Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, August 29, 2011

Pesanan Raya buat semua


Read More......

EIDUL FITRI YANG MABRUR

EIDUL FITRI YANG MABRUR


Setelah umat islam difardhukan berjuang mengekang hawa nafsu pada sebulan Ramadhan, Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang membalasnya dengan satu hari yang dinamakan Eidulfitri atau Hari Raya Fitrah.


Pada Eidulfitri atau Hari Raya Fitrah ini umat islam dihalalkan kembali oleh Allah mengikut kebiasaan asalnya iaitu boleh makan-minum pada siang harinya. Maka umat islam disunatkan menyambut hari kemenangan mengekang hawa nafsu ini dengan penuh tata cara yang dibenarkan Ilahi sahaja.


Oleh itu Hari Raya ini adalah kurniaan Allah, maka sambutannya tentulah berbeza dengan sambutan perayaan-perayaan lain yang bukan kurniaan Allah. Agar dengan itu, di waktu atau di tempat mana pun umat islam berada, akan sentiasa mendapat pahala, kasih sayang dan keredhaan Ilahi jua.


Amalan-amalan yang membolehkan sambutan Eidulfitri kita mabrur atau diterima Allah antaranya ialah:


Menghidupkan malam raya dengan amal ibadat.


Contohnya, mendirikan solat fardhu berjemaah, melakukan solat sunat, membaca Al-Quran, bertasbih, bertakbir, beristighfar, memperbanyakkan doa dan melakukan apa sahaja amal-amal kebajikan. Sabda Baginda, mafhumnya:


“Sesiapa yang bangun malam raya fitrah dan malam raya adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekalian hati.” - Riwayat Ibnu Majah.


Mengangkat suara untuk bertakbir.


Waktunya bermula dari terbenam matahari malam raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah maksudnya:


“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangangnya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada mu, supaya kamu bersyukur.” - Al-Baqarah : ayat 185.


Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya:

“Hiasilah raya kamu dengan takbir” - Riwayat Tabrani.


Mendirikan solat fardhu berjemaah seperti solat isyak dan subuh.


Sabda Rasulullah, mafhumnya:

“Solat secara berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.


Mandi sunat Eidulfitri.


Sebelum pergi ke tempat solat untuk mendirikan solat sunat Hari Raya disunatkan terlebih dahulu mandi.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. - Riwayat Ibnu Majah.


Memakai pakaian yang elok dan berwangi-wangian.


Diriwayatkan daripada Zafar bin Muhammad bahawa Rasulullah s.a.w. memakai kain yang bergaris-garis pada setiap kali Hari Raya. - As-Syafie dan Al-Bukhari.


Makan sedikit dahulu sebelum solat sunat Eidulfitri.


Anas berkata: “Adakah Nabi s.a.w. tidak beredar pada Hari Raya Fitri hinggalah Baginda makan beberapa biji tamar.” - Riwayat Bukhari.


Bersegera ke tempat solat dengan berjalan kaki dan menggunakan jalan pergi dan balik yang berbeza.


Diriwayatkan Nabi s.a.w. keluar untuk solat Hari Raya dalam keadaan berjalan kaki dan pulang ke rumah (selepas solat) melalui jalan yang lain daripada yang dilaluinya. - Riwayat Ibnu Majah.


Solat Eidulfitri.


Dari Al-Bara ia berkata; Aku mendengar Nabi s.a.w. berkhutbah: Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah solat. - Riwayat Bukhari.


Mengucapkan tahniah dan mendoakan antara satu sama lain.


Berdasarkan daripada athar Sahabah;

Daripada Jubair bin Nufair:

“Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. apabila mereka berjumpa di Hari Raya, sebahagiannya mengucapkan kepada sebahagian yang lain iaitu semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu (semoga Allah menerima puasa dan amal kita semua).”


Bersedekah.


Islam amat menggalakkan bersedekah bagi mereka yang mempunyai kelebihan terutama di hari-hari kegembiraan seperti Hari Raya. Bahkan tujuan zakat fitrah yang wajib ke atas individu muslim itu sendiri, adalah untuk membantu golongan yang tidak mampu.


Ziarah-menziarahi terutama keluarga terdekat.


Ibnu hajar dalam kitabnya Fath Al-Baari ada menjelaskan Saidina Abu Bakar datang ke rumah Rasulullah s.a.w. semasa Hari Raya adalah untuk berziarah.


Istiqamah dengan syariat islam.


Antara perkara-perkara yang tidak mengikut syariat islam ketika berhari raya ialah:


  • Memakai pakaian yang mendedahkan aurat.
  • Bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
  • Terlalu banyak makan dan minum.
  • Terperap di rumah dengan hanya menonton tv, main game atau menghadap internet sahaja.


Insyaallah, mudah-mudahan keghairahan dan keseronokan kita menyambut Eidulfitri adalah hasil pancaran daripada keimanan mengagung dan memuliakan hadiah Allah s.w.t. ini.


Salam Eidulfitri Al-Mubarak, maaf zahir batin.



Nuridah Binti Mohd Salleh

Read More......

Friday, August 26, 2011

BAGAIMANA KITA HAYATI RAMADHAN KALI INI


Berjayakah kita di Ramadhan ini?



Ramadhan ini akan tetap berlalu jua, seperti Ramadhan-Ramadhan terdahulu. Apakah matlamat kehadhirannya berhasil kita perolehi?


Firman Allah Yang Maha Pendidik Alam:

“Wahai orang-orang yang beriman difardhukan ke atas kamu berpuasa (ramadhan) sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. " -al-Baqarah: ayat 183


Maksud hamba atau manusia bertaqwa ialah mereka yang melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.


Kita hamba Allah yang hina ini amat perlu menjadi orang-orang yang bertaqwa kerana terlalu lumayan dan bahagianya tawaran-tawaran yang disediakan oleh Allah kepada golongan ini.


Antara tawaran-tawaran Allah kepada orang-orang yang bertaqwa ialah:


1. Terlepas daripada ujian-ujian kesusahan; FirmanNya:

“ Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan membuka jalan keluar baginya.”
– at-Thalaq: ayat 2.


2. Urusan rezeki dalam jaminan Allah. FirmanNya:

“ Dan Dia memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” – at-Thalaq: ayat 3.


3. Urusan kerja atau hidupnya dipermudahkan. FirmanNya:

“ Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, dipermudahkan segala urusannya.”
– at-Thalaq: ayat 4.


4. Amalannya diperbaiki oleh Allah. FirmanNya:

“ Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah, dan ucaplah kata-kata yang benar, nescaya Allah akan memperbaiki amalan-amalan kamu...................."
– al-Ahzab: ayat 70-71.


5. Dosanya diampunkan. FirmanNya:

“ ………….. dan diampunkan dosa-dosa kamu
.” – al-Ahzab: ayat 71.


6. Amalan diterima. Allah menerima amal ibadat orang-orang bertaqwa. FirmanNya:

“ Sesungguhnya Allah menerima amal ibadat orang-orang yang bertaqwa.”
– al-Maidah: ayat 27.


7. Hidup dan hasil usahanya diberkati. Keberkatan diberikan oleh Allah pada umurnya, usahanya dan lain-lain aktivitinya. FirmanNya:

“ Jikalau penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa
, nescaya Kami akan bukakan keberkatan dari langit dan bumi. – al-‘Araaf: ayat 96.


8. Allah mengajarnya ilmu. Orang-orang yang bertaqwa mendapat ilmu terus dari Allah FirmanNya:

“ Bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu dan Allah Maha Mengetahui terhadap sesuatu.”
– al-Baqarah; ayat 282.


9. Mendapat pimpinan dan perlindungan dari Allah. FirmanNya:

“ Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu sebahagian mereka adalah pembantu kepada sebahagian yang lain, sedang Allah pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”
– al-Jathiyah: ayat 19.


10. Selamat dari tipu daya syaitan. FirmanNya:

“ Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka. “
– al-‘Araaf; ayat 201.


11. Selamat dari tipu daya musuh. FirmanNya:

“ Bersabar dan bertaqwalah nescaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu.”
Ali Imran; ayat 120.


12. Selamat dari api neraka. FirmanNya:

“ Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang bertaqwa."
– Maryam: ayat 63.


Sesungguhnya inilah antara keuntungan-keuntungan yang ditawarkan oleh Allah s.w.t kepada orang-orang yang bertaqwa. Bukankah kita amat memerlukan tawaran-tawaran tersebut demi kebahagiaan dan kelangsungan hidup di dunia dan akhirat?


Ayuh! marilah kita terus tingkatkan jihad melawan serakah hawa nafsu dan melaksanakan amar maaruf nahi mungkar dengan bersungguh-sungguh.


Semoga tarbiyah Ramadhan menjadi 1001 inspirasi kebahagiaan duniawi dan ukhrawi.


Salam Jihad dan Salam Eidul Fitri.



Nuridah Mohd Salleh.

Read More......

Amanah dan pinjaman-Mu



Read More......

Thursday, August 25, 2011

PROGRAM KHATAM AL-QURAN DI PPR PERKASA AMPANG
























Pada hari Sabtu 20hb Ogos bertempat PPR Perkasa, Ampang majlis khatam al-Quran bagi para muslimat telah diadakan bersama penduduk tempatan dan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.




Read More......

RAMADHAN INSPIRASI TAQWA

Ramadhan – inspirasi taqwa dan cara mengekalkan ketaqwaan.


Bila tibanya Ramadhan, penghulu segala bulan mengunjungi kita, maka persoalan taqwa akan menjadi fokus utama perbincangan.


Ini kerana matlamat kunjungan Ramadhan yang di dalamnya ada kewajipan berpuasa oleh Allah s.w.t kepada orang-orang yang beriman tidak lain tidak bukan adalah untuk mencetak kita menjadi orang-orang yang bertaqwa.


Seperti maksud firman Allah s.w.t yang telah kita ketahui dalam surah al-Baqarah ayat 183;


“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”


Dalam bahasa yang mudah, taqwa itu bermaksud berhati-hati dan sentiasa berada dalam keadaan beringat-ingat serta berjaga-jaga dalam mematuhi segala hukum-hakam Allah di sepanjang hidup kita di dunia ini. Patuh dan junjung kepada segala suruhan Allah s.w.t dan tinggalkan segala laranganNya.



Betapa baiknya Allah Ya Rahman Ya Rahim mendidik kita orang-orang yang beriman agar menjadi orang-orang yang bertaqwa dengan segala ibadat harian. Kemudian ditambah pula secara intensif dan konsisten dengan mendatangkan Ramadhan pada saban tahun.



Mengapa bersungguh-sungguh Allah s.w.t dalam hal taqwa ini? Sesungguhnya tidak lain tidak bukan adalah apa yang kita dapat fikirkan kerana Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang mahu menjadikan kita orang-orang yang beruntung lagi mulia di sisiNya.


FirmanNya dalam surah al-Hujurat ayat 13:



“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang-orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”



FirmanNya lagi dalam surah al-‘Araaf ayat 26;


“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menyediakan kepada kamu (bahan untuk) pakaian bagi menutup auratmu dan untuk perhiasan bagimu, tetapi pakaian taqwa itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda keluasan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.”


Justeru itu persoalannya sekarang bagaimana kita dapat mengekalkan sifat taqwa yang telah kita pupuk secara intensif selama sebulan ramadhan ini.


Antara cara paling utama ialah melakukan jihad nafsu. Nafsu adalah suatu unsur ghaib yang ada dalam diri manusia. Sifat nafsu ini suka menggoda manusia melakukan kejahatan.


Firman Allah s.w.t dalam surah Yusuf ayat 53;


“Sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan.”


Oleh itu jihad nafsu adalah jihad membersihkan jiwa dan mensucikan hati dari sifat-sifat yang keji. Kemudian mengisikan hati dengan sifat-sifat mulia yang terpuji.


Sifat-sifat taqwa dapat dikenali melalui TUJUH tanda-tanda; iaitu:



1. HATI – ikhlas melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. Menghindari diri dari segala penyakit hati seperti hasad dengki, buruk sangka, dendam kesumat dan sebagainya.


2. LIDAH – sibuk berzikir, membaca al-Quran, bermuzakarah, nasihat menasihati, bercakap benar dan sebagainya. Menghindarkan diri dari berbohong, mengumpat, mengadu domba, berbual kosong (sia-sia) dan sebagainya.


3. MATA – Menghindari diri dari memandang perkara yang diharamkan oleh Allah seperti memerhati perempuan bukan mahram dengan syahwat, gambar-gambar lucah dan sebagainya. Juga tidak memandang dunia dengan keinginan, sebaliknya mengambil segala iktibar daripadanya.


4. PERUT – Tidak memakan makanan yang haram ataupun syubahat yang tidak dapat diyakini tentang halal dan baiknya.


5. TANGAN – Tidak digunakan untuk memegang dan mengambil perkara yang haram dan bukan haknya.


6. KAKI – Tidak digunakan berjalan ke tempat maksiat, sebaliknya digunakan untuk ziarah, berdakwah, pergi ke masjid atau surau dan sebagainya.


7. PERILAKU – Selalu mencari keredaan Allah dan memastikan segala tindakan adalah benar mengikut akhlak Islam dan juga semata-mata bermatlamat mendapatkan keredaanNya jua.


Kesimpulannya bagi mengekalkan ketaqwaan ialah dengan melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar pada diri, keluarga, masyarakat dan negara.


Firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 93;



“Tidak berdosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh tentang apa yang mereka makan (dahulu), apabila mereka bertaqwa dan beriman, serta mengerjakan amal soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan membuat kebajikan, kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”


Sesungguhnya manifestasi untuk mengekalkan ketaqwaan adalah berusaha mempertingkatkan akhlak mulia dengan sifat-sifat mahmudah serta menghindarkan diri dari sifat-sifat mazmumah.


Akhir sekali saya mengambil kesempatan ini menyusun sepuluh jari memohon maaf zahir dan batin kepada semua yang mengenali diri saya. Selamat menyambut Hari Raya Eidul Fitri.


Nuridah Mohd Salleh.

Read More......