Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, December 2, 2009

LANGKAH-LANGKAH MENANGANI GEJALA INDUSTRI ZINA OLEH KERAJAAN DILIHAT BAGAI MELEPASKAN BATUK DI TANGGA SAJA

Seringkali kita akan dapat lihat paparan media cetak dan letronik arus perdana mengenai tindakan pihak polis memberkas gadis-gadis warga China yang memasuki negara ini secara sah, kemudian menceburkan diri sebagai pelayan pelanggan GRO atau gadis pelacur “call girl”.

Kita mahu diyakinkan seolah-olah kegiatan tidak bermoral itu berpusat di sekitar Lembah Klang saja seperti yang berlaku kepada 34 orang gadis warga China di sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur kelmarin ataupun 23 orang lagi di Subang Jaya semalam.

Kita juga mahu diyakinkan bahawa kegiatan tidak bermoral ini dilakukan tanpa paksaan dan bukan kegiatan sindiket pelacuran. Alasan yang diberi adalah bahawa kelab-kelab malam tersebut merupakan lubuk-lubuk yang dapat memberikan pendapatan yang sangat lumayan.

Maka cukuplah sekadar pihak polis memberkas gadis-gadis yang terlibat bersama-sama beberapa pelanggan dan pengusaha kelab-kelab malam tersebut. Gadis-gadis berkenaan akan dihantar balik ke negara asal mereka melalui tindakan mahkamah ataupun tindakan pihak Jabatan Imegresen. Selepas itu sesekali kita akan dapati kegiatan itu berulang lagi.

Sebenarnya adakah kegiatan ini tidak berlaku di bandar-bandar besar lain sekitar negara kita? Benarkah kegiatan ini hanya bersifat terpencil dan secara kebetulan bukan kegiatan sindiket pelacuran yang mempunyai rangkaian dengan cartel antarabangsa?

Sesungguhnya kita melihat kegiatan tidak bermoral ini sudah menjadi satu industri yang lebih sesuai digelar industri zina yang melibatkan jenayah dan penyeludupan serta dagangan manusia antara sempadan negara-negara Asia Tenggara khususnya.

Sebenarnya sejak tahun-tahun 60an lagi kita telah mengetahui kegiatan-kegiatan ini berleluasa dari laporan badan-badan NGO hak asasi manusia dan Interpol selaku pemantau polis antarabangsa. Laporan-laporan berikut mengesahkan bahawa kegiatan ini adalah suatu kegiatan yang terancang melibatkan cartel antarabangsa. Laporan itu juga membuktikan bahawa berlakunya rasuah dan penyelewangan pihak-pihak berkuasa tempatan.

Dewan Muslimat PAS Pusat sangat kecewa dengan langkah-langkah kerajaan yang dilihat memandang kegiatan industri zina dengan sebelah mata saja. Adalah tidak memadai dengan sekadar tindakan memberkas pihak polis yang sudah menjadi rutin dalam kalender tugasan mereka. Adalah tidak semudah itu juga untuk membenteras sepenuhnya kegiatan tidak bermoral itu hanya dengan tindakan pihak polis saja.

Kerajaan perlu memberikan komitmen yang tinggi dan mengambil langkah yang berkesan dan bersepadu daripada semua agensi dan jabatan-jabatan yang berkaitan seperti polis, imigresen, jabatan kehakiman, kementerian pelancongan, kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain.

Persepsi masyarakat melihat kerajaan tidak serius untuk membendung dan membentras industri zina ini. Disamping itu tidak dilihat usaha-usaha kerajaan memberikan penerangan dan mendidik masyarakat bahawa kegiatan tidak bermoral ini akan mengancam keharmonian masyarakat dan negara.

Masih belum terlambat bagi kerajaan UMNO/BN untuk mengambil usaha-usaha yang konkrit bagi menangani kemelut ini. Kegiatan-kegiatan ini mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia. Kita tidak mahu negara kita terkenal sebagai sebuah “syurga pelacuran” dan ekonomi negara dikuasai oleh industri zina ini.

Kita akan lihat sejauhmana UMNO/BN benar-benar serius untuk menjaga kesejahteraan masyarakat di negara kita ini seperti kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu memastikan negara kita sebagai “baldatun taiyyibah wa rabbun ghafur” baru-baru ini. Ataupun kenyataan itu satu lagi tradisi retorika UMNO/BN yang “catak serakin” – cakap tak serupa bikin.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
2 Disember 2009

Read More......