Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, November 16, 2010

PERUTUSAN EIDUL ADHA : Hayati pengorbanan Siti Hajar laksana amanah Allah

Seringkali kita dipaparkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Ismail a.s. apabila menjelang kedatangan Eidul Adha. Peristiwa yang menggambarkan keimanan yang kental dan keyakinan yang jitu, ketaatan dan pengorbanaan diantara seorang ayah dan anak lelakinya terhadap perintah Allah s.w.t merupakan suatu kisah teladan yang unggul bagi panduan kita mengharungi kehidupan di dunia ini.

Sayangnya kita jarang sekali mendengar ataupun terlalu sedikit saja para penceramah yang telah menyentuh dengan huraian yang mendalam peranan dan pengorbanan Siti Hajar sebagai seorang isteri dan ibu dalam peristiwa tersebut.

Seharusnya kita hayati bagaimana ketabahan dan ketaatan seorang isteri bersama anak yang masih kecil ditinggalkan oleh suaminya di suatu lembah padang pasir yang kering kontang tanpa penduduk semata-mata untuk menyempurnakan perintah Allah s.w.t.

Sesungguhnya jika kita mengambil iktibar dari peristiwa tersebut di dalam konteks kegiatan dakwah haraki, peranan dan tanggungjawab Muslimat adalah amat besar serta tidaklah mudah tanpa pergantungan kepada pertolongan dari Allah s.w.t. Peranan, sikap dan tindakan yang telah ditunjukkan oleh Siti Hajar itu sudah cukup untuk kita teladani. Tanpa keimanan yang penuh ikhlas, keyakinan yang jitu, kesetiaan kepada suami, dapat diragui bahawa Siti Hajar berjaya mengharungi segala cabaran yang terbentang di depan matanya.

Sebenarnya dari teladan yang ditunjukkan oleh Siti Hajar itu peranan besar Muslimat adalah sebagai pembantu dan pelengkap terhadap amanah dan tanggungjawab perjuangan Islam bukannya pesaing.

Firman Allah s.w.t , pada surah at-Taubah, ayat 71 yang bermaksud:“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Jelaslah juga dari pengertian ayat tersebut bahawa Allah s.w.t mengiktiraf peranan besar yang mesti dilaksanakan oleh Muslimat walaupun bentuk tugas dan skop yang berlainan. Bagi Muslimat PAS, kita yakini bahawa segala perancangan dan usaha-usaha yang telah dan akan kita laksanakan adalah selari dengan semangat ini. Natijahnya adalah bahawa tiada siapa yang boleh meragui kesetiaan dan sumbangan besar Muslimat terhadap perjuangan PAS dalam mengharungi segala cabaran yang mendatang.

Justeru itu, dalam kita perlu sedari juga bahawa di dalam usaha-usaha kita meneruskan perjuangan ini kita sentiasa memerlukan pertolongan dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t, pada surah Muhammad, ayat 7 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

Pada pandangan jumhur ulama bahawa tindakan kita bergerak dalam jamaah Islam, isitiqamah dan bersungguh-sungguh melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita adalah satu manifestasi “menolong agama Allah”.

Jika kita dapat menghayati dan berjaya melaksanakan tututan jamaah dengan ikhlas, maka layaklah kita mendapat pertolongan dari Allah s.w.t.

Oleh itu dalam era Pakatan Rakyat kini di mana PAS adalah komponen sebuah parti pemerintah di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, peranan Muslimat adalah berlainan daripada masa-masa lampau. Kita perlu pastikan bahawa peranan kita didalam melaksanakan tugas selaku Ahli Parlimen, anggota Exco, Adun atau Ahli Majlis kerajaan tempatan serta JKK selaras dengan matlamat parti kita dan tuntas dengan permuafakatan dalam tuntutan Pakatan Rakyat.

Peranan PAS adalah penting dalam memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Tetapi perlu diingat bahawa didalam kegairahan kita melaksanakan tugas-tugas kepada rakyat semua aktiviti dan tuntutan jamaah kita juga perlu berjalan seiring dan tidak dikesampingkan.

Parti kita mesti diperkukuhkan agar ianya dapat berperanan dengan efektif pada permuafakatan kerajaan Pakatan Rakyat. Parti yang lemah akan mengakibatkan kerajaan jadi kucar kacir. Tiada kerajaan tanpa parti.

Akhir kata pada kesempatan ini saya bagi pihak Dewan Muslimat PAS Pusat ingin mengucapkan selamat menyambut Eidul Adha dan hayatilah pengorbanan serta ketabahan Siti Hajar dalam semua aspek kehidupan kita, kepada seluruh kepimpinan Dewan Muslimat di pelbagai peringkat, pendokong dan penyokong PAS di seluruh Malaysia.


Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Pusat
16 November 2010
Taman Melewar

Read More......

Media: Muslimat PAS sokong MB Kedah

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Dewan Muslimat PAS Pusat menyokong tindakan tegas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak membenarkan media arus perdana milik Umno membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) kali ini.

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, ini ekoran tindakan media Umno yang mempolitikkan isu banjir besar di utara terutama di Kedah yang sangat dikesalkan.

“Ianya menggambarkan satu tindakan yang tidak prihatin dan tidak menghormati hak rakyat Kedah memilih kerajaan negeri yang mereka sokong,” ujarnya.

Beliau juga kesal dengan sikap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kenyataan berunsur fitnah berhubung kejadian banjir itu.

Katanya, mereka sepatutnya mendapatkan maklumat yang sahih dari Bilik Gerakan Banjir negeri yang mengurus dan menyelia urusan bantuan banjir.

Tambahnya, kenyataan yang dipolitikkan oleh pemimpin Umno itu ini telah menyerlahkan wajah sebenar mereka yang berniat jahat dan tidak adil.

“Saya menyeru agar pendokong dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat memboikot semua media arus perdana milik Umno agar ia menjadi suatu pengajaran kepada mereka supaya bertindak adil dan saksama kepada rakyat,” ujarnya.

Read More......