Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, September 3, 2009

Kembara di Bumi Barakah Makkah al-Mukaramah

Alhamdulillah, suasana di Mekah khususnya masih panas dalam ingatan. Bayangan kaabah kadangkala bermain-main di mata, tersenyum sendiri, hati terasa sangat gembira dan bersyukur terhadap peluang dan kelapangan yang dianugerah oleh Allah s.w.t dalam semua sudut sehingga memungkinkan program ziarah DMPP ke 3 ini dapat saya ikuti.

Walaupun suhu di Mekah mencecah sehingga maksimum 55 C dan wabak H1N1 sedang menular di seluruh dunia, tetapi manusia muslim terus berbondong-bondong datang mengunjungi bumi barakah ini. Namun bila tiba di tanah air dan membaca sebuah akhbar tempatan, ia membicarakan hal keadaan hotel-hotel di kota Mekah mendakwa mengalami sedikit kemerosotan tempahan akibat kurangnya jamaah yang datang kali ini disebabkan penularan wabak H1N1 tersebut.

Jika difikirkan sepintas lalu, ianya anih sekali. Wallahu ‘alam, saya tidak pasti berapa peratus kekurangan kehadiran jamaah, tetapi apa yang dapat dilihat manusia muslim sentiasa penuh sesak di dalam Masjidil Haram dan melempah keluar di perkarangan masjid ketika waktu solat. Ia boleh dilihat juga menerusi gambar-gambar yang sempat saya rakam untuk kenang-kenangan.

Saya merasai bahawa bagi rakyat Malaysia yang menunaikan ibadah umrah dalam suhu yang kadang-kadang mencecah sehingga 55 C, sangatlah teruja serta merupakan satu ujian besar dari Allah s.w.t. Walaubagaimanapun ibadah ini menjelaskan kepada kita bahawa Islam adalah agama yang menjana kecergasan dan mementingkan kebersihan dan kesihatan.

Mana tidaknya, ia dibuktikan dengan rukun tawaf misalnya, memerlukan kita melakukan tawaf mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan. Jika seseorang itu dapat bertawaf dengan betul-betul menghampiri di tepi Kaabah serta Hijir Ismail, bermakna ia telah berjalan sejauh lebih kurang 400 meter bagi tujuh pusingan.

Namun disebabkan keadaan jamaah yang ramai, sentiasa mengelilingi Kaabah, memang sukar seseorang itu dapat bertawaf secara begitu, malah ia mungkin berada di tempat yang lebih jauh yang mengakibatkan ia berjalan lebih jauh juga serta memakan masa yang lebih panjang.

Rukun seterusnya, iaitu saie, menghendaki seseorang itu berjalan sejauh lebih kurang 400 meter dari Safa ke Marwa pada satu perjalanan. Oleh itu bagi tujuh kali turutan, seseorang itu telah berjalan sejauh 2.8 kilometer dan akan memakan masa yang lebih lama jika terdapat ramai jamaah bersama-sama serentak melakukan ibadah saie itu.

Disamping itu pula, di sepanjang perjalanan saie, jamaah digalakkan untuk berlari-lari anak di antara dua tanda lampu hijau. Hikmah berlari-lari anak itu selain daripada mengingati dan menghayati peristiwa yang telah dilalui oleh Siti Hajar ketika mencari air untuk anaknya nabi Ismail, secara langsung aktiviti ini juga dapat melonggarkan otot-otot kaki dan lutut serta tapak kaki kita.

Gerakan-gerakan yang dilakukan tersebut dalam melaksanakan ibadah umrah jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang bukan sahaja melatih dan memfokuskan dalaman rohani insan, tetapi juga mementingkan kecergasan fizikal. Jika diteliti dari sudut kesihatan, kegiatan tersebut amat baik untuk meningkatkan kecergasan tubuh badan dengan mengeluarkan peluh bagi membuang segala toksid serta unsur-unsur yang tidak diperlukan oleh tubuh kita.

Kesimpulan yang dapat kita manafaatkan dari ibadah umrah ini ialah bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang serasi dan selaras dengan kejadian fitrah manusia. Sesungguhnya Maha Bijaksana Allah mencipta manusia dan seterusnya menyediakan syariatnya untuk manusia sesuai dengan fitrahnya. Allah juga tidak membiarkan manusia meraba-meraba mencari sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa manafaat yang dicarinya. Justeru itu marilah kita mentaati semua syariat Allah s.w.t yang sebenarnya paling sesuai dengan fitrah kejadian manusia.

Sesungguhnya benarlah firman Allah s.w.t di dalam al-Quran pada surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud:

“ Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan (tuntutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”

Nuridah Mohd Salleh
Ketua DMPP


PENYERTAAN UMRAH TARBAWI MUSIM KE-4 SUDAH DIBUKA !!!
daftar SEGERA...tempat adalah TERHAD !!!

No comments: