Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, June 23, 2010

SANDIWARA DATO’ SERI NAJIB
MENGENAI ANCAMAN JI TIDAK MEYAKINKAN

Minggu ini kita dihidangkan dengan satu sandiwara politik mengenai ancaman keganasan terhadap apa yang dilabel sebagai “Jemaah Islamiah” – JI oleh Dato’ Seri Najib dan sepupunya Dato’ Seri Hishamuddin sebagai pelakon utamanya dengan Tan Sri Musa Hassan bertindak sebagai pelakon pembantu.

Tan Sri Musa Hassan mendakwa bahawa kononnya pengganas merancang untuk memusnahkan kuil Batu Caves di Kuala Lumpur dan kuil Kuan Yin di Air Itam, Pulau Pinang tanpa membentang bukti-bukti sahih.

Kita cuba diyakinkan bahawa JI adalah sebuah kumpulan pengganas yang didakwa mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda, organisasi yang dilabelkan oleh Amerika Syarikat sebagai pertubuhan pengganas Islam, sedang menyusup masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di Malaysia untuk merekrut anggota-anggota barunya dari kalangan pelajar-pelajar tempatan dan luar negeri.

Sandiwara ini dilihat tidak meyakinkan dan DMPP memang tidak mempercayai dakwaan ini. DMPP juga mengutuk sekeras-kerasnya usaha-usaha yang boleh dianggap sebagai sengaja mereka cipta dan menyiarkan kenyataan palsu tanpa bukti dan secara halus memburuk-burukkan Islam dan umat Islam di negara ini.

DMPP bersama-sama menyokong Pengerusi kumpulan hak asasi manusia, Citizens International, SM Idris mendesak agar dakwaan wujudnya aktiviti-aktiviti pengganas yang dikaitkan dengan JI ini perlu dibuktikan serta membawa mereka ke muka pengadilan mahkamah terbuka. Juga untuk membuktikan bahawa Malaysia ditadbir oleh sebuah kerajaan yang berintregriti dan mengutamakan norma-norma kerajaan yang maju dan bertamadun.

Sebenarnya semua dakwaan penglibatan JI dan penyebaran propaganda hitam unit Polis Indonesia Detachment 88 yang diwujudkan dan dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Australia adalah usaha terdesak Dato’ Seri Najib untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap isu-isu yang sedang melanda negara sekarang. Ianya juga dapat ditafsirkan sebagai usaha terdesak beliau untuk meyakinkan Presiden Obama bahawa Malaysia adalah sekutunya dalam isu pengganas tersebut.

Terlalu banyak isu-isu yang sedang menghimpit pentadbiran Dato’ Seri Najib tanpa penyelesaian yang baik dan selesa sekarang. Isu lesen judi sukan “sports betting” dimana PAS bersama-sama NGO akan mengadakan himpunan 100 ribu rakyat pada 3 Julai ini, menampakkan bahawa beliau telah silap langkah dan menaikkan kemarahan rakyat terhadap gejala kerosakan yang berpunca dari judi.

Kejutan kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala bahawa Malaysia akan jatuh bankrupt dalam tempoh 9 tahun akan datang bagi mengiyakan tindakan pemansuhan subsidi yang akan mengakibatkan kenaikan harga barangan memaparkan kemelut ekonomi yang melanda negara kini.

Dalam isu pindaan Akta ISA yang akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Julai ini juga dilihat antara tindakan awal agar dapat menakut-nakut dan meyakinkan rakyat akan keperluan ISA dan pindaan yang akan dibuat.

Ianya juga boleh dilihat sebagai satu alasan terancang untuk mengabsahkan tindakan menyerbu, menangkap dan menghantar pulang 9 orang pelajar asing kebanyakannya dari Timur Tengah di Gombak tidak lama dulu.

Disamping secara halus menakut-nakut pelajar-pelajar IPTA/IPTS dan kalangan akademik tempatan dan asing. Selama ini sedikit ruang yang dibuka dari Akta AUKU yang mencengkam aktiviti-aktiviti pelajar dilihat oleh beliau tidak dapat mengukuhkan sokongan mereka kepada kerajaan.

Sehubungan itu juga beliau berharap dapat menakut-nakut rakyat bukan Islam dan menanamkan bibit keraguan mereka terhadap usaha-usaha PAS membentuk Dewan Himpunan Penyokong PAS dari kalangan bukan Islam bagi meraih sokongan yang lebih besar. Usaha-usaha PAS ini sangat menggusarkan beliau.

Selain itu sebanyak sedikit cuba menghilangkan rasa ingin tahu rakyat terhadap kes rasuah terhadap pembelian dua kapal selam di mahkamah Perancis yang akan berjalan tidak lama lagi.

DMPP bertegas bahawa seperti peribahasa yang mengatakan “tidak ada angin masakan pohon bergoyang” propaganda jahat ini tidak akan dapat menghasilkan natijah yang baik. Ia sebenarnya telah memudahkan APCO serta anasir zionis yahudi menjalankan jarum khianatnya terhadap rakyat terutamanya umat Islam di Malaysia.

DMPP juga memohon semua pihak dan rakyat seluruhnya bertenang dan jangan membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan. Kita yakin semua permasalahan ini jika ditangani mengikut garis panduan Islam dari al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w sebenarnya akan membuahkan satu penyelesaian yang adil. Oleh kerana Islam itu adil untuk semua.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
Kuala Lumpur, 23 Jun 2010.

Read More......

Monday, June 7, 2010

Sidang Media MUKTAMAR DMPP Kali Ke 50

Tarikh : 7 Jun 2010,
Jam : 12.30 pm.
Tempat : D’ Anjung Hijau, Tingkat Bawah, Pejabata Agong PAS
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Assalamu’alaikum wrth wbth,

Pertamanya kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan izinnya, kita dapat berhimpun untuk menyampaikan berita-berita terakhir berhubung Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat bagi kali ke 50.

Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) pada kali ini akan dirasmikan serentak dengan lain-lain dewan iaitu Dewan Ulama dan Dewan Pemuda. Perasmian akan dilakukan oleh Yang Amat Berhormat, Datuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 9 Jun 2010 pada jam 8.00 malam di Putik, Kota Bharu, Kelantan.

Muktamar penuh Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-50 akan memulakan sidang Muktamarnya pada 10 Jun 2010 , Khamis, bermula dari jam 8.00 pagi hingga tamat yang dijangka pada jam 4.00 petang.

Muktamar DMPP pada kali ini akan berlansung di Dewan Duyung Perdana Resort, Kota Bharu, Kelantan.

Kepada semua Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Ketua-Ketua DMP Negeri, Perwakilan Kawasan-kawasan seluruh Malaysia, Pemerhati PAS Pusat, tetamu jemputan, pemerhati Muslimat, saya mewakili DMPP mengucapkan ahlan-wasahlan kepada semua.

Terdahulu dari itu, semua perwakilan adalah diharapkan agar mendaftarkan perwakilan masing-masing pada 9Jun bermula 10.00pagi di Putik, Kota Bharu, Kelantan.

Pada tahun ini PAS melaksanakan pindaan kepada peruntukan perwakilan muslimat untuk Muktamar DMPP yang telah diluluskan pada Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) dengan melibatkan perwakilan Muslimat seramai 4-orang dari setiap kawasan di seluruh Malaysia. Ada sebanyak 155 buah Dewan Muslimat Kawasan yang berdaftar di seluruh Malaysia, menjadikan jumlah Muslimat yang akan hadir seramai 620 orang.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, perwakilan Muslimat hanya 15 orang bagi setiap negeri. Ini bermakna pertambahan bilangan yang hadir adalah jauh lebih besar dari sebelumnya. Perubahan ini juga menjadikan PAS sebagai satu parti yang lebih demokratik dan dinamik terutama dalam penglibatan kaum wanita.

Pembaharuan ini adalah tepat dengan masanya untuk melebarkan pendedahan kepada Muslimat dalam hal-hal berkaitan pengurusan dan organisasi PAS kepada jaringan yang lebih luas.

Perkembangan ini juga akan melatih pimpinan Dewan Muslimat Kawasan-kawasan bersedia menjadi anggota sebuah parti pemerintah yang peka dan prihatin dengan suasana serta keperluan masyarakat sekitar.

Suka diingatkan bahawa DMPP amat gembira untuk melihat para perwakilan mewakili negeri dan kawasan masing-masing dalam keseragaman warna hijau yang menjadi pakaian rasmi DMPP bertudung warna putih. Ini adalah warna yang amat sinonim dengan Muslimat PAS.

Kita juga telah menerima beberapa usul dari kawasan-kawasan dan berharap perwakilan akan memberikan tumpuan untuk membahas dengan bijaksana dan mengeluarkan hujjah yang baik dan bernas di sepanjang muktamar nanti.

Selain daripada itu, para perwakilan juga akan berpeluang menyaksikan video- klip yang mewarnai semangat perjuangan muslimah untuk mengekalkan momentum perjuangan.

Sehubungan itu, kita minta semua perwakilan akan hadir dengan persiapan minda agar dapat dikongsi bersama input dan maklumat bermanafaat yang boleh dijadikan bekalan apabila kembali ke tempat masing-masing.

Pada kesempatan ini DMPP mengutuk sekeras-kerasnya regim zionis haram Israel di atas serangan gila yang di luar batas kemanusiaan serta norma masyarakat yang bertamadun ke atas konvoi flotila keamanan bantuan kemanusian Gaza.

DMPP bersama-sama penyokong perjuangan rakyat Palestin untuk survival serta mempertahankan hak-hak mereka. Kita menuntut supaya semua kepongan yang dikenakan terhadap Semenanjung Gaza oleh regim zalim Israel dengan bantuan Mesir dihentikan segera.

DMPP juga menuntut agar kerajaan Malaysia bersama-sama masyarakat antarabangsa memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan hegemoni regim haram Israel dikekang. Juga menamatkan segera sebarang kaitan dan manipulasi dengan anasir-anasir regim zionis Israel di dalam negeri seperti APCO sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Dikesempatan ini juga dimaklumkan bahawa DMPP bersama Sekretariat Wanita Pakatan Rakyat akan menyerahkan Memorandum Bantahan Judi Sukan (Spots Betting) kepada YB Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin,Timbalan Menteri Kewangan di Parlimen esok, Selasa 8 Jun pada jam 11.30 pagi.

SELAMAT BERMUKTAMAR!

Sekian. Wassalam.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Read More......