Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, December 16, 2010

TAMBAH SEGERA BILANGAN DOKTOR PERUBATAN

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) melahirkan kebimbangan dengan jumlah doktor perubatan yang meletak jawatan. Menurut kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai seramai 884 orang pegawai perubatan telah meletakkan jawatan dari tempoh 2007 hingga September lalu.

DMPP melihat jumlah 884 orang adalah jumlah yang agak kritikal bagi kategori golongan profesional seperti doktor perubatan. Meskipun pelbagai faktor diberikan seperti menjadi tenaga pengajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta, mengikut pasangan ke luar negara, menerima tawaran pekerjaan lain dan masalah kesihatan, ianya tidak boleh menjadi sandaran. Kerajaan perlu memikirkan sesuatu bagi mengurangkan jumlah doktor perubatan yang meletakkan jawatan bagi mengelakkan krisis kekurangan doktor perubatan di hospital kerajaan dan swasta.

Dalam keadaan jumlah doktor perubatan yang semakin berkurangan, para doktor sedia ada sudah pasti terbeban dengan pelbagai tugas. Bebanan ini sudah pasti akan memberi kesan yang mendalam terhadap golongan ini. Tidak hairan sekiranya para doktor mengalami stress, kemurungan, lemah, lesu, masalah kesihatan, serta hubungan kekeluargaan yang renggang. Justeru DMPP berpandangan para doktor perlu diberikan masa kerja dan rehat yang secukupnya bagi memberikan masa berkualiti untuk mereka.

Untuk mengikat doktor perubatan dengan kerjaya mereka, seharusnya insentif yang berpatutan diberi kepada mereka. Elaun tambahan, serta kenaikan gaji selaras dengan kelayakan mereka perlu dipertimbangkan semula. Kebanyakan doktor perubatan di hospital kerajaan meletak jawatan hanya kerana mereka menerima peluang kenaikan gaji dan pangkat yang jauh lebih tinggi di hospital swasta. Bahkan ramai doktor terpaksa melakukan kerja tambahan di klinik lain bagi menambah pendapatan mereka.

Selain itu, kerajaan wajar menggalakkan mahasiswa beramai-ramai mengambil kursus kedoktoran bagi menampung jumlah pegawai perubatan di Malaysia. Dengan biasiswa, tajaan selain memudahkan sistem pembelajaran akan menyuntik motivasi mahasiswa untuk menceburi bidang ini. Kewujudan kampus serta fakulti yang menawarkan ijazah kedoktoran boleh menambah bilangan doktor di negara ini.

Akhirnya DMPP berharap kerajaan mengambil langkah serius bagi mengatasi masalah kekurangan doktor perubatan di negara ini. Secara realistik para doktor hanya perlu berkhidmat untuk 10-15 orang pesakit dalam satu-satu masa agar tumpuan dapat diberikan kepada mereka berbanding dengan berpuluh pesakit dihadapkan dengan seorang doktor sahaja selama ini.

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
(15 Disember 2010 / 9 Muharram 1432)

Read More......

Thursday, December 2, 2010

Muslimat PAS alu-alukan langkah menyediakan bas khas untuk wanita

Dewan Muslimat PAS Pusat sangat mengalu-alukan langkah baik Rapid KL mengadakan perkhidmatan bas khas bagi golongan wanita saja. Langkah ini tepat pada masanya dan amat sesuai dengan senario semasa dimana ramai penjawat awam dan swasta dari kalangan wanita menggunakan perkhidmatan bas untuk pergi balik ke pejabat dan rumah mereka terutamanya di waktu sesak di bandar-bandar besar seluruh negara.

Sedikit masa dulu kita berasa amat selesa apabila KTM memulakan perkhidmatan koc khas untuk wanita pada waktu sesak. Tindakan tersebut mendapat respon yang sangat menggalakkan. DMPP turut turun padang dan membuat kajian rambang serta mendapati perkhidmatan tersebut disokong oleh para pengguna baik dari kalangan wanita mahupun lelaki.

Langkah ini juga sudah lama dinanti-nantikan serta telah beberapa kali disuarakan oleh badan-badan NGO Wanita yang prihatin terhadap keselesaan dan keselamatan golongan wanita di dalam menggunakan pengangkutan awam. Malah di negara-negara maju di Eropah seperti Sweden, langkah-langkah ini telah terlebih dulu dilaksanakan serta terbukti ianya membantu mengurangkan kadar jenayah dan gangguan seksual terhadap wanita.

Jika kita menoleh kebelakang sejenak terhadap manifesto PAS pada PRU 12, Mac 2008, diantara tawaran yang hendak PAS laksanakan adalah menjaga keselesaan dan keselamatan wanita dengan menyediakan pusat rekreasi dan sukan khas untuk wanita. Termasuk juga perkhidmatan pengangkutan awam khusus bagi golongan wanita.

Sehubungan itu tindakan ini dilihat sesuai dari sudut tuntutan Islam dimana Islam telah meletakkan martabat yang tinggi terhadap wanita serta menuntut dipelihara maruah mereka dengan sebaik-baiknya.

Tindakan menyediakan perkhidmatan bas khas bagi wanita ini dapat dirasakan kesesuaiannya dengan iktibar dari hadis Rasulullah sa.w. yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi; yang mafhumnya; “ Sebaik-baik dikalangan kamu, adalah orang yang paling baik dengan isterinya, dan Akulah dari kalangan kamu yang paling baik dengan isteriku”.

Nuridah Mohd Salleh

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

2hb Disember 2010.

Read More......