Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, July 18, 2011

Abdul Aziz Hafiz selepas meninggal dunia

oleh : Subky Abdul Latif

Selepas Syawal lalu, Ustazah Nuridah Salleh yang masih Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat ketika itu menghantar anaknya, Abdul Aziz berusia 12 tahun belajar tahfiz al-Quran di Darool Ulum Zakaria, Johannesburg di Afrika Selatan.

Di madrasah yang samalah dua anak saya belajar lebih 10 tahun lalu.

Sejak beberapa bulan saja dia sudah menghafaz tujuh juz. Tiga bulan lalu Aziz tidak mengikuti pengajian kerana diserang sakit tumor. Sejak dua bulan lalu dia terlantar, tidak dapat bergerak di hospital. Tanggal 3 Julai lalu dia menemui ajalnya.

Sebelum solat jenazah, tok guru madrasah itu memberitahu, Aziz dianugerah hafiz oleh Allah. Sekalipun dia baru hafal tujuh juz, Allah menyempurnakan hajatnya kerana dia ke situ adalah menghafaz al-Quran. Maka dia hafiz.

Ada hadis menyebutkan, apabila seorang penuntut al-Quran mati semasa belajar, malaikat datang mengajarnya, menyambung pengajiannya hingga khatam.

Banyaklah syafaat yang diperoleh oleh seorang penuntut yang mati ketika belajar apa lagi Aziz seorang kanak-kanak yang belum baligh. Bertuahlah ibu bapanya beroleh seorang anak yang dikasihi Allah.

Oleh kerana pasangan Azmi dan Nuridah ini ramai anak laki-laki, saya tidak ingat yang mana satu Abdul Aziz. Kata anak saya, ‘yang selalu datang ke rumah dengan Pak Cik Azmi semasa kecil dulu. Yang nakal, yang Apak susah hati bila Pak Cik Azmi bawa dia datang.’

Memang dia nakal. Semua benda di rumah diusiknya dan bersepah dibuatnya. Anak saya menambah, ’Dulu Apak tak suka dia datang, sekarang dia ahli syurga.’

Baru saya ingat. Rupa anak Nuridah yang paling nakal dulu itulah Aziz.

Kerana dia meninggal hari Ahad, hari cuti, semua urusan membawa jenazahnya pulang ke Malaysia tidak dapat dibuat. MAS tidak ada penerbangan hari Isnin. Yang ada penerbangan Singapura, SIA. Tetapi urusan kertas membenarkan jenazah dibawa keluar dari Afrika Selatan tidak selesai.

Urusan selesai. Penerbangan yang ada adalah pesawat Qatar. Tetapi penerbangan dari Qatar ke Kuala Lumpur pula tertangguh. Akhirnya terpaksa menunggu penerbangan MAS petang Selasa tiba di Kuala Lumpur subuh Rabu.

Empat hari baru jenazahnya dikebumikan sebelah kubur Ustaz Hassan Shukri di Batu Muda, Kuala Lumpur.

Kira-kira 15 tahun dulu saya banyak menghantar kanak-kanak tahfiz ke Istanbul. Saya bagi tahu ibu bapa, kalau anak mereka mati di Istanbul jangan minta saya menguruskan jenazah anaknya dibawa pulang.

Urusan jenazah perlu disegerakan. Eloklah ia disempurnakan di Istanbul saja. Itulah ujian dan kesabaran yang wajar dihadapi oleh ibu bapa. Ada ibu bapa yang tidak seronok. Tetapi itulah pilihan kalau mahu anaknya belajar di Istanbul. Mereka terpaksa bersetuju. Syukur tidak ada seorang pun yang mati.

Saya tidak tahu apa jadi kalau anak saya yang mati. Moga-moga Allah menguatkan sikap saya!

Banyak ganjaran Allah terhadap pelajar agama yang mati ketika belajar. Antaranya ada hadis tok guru sebut, apabila seorang merantau kerana menuntut ilmu, dia mati dan dikebumikan di tempat itu, nescaya Allah binakan istana untuknya di syurga sebesar antara rumahnya dengan tempat dia dikebumikan.

Bagi pelajar dari Makkah yang mati di Madinah, maka dia dapat istana atau mahligai sebesar dan seluas antara Makkah dan Madinah. Kalau pelajar dari Baghdad mati di Mesir dia dapat istana sebesar itu.

Kira-kira 100 tahun dulu ada seorang penuntut dari kampung saya di Pasir Panjang Laut, Sitiawan jika tidak silap namanya Abdul Rahman bin Haji Abdul Samad. Dia menuntut di Makkah dan mati di Makkah.

Bayangkan istananya di syurga nanti sebesar antara Malaysia dan Makkah. Istana bukanlah sekadar panjang saja tetapi panjang dan lebarnya. Tentulah sama panjang dan lebar. Panjangnya dari Malaysia ke Makkah dan lebarnya juga dari Malaysia ke Makkah.

Dari Malaysia ke Johannesburg adalah lebih jauh dari ke Makkah. Penerbangan haji dari Malaysia ke Jeddah biasanya mengambil masa lapan jam, tetapi penerbangan ke Johannesburg mengambil masa 10 jam.

Maka sudah tentulah istana untuk Aziz lebih besar daripada istana pelajar orang kampung yang mati di Makkah dulu. Kalau istana itu bulat maka bayangkan bulatan sebesar antara Malaysia dan Johannesburg tersergam seluas Lautan Hindi.

Tiada bangunan lain yang boleh dibina di situ lagi setelah ada istana Aziz itu.

Aziz itu seorang kanak-kanak berusia 13 tahun, belum baligh dan belum ada kiraan dosa dan pahala. Baginya kalau solat dan puasa, tidak ada kira-kira pahala. Habis apa jadi pada pahalanya? Terbuang sajakah?

Ibu bapanya yang mengasuh anaknya solat dan puasa itu yang beroleh pahala itu. Untuk siapa istana Aziz yang besar itu? Tentulah untuk ibu dan bapanya yang beriman dan beramal salih.

Bapa Nabi Ibrahim tidak dapat menumpang di istana baginda di syurga kerana bapanya tidak beriman.

Istana Aziz itu adalah disediakan untuk bapanya, Azmi dan bondanya Ustazah Nuridah serta saudara-mara terdekatnya yang beriman seperti ibu bapa Azmi dan ibu bapa Nuridah serta adik-beradik Abdul Aziz.

Tetapi mengikut hadis itu istana itu terbina dari tempat tinggalnya ke tempat dia dikebumikan. Kalau dia tidak dikebumikan di tempat dia mati, adakah istana itu masih ada untuknya?

Banyak syafaat yang diperolehinya selain daripada istana itu. Tetapi perbincangan kita ialah tentang istana yang dijanjikan itu.

Apa pun Aziz sudah dapat banyak ganjaran yang boleh ditumpang oleh ibu bapanya yang hilang?

Tidak berbangkit kalau Aziz dipusarakan di tempat dia meninggal.

Tentulah hal ini tidak dibincang mengikut hukum akal. Kena ada nasnya yang jelas bagi mengetahuinya.

Adapun hadis itu saya dengar daripada tok guru saja. Hanya ahli-ahli hadis dan para ulama yang mengetahui yang dapat menjelaskan tentang hadis itu supaya kita tahu kedudukan sebenar tentang hadis itu.

Saya tidak tahu status hadis itu sama ada ia sahih, lemah atau palsu.

Saya hanya mendengar hadis itu daripada tok guru. Oleh kerana ada kejadian yang berkait dengan hadis itu, maka saya wakar membandingkan kejadian itu dengan hadis yang saya dengar tadi supaya ilmu itu dapat dikongsi oleh seramai-ramai orang.

Saya berat mempercayai hadis itu ada. Selain tiada sesiapa mengatakan ia lemah atau palsu, saya beriman dengan hadis itu.

Cuma yang musykil bagi saya ialah adakah nikmat istana itu kekal apabila Aziz tidak dikebumikan di tempat ajalnya tiba?

Bersyukurlah kalau tiada syarat jenazah itu dikebumikan di situ atau di mana-mana. Ibu bapa dan kerabat yang terdekat akan dapat menumpang syafaatnya. Kalau tempat dikebumi itu diambil kira, maka dibimbangi rugi kita tidak beroleh anugerah yang disediakan.

Ahli hadis dan ahli ilmu wajar menjelaskan supaya ia menjadi panduan kepada orang lain. Kiranya berlaku pula kejadian kepada pelajar yang lain, maka ibu bapa sekelian tahu apa patut dibuat supaya masing-masing tidak rugi kalaupun tidak melakukan perkara yang tidak patut.

Apa pun Abdul Aziz telah dapat apa yang menjadi haknya. Dia sudah hafiz sekalipun dia belum menamatkan pengajian semasa hidupnya. Dia memulakan pengajian dengan berguru kepada tok guru tetapi menempatkan pengajiannya dengan berguru kepada malaikat.

Faedah untuk semua ialah apa yang dinikmatinya dapat ditumpang oleh sebanyak orang dan menjadi contoh kepada yang lain.

1 comment: