinggi dan meletakkan persamaan martabat antara lelaki dan wanita. Firman Allah s.w.t dalam al-Quran pada surah al-Hujurat; ayat 13, yang bermaksud :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."

Penegasan Allah s.w.t di dalam ayat tersebut menjelaskan bahawa ukuran martabat seseorang itu di sisiNya bukanlah kerana ia lelaki atau wanita – seperti apa yang diperkatakan sebagai kesamarataan gender sekarang – tetapi adalah kerana amal baik dan ketaatannya terhadap Allah s.w.t.

Kemudian Allah s.w.t. membebankan tanggungjawab pada sesuatu perbuatan kepada pelaku-pelakunya samada lelaki atau wanita. FirmanNya di dalam al-Quran pada surah al-Jathiyah: ayat 22 yang bermaksud :

"…… dan supaya tiap-tiap diri diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan (baik atau jahat), sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedkitpun."

Masing-masing di antara lelaki dan wanita berhak mendapat balasan disisi Allah s.w.t sesuai dengan amalannya. FirmanNya lagi pada surah Ali Imran: ayat 195 yang bermaksud :

"Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya) : Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal di kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan….."

Justeru itu amat jelas bahawa Islam memandang kesamarataan gender di antara lelaki dan wanita dalam nilai-nilai kemanusiaannya, begitu juga dalam hak-hak hukum. Masing-masing harus mendapat perlindungan jiwa, kehurmatan, harta benda dan kebebasan.

Islam memberi kesempatan kepada wanita untuk berkarier selagi mana mereka dapat menjaga nama baik, maruah diri dan tidak menjejaskan keharmonian rumahtangga mereka. Sebenarnya dalam menentukan kedudukan dan peranan wanita di dalam masyarakat, Islam telah banyak meletakkan garis panduan dan dasar-dasar yang jelas untuk dihayati. Sejauh mana kita mematuhi garis panduan dan dasar-dasar ini yang akan menentukan kejayaan kita di dunia dan akhirat.

Oleh itu dalam kita sibuk merayakan sambutan Hari Wanita Sedunia ini janganlah kita lupa bahawa segala perancangan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti sambutan itu mengikut garis panduan dan dasar-dasar tersebut. Semoga kita akan berjaya didalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia.


Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

1 comment:

Anonymous said...

Salam...Kak Nuri, apa khabar? Maaf,adakah dengan memartabatkan wanita maka wanita akan terbela? Atau dengan memartabatkan ISLAM secara langsung wanita akan terbela? Yakinlah bahawa bila ISLAM dinobat semua akan sejahtera. Ayuh berjuang kerana ISLAM bukan kerana 'gender'.
Salam perjuangan