Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, April 14, 2009

Wanita Berdaya, Kita Bersaudara


Wanita Berdaya Kita Bersaudara
KE ARAH MEMPERTEGUH JALINAN PAKATAN RAKYAT



Mengimbas kembali dengan penuh keinsafan, kita menyedari bahawa terdapat pelbagai kata-kata perumpamaan yang tulus dan hebat yang telah diutarakan oleh masyarakat kita sejak dulu lagi, terutamanya masyarakat Melayu di dalam menggambarkan keberdayaan para wanita.

Sebagai satu contoh, pepatah ada menyatakan bahawa “tangan yang menghayun buaian itu akan menggoncang dunia”. Wanita adalah tonggak negara, jika baik wanita, maka baiklah negara seluruhnya. Sebaliknya jika jahat wanita, maka pelbagai masalah yang tidak berkesudahan akan di hadapi negara keseluruhannya juga.

Meyakini peranan wanita yang begitu penting dan hebat lagi berat, iaitu selaku para pengasuh dan pendidik utama terhadap kelangsungan dan survival generasi bermaruah dan berakhlak mulia, juga selaku serikandi, pelaksana dan petugas dalam mewujudkan sebuah negara bangsa serta ummah yang bertamadun, maka “wanita berdaya” amatlah dinanti dan diperlukan. Ianya bagi menjamin tanggungjawab berat itu dapat terlaksana dengan sempurna.

Tanggungjawab unggul ini sebenarnya sangat perlu dan dapat dilaksanakan secara bersama dan bersepadu kerana kita semua adalah berasal dari keturunan yang satu, iaitu dari satu bapa kemanusiaan nabi Adam a.s. Oleh itu “kita bersaudara” dari sudut kewujudan dan survival kemanusiaan. Sehubungan itu tidak hairanlah kita berkongsi dan berpijak di atas bumi yang satu dan juga kepada keperluan fitrah yang sama pada nilai-nilai adil, telus, amanah, berkebajikan dan berwibawa.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah an-Nisa’ ayat pertama, mafhumya: “ Wahai manusia, bertaqwalah kepada tuhanmu yang menciptakan kamu dari diri yang satu, daripadanya Allah menciptakan isterinya, dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya, kamu saling meminta, peliharalah silatur-rahim, sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasi kamu.”

Mudah-mudahan dengan tekad dan cita-cita murni ini dibantu dengan perancangan yang bijak dan realistik serta juga usaha-usaha yang dinamik ke arah matlamat ini, wanita Pakatan Rakyat akan dapat merealisasikan dan meneruskan perjuangan “ wanita berdaya, kita bersaudara” dengan jayanya.

Wasalam. Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.

“PAS untuk semua. Mengisi kemenangan, melestari kebajikan.”



Nuridah Mohd Salleh
Ketua, Dewan Muslimat PAS Pusat.

No comments: