Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, September 22, 2010

SEKITAR PROGRAM MUBARAK & SYAWAL 1431H
DI GUNUNG SEMANGGOL, PERAK


Untuk sebarang sumbangan, salurkan ke Tabung Kebajikan DMPP-Harakah Maybank 564025400533.




Read More......

Sunday, September 5, 2010

BERLALUNYA RAMADAN DENGAN RASA SEDIH BERCAMPUR GEMBIRA MENYAMBUT EIDUL-FITRI.

Adakah akan berlalu jua Ramadan kali ini, sama seperti Ramadan-Ramadan pada tahun-tahun lalu? Sayang sekali jua, Allah menganugerahkan kepada kita hanya satu bulan yang istimewa dan mulia ini dalam masa setahun dan sejak pengisytiharan Allah kepada Rasulullah s.a.w itu, Ramadan tetap setia akan datang setiap tahun hingga kini. Bulan yang digelar penghulu segala bulan. Para sahabat Rasulullah s.a.w telah dididik merindui dan menunggu-nunggu kehadirannya dengan penuh keimanan dan kegembiraan. Mereka pula sangat bersedih dan menangisi pemergiannya.

Bagaimana pula umat Islam generasi kita di zaman ini? Apakah dapat kita hayati iman dan apa yang dirasakan oleh para sahabat terdahulu?

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya, bermaksud:
“ Dari Abi Mas’ud al-Ghifari r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Andaikata umatku mengetahui kelebihan Ramadan, nescaya mereka mengidamkan agar setahun itu dijadikan Ramadan.”

Mudah-mudahan kita juga termasuk dalam golongan yang bersedih dengan pemergian Ramadan. Mengapa umat Islam yang mantap dan kuat imannya akan merasai suasana demikian? Tentunya lebih ramai yang akan bergembira untuk meyambut Syawal yang akan tiba.

Apakah hikmahnya disebalik suasana rasa sedih ditinggalkan Ramadan dan bercampur gembira untuk meyambut kedatangan Syawal yang dialami oleh para sahabat? Marilah kita sama-sama mencari jawapan terhadap suasana anih, sedih bercampur gembira itu, antaranya:

1. Ajal maut seseorang adalah didalam genggaman Allah s.w.t saja, tiada maklumat yang akan diperolehi untuk mengetahui tentang ajal kita daripada sesiapapun kecuali Allah jua. Jadi belum tentu kita akan dapat menemui Ramadan lagi pada tahun depan. Mungkin Ramadan kali ini adalah yang terakhir bagi kita. Alangkah sedih dan takutnya rasa hati kita?

2. Sabda Rasulullah s.a.w :
“ Ramadan itu awalnya rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya pembebasan dari api neraka.”

Masya Allah terlalu hebatnya tawaran Allah!
  • i. Pada Ramadan awalnya ada rahmat dan kasih sayangNya melimpahi hidup kita.
  • ii. Di pertengahnya ada maghfirah – keampunan dari segala dosa yang telah kita lakukan mahupun secara sengaja atau tidak, kecuali dosa syirik.
  • iii. Di akhirnya pembebasan dari azab api neraka yang tidak tertanggung oleh kita.
Ada lagikah tawaran-tawaran duniawi yang lebih hebat daripada tawaran Allah ini kepada orang-orang yang beriman yang melaksanakan puasa? Tentunya jika adapun ia tidak akan dapat menyaingi tawaran bonus yang berlimpahan daripada Allah s.w.t ini. Apakah bagi hati-hati yang bercahaya imannya tidak menangisi berlalunya Ramadan kali ini?

3. Sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim menyatakan :
” Dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap amalan anak-anak Adam itu dilipatgandakan satu kebajikan pada gandaan dengan 10 sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman: Kecuali puasa. Sesungguhnya puasa ini untukKu dan Aku akan membalasnya, ia mengekang syahwat dan makan- minum hanya untukKu. Bagi orang-orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Kegembiraan ketika ia berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Allah. Dan bau busuk mulut orang-orang yang berpuasa di hadapan Allah lebih harum dari wangian misk”

Bukankah Maha Pemurah, Maha Menghargai dan Maha Baiknya Allah! Puasa ibarat pemberian “blank check” dari Allah untuk mereka yang yakin dengan janjiNya. Hati-hati beriman mana yang tidak sayu dengan berlalunya Ramadan?

4. Tiada bulan semulia Ramadan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Tiada malam sebaik “Lailatul Qadar”. Lailatul Qadar hanya ada pada bulan Ramadan saja, amat beruntunglah para mukminin yang malam itu menjadi rezekinya. Tentunya bagi mereka yang terlepas akan rasa amat sayu terkilan dengan berlalunya Ramadan yang menyimpan pelbagai rahsianya.

5. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang jelas menyatakan bahawa tujuan Allah memfardhukan puasa di bulan Ramadan kepada umat Islam agar mereka menjadi orang-orang yang bertaqwa.

Apa faedahnya menjadi orang-orang yang bertaqwa? Berdasarkan pada banyak ayat-ayat
al-Quran dapat kita ringkas dan rumuskan bahawa bagi orang-orang yang bertaqwa ini dapat menikmati kecermelangan dan kebahagian hidup sebenar di dunia dan akhirat.

Sebagai satu contoh Allah berfirman dalam al-Quran pada surah al-‘Araf ayat: 96,
“Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.”

Maha Pemurah Allah s.w.t menjadikan Ramadan membawa beribu-ribu kebaikan bagi hidup manusia. Hati-hati mukmin mana tidak merasa sedih ditinggalkan Ramadan? Malah akan berharap dan bermohon agar dapat bertemu pada Ramadan akan datang!

6. Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa musuh ketat tradisi dan utama manusia, iaitu Syaitan di belenggu dalam bulan Ramadan menyebabkan ia tidak dapat lagi mengganggu dan menyesatkan manusia. Bila berakhirnya Ramadan ia dibebaskan kembali oleh Allah s.w.t. Hati-hati mukmin mana yang akan bergembira dengan pembebasan Syaitan ini?

7. Allah yang Maha Pemurah lagi Maha penyayang masih lagi berterusan memberikan rahmat dan nikmatnya pada bualan-bulan lain walaupun tidak sehebat tawaran bulan Ramadan. Berakhirnya Ramadan akan menjelang Eidul-Fitri pada bulan Syawal.

Munculnya Eidul-Fitri, baginda Rasulullah s.a.w bersabda meyirami motivasi ke hati-hati mukmin pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah:
“ Dari Abu Umamah r.a. nabi s.a.w bersabda: Barang siapa yang bangun (beribadah) pada dua malam Hari Raya dengan penuh pengharapan, nescaya hatinya tidak akan pernah mati pada hari dimana hati-hati sedang mengalami kematian”

8. Pada sebuah hadis riwayat at-Tabarani pula, sabda Rasulullah lagi:
“ Dari Saad bin Uais al-Anshari r.a. dari ayahandanya berkata: Rasulullah s.a.w berkata: Ketika telah datang Hari Raya Eidul-Fitri para malaikat bersemayam di atas pintu langit seraya memanggil; Wahai para muslimin berpergi-pergilah (solat Hari Raya) menuju Tuhanmu yang Agong, yang melimpahkan kebaikan kemudian memberimu pahala yang banyak. Sesungguhnya Ia telah memerintahkanmu untuk bangun malam kemudian kalian bangun malam, kemudian terimalah passport (ke syurga) kalian. Tatkala mereka sudah menunaikan solat malaikat memanggil lagi: Ketahuilah bahawa Tuhanmu telah mengampunimu, maka kembalilah dengan petunjuk menuju tempatmu dan ini adalah hari yang penuh kemenangan.”

9. Eidul-Fitri tanda kemenangan umat Islam menawan hawa nafsunya secara intensif selama sebulan. Maka layaklah bagi umat ini bergembira meyambutnya dengan penuh adab-adab Islam. Antaranya:
  • i. Jangan lupa tunaikan kewajipan zakat fitrah agar kegembiraan dan rezeki dapat dikongsi dengan mereka yang tidak punya.
  • ii. Berkunjunglah ke rumah ibubapa, sanak saudara, sahabat handai dengan mengenakan pakaian baru dan menutup aurat. Mudah-mudahan mengalir pahala berterusan untuk kita daripada Allah s.w.t
  • iii. Mohonlah kemaafan antara satu dengan lain dengan penuh keikhlasan agar jernihlah suasana dan masyarakat pun menjadi harmoni.
  • iv. Peliharalah akhlak dimana saja kita berada, dalam masjid, rumah serta di jalan raya. Mudah-mudahan Eidul-Fitri tidak muncul sebagai hari derita.
  • v. Jangan lupa pula untuk menunaikan puasa sunat enam hari di bulan syawal pada kesempatan yang ada. Ambillah iktibar dari sebuah hadis rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Sesiapa yang telah melaksanakan puasa sepenuhnya di bulan Ramadan dan meneruskannya pada enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang tahun.”

Buat akhirnya Salam Eidul-Fitri bagi seluruh kaum muslimin dimana saja berada serta maaf zahir dan batin daripada kami warga Dewan Muslimat PAS Pusat.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Read More......