Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, May 31, 2010

PEMBANGUNAN KOMPLEKS PAS BARU
SATU KOMITMEN BESAR BAGI MUSLIMAT

Saya bagi pihak seluruh warga Muslimat PAS dan para penyokong PAS dari kalangan wanita termasuk Dewan Himpunun Penyokong PAS yang baru mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, saf Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kompleks PAS, Dato’ Haji Husam Musa serta seluruh Ahli Jawatankuasanya di atas kejayaan menggerakkan projek pembangunan tersebut.

Syabas diucapkan juga dengan kejayaan majlis pecah tanah dan pelancaran dana yang telah disempurnakan oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada hari Sabtu 28 Mei yang lalu.

Kami merasa amat bersyukur dan gembira di atas pelaksanaan satu lagi perkembangan pesat yang positif yang dapat dijalankan oleh PAS. PAS maju setapak lagi dengan izin Allah SWT. Kami juga berdoa semoga hasrat suci ini akan menempah kejayaan dan benar-benar menjadi satu kenyataan serta dipermudahkan dari sebarang halangan oleh Allah SWT.

Bagi menjayakan projek tersebut sudah tentu komitmen dan kerjasama dari muslimat sekalian amatlah diperlu dan dialu-alukan. Besarlah harapan kita agar kompleks ini akan menjadi markaz pembinaan modal insan bagi jemaah kita serta madrasah yang akan membina hamba-hamba Allah yang cintakan Allah, RasulNya dan perjuangan menegakkan Islam serta menyebarkan kebaktikan sesama insan dan keadilan untuk semua.

Sempena 50 tahun muslimat menjadi tiang seri perjuangan PAS, kita menyeru semua pihak terutama warga muslimat tampil kehadapan bersama-sama memberikan sumbangan dalam menjayakan projek ini.

Dalam usaha-usaha pengumpulan dana ini sudah terbukti sejak dulu bahawa para wanita mampu melaksanakan dengan jayanya. Disamping para isteri berusaha menambah sumber kewangan keluarga bagi membantu suami mereka saya yakin muslimat akan bersungguh-sungguh melaksanakan sebarang aktiviti-aktiviti yang selaras dengan Islam bagi mengutip sumbangan dan mengumpul dana untuk maksud itu.

Dengan kesungguhan muslimat menjayakan komitmen ini kita juga berharap projek ini akan dapat disiapkan segera dalam masa yang tidak panjang. Kita juga yakin bahawa usaha-usaha kita ini akan mendapat ganjaran dari Allah SWT, seperti pada firmanNya pada surah al-Baqarah: ayat 261 yang semua warga PAS amat mengetahui dan mengimaninya, iaitu;

“Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, dan tiap-tiap tangkai ini
mengandungi seratus biji (buah). Dan Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Kuasa (Kurnianya) lagi Maha Mengetahui.”

Sehubungan itu, Rasulullah s.a.w juga telah bersabda pada satu ketetapan yang masyhur yang diriwayatkan oleh Muslim;

“Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; iaitu ilmu yang bermanafaat, sedekah jariah dan anak soleh yang mendoakannya.”

Manakala para ahli fiqh dan jumhur ulama juga berpendapat bahawa wakaf adalah salah satu bentuk amal jariah yang menjanjikan pahala yang berkekalan dan mengalir kebajikan kepada pelaksananya sehingga ke hari akhirat, selagi harta tersebut kekal dan dimanafaatkan.

Sebagai orang-orang yang beriman dengan hari akhirat, kita insafi bahawa antara persoalan penting yang akan dihadapi dan perlukan jawapan di Mahsyar nanti adalah bagaimana kita membelanjakan rezeki yang Allah kurniakan. Ingatlah bahawa harta-harta halal yang bertimbun banyak yang tidak diinfakkan akan melambatkan seseorang itu untuk masuk syurga.

Oleh itu kepada semua pencinta kebenaran dan keadilan, marilah kita bersama-sama merealisasikan hasrat murni ini dengan memberikan kimitmen yang besar dalam menggerakkan kutipan dana untuk pembangunan kompleks ini.

Selamat maju jaya kepada semua para pejuang-pejuang Islam. “Sirru ala barakatillah.”


Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Dengkil, Selangor.
28 Mei 2010.

Read More......

Friday, May 28, 2010

PENDIDIK PENCETUS TRANSFORMASI MODAL INSAN

Alhamdulillah terlebih dulu marilah sama-sama kita mengucapkan syukur ke hadhrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua dapat kita berkumpul bagi menjayakan majlis “Jasamu dikenang” ini.

Kepada pihak pelaksana program iaitu Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas usaha-usaha yang telah dijalankan ini.

Mudah-mudahan Allah SWT menerima segala usaha ini dan mengiranya sebagai amal soleh yang akan membahagiakan kehidupan kita semua di dunia dan akhirat.

Kepada warga guru yang merupakan pendidik anak bangsa yang diraikan, saya rasa belumlah terlambat untuk saya mengucapkan “Selamat Hari Guru”. Berbahagialah para guru sekelian kerana mewarisi tugas yang sebenarnya telah terlebih dulu dilaksanakan oleh Allah SWT sendiri. Kemudian Allah SWT memerintahkan malaikat dan para nabi melaksanakan tugas murni mengajar dan mendidik ini.

Kenyataan ini dapat kita lihat daripada firman Allah SWT pada surah al-Baqarah: ayat 31 yang bermaksud:

“Dan Dia (Allah) mengajarkan kepada Adam nama-nama benda seluruhnya, kemudian mengemukakan kepada para malaikat, lalu berfirman; “Sebutkanlah kepadaKu nama-nama benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar”.

Berdasarkan ayat tersebut ianya menjelaskan kepada kita bahawa tugas mengajar ini telah terlebih dulu dilakukan oleh Allah SWT, Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui segala sesuatu. Allah SWT telah mengajar nabi Adam a.s. nama-nama benda semasa baginda berada di syurga untuk melayakkannya menjadi khalifah di muka bumi ini.

Begitu juga seterusnya Allah SWT telah memerintahkan malaikat Jibrail a.s. mengajar Rasulullah s.a.w. membaca dengan wahyu yang pertama diturunkan kepada baginda. Kenyataan ini dapat kita perhatikan pada surah al-‘Alaq: ayat 1 yang bermaksud:

“Bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan”.

Justeru itu dengan perlantikan nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasul, Baginda dipertanggungjawabkan pula menyampaikan ilmu pengetahuan dan pendidkan Islam kepada umatnya. Sebagai langkah permulaan, Baginda telah memperkenalkan pembacaan al-Quran dan asas-asas agama disamping pelajaran tulis-menulis dan membaca.

Demikianlah hebatnya sejarah profesyen perguruan atau pendidikan ini. Ia bermula dari tempat kesejahteraan dan kenikmatan iaitu syurga Allah SWT.

Oleh itu para guru sendirilah yang mesti terlebih dulu menghargai dan menghormati profesyen ini dengan menunaikan warisan ini secara sepenuh hati. Seharusnyalah juga para guru menjiwainya terlebih dulu menerusi tingkah laku dan cara hidup yang berkualiti.

Pesanan Atbah bin Abi Suffian kepada Abdul Samad, guru kepada anaknya; iaitu:

“Sebelum engkau mendidik anakku hendaklah kamu mendidik dirimu, kerana mereka akan mengikut gerak-geri dan tingkah-lakumu. Baik atau buruk tindak-tandukmu akan menjadi ikutan dan teladan kepada mereka.”

Sehubungan itu para pendidik patutlah melengkapkan diri masing-masing dengan akhlak dan tingkah-laku yang baik, kerana mereka akan menjadi ikutan terutamanya kepada murid-murid dan juga orang ramai.

Dengarlah pula kata-kata Abu Zuib al-Aswad al-Duali, pendita Arab dengan madahnya:

Wahai para guru,
Pendidik manusia,
Ingatlah,
Kamu seorang pendidik.

Kalau memberi penawar kepada yang sakit,
Apakah patut kamu sendiri yang sakit?
Sebagai pembentuk akal kami,
Tidak mungkin kamu sendiri tidak terbaik.

Mulakanlah dengan dirimu,
Membasmi segala kesesatan.
Jika kamu basmikan demikian,
Kamu seorang yang bijak,
Akan berguna nasihatmu,
Dan menjadi ikutan.

Dengan nasihatmu akan berjaya pengajaran,
Jangan melarang sesuatu yang kamu sendiri lakukan.
Maka malulah padahnya.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekelian;

Dalam dunia sekarang yang akhlak umat sedang sakit tenat, gejala sosial bermaharajalela, keruntuhan moral terutamanya dikalangan remaja berleluasa, maka tanggungjawab dan amanah pendidik menjadi semakin mencabar.

Sesungguhnya tugas guru atau pendidik akan sentiasa diteropong oleh massa. Amat mudahlah untuk menunding jari kepada para pendidik terhadap kebejatan yang berlaku. Persepsi ini terjadi kerana para pendidik telah dianggap dan dinobatkan sebagai pencetus dan perintis jalan bagi menyingkap tabir kejahilan umat.

Dalam menangani persepi serong ini, tidaklah guru atau pendidik saja yang harus dipersalahkan kerana tanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat adalah tanggungjawab bersama semua terlibat, termasuk ibu-bapa dan terutamanya pemerintah.

Namun saya mengharapkan guru atau pendidik akan menjadikan harapan tinggi masyarakat ini sebagai pemangkin untuk bersungguh-sungguh memberikan sumbangan dalam membentuk dan mendidik umat berpandukan ilmu yang telah digarap bagi membina semula akhlak dan intregiti masyarakat yang sedang tenat diserang oleh budaya yang mungkar kini.

Oleh itu bagi mencapai hasrat tersebut guru-guru perlulah memiliki sifat keperibadian yang unggul serta ketokohan dan perawakan yang sempurna. Antara sifat-sifat yang perlu ada pada para guru atau pendidik, ialah;

i. Memiliki ilmu dan kaedah pengajaran.

Amatlah penting bagi seseorang pendidik selain menguasai pelajaran yang diajar, ia juga memiliki berbagai ilmu yang lain; seperti ilmu psikologi, sejarah dan lain-lain. Pendidik bukan saja merupakan pengajar dan pemimpin tetapi ia juga menjadi tempat rujuk para pelajarnya dalam menyelesaikan sebarang persoalan dan kemusykilan hidup mereka.

Pendidik juga perlu mempunyai kebijaksanaan bagi menyampaikan ilmu pengetahuan dengan cara yang berkesan. Pendidik yang kreatif akan mencuba berbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat pelajarnya.

ii. Ketokohan dan keperibadian mulia.

Pendidik mewarisi karier mulia dari para nabi a.s., maka sudah semestinya akhlak mulia yang dipamirkan menjadi hiasan diri. Mereka juga semestinya berpegang teguh kepada ilmu yang dimiliki dan mengambil semangat daripada contoh teladan para nabi a.s.

Pendidik mestilah yakin bahawa peranan yang mereka jalankan adalah satu ibadah. Amal ibadah yang dilakukan secara isitiqamah atau konsisten akan melahirkan para pendidik yang teguh dalam pendirian dan memegang prinsip-prinsip kebenaran.

Ketokohan dan keperibadian yang mulia ini akan menjadikan para pendidik dihormati dan digeruni. Kata-kata mereka akan dipatuhi dan pandangannya akan menjadi pegangan hidup para pelajarnya. Amatlah sukar jika pendidik hanya berkata tetapi tidak mengotakan kata-katanya. Firman Allah SWT pada surah al-Baqarah: ayat 44, yang bermaksud:

“Mengapa kamu menyuruh orang lain membuat kebajikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri, pada hal kamu membaca al-Kitab (al-Quran), maka tidaklah kamu berfikir?”

iii. Memberi ilmu semata-mata kerana Allah SWT.

Secara umum belajar dan mengajar adalah tanggungjawab yang difardhukan ke atas umat Islam. Tugas menyampaikan berbagai ilmu pengetahuan bagi agama Allah SWT serta membentuk keperibadian umat yang berwibawa adalah tuntutan yang diwajibkan kepada para ilmuan Islam. Tuntutan ini dilaksanakan secara sukarela walaupun dijanjikan pahala oleh Allah SWT di hari akhirat.

Tradisi sukarelawan inilah yang telah diwarisi daripada baginda Rasulullah s.a.w. serta diteladani oleh para sahabat baginda, para tabi’ tabiin dan para ulama silam dari satu generasi kepada satu generasi lainnya bertali arus hingga kini.

Menyampaikan ilmu secara sukarela dan ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT merupakan satu jihad yang paling tinggi disisi Islam. Namun menerima upah atau gaji tidaklah menghalang seseorang dari mencapai tahap taqwa selagi yang dilakukannya kerana Allah SWT juga untuk memenuhi perbelanjaan hidup yang sederhana.

iv. Kebijaksanaan dan kematangan.

Kebijaksanaan dan kematangan para pendidik adalah penting dalam mengendalikan karenah pelajar-pelajarnya. Pendidik perlu mengenali pelajar dari segi keperibadian dan latar belakang keluarga mereka. Pendidik juga perlu mengenal sifat-sifat pelajar dari sudut fizikal dan cuba menyelami perasaannya.

Jelasnya dengan kata lain pendidik perlu mendampingi pelajarnya dengan lebih dekat dan lebih mesra. Natijah dari usaha-usaha ini pengajaran dan pembelajaran akan dapat disampaikan dengan lebih berkesan. Bagi pendidik yang bijaksana dan matang antara perkara utama yang ditekankan adalah mereka mengenali pelajar-pelajarnya, seperti sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud:

“Bercakaplah dengan manusia mengikut kadar kemampuan akal mereka.”

Di atas kesungguhan para pendidik ini disemua peringkat akan benar-benar dapat merealisasikan hasrat “Pendidik pencetus transformasi modal insan” insya-Allah.

Mudah-mudahan iktibar daripada firman Allah SWT pada surah al-Israa’: ayat 7 ini akan menjadi sumber motivasi dan dorongan bagi para pendidik; ayat yang bermaksud:

“Jika kamu berbuat kebajikan faedahnya untuk diri kamu sendiri, dan jika kamu berbuat kejahatan maka kesan buruknya berbalik kepada diri kamu juga”.

Sekian, apa-apa yang baik ianya datang dari Allah SWT dan sebarang kekurangan dan kelemahan adalah dari diri ini yang kerdil, Wallahu ‘Alam.

Teruskan perjuangan, buat pendidik yang berjasa, budimu dikenang sepanjang masa.


Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Parit Raja, Batu Pahat, Johor Darul Takzim.
28 Mei 2010.

Read More......

Thursday, May 20, 2010

MUSLIMAT PAS : IKON WANITA KOTARAYA

Tema Muktamar Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan yang ke 27 berlangsung pada Ahad 16 Mei 2010 ialah “Muslimat PAS : Ikon Wanita Kotaraya”

Apakah maksud “ikon”? Apa yang diharapkan disini, ikon bermaksud tokoh, dicontohi, diikuti dalam segala hal. Ianya bermaksud DMPWP berhasrat agar ahli-ahli muslimat PAS khususnya di Wilayah Persekutuan menjadi contoh teladan kepada wanita-wanita dalam semua aspek kehidupan. Inilah antara hasrat besar DMPWP sepanjang sesi ini.

Melihat kepada keputusan pilihan raya yang lalu di Wilayah Persekutuan, tema ini telah hampir menjadi kenyataan. Ini kerana daripada 13 kerusi parlimen yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat, 10 kerusi telah dapat ditawan oleh PR dan 3 daripadanya dimenangi oleh calon-calon wanita. Antara salah satu sebab kemenangan ini yang tidak boleh dinafikan ialah sumbangan tenaga muslimat yang bersungguh-sungguh dan berterusan.

Muslimat tidak ketinggalan dalam apa-apa program sekalipun. Mahupun program besar yang melibatkan para peserta berdepan dengan tindakan dari anggota polis yang terkenal tidak memihak kepada rakyat awam.

Untuk benar-benar menjadi ikon, muslimat mestilah punya garis panduan yang tidak boleh lari daripada panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Panduan tersebut tentunya merujuk kepada al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah SAW.

Muslimat sebagai ikon berbeza dengan wanita-wanita lain dianggap sebagai ikon. Ini kerana para muslimat mestilah benar-benar dapat menyelamatkan, mensejahtera dan membahagiakan dirinya dan wanita-wanita mencontohinya di dunia dan di akhirat.

Oleh itu muslimat mestilah merujuk kepada pengiktirafan Allah SWT terhadap manusia-manusia contoh sebagaimana yang telah disebut oleh Allah SWT di dalam surah popular al-Fatihah, ayat: 6-7 yang bermaksud:

“Tunjukkanlah kami kepada jalan yang lurus;
iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat ke atas mereka”

Untuk memahami siapakah orang-orang yang dikatogerikan oleh Allah SWT sebagai orang-orang yang telah mendapat nikmatNya, kita melihat pula firman seterusnya di dalam surah an-Nisa, ayat: 69 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka merekalah akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah, iaitu para Nabi-Nabi, Siddiqin (orang-orang yang benar imannya zahir dan batin), orang-orang yang syahid dan orang-orang yang soleh. Dan amat eloklah mereka itu menjadi teman baik.”

Berdasarkan maksud ayat di atas, fahamlah kita bahawa mereka yang diiktiraf mendapat nikmat Allah SWT ternyata terdiri daripada 4 golongan saja. Iaitu para Nabi-Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin. Inilah 4 golongan manusia yang mesti menjadi contoh teladan kepada muslimat agar mereka benar-benar menjadi ikon yang menyelamatkan dan menyejukkan pandangan mata terhadap wanita-wanita yang lain.

Marilah kita hurai secara ringkas keempat-empat golongan ikon yang diiktiraf oleh Allah SWT ini. Muslimat PAS yang menjadi ikon kesejahteraan hidup ini perlu mengambil golongan ini sebagai ikutan kehidupan seharian.

Pertama: para Nabi-Nabi

Nabi-Nabi adalah manusia biasa tetapi istimewanya mereka dilantik oleh Allah SWT. Mereka diutuskan untuk mengajak, mengajar, mendidik, memandu manusia ke jalan yang diredai Allah SWT. FirmanNya di dalam surah ali-Imran, ayat: 161 yang brmaksud:

“Dan tidaklah patut bagi seseorang nabi itu disangkakan berkhianat.”

FirmanNya lagi di dalam surah al-Anbia, ayat: 25 yang bermaksud:

“Dan kami tidak utuskan sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, oleh itu beribadatlah kepadaKu.”

Kedua: as-Siddiqin (orang-orang yang benar imannya)

Contoh insan yang dinobatkan sebagai as-Siddiqin ialah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, seorang sahabat Rasulullah SAW dan khalifah pertama yang tersohor. Beliau adalah seorang ikon, seorang hamba Allah yang cemerlang dalam semua aspek kehidupannya.

Allah SWT menceritakan ciri-ciri orang-orang as-siddiqin di dalam al-Quran pada surah al-Hujurat, ayat: 15 yang bermaksud:

“Adapun orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang as-siddiqun.”

Ketiga: as-Syuhada (orang-orang yang mati syahid di jalan Allah)

As-Syuhada adalah orang-orang yang mati dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Allah amat menghargai golongan yang mati syahid di dalam perjuangan menegakkan Islam, seperti firmanNya pada surah at-Taubah, ayat: 111 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah. Maka (antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Tuarat, Injil dan al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”

Keempat: as-Solihin (orang-orang yang soleh)

Siapakah golongan yang keempat ini? Apakah ciri-ciri orang-orang yang soleh? Al-Quranul karim tidak melupakan untuk menjelaskan ciri-ciri atau sifat-sifat golongan keempat yang diredai Allah ini pada surah ali-Imran, ayat: 113 – 114 yang bermaksud:

“Ahli-ahli kitab tidaklah sama, diantaranya ada golongan (yang telah memeluk Islam) dan (tetap berpegang kepada agama Allah yang benar), mereka membaca ayat-ayat Allah dan pada waktu malam mereka kerjakan sembahyang (tahajjud)."

"Mereka itu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran dan mereka bersegera melakukan kebaikan dan mereka itulah orang-orang yang soleh.”

Kesimpulan

Berdasarkan pada ayat-ayat Allah terhadap kempat-empat golongan yang telah berjaya menguasai dunia ini dan menjadi ikutan kepada manusia yang lain.

Maka muslimat sebagai ikon mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:

i. Taat kepada Allah dan Rasul dalam semua urusan.
ii. Akhlak terpuji kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
iii. Berani kerana benar.
iv. Tidak ragu-ragu terhadap ajaran Islam dan sanggup mati untuk Islam.
v. Berilmu dan mengajarkan ilmunya.
vi. Berjuang bersungguh-sungguh dengan harta benda dan jiwa raga di jalan Allah.
vii. Banyak membaca al-Quran dan solat tahajjud di waktu malam.
viii. Meyakini kehidupan akhirat dan bersedia untuk menghadapinya.
ix. Melaksanakan amar makruf nahi mungkar.
x. Bersegera dalam melakukan kebajikan.

Sebagai ikon kesejahteraan, keadilan, kebijaksanaan, keberanian, kesantunan, muslimat perlu mendidik diri dengan sifat-sifat yang telah dijelaskan oleh al-Quran secara isitiqamah. Di atas usaha-usaha yang isitiqamah itu barulah para muslimat dapat mencapai martabat ikon dan kejayaan di dunia dan akhirat yang diidam-idamkan.

Nuridah Mohd Salleh
Taman Melewar, Kuala Lumpur
20 Mei 2010.

Read More......

Wednesday, May 12, 2010

USUL SALAH SEORANG NAIB PRESIDEN PAS
DARI KALANGAN PIMPINAN MUSLIMAT ADALAH SANGAT WAJAR.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para perwakilan dan ahli-ahli Mesyuarat Agong PAS Kawasan Kubang Kerian, Kelantan kerana meluluskan usul agar salah seorang Naib Presiden PAS dipilih daripada kalangan muslimat. Seterusnya mengusulkan agar salah seorang Timbalan Pesuruhjaya Negeri-Negeri dipilih dari kalangan muslimat juga.

Sekalung penghargaan ikhlas juga bagi PAS Kawasan Jasin, Melaka yang telah mengikut jejak langkah PAS Kubang Kerian dalam isu Naib Presiden itu. Juga pada mana-mana PAS Kawasan lain yang bercadang membawa usul yang sama di dalam mesyuarat agong mereka yang sedang dan akan berlangsung.

Sebenarnya telah ada usaha-usaha daripada kalangan muslimat yang prihatin dan memandang jauh kedepan agar usul yang sama diangkat pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri-Negeri dan seterusnya dibawa ke Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Walau bagaimanapun takdirnya PAS Kawasan Kubang Kerian telah mendahului dengan lulusnya usul tersebut secara rasminya pada mesyuarat agong mereka yang lalu. Apa yang menarik adalah usul tersebut tidak akan diterima tanpa sokongan daripada para perwakilan dan ahli-ahli mesyuarat yang jelasnya didominasi oleh kalangan orang-orang lelaki.

Maka bagi saya ianya memudahkan lagi urusan muslimat dan dalam hal ini saya sekali lagi mengucapkan tahniah di atas keprihatinan para perwakilan terhadap pengukuhan sumbangan muslimat ini. Senario ini juga menggambarkan dengan jelas bahawa pendokong PAS di peringkat akar umbi telah mengiktiraf peranan besar muslimat dalam bersama-sama berganding bahu menegakkan Islam dan memajukan PAS. Ia juga membuktikan kesedaran mereka bahawa sebahagian besar penyokong setia PAS adalah para wanita yang jelas diketahui berjumlah lebih daripada 50 peratus pemilih yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya.

Nampaknya PAS Kawasan-Kawasan dari negeri Kelantan telah membuat satu rekod lagi dalam memperkasakan sumbangan muslimat tehadap PAS. Sayugia kita ingat kembali bahawa dalam isu mengangkat dan memilih pimpinan muslimat sebagai calon pilihanraya telah diusulkan oleh PAS Kawasan Kota Bharu tidak lama dulu. Peristiwa ini tercatat dalam sejarah PAS walaupun PAS Kawasan Dungun, Terengganu telah terlebih dulu mengangkat Puan Khadijah Sidik sebagai wakil rakyat. Tetapi beliau telah dipilih oleh pimpinan teringgi PAS semasa itu bukan pilihan PAS Kawasan Dungun.

Tahniah! PAS Kelantan masih jadi juara dalam menghargai dan memperkasa sumbangan muslimat selama ini dengan adanya dua ADUN di dalam Dewan Undangan Negeri dan seorang daripadanya adalah EXCO dalam pentadbiran kerajaan negeri. Mudah-mudahan PAS Kelantan akan terus maju dan memberikan perhatian yang sewajar serta memberi laluan mudah bagi muslimat sebagai contoh teladan yang akan diikuti oleh PAS negeri-negeri lainnya.

Penghargaan juga bagi PAS Kedah dan Selangor yang telah mengangkat ADUN muslimat masing-masing sebagai ahli EXCO kerajaan negeri. Juga tidak lupa kepada PAS Kelantan, Selangor dan Wilayah Persekutuan yang telah berjaya meletakkan 3 orang pimpinan muslimat sebagai ahli parlimen.

Sehubungan itu juga usul PAS Kubang Kerian agar salah seorang Timbalan Pesuruhjaya Negeri dipilih dari kalangan muslimat bukanlah sesuatu yang baru. Sebenarnya PAS Wilayah Persekutuan di era kepimpinan Haji Subky Latif sebagai Pesuruhjaya telah melantik salah seorang Timbalannya dari kalangan pimpinan muslimat. Tradisi ini juga telah dikuti oleh Pesuruhjaya berikutnya Haji Mohd Nor Mohammad satu ketika dulu.

Sejarah gemilang PAS juga telah tercatat bahawa Puan Khadijah Sidik, selain daripada pernah menjadi wakil rakyat, beliau juga pernah memegang jawatan Pesuruhjaya bagi PAS negeri Johor. Oleh itu para muslimat Johor harus berbangga dan mepertingkatkan usaha-usaha dalam memperkasa sumbangan muslimat di Johor.

Satu pekembangan yang menarik dan mengorak langkah maju setapak lagi kini adalah perlantikan dua orang wakil muslimat sebagai ahli Majlis Syura Ulama PAS. Tindakan mengukuhkan kedudukan pimpinan muslimat dalam hiraki parti ini sangatlah bertepatan dengan kehendak rakyat sekarang yang telah mengiktiraf sumbangan besar wanita dalam kemajuan dan kesejahteraan negara. Ianya juga amat selari dengan perjuangan Pakatan Rakyat dalam membawa harapan baru bagi Malaysia.

Oleh itu kedudukan salah seorang Naib Presiden bagi muslimat, saya harap laluannya tidaklah sukar bahkan akan dipermudahkan. Dewan Muslimat PAS Pusat juga akan menyokong penuh kepada sesiapa yang layak bagi memegang amanah ini. Semua wakil-wakil rakyat PAS dari kalangan muslimat dan mantan Timbalan-Timbalan Pesuruhjaya negeri dari kalangan muslimat telah memainkan peranan mereka dengan baik dan berterusan untuk jamaah kita. Saya percaya jika terpilih salah seorang muslimat sebagai Naib Presiden PAS, beliau juga akan dapat menjalankan tugasnya dengan baik dan dapat sokongan bulat daripada semua pendokong muslimat PAS di semua peringkat.

Akhirnya pada kesempatan ini saya rasa masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada para ibu-ibu serta mereka yang menghargai sumbangan para ibu. Mudah-mudahan para ibu khususnya ibu-ibu di kalangan muslimat PAS yang dikasihi akan dapat menjadi ibu-ibu yang cemerlang dan dibantu oleh suami-suami yang penyayang serta dipermudahkan oleh Allah s.w.t dalam segala urusan. Amin.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
Kuala Lumpur, 10 Mei 2010.

Read More......

KEMELUT GEJALA MUNGKAR PADA
KEHIDUPAN YANG MENGABAIKAN “DEEN” ISLAM


Penyakit sosial masyarakat negara kita semakin menjadi-jadi setiap hari. Membaca akhbar-akhbar harian menjadikan jiwa kita resah dan menyesakkan dada. Kesal, geram, marah, takut, terharu dan pelik bersarang di dada dan minda. Manakan tidak, setiap hari kita dihidangkan dengan peristiwa-peristiwa ngeri lagi memilukan.

Bayi yang baru lahir, masih tidak tahu apa-apa pun mati tergolek dibuang sesuka hati. Pembunuhan samada sesama keluarga ataupun orang lain berlaku saban hari dan dipaparkan di dada-dada akhbar. Kejadian lari dari rumah, rogol dan berzina sudah jadi seakan-akan lumrah. Belum lagi disebut tentang gejala jenayah seperti rompak, politik, rasuah, pelacuran dan lain-lain. Akhbar-akhbar arus perdana tanpa segan silu berlumba-lumba memaparkan serta mensensasikannya seolah-olah bahan pelaris bagi meningkatkan jualan mereka.

Apakah semua gejala mungkar ini akan menjadi fenomena biasa bagi masyarakat kita? Adakah ini harga yang harus dibayar oleh kita untuk mendapat status negara maju menjelang tahun 2020? Kenapakah parahnya nilai-nilai hidup masyarakat kita kini? Apakah tiada ubat yang mujarab bagi mengubati penyakit masyarakat kita yang kronik kini? Apakah ini tanda-tanda dunia akhir zaman? Terlalu banyak persoalan tanpa jawapan yang akan berlegar diminda kita.

Sebenarnya kita tidak perlu teraba-raba bagai sibuta kehilangan tongkatnya dalam mencari jawapan terhadap kemelut ini. Sesungguhnya Islam yang merupakan rahmat dari Allah s.w.t yang diturunkan sebagai “ad-Deen – a way of life” satu pakej lengkap tatacara kehidupan sejahtera dapat merawat kemelut ini dan mencabut penyakit sosial ini sehingga ke akar umbinya. Pakej istimewa ini datang terus dari Allah s.w.t. Maha Pencipta yang menciptakan manusia ini sendiri. Justeru itu sudah pasti Allah s.w.t Maha Mengetahui dapat memberikan apa-apa tatacara yang sesuai dan terbaik untuk makhluk ciptaanNya. FirmanNya pada surah al-Maidah : ayat 3, yang bemaksud:

“ ……. Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu “deen”- agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu sebagai “deen” – agama bagi kamu.”

Kesimpulan daripada ayat tersebut kita dapati jelas bahawa hanya dengan “ad-Deen” Islam saja manusia dapat mengecapi kesejahteraan kehidupan di dunia ini dan mendapat kesejahteraan di akhirat. Ia juga menegaskan bahawa hanya dengan kembali kita kepada fitrah kewujudan kita ataupun “back to basic” saja manusia akan dapat mengatasi segala gejala yang akan mengganggu-gugat kesejahteraan kehidupan serta kewujudannya.

Oleh itu bagi merealisasikan kehidupan duniawi yang sejahtera dan diredhai Allah s.w.t, semua pihak mestilah menjalankan amanah masing-masing sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. Ketentuan dan perintah Allah s.w.t ini boleh kita selusuri menerusi ayat-ayat al-Quran dan contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w serta segala kepatuhan dan tindak-tanduk para sahabat yang mendapat hidayah dan taufik dari Allah s.w.t.
Amanah ataupun usaha-usaha tersebut mestilah dilakukan oleh semua pihak yang terlibat seperti berikut:

1. Ibu bapa dan keluarga.

Peranan ibu bapa dan keluarga (datuk,nenek dan adik-beradk) dalam mendidik dan membentuk anak-anak amatlah besar dan berat. Ibu bapa mestilah menginsafi dan menanamkan kesedaran dalam diri keluarga masing-masing bahawa kehidupan duniawi ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk menyempurnakan pengabdian kepada Allah s.w.t. Kenyataan ini dijelaskan oleh Allah s.w.t didalam firmanNya pada surah az-Zariyat: ayat 56 yang bermaksud:

“ Dan (ingatlah) tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah (mentaati) dan beribadah kepadaKu.”

Sebagai makhluk ciptaan Allah s.w.t ibu bapa dan keluarga mestilah memahami dan menghayati maksud ayat tersebut. Dari kefahaman dan ketaatan tersebut maka lahirlah ibu bapa yang akan mengurus-atur kehidupan rumahtangga mengikut acuan Allah s.w.t. Perlu disedari bahawa kehidupan dalam rumahtangga merupakan perkara asas terhadap pembentukan syaksiyah individu. Sabda Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Abu Hurairah r.a. bermaksud:

“ Setiap anak dilahirkan atas fitrah (suci bersih). Maka kedua ibu bapanyalah yang meyahudikan atau menasranikan atau memajusikannya.”

Keperluan mendidik anak-anak dan menjaga keluarga dalam Islam bukanlah sekadar menyediakan makan minum dan segala tuntutan kehidupan secara fizikal dan duniawi semata-mata. Tetapi ia lebih dari itu seperti yang ditegaskan oleh Allah s.w.t di dalam firmanNya pada surah at-Taharim: ayat 6, bermaksud:

“ Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan kaum keluarga kamu daripada azab neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-bata (berhala).”

Justeru itu asas pembinaan rumahtangga dalam Islam adalah untuk menyelamatkan dan mensejahterakan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Sebenarnya sudah menjadi kenyataan seawal pembangunan kehidupan manusia bahawa keluarga yang sejahtera dan kukuh akan melahirkan masyarakat dan negara yang aman damai, makmur dan stabil. Namun jika berleluasanya institusi keluarga berantakan dan hanyut, maka masyarakat dan negara juga akan sama kucar-kacir.

Oleh itu bagi sesebuah keluarga, kewajipan berikut mestilah diberikan penekanan sebagai satu kemestian. Dengan ini individu-individu yang lahir daripada keluarga tersebut tidaklah menjadi penyumbang kepada kebejatan sosial dan keruntuhan akhlak ummah. Kewajipan tersebut ialah:

i. Mendahulukan asas pendidikan agama yang sempurna dalam mengasuh keluarga. Ahli-ahli keluarga mestilah hidup dan membesar dalam suasana beragama dengan mematuhi segala perintah Allah s.w.t serta menghayati nilai-nilai yang luhur.

ii. Menjadikan ibu bapa sebagai contoh teladan kepada anak-anak dalam segala sikap terpuji seperti taat beragama, berkasih-sayang, hormat menghormati, berlemah-lembut, sabar, rajin, menjaga kebersihan dan sebagainya.

iii. Menyediakan keperluan asas hidup secukupnya atau sekadar temampu. Ibu bapa mestilah cuba menyediakan keinginan anak-anaknya yang tidak melampau dari sudut agama.

iv. Mengamalkan sikap terbuka dalam berdepan dengan kesalahan anak-anak agar perasaan mereka tidak disakiti. Jadikan ibu bapa tempat anak-anak mengadu dan merasa selesa untuk berbincang serta mendengar permasalahan mereka.

2. Kerajaan atau pemerintah.

Kerajaan atau pemerintah adalah merupakan institusi yang sangat penting dalam Islam. Soal-soal pemerintahan dalam Islam tidak dilihat dengan sebelah mata saja. Malah kepentingan pemerintahan dalam melaksanakan tuntutan Islam menjadi keutamaan dalam mendapat dan membina keluarga serta masyarakat yang sejahtera. Hal ini adalah jelas kerana kerajaan atau pemerintah adalah jalan untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.

Sebenarnya dalam Islam, kerajaan atau pemerintah hanyalah pelaksana dan wakil yang diberi amanah dan tanggungjawab oleh Allah s.w.t serta diberi kuasa oleh rakyat. Ianya tidak berkuasa untuk mengadakan peraturan dan undang-undang yang bercanggah dan tidak diizinkan oleh Allah s.w.t. Tiada mana-mana raja atau pemerintah yang dapat mengatasi undang-undang dan ketentuan Allah s.w.t. Mereka juga tidak boleh diberikan ketaatan mutlak. Kewajipan taat kepada mereka hanya apabila mereka juga taat kepada Allah s.w.t. Ketegasan ini dijelaskan oleh Allah s.w.t pada firmanNya dalam surah an-Nisa: ayat 58-59 yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada orang yang berhak kepadanya, dan menyuruh kamu melaksanakan hukum dengan adil sesama manusia. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

“ Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan kepada Rasul dan kepada pemimpin dikalangan kamu. Maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang demikian itu lebih baik untukmu dan lebih elok pula kesudahannya.”

Pemerintah bertanggungjawab menegakkan dan melaksanakan hukum Allah s.w.t. Mereka mesti menyelesaikan masalah berpandukan pada hukum Allah dengan seadil-adilnya dan menggunakan bidangkuasa yang diamanahkan kepadanya. Islam meletakkan martabat yang tinggi terhadap pemerintah yang adil. Juga antara jihad yang dituntut adalah berkata benar dan menegur pemerintah yang zalim.

Oleh itu dalam menangani gejala penyakit sosial masyarakat kini, kita menuntut kerajaan Malaysia yang diterajui oleh UMNO-BN mengambil secara serius garis panduan dan tuntutan Islam serta menerima pakai strategi bagaimana Islam memberikan jalan keluar kepada permasalahan itu. Yakinlah bahawa Islam yang datang dari Allah itu adalah suatu “ad-Deen” - iaitu satu pakej istimewa yang serba lengkap mengenai tatacara kehidupan yang sejahtera di dunia dan di akhirat yang dijamin oleh Allah s.w.t.

Mereka mestilah mempunyai keyakinan yang teguh terhadap “ad-Deen” Islam dan ada keazaman politik - “political will” untuk merancang dan melaksanakan suatu program pendidikan secara komprehensif yang mencakupi kesemua sektor kehidupan bermasyarakat dengan strategi yang berpandukan kepada garis panduan Islam. Strategi yang disesuaikan daripada contoh teladan Rasulullah s.a.w dalam menangani gejala mungkar dengan mengutamakan tindakan pencegahan. Antaranya ialah:

i. Mengemaskinikan sistem pendidikan.

Sistem pendidikan negara kita telah banyak diperkata dan diperdebatkan dari sudut pandangan Islam telah gagal membentuk generasi warganegara dan masyarakat yang berbudi luhur dan berhemah tinggi. Ianya juga menecewakan kita dalam membentuk jatidiri dan peribadi yang dapat bertahan daripada serangan gejala keruntuhan akhlak dan masyarakat yang berintegriti. Ianya rapuh mudah terpengaruh dengan budaya hidonisme yang meruntun hawa nafsu. Ianya terlalu fokus terhadap pencapaian untuk menyediakan dan melatih tenaga kerja untuk industri dan mengabaikan keperluan ilmu dan pendidikan Islam yang menyeluruh. Kesimpulannya sistem sekular yang memisahkan tuntutan kehidupan dengan keperluan beragama.

ii. Melaksanakan kempen-kempen ibadah.

Tanggungjawab kerajaan dalam menggalak dan membimbing rakyatnya untuk menghayati dan istiqamah dalam beribadat terhadap Allah s.w.t adalah sangat besar dan penting sekali. Pemerintah harus sedar dan insaf bahawa konsep beribadah dalam Islam adalah luas tidak tertumpu pada tuntutan khususiyah seperti solat, puasa, berzakat, menunaikan haji ataupun fardhu ‘ain saja. Malah ketaatan kepada pemerintah yang adil yang melaksanakan perintah Allah s.w.t juga adalah satu ibadah dan mendapat pahala.

Sebagai contoh baginda Rasulullah s.a.w sendiri mengimamkan solat dan diikuti oleh Khulafah ar-Rasyidin, Amirul mukminin dan pemerintah Islam kemudiannya. Kita mesti sedar bahawa kejadian manusia pada fitrahnya adalah suatu makhluk bermasyarakat yang mengikut dan meniru pemerintahnya (ketua – imam). Justeru itu Allah s.w.t menurunkan nabi dan rasul sebagai “uswatun hasanah” – contoh teladan untuk diikuti ataupun lebih difahami sebagai “idola” atau “ikon” masa kini. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bermaksud:

“Rakyat itu menganut (mengikut/meniru) “deen” (a way of life) – agama pemerintahnya (imam-ketua)”

Malah salah satu peribahasa Cina yang memberikan gambaran yang sama menegaskan bahawa ikan apabila kepalanya sudah busuk seluruh ikan itu sudah busuk juga dan tidak berguna lagi. Justeru itu contoh teladan pemimpin yang tidak rasuah akan diikuti oleh rakyatnya. Bagaimana hendak menghapuskan rasuah kalau orang yang diamanahkan untuk membentras gejala itu sendiri melakukan rasuah?

Sehubungan itu juga semua bentuk ibadah dalam Islam adalah bertujuan melatih dan mendidik jiwa insan supaya mengenali dirinya sendiri sebagai hamba Allah, berbaik-baik dan rukun damai sesama insan dan tidak boleh menginayai dan menzalimi sesama insan walaupun terhadap dirinya sendiri. Sifat-sifat ini akan menjamin kewujudan masyarakat yang harmoni dan sebuah negara yang aman dan makmur.

Ibadah solat lima waktu misalnya, adalah merupakan suatu kewajipan yang mesti ditunaikan kerana jaminan dari Allah s.w.t ianya akan menghalang seseorang itu daripada melakukan perbuatan yang keji, kotor dan jahat. Firman Allah s.w.t dalam al-Quran pada surah al-Ankabut ayat : 45, bermaksud:

“Sesungguhnya sembahyang itu menghalang daripada perbuatan keji dan mungkar.”

Manakala ibadah puasa pula disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai satu perisai (pendinding) daripada kejahatan. Oleh itu apabila seseorang itu benar-benar berpuasa akan berkuranganlah tenaganya kerana berlapar dan terpaksa mengawal nafsunya agar tidak membatalkan puasanya. Juga ianya akan menimbulkan rasa simpati terhadap orang yang miskin dan kelaparan.

Oleh itu kerajaan haruslah menjalankan kempen-kempen ibadah mengajak rakyatnya bersama-sama melaksanakan amal makruf dan menghindari kemungkaran. Natijahnya dari usaha-usaha dan kempen-kempen ini akan dapat merapatkan silatur-rahim antara pemimpin dan rakyat. Mereka juga akhirnya akan mentaati dan menyayangi pemerintahnya.

iii. Merangsang dan memberikan insentif kepada badan-badan amal dan dakwah serta NGO kebajikan.

Badan-badan amal dan dakwah serta NGO kebajikan berperanan besar membantu kerajaan menjaga dan menangani permasalahan rakyatnya. Pemerintah mestilah memberikan galakkan dan insentif bagi membantu badan-badan ini berjalan dengan teratur dan efektif.

Pembentukan masyarakat yang luhur dan sejahtera juga dapat dijayakan dengan badan-badan ini bertindak sebagai pihak yang menasihati dan menegur pemerintah dan rakyatnya ke arah melakukan islah-reformasi untuk mencapai kebaikan untuk semua. Firman Allah s.w.t dalam al-Quran pada surah Ali-Imran ayat: 104 bermaksud;

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari perbuatan mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.”

iv. Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam.

Kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO sekarang hendaklah memahami dan meyakini bahawa undang-undang dan peraturan yang termaktub didalam al-Quran dan telah dilaksanakan oleh baginda Rasullulah s.a.w serta para Khulafah ar-Rasyidin bukanlah hanya sesuatu peristiwa lalu dalam lipatan sejarah. Ia bukanlah sesuatu memori dan penceritaan yang perlu diingati berulang-ulang seolah-olah satu penglipur-lara atau puisi nasihat, tetapi satu ketentuan Allah s.w.t yang perlu dilaksanakan. Firman Allah s.w.t didalam al-Quran pada surah al-Maidah ayat: 47 dan 48, bermaksud:

“Dan hendaklah ahli-ahli kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.”

“Dan kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)…….”

Sebenarnya jika kita insafi dan halusi hukuman-hukum yang Allah perintahkan di dalam al-Quran yang dikenakan kepada pesalah-pesalah, ianya lebih bersifat pencegahan dan pemulihan (preventive and reformative). Jelasnya hukuman tersebut untuk beberapa tujuan seperti berikut:

a. Melindungi masyarakat daripada perlakuan jahat.
b. Memberikan pengajaran dan peluang kedua (second chance) kepada pesalah supaya tidak mengulangi perbuatan jahatnya.
c. Memberikan keinsafan kepada pesalah dan pencegah (preventive) kepada sesiapa yang berminat untuk melakukannya.
d. Memberikan pembalasan ke atas perbuatan jahat pesalah dan membela orang yang telah teraniaya.
e. Menjadi satu tindakan pembetulan dan pemulihan (reformative) kepada penjenayah agar pulang ke pangkal jalan.

v. Mewujudkan kemudahan bagi memenuhi waktu senggang.

Pemerintah juga perlu melaksanakan program dan menyediakan prasarana kemudahan riadah dan sukan terutama bagi para belia agar masa senggang mereka tidak ditumpukan kepada perkara-perkara yang negatif. Aktiviti-aktiviti sihat perlu digalakkan serta diberikan insentif supaya rakyatnya terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan, koperasi, gotong-royong agar mereka berpeluang memenuhi masa lapang secara produktif.

Rakyat hendaklah diberi peluang untuk menubuhkan badan-badan sukan, sukarelawan, akademik, penyelidikan, koperasi dan lain-lain serta dipantau dan diselaraskan oleh kerajaan supaya tiada pertindihan yang merugikan serta diambil kesempatan oleh anasir-anasir yang mempunyai agenda jahat mereka.

3. Peranan media masa.

Pengaruh media masa kini terhadap masyarakat sangat besar dan penting. Media masa merangkumi media cetak, letronik dan cyber seharusnya dapat membantu kerajaan memberikan penerangan yang benar dan jelas terhadap sesuatu isu bukan mengelirukan dan menggalakkan masyarakat kepada perbuatan mungkar. Kecenderungan masyarakat terutama golongan muda beralih kepada media alternatif atau media baru adalah kerana kegagalan media arus perdana menangani isu-isu dengan baik. Media arus perdana dilihat terlalu bertindak menjadi alat propaganda pemerintah. Mereka bertindak rakus menutup rapat teguran dan pandangan kedua atau bersifat tidak demokratik.

Mengikut G. Jauch dalam rencananya, media masa bukan penyebab kepada jenayah ataupun seseorang itu berkelakuan liar, tetapi ia bergantung kepada personaliti dan persekitaran yang mempengaruhi pesalah. Media masa seharusnya dapat membantu mengurangkan kadar jenayah. Disamping membantu polis mengesan jenayah dalam menjalankan penyiasatan. Oleh itu amat penting media masa berperanan mencegah jenayah daripada terlalu tertumpu kepada hiburan yang melekakan.

4. Peranan masyarakat.

Rakyat atau masyarakat hendaklah mempunyai komitmen yang tinggi untuk memelihara keharmonian dengan penyertaan dan penglibatan yang serius terhadap pelaksanaan amar maruf dan mencegah kemungkaran. Dalam amalan demokrasi rakyat juga diberikan hak untuk memilih pemerintah yang mereka sukai. Rakyat perlulah berhati-hati melaksanakan amanah ini kerana kesilapan memilih pemimpin akan membawa bencana yang amat sukar untuk dipulihkan kemudian.

Rakyat juga perlu prihatin terhadap keadaan sekitar dan tidak berdiam diri jika melihat kemungkaran berlaku hanya mengharapkan kerajaan saja untuk bertindak. Sebenarnya masyarakat yang pasif juga bertanggungjawab terhadap gejala kemungkaran daripada hanya menunding jari menyalahkan kerajaan saja. Kerajaan juga hendaklah menghormati dan menghargai suara-suara dan pandangan kedua masyarakat. Saranan dan pengalaman mereka yang berada di lapangan adalah amat penting bagi membantu kerajaan merancang dan melaksanakan sebarang kerja-kerja pembaikan dan pemulihan. Zaman cogankata “government know best” – kerajaan lebih mengetahui, sudah berlalu dan tidak relevan lagi. Oleh itu sebuah kerajaan yang adil sekarang dilihat dan dinilai kepada tindak-tanduk mereka yang mendengar dan menghargai pandangan dan keperluan rakyatnya

Kesimpulan

Sesungguhnya pembentukan sesebuah negara yang aman dan makmur yang melaksanakan kewajipan amar makruf serta mencegah kemungkaran memerlukan semua pihak terlibat berkerjasama menjayakannya. Pembentukan akhlak yang mulia dan rasa hormat menghormati serta bersangka baik – husnul zan, sesama masyarakat dan pemerintah adalah asas penting dalam usaha Malaysia melangkah menjadi negara maju di abad ke-21 ini.

Tanpa nilai-nilai akhlak terpuji yang diredhai Allah s.w.t individu-individu yang tidak berintegriti ini akan membentuk masyarakat yang pincang. Masyarakat yang pincang bukan saja merosakkan pembangunan yang sudah sedia ada malah akan mengagalkan semua usaha ke arah matlamat melahirkan sebuah negara maju lagi cemerlang. Cita-cita murni itu hanya akan jadi “angan-angan Mat Jenin” saja.

Nuridah Mohd Salleh.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
Taman Melewar, 9hb April 2010.

Read More......