Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, September 10, 2009

BERTANDANG KE LANG BUANA MENEMUI KARTIKA



Syukur ke hadrat Ilahi, setelah dua minggu meninggalkan tanah air saya dapat menyedut udara Malaysia sekali lagi apabila kapalterbang mendarat jam 1.05pm di KLIA. Saya terasa keletihan sedikit tetapi dapat merasakan bahawa bumi bertuah ini memang indah dan nyaman. Walaupun pernah mendengar sendiri beberapa sahabat dan tetamu luar negeri memuji keindahan tanah air kita, tetapi kali ini setelah banyak kali mengalaminya sendiri saya akur.

Alhamdulillah, sesungguhnya Allah s.w.t telah menganugerahkan kita dengan nikmat yang begitu besar yang kadangkala kita lupa. Sepatutnya kita banyak bersyukur di atas kurnia itu dan menjaga keharmonian tanah air kita ini untuk kepentingan dan kesejahteraan semua. Di bumi bertuah ini kita diamanahkan oleh Allah s.w.t untuk mengimarahkannya mengikut peraturannya dengan segala cabaran masyarakat majmuk, sistem pemerintahan dan pendidikan warisan penjajah British yang tebal prejudisnya terhadap Islam. Mampukah kita melaksanakannya tanpa mengikut panduan dan hidayah daripadaNYA?

Sebaik saja saya berada di tanah air, selang beberapa hari saya disambut dengan isu “Sebat” yang hebat diperkatakan di dada media cetak perdana. Pada 3 September, Khamis lalu, saya dan Dr. Najihatus Solehah mewakili DMPP ditemani oleh Puan Lity Atni, AJK DMP Wilayah Persekutuan, bersama-sama suami dan beberapa orang anak-anak kami telah dapat menziarahi wanita yang telah secara tiba-tiba terkenal di atas isu itu.

Wanita itu tidak lain tidak bukan ialah Kartika Sari Dewi Sukarno, 32 tahun. Bersama-sama kami juga telah sedia menanti rombongan Ketua DMPN Perak, Puan Bariah Alang Sapri bersama-sama AJKnya. Lebih kurang jam 11.30 pagi kami tiba di Resort Lang Buana, di pinggir sungai Perak, tempat kediaman Encik Sukarno ayah Kartika. Kami dipersilakan naik ke anjung rumahnya oleh adik perempuan Kartika yang sedang mendukung bayinya.

Kami diberitahu bahawa Kartika, ayah dan abangnya telah keluar sejak dari pagi lagi. Saya mengambil keputusan untuk menunggu mereka pulang kerana temu janji telahpun diatur terlebih dahulu. Sementara menunggu Kartika pulang, saya sempat bersama-sama DMPN Perak yang sedang mengadakan sidang media mengenai isu “Sebat” itu. Beberapa wakil media dan bloggers hadir. Apabila tiba sesi soaljawab mereka meminta saya bersama-sama menjawab soalan-soalan yang diutarakan oleh wartawan.

Alhamdulillah, selang beberapa jam kami menunggu penuh sabar, dengan kehendak dan perancangan Allah s.w.t. jua lebih kurang jam 1.30 tengah hari Kartika, bapa dan abangnya Encik Hatta telah tiba ke rumah itu. Seterusnya bapa Kartika mengalu-alukan kehadiran kami.

Kami terpaksa menunggu sekejap untuk Kartika keluar bertemu kami. Dia masuk terus ke rumahnya untuk menemui anak-anaknya, seorang lelaki berumur 7 tahun berkeadaan seorang anak istimewa dan seorang lagi anak perempuan berumur 5 tahun yang menghidapi penyakit jantung berlubang dan masalah paru-paru. Saya dapat melihat kesan jahitan pada dada anak kecil itu. Kami juga dapat memahami kebimbangan Kartika terhadap keadaan anak-anaknya.

Kartika nampak selesa menerima kedatangan kami. Setelah bertaaruf dan mengenalkan diri masing-masing kami terus mengadakan dialog dengan Kartika dan bapanya. Pelbagai soalan yang diajukan oleh rombongan kami kepada mereka berdua. Semua persoalan dijawab dengan penuh kesungguhan dan panjang lebar terutama oleh bapanya. Saya mendengar dengan penuh minat dan melihat Kartika sendiri begitu konfiden dan memang pandai menjawab. Kartika bagaikan seorang yang dapat menguasai bidang komunikasi dan begitu konsisten dengan pegangannya.

Semasa dialog itu berjalan lancar, seketika saya tersentak dengan kenyataannya yang agak memeranjatkan saya bila beliau memberitahu insiden dimana jika mereka yang ditangkap atas kesalahan meminum arak, termasuk Kartika, bersetuju membayar RM2,000.00 atas kesalahan tersebut dan tidak hadir perbicaraan walaupun berkali-kali dipanggil, kes-kes tersebut akan digugurkan. Tetapi jika mengaku bersalah serta enggan merayu atas hukuman tersebut akan dikenakan denda RM5,000.00 dengan 6 kali sebatan oleh Mahkamah.

Sesuatu yang pelik! Bagi mereka yang tidak memahami pelaksanaan undang-undang syariah dan halangan-halangan terhadap perjalanannya di Malaysia akan menjadi sungguh keliru. Memang pun ramai yang keliru termasuk Menteri-Menteri sendiri terutama bagi mereka yang melihatnya serta membandingkan dengan pelaksanaan undang-undang sivil. Setelah 52 tahun merdeka beginikah caranya komitmen UMNO untuk pelaksanaan undang-undang Islam?

Astaghfirullah! Alangkah ajaib dan takjubnya kepada apa yang berlaku terhadap pelaksanaan undang-undang syariah. Ya Allah, inikah yang sering berlaku dan menjadi perkara biasa di Mahkamah Syariah? Bagaimana pula sikap para hakim dan pengamal undang-undang syariah terhadap dilemma ini? Mengapa jadi begini? Ampuni kami Ya Allah, berikan kami hidayah dan kekuatan menghadapinya. Kasihanilah kami, Ya Allah. Bantulah kami dalam perjuangan menegakkan agamaMu. Jadikanlah kami sebenar-benar hambamu yang melaksanakan perintahMu. Ampunilah kami, Ya Allah, tunjukkanlah kami sebenar-benar jalan ke arah redhaMu.

Kita dapat melihat begitu gawat sekali pimpinan UMNO menghadapi dilemma ini. Buat julung-julung kalinya kita dapat saksikan bahawa Perdana Menteri, Datok Seri Najib mengucapkan kalimah “tarbiyyah”. Sebenarnya siapa pula yang hendak dan perlu ditarbiyyah? Banyak pihak pula yang mengutarakan pandangan, cadangan dan tuntutan yang tidak melihatnya dari sudut pandangan Islam. Ramai yang tidak yakin dengan keadilan undang-undang Islam sebenar tanpa merujuk kepada pendapat dan pandangan para ulama’ muktabar.

Bagi kami kesimpulan yang dapat diambil daripada pertemuan dengan Kartika adalah begitu jelas sekali.

Kami menghormati keikhlasan beliau untuk bertaubat dan kesal di atas kesalahan dan ketelanjurannya.

Kami menghormati sikapnya yang sanggup dan bersedia menjalani hukuman yang telah dijatuhkan. Kami bersama-samanya menuntut agar hukuman yang akan dilaksanakan mematuhi benar-benar syarat-syarat pelaksanaan undang-undang Islam yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Iaitu dapat dirumuskan bahawa kami menyokong tuntutannya untuk mendapatkan keadilan Islam tulen.


NURIDAH MOHD SALLEH

Ketua DMPP.

1 comment:

Unknown said...

Assalammualaikumm..

TAHNIAH..ustzh,Dr. & sekalian yg terlibat..

Masyaallah..undg2 Islam manakah yg dipegang oleh kerajaan skrg dlm melaksanakn secebis hukum syariah ALLAH. Jelas berlaku kepincgn dlm pelaksanaannya..PELIK SUNGGUH..Mengaku lagi berat..tak nk menyerah..la..bagi YURAN PELEPASAN je....apa nk jd dgn manusia skrg.KESUNGGUHAN cintakan HUKUM ALLAH begitu cetekk.Sesungguhnya manusia2 itu perlu ingat "ALLAH tidak pernah tidur"..Maha Mengetahui

Mhn keampunan Allah kita diberi tunjuk jln yg benar. Bersama kita mendoakan Allah m'anugerahkan hidayah pd saudari Kartika..

('_')...Teruja tengok gmbar2..if ana berada d tnh Mel sana pasti tidak mlpskan peluang keemasan mengekor...hee.

SALAM PERJUANGAN..

aljundi_sarawaki