Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, February 21, 2010

Ucapan Perasmian di Konvensyen Muslimat Negeri Terenggau : MUSLIMAT PENJANA KEMENANGAN

Yang dihormati Puan Pengerusi majlis,

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada Ketua dan saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu serta seluruh peserta muslimat yang dikasihi sekalian di atas kejayaan mengadakan konvensyen ini.

Mudah-mudahan konvensyen ini akan dapat memberikan suntikan semangat yang berterusan kepada para muslimat untuk terus isitiqamah, berusaha dan berjuang menegakkan kalimah Allah s.w.t. di muka bumi ini.

Firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran surah al-Maidah: ayat 54 - 56, maksudnya:

" Wahai orang-orang yang beriman sesiapa yang menyeleweng di kalangan kamu daripada agamanya (Islam) nescaya Allah akan mendatangkan satu golongan di mana Allah mengasihi mereka dan mereka juga mengasihi Allah, mereka bersifat merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kemuliaan (kehebatan) terhadap orang-orang yang menentang Islam, mereka berjihad pada jalan menegakkan agama Allah dan mereka tidak takut menghadapi celaan orang-orang yang mencela. "

Itu adalah kurnia Allah yang diberi kepada sesiapa yang Dia mengkehendakiNya dan Allah itu Maha luas kurniaNya lagi Maha Mengetahui.

Sesungguhnya yang menjadi wali kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka sentiasa tunduk (patuh) kepada Allah dan sesiapa yang berwalikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman (yang begitu sifat-sifatnya) maka sesungguhnya (parti) yang menegakkan agama Allah itu akan mendapat kemenangan.”

Muslimat yang dikasihi sekalian,

Di dalam ayat-ayat itu Allah s.w.t. memaklum dan memerintahkan kita agar mewujudkan kumpulan Islam yang bercirikan:

1. Menegakkan Islam secara menyeluruh yang menjadi risalah para rasul a.s. sepertimana yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam semua bidang kehidupan samada aqidah, syariat, akhlak, ekonomi, pemerintahan dan segala yang berkaitan dengannya, bagi kehidupan individu mahupun bermasyarakat dan bernegara.

2. Mewujudkan saf kepimpinan Islam yang teguh ukhuwahnya serta izzah dalam menghadapi musuh-musuh Islam tanpa rasa putus asa, takut dan hina.

3. Sedia berjihad secara faham dan bijak sehingga Islam tertegak dan berkuasa mengatasi segala yang lain.

4. Wala’ kepada Allah, Rasul dan kepimpinan Islam yang berwibawa, iaitu kepimpinan yang tunduk-patuh dan taat hanya kepada Allah dan RasulNya.

Muslimat yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya inilah “core business” atau peranan utama kita yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam menempuh kehidupan duniawi yang sementara ini.

Oleh itu sebagai pendokong jamaah Islam kita wajib memperkasakan diri setiap ahli di semua peringkat organisasi parti secara dalaman dengan bercirikan pada perintah Allah s.w.t yang telah diterangkan pada ayat tadi.

Dalam masa yang sama kita juga wajib mengatur langkah dan strategi perjuangan sebijak mungkin dalam merealisasikan kewajipan berpolitik dan bermasyarakat.

Kita hendaklah mempunyai kemampuan mengajak manusia kepada Islam untuk menjadi penganutnya yang setia dan mengajak bukan Islam menjadi penyokong yang menerima kita kerana keyakinan kepada Islam yang adil untuk semua.

Muslimat yang dikasihi sekalian,

Justeru itu kita patut merasa bersyukur dan bahagia kerana kita termasuk di dalam golongan yang digelar sebagai muslimat. Sebenarnya siapakah insan muslimat itu?

Jika kita rujuk kepada al-Quran “muslimat” adalah gelaran daripada Allah s.w.t seperti firmanNya pada surah al-Hajj: ayat 78, maksudnya:

" Ia Allah menamakan kamu muslimin sejak dari zaman berzaman dan juga (kamu dipanggil muslimin) di dalam kitab al-Quran agar Rasul menjadi saksi ke atasmu dan supaya kamu pula menjadi saksi ke atas manusia. Oleh itu hendaklah kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, dan berpegang teguhlah dengan Allah kerana Dialah penjaga kamu, maka Dialah sebaik-baik penjaga dan sebaik-baik pemberi pertolongan. "

Oleh itu muslimat dari sudut kemanusiaan tidak berbeza dengan muslimin kerana asal-usul kejadian kita semua adalah satu. Ertinya Islam telah meletakkan persamaan gender sejak awal kejadian dulu lagi, tidak seperti apa yang dilaung-laungkan sebagai “gender inequality” oleh puak-puak liberal sekarang. Hal ini dirakamkan oleh Allah s.w.t pada surah al-‘Araf: ayat 189 yang bermaksud:

" Dialah (Allah) yang menjadikan kamu daripada jiwa yang satu (nabi Adam a.s.) "

Muslimat yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. itu adalah kita semua. Kitalah wanita-wanita Islam pendokong Parti Islam SeMalaysia – PAS yang tidak kenal penat lelah berjuang untuk meninggi dan menegakkan syariat Allah s.w.t yang serba lengkap dan bermanafaat untuk semua insan, tidak kira apa jua bangsa dan paras rupa serta agama anutan mereka.

Tugas yang terpikul ke atas kita ini perlulah dilakukan dengan terbaik agar perubahan kepada masyarakat dan negara kepada penghayatan Islam yang sejahtera ini dapat menjadi suatu kenyataan.

Ingatlah bahawa tugas kita dalam menunaikan amanah Allah s.w.t ini adalah juga untuk kebaikan dan kepentingan kita sendiri kerana Allah s.w.t. menegaskan di dalam al-Quran pada surah al-Israa’: ayat 7 yang bermaksud:

" Jika kamu buat kebaikan (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk dirimu…………"

dan pada surah al-Ankabut: ayat 6 yang bermaksud:

" Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk. "

dan lagi pada surah Muhammad: ayat 7 yang bermaksud:

" Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. "

Jelaslah bahawa dalam perjuangan kita untuk menegakkan Islam ini kita sangatlah berhajatkan dengan pertolongan Allah s.w.t.

Mudah-mudahan panduan daripada ayat-ayat Allah itu akan sentiasa menjadi sumber inspirasi bagi kita meneruskan perjuangan suci ini di dalam satu saf yang tersusun rapi selagi hayat dikandung badan.

Akhir kata saya mengucapkan selamat berkonvensyen " Siru ‘ala barakaatillah ". Marilah kita bersama-sama merasmikan konvensyen ini dengan membaca umul kitab, al-fatihah.


Nuridah Mohd Salleh
Masjid Rusila, Marang
Terengganu Darul Iman
6 Februari 2010

No comments: