Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, March 21, 2011

MEMOIRS DR. MAHATHIR MEMPAMIRKAN PERSEPSI BURUK YANG BERTIMPA-TIMPA PADA HASIL KERJANYA TERDAHULU.


Motif yang dapat kita simpul dari tindakan Dr. Mahathir pada memoirnya kali ini adalah ingin mempengaruhi padangan umum (public opinion) terhadap kes Dato Seri Anwar kerana tindakan pertamanya dulu semasa berkuasa untuk melumpuhkan Dato Seri Anwar telah gagal.


Motif sebenarnya, hanya Allah dan dia sajalah yang tahu. Cuma sebagai seorang Islam, kita mestilah meyakini bahawa segala apa saja tindak-tanduk yang kita lakukan samada dalam bentuk percakapan, penulisan dan sebagainya, semuanya akan dicatat oleh malaikat raqib dan atiq. Dari catatan itu kelak kita akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di akhirat kelak.


Justeru itu jika pada catatan ada unsur-unsur penipuan atau pembohongan maka kita akan menerima akibat azabnya daripada Allah di akhirat nanti. Mungkin beliau boleh membohongi ramai orang dan dirinya sendiri, tapi tiada siapa yang dapat membohongi Allah. Allah Maha Mengetahui.


Tetapi apa yang perlu kita sedari juga bahawa sesuatu pembohongan itu walau dalam bentuk apa sekalipun akhirnya kebenaran akan datang. Malah sejak di dunia lagi manusia tidak dapat menerima pembohongan. Kebenaran itu adalah yang hakiki dan Allah tidak akan redha serta akan ada manusia yang berjuang untuk menegakkan kebenaran walaupun ia akan memakan masa yang lama. Kata pepatah Inggeris, “ You can cheat some people some times but not all people all the times – Kamu boleh menipu sesetengah orang pada sesuatu masa tapi tidak semua orang setiap masa.”


Sehubungan itu adalah amat malang sekali bagi seorang tokoh negarawan seperti Dr. Mahathir menulis memoirnya mempertikaikan sejarah. Beliau seolah-olah cuba memperbetulkan kesilapan-kesilapannya dari kaca-matanya sendiri yang menjadikan memoirnya sangat kontrovesial. Ataupun memang beliau sengaja mencari kontrovesi.


Dari kontrovesi yang tercetus itu adalah amat malang sekali bagi beliau dalam usia lanjut melihat dan memikul persepsi buruk yang bertimpa-timpa pada hasil kerja buatnya yang terdahulu. Beliau menjadi seorang tua yang berhutang pada sejarah hidupnya sendiri dan merasai penuh kekesalan dan kekecewaan, lantas cuba memperbetulkan kesilapan-kesilapannya melalui penulisannya.


TAN SRI MUHYIDDIN TERTEKAN DENGAN SAMBUTAN HANGAT RAKYAT

TERHADAP PAKATAN PAKYAT DI SARAWAK.



Tohmahan Tan Sri Muhyiddin bahawa kehadiran PR di Sarawak hanyalah sebagai pengacau adalah tidak adil dan amat mengelirukan. Beliau mempamirkan sikap pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO/BN yang tidak demokratik dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan Malaysia. Ianya juga seolah-olah ingin memperbodohkan rakyat agar terus menyokong BN.


Perlembagaan Persekutuan Malaysia membenarkan pembetukan pelbagai parti politik untuk memperjuangkan hak-hak dan kesejahteraan rakyat. Malah BN sendiri adalah gabungan antara beberapa banyak parti-parti politik kaum. Oleh itu tidak timbul sebarang masalah terhadap kehadiran PR di Sarawak.


Sebenarnya dari sudut Perlembagaan ahli-ahli dan penyokong PR di Sarawak berhak terlibat terus dalam kancah politik negeri itu. Perlembagaan juga menjamin hak-hak tersebut. Tiada sesiapapun yang boleh menafikan hak-hak tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Sarawak untuk berusaha mencapai taraf hidup yang lebih baik serta membuat perubahan demi mencapai matlamat tersebut.


Juga menjadi agenda utama PR untuk mengajak seluruh rakyat Sarawak bersama-sama berjuang membuat perubahan untuk mencapai matlamat yang lebih gemilang. PR yakin bahawa rakyat Sarawak mampu berubah. Sejarah telah tercatat bahawa rakyat Sarawak telah beberapa kali membuat perubahan dengan meletakkan parti-parti yang berlainan memerintah. Cuma Allahyarham Tun Razak berjaya memujuk parti-parti tersebut bergabung di dalam BN.


Sesungguhnya dari tindakan Tan Sri Muhyiddin itu terselit rasa takut pemimpin-pemimpin tertinggi BN akan ditolak oleh rakyat pada pilihan raya kali ini. Mungkin juga beliau mula rasa tertekan melihatkan sambutan hangat rakyat terhadap PR di Sarawak.

Nuridah Mohd Salleh

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

21 Mac 2011.

Read More......

Sunday, March 13, 2011

KETUA WANITA UMNO MASIH MAINKAN LAGU LAMA

YANG AMAT MELUCUKAN.



Kenyataan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Malaysiakini mengenai isu pembangunan di kawasan-kawasan Parlimen dan DUN yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat amat melucukan. Beliau masih lagi memainkan lagu lama pembangunan sedangkan rakyat kini terutamanya di bandar-bandar dan pinggir-pinggir bandar telah maju mendepani alam siber. Senario yang digambarkan beliau seolah-olah rakyat di Kepong dimana BN telah ditolak oleh rakyat berada di sebuah Republik yang tidak ada kaitan dengan Persekutuan Malaysia.


Katanya rakyat di kawasan-kawasan tersebut perlu diberi kesedaran bahawa BN sajalah yang membawa pembangunan. Beliau mengutarakan kenyataan tersebut selepas menghadiri Karnival Jalinan Rakyat yang dianjurkan oleh Wanita BN Kepong di Putrajaya kelmarin. Beliau lupa bagaimana pula dengan pembangunan di Kerdau yang dikuasai BN sejak lebih 50 tahun terutamanya pekan Kerdau yang terpinggir dan dilihat masih berada di dalam “zaman Jepun” pada era sebelum merdeka.


Sebenarnya adalah semestinya menjadi satu tanggungjawab kepada mana-mana kerajaan pusat yang memerintah menjalankan program-program pembangunan kepada semua rakyat di mana jua mereka berada termasuk di kawasan-kawasan pembangkang mengikut keperluannya. Juga pembangunan telah dan sedang rancak dijalankan oleh pemaju-pemaju swasta dimana-mana kawasan yang berpotensi termasuk di kawasan pembangkang.


Sesungguhnya dari kenyataan beliau itu kita dapat gambaran sikap dan tindak-tanduk para pemimpin tertinggi BN yang menolak semangat demokrasi dan sistem federalisme yang diamalkan di Malaysia serta tidak menghormati hak rakyat memilih pemimpin yang mereka sokong. Sikap angkuh seolah-olah hanya BN juara pembangunan itu amatlah menjelekkan juga menjelaskan lagi bahawa slogan-slogan ingin berubah, BN boleh berubah dan transformasi ekonomi hanyalah sandiwara dan retorik, manipulasi politik BN dalam usaha-usaha mengekalkan kuasa dan survival mereka.


Kenapa beliau perlu mengungkit hal sedemikian? Kenapa perlu diselitkan agenda menakut-nakut rakyat? Bukankah hal itu memang menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan yang memerintah? Tidakkah kebajikan rakyat antara tanggungjawab yang mesti ditunaikan oleh kerajaan Persekutuan pada sistem ala federalisme yang di amalkan di Malaysia?


Kenapa beliau mesti bersungut atau terkilan apabila rakyat memilih Pakatan Rakyat untuk menyuarakan pandangan dan keperluan mereka di Parlimen? Salahkah rakyat tidak memilih BN? Jika begitu apa gunanya diwujudkan gabungan pelbagai parti yang didominasikan oleh UMNO dalam BN? Apakah beliau tidak menjiwai semangat “rakyat didahulukan” yang dilaung-laungkan oleh pemimpin BN?


Jesteru itu biarlah rakyat diberikan kebebasan yang adil dalam memilih dan menentukan pemimpin yang benar-benar dapat membawa suara mereka di sidang Parlimen. Bukan kroni-kroni BN tukang angguk dan mengampu pemimpin mereka. Akhirnya kita dapat lihat juga bahawa dari kenyataan tersebut terselit rasa takut pemimpin BN ditolak oleh rakyat pada PRU ke 13 akan datang.


Pakatan Rakyat akan terus berusaha mengajak rakyat merubah nasib mereka kepada era yang lebih gemilang. Rakyat perlu berani berubah seperti apa yang telah ditunjukkan oleh rakyat Tunisia, Mesir dan negara-negara Timur Tengah kini. Ubah sekarang, selamatkan Malaysia.



Nuridah Mohd Salleh

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

13 Mac 2011.

Read More......

Tuesday, March 8, 2011

SELAMAT HARI WANITA SEDUNIA KE 100


DMPP turut mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita Sedunia kepada seluruh wanita di mana jua mereka berada. Sempena 100 tahun sambutan hari tersebut kali ini dengan temanya:

“ Equal acsess to education, training, science and technology: Pathway to decent work for women – Kesamarataan peluang terhadap pelajaran, latihan, sains dan teknologi: Laluan kerjaya terpuji untuk wanita.”


Sebenarnya dalam pandangan Islam wanita mempunyai hak-hak yang sama dengan lelaki. Allah s.w.t menegaskan di dalam al-Quran bahawa wanita adalah pelengkap bagi lelaki manakala lelaki juga adalah pelengkap bagi wanita. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:


“ Sebenarnya wanita adalah saudara kandung bagi lelaki !”


Sesungguhnya dari maksud hadis tersebut jelaslah bahawa pada pandangan Islam tidak ada pengurangan atas hak-hak wanita ataupun kezaliman atas wanita demi kepentingan lelaki kerana Islam merupakan satu syariat Allah s.w.t yang diturunkan untuk lelaki dan wanita sekaligus tanpa pengecualian.


Oleh itu sebarang bentuk ketidak adilan ke atas wanita di dalam setiap aspek kehidupan amatlah ditegah dan bercanggah dengan ketentuan Ilahi. Apatah lagi amat besarnya peranan wanita yang mesti disempurnakan oleh wanita seperti kata-kata bijak pandai:


“ Seorang ibu ibarat sekolah;

Apabila kamu siapkan dengan baik,

Bererti kamu menyiapkan satu bangsa yang harum namanya.”


Sehubungan itu bagi Pakatan Rakyat kita tawarkan beberapa program di dalam pelaksanaan agenda Dasar Bersama Pakatan Rakyat seperti berikut:


  • Menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan yang adil dalam segenap bidang
  • Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.
  • Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.
  • Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan hukuman setimpal yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan kebersanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.
  • Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan sepertipusat penjagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat kerajaan dan sektor swasta.
  • Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan.
  • Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara.
  • Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.
  • Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengkukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Sayugia kita mengambil inisiatif dan keprihatinan terhadap tawaran-tawaran tersebut agar seluruh wanita Malaysia dapat berperanan dan memberikan sumbangan positif terhadap usaha-usaha kita merubah nasib kaum wanita pada tahap yang lebih gemilang.


Sesungguhnya nasib kita adalah di tangan kita juga seperti penegasan Allah s.w.t di dalam al-Quran bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang individu atau kaum tanpa mereka berusaha mengubah sikap dan berusaha ke arah reformasi kehidupan yang lebih baik.


Marilah kita bersama-sama berganding bahu melaksanakan perubahan ini. Ubah sekarang, Selamatkan Malaysia.


Nuridah Mohd Salleh

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

8hb Mac 2011.

Read More......