Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, February 24, 2010

Catatan Perjalanan bulan Februari 2010

“TIGA BUTIR MUTIARA, PERGINYA TAKKAN KEMBALI LAGI”

Pada hari khamis 18 Februari 2010 yang lalu, saya dan suami telah sempat menziarahi jenazah Allahyarham Yazid Sulong 57 tahun, Setiausaha Kerja PAS Kawasan Jerantut, Pahang. Jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampong Pulau Mansok, pada jam 11.00 pagi.

Allahyarham telah meninggal dunia pada hari Rabu sebelumnya kira-kira jam 5.00 petang di Hospital Jerantut. Beliau dibawa oleh keluarganya ke hospital pada sebelah pagi kerana mengalami sesak nafas. Beliau meninggalkan seorang balu dan 7 orang anak, yang kecil sekali dua orang kembar lelaki berumur 10 tahun.

Ketika saya bertanding di DUN Tahan, dalam Parlimen Jerantut pada PRU ke 12, Mac 2008 yang lalu, Pak Zid merupakan orang yang sangat sibuk mengendalikan kempen pilihanraya itu. Lebih maklum saja di Jerantut PAS bertanding di dua DUN dan Parlimen. Parlimen Jerantut mempunyai tiga DUN, satu lagi DUN ditandingi oleh PKR. Walaupun PKR bertanding di DUN tersebut, kempen-kempennya banyak melibatkan pendokong-pendokong PAS, juga calonnya ada hubungan keluarga dengan calon PAS bagi Parlimen Jerantut, Ustaz Dr. Hamzah Jaafar.

Rumah Pak Zid di Pulau Mansok pula terletak di dalam kawasan DUN Tahan tempat saya dicalonkan mewakili PAS pada pilihanraya itu. Sepanjang tempoh kempen, kawasan rumahnya menjadi tumpuan petugas-petugas PAS dan orang ramai disebabkan ianya berada di sebelah Markaz Besar PAS DUN Tahan yang juga markaz bagi cawangan PAS Pulau Mansok. Di markaz itulah antara tempat kami bertungkus-lumus menjalankan berbagai operasi untuk kempen pilihanraya itu.

Kematiannya mengejutkan saf pimpinan dan ahli-ahli PAS Jerantut. Ini kerana beliau kelihatan masih segar dan aktif melaksanakan tugas-tugas parti. Malah beliau merupakan diantara penggerak utama bagi dua program besar PAS Kawasan Jerantut pada hujung bulan ini. Ketiadaannya amat dirasakan oleh semua, maklumlah saja sebagai seorang Setiausaha Kerja Kawasan yang komited dan beliau pula menumpukan sepenuh masanya berkhidmat dengan parti.

Semasa saya berada di rumahnya, ketua dan beberapa orang ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerantut turut bersama-sama saya menziarahi jenazah beliau. Mereka dalam keadaan terharu berkata, Pak Zid meninggal dunia di dalam suasana orang-orang sekelilingnya menyayangi dan amat memerlukan usaha-usaha beliau dalam menjalankan dan menggerakkan aktiviti-aktiviti parti. Malah semua fail-fail bagi kawasan, dewan-dewan dan cawangan-cawangan ada dalam tangannya. Sekarang tiada lagi Pak Zid untuk uruskan iftar kawasan Jerantut pada setiap hari Isnin malam Selasa dan beliaulah pula orang yang akan pulang ke rumah paling lewat pada malam itu, tambah mereka lagi.

Seorang muslimat cawangan mengadu pada saya bahawa dia dan ahli-ahli cawangan telah mendapat mesej dari Pak Zid memanggil mereka untuk bergotong-royong membersihkan markaz tersebut pada hari khamis 21 Januari 2010 yang lalu. Hati kecilnya berkata-kata: “ Nak buat program apa pula kat markaz ni? Tak sangka rupanya Pak Zid nak menyiapkan markaz ni untuk tempat dia dimandi, dikafan dan disembahyangkan. ”

Lebih daripada 100 orang sahabat dan pendokong PAS Pulau Mansok telah menyembayangkan jenazah beliau. Turut hadir juga ialah Dr. Hamzah Jaafar, Yang Di Pertua PAS Kawasan Jerantut dan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang bersama beberapa orang ahli jawatankuasa hariannya, serta rombongan Encik Balasubramaniam, Pengerusi Kelab Penyokong PAS. Perginya Pak Zid tiada pengganti.

Selang beberapa hari sebelum Pak Zid meninggal dunia, kita telah mendapat berita tentang dua kematian tokoh muslimat PAS, iaitu Allahyarhamah Ustazah Kalsom Othman, 61 tahun dan Allahyarhamah Ustazah Aisyah Awang, 58 tahun. Saya hanya sempat dapat bergegas menaiki kapalterbang menziarahi jenazah Ustazah Kalthom di Pasir Puteh, Kelantan.

Siapa yang tak kenal dengan Ustazah Kalsom Othman. Allahyarhamah adalah mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat sesi 2003 – 2005. Beliau bukanlah orang baru dalam PAS. Saya mengenalinya seawal tahun 1982 lagi. Ketika itu saya baru menyertai PAS dan di dalam tahun dua di Fakulti Usuluddin, Akademi Islam, Universiti Malaya di kampus Nilam Puri, Kelantan. Saya juga telah mengikuti rombongan Muslimat PAS Kelantan ke Kedah untuk bersama-samanya mengikuti Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat yang diadakan di Bukit Besar, Kedah. Ketika itu beliau adalah salah seorang perwakilan dan juga ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kelantan.

Saya masih ingat pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Kelantan tahun 1993, beliau telah dipilih sebagai Ketua DMPP Kelantan, setelah kematian Ustazah Wan Asma’ Wan Abdul Kadir. Kak Som memegang jawatan tesebut sehingga 2005. Sehingga akhir hayatnya juga beliau memegang jawatan sebagai Ketua DMPP Kawasan Pasir Puteh. Beliau adalah diantara tokoh muslimat PAS yang menjadi rujukan DMPP Kelantan dan kami di DMPP Pusat.

Kak Som adalah tokoh muslimat PAS yang tidak kenal penat-lelah dan istiqamah dalam perjuangan. Walaupun tidak memegang jawatan di peringkat PAS Pusat, beliau masih gigih bersemangat terus aktif berjuang disamping menjaga ibunya yang telah uzur dan sudah menjangkau umur 91 tahun. Takdir telah menentukan bahawa ibu yang telah uzur dan tidak berupaya untuk berjalan lagi itu menerima pemergian anak yang dikasihi dengan penuh pasrah. Masih lagi teringat suara lantang beliau berpidato penuh semangat di pentas-pentas program parti. Perginya tiada pengganti.

Belum pun reda rasa kehilangan kita pada tokoh Muslimat PAS yang berjasa ini, yang telah pergi meninggalkan kita pada hari Rabu, 3 Februari 2010 pada jam 1.45 pagi yang lalu, kita telah mendapat khabar pula tentang kematian seorang lagi tokoh Muslimat PAS, Ustazah Aisyah Awang dari Terengganu yang menghembuskan hafas terakhir pada hari Jumaat 12 Februari 2010 jam 7.30 petang. Allahyarhamah juga adalah adik kepada Dato’ Seri Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Ustazah Aisyah semasa hayatnya adalah seorang tokoh pendidik yang gigih lepasan dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga adalah mantan Ketua DMPP Terengganu dan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa DMPP Pusat. Saya menjadi agak rapat dengan beliau semasa beliau bertugas di Kuala Lumpur. Pertama kali beliau datang ke rumah kami ketika saya sekeluarga mengadakan kenduri kecil kesyukuran. Kebetulan pula beliau berkongsi minat dan hobi gubahan bunga dengan saya. Pada hari itu beliau memberi perhatian dan menegur hiasan sulaman bunga pada dinding di rumah kami. Beliau pernah menghadiahkan saya dengan satu set gubahan bunga hasil tangannya sendiri. Saya letakkan gubahan bunga itu sebagai hiasan di belakang tempat duduk kereta kancil saya.

Selepas itu, kami menjadi lebih rapat lagi bila beliau datang bersama-sama membantu DMPP Wilayah Persekutuan mengadakan satu symposium ISA di awal tahun 90an di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar. Beliau ketika itu mencadangkan supaya kami memasang langsir pada setiap tingkap di Dewan Besar Dato’ Fadzil Mohd Noor. Kami bersetuju dan saya menyiapkan langsirnya. Itulah buat pertama kali tingkap-tingkap di dewan itu dihiasi dengan langsir.

Allahyarhamah juga merupakan seorang tokoh Muslimat PAS yang terkenal dengan kepetahannya berhujjah dan memberi kuliah-kuliah agama dalam mengisi program-program tarbiyah parti. Kelas-kelas agama beliau sangat diminati oleh muslimat dan dapat menggamit hati muslimat untuk terus mengikuti kuliah-kuliahnya. Pada 6 Februari 2010 saya telah dijemput ke Masjid Rusila, Marang untuk merasmikan Konvensyen Muslimat PAS Terengganu. Saya telah menerima salam darinya tetapi tidak dapat bersua muka. Saya memberitahu Kak Dah, muslimat yang menguruskan protokol, niat saya untuk menziarahinya. Tetapi keadaan tidak mengizinkan, tiada rezeki saya dapat menemuinya ketika itu.

Pergilah sudah tiga penggerak PAS meninggalkan kita. Bagi saya mereka merupakan tiga butir mutiara bagi jemaah kita. Demikian sudah sampai masa dan ketikanya buat ketiga-tiga pejuang Islam itu meninggalkan segala aktiviti-aktiviiti di atas dunia yang fana ini. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menerima segala amal mereka dan diberikan ganjaran yang sewajarnya. Sesungguhnya akan tiba juga giliran kita menyusuli mereka. Lambat atau cepat hanya Allah saja yang Maha Mengetahui.

Selagi hayat dikandung badan, marilah kita teruskan perjuangan kebenaran ini semata-mata kerana Allah. Moga dengan istiqamah yang penuh keikhlasan ini menjadi saham penyelamat kita di hari akhirat nanti. Hari pembalasan yang tidak mampu kita hadapi tanpa ihsan dan pertolongan dari Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Nuridah Mohd Salleh
Taman Melewar
23 Februari 2010


No comments: