Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, June 22, 2009

Memperteguh Persefahaman & Kerjasama serta Setiakawan


Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas ucap tahniah daripada YB Puan Zuraidah Kamaruddin, Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat sempena mandat baru yang telah diberikan oleh perwakilan bagi saya meneruskan memikul amanah selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat pada sidang Muktamar DMPP yang lalu.


Tidak lupa juga penghargaan yang sama kepada semua rakan-rakan pimpinan wanita Pakatan Rakyat dan wakil-wakil NGO serta individu-individu yang telah menghantar ucap tahniah melalui sms, email dan sebagainya.


Saya ingin ulangi kenyataan seperti yang telah ditegaskan di dalam ucapan tema Muktamar DMPP ke49 yang lalu, bahawa DMPP akan mengambil usaha-usaha bersepadu ke arah memperteguhkan lagi persefahaman dan kerjasama di atas semangat setiakawan dalam gabungan Pakatan Rakyat.


Sudah sampai masanya keperluan ditubuhkan sebuah Sekretariat Wanita Pakatan Rakyat bagi menyelaras semua perancangan dan tindakan bersama dalam menangani isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama dan rakyat seluruhnya. Di samping kerjasama yang telah terjalin sekarang terutamanya bagi negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.


Sekretariat ini juga boleh dijadikan satu forum rasmi pimpinan wanita di dalam Pakatan Rakyat bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama dalam membentuk muafakat dan kesepakatan. Malah ianya tidak bercanggah dengan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang telah wujud dan bersifat komplimentari pada majlis tersebut.


Insya Allah, cadangan ini akan dihalusi pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa DMPP akan datang dan sebarang keputusan mengenai penubuhannya tertakluk kepada persetujuan mesyuarat serta akan dirundingkan bersama dengan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat yang terlibat.


DMPP bukan saja akan mempertingkatkan penglibatan dan peranan muslimat di peringkat PAS Pusat bahkan di dalam lajnah-lajnah dan jawatankuasa-jawatankuasa bertindak yang akan ditubuhkan oleh PAS Pusat.


Sesungguhnya kesatuan dan muafakat kita dalam Pakatan Rakyat sedang diperhatikan dengan penuh minat oleh rakyat. Harapan mereka agar kita dapat melaksanakan agenda reformasi masyarakat bagi membawa ke arah sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu, maju dan sejahtera.


Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
18 Jun 2009



Read More......

Thursday, June 11, 2009

Umrah Tarbawi Dewan Muslimat PAS Pusat







Read More......

Ciri-ciri Kerajaan Perpaduan -Tuan Ibrahim Tuan Man

Diambil dari blog Tuan Ibrahim Tuan Man. http://tuanibrahim.blogspot.com

Mudah-mudahan membantu kita memahaminya..

Bila mana Presiden mengutarakan gagasan kerajaan perpaduan, ramai di kalangan kita membuat pelbagai tafsiran dan andaian. Ada pandangan terkeluar dari akhlak jamaah dan sebahagian besarnya masih dalam batas berjamaah. Kesemua permasalahan ini berpunca dari tiada satu penjelasan lengkap dikeluarkan. Idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan pakatan Rakyat. PAS tidak akan mengkhianati Pakatan kita, bahkan kita akan perkukuhkan gabungan ini menjadi alternatif bagi rakyat.

Sebagai ahli parti, kita mesti menerima idea dan gagasan ini dengan baik sangka kepada Presiden disamping mengikuti penjelasan darinya. Idea ini dilontar diperingkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak.

Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya. Saya suka jelaskan bahawa YB Dato’ Sri Presiden akan membuat dan memperhalusi gagasan ini dalam masa terdekat dan satu wacana kepimpinan akan diadakan.

Namun bagi mengurangkan sedikit polimik yang sengaja dibesarkan oleh media arus perdana, saya suka menggambarkan beberapa prinsip yang wujud dalam gagasan ini:


Antara asas utama dalam kerajaan perpaduan ini ialah bertolak kepada firman Allah “..dan bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.

Konsep taawun yang melahirkan muafakat yang disaran oleh Allah menjadi asas dalam pembinaan Negara perpaduan. Kita mesti membina Negara berasaskan kepada al-bir (kebaikan) yang meliputi semua elemen kebaikan bagi rakyat. Kita mesti menyedari pembinaan Negara

Perpaduan tidak akan lahir dari sistem yang kelam kabut, rasuah dan penyelewengan, pimpinan yang tidak berakhlak, sistem yang penuh dengan kezaliman, dan akta yang digunakan bagi menindas rakyat.

Apakah al-bir dari sistem begini? Kita mesti letakkan asas al-bir ini untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Asas ini dituntut oleh Allah, apakah ada di antara kita yang tidak inginkan kebaikan?


Asas kedua ialah TAQWA. Negara mestilah menjurus ke arah melahirkan pimpinan yang bertaqwa, agar rakyat yang kita urus bukan hanya selamat melalui al-bir (kebaikan sistem Negara) tetapi mestilah wujud elemen taqwa. Pemimpin mestilah bertaqwa kepada Allah. Asas al bir bersifat umum, tetapi asas taqwa bersifat khusus bagi pimpinan yang ingin menerajui kepimpinan Negara Perpaduan.

Semua parti politik yang pimpinannya terdiri dari mereka yang menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasul hendaklah sedar bahawa kehidupannya tidak berakhir di dunia. Bagaimana kita ingin melahirkan rakyat yang baik, seandainya kita sendiri bergelumang dengan dosa dan maksiat. Kepimpinan gagal menjadi model bagi rakyat, isteri pimpinan menjadi elemen yang meruntuhkan akhlak dan jati diri bangsa. Hidup tanpa batasan agama dan kawalan wahyu.

Negara yang baik lahir dari kepimpinan yang baik, dan taqwa adalah asas bagi semua kebaikan. Rakyat mestilah menyedari betapa Negara kini sangat-sangat memerlukan pemimpin yang bertaqwa bagi memandu Negara. Kami menawarkan asas yang Allah menyuruh kita berpegang; apakah ada panduan yang lebih baik dari panduan Ilahi? Apakah parti-parti politik bersedia ke arah itu, dan seandainya tidak bersedia apakah alasan di hadapan Allah nanti di akhirat bila Allah meminta kita menjelaskan kenapa dan mengapa.


Asas ketiga ialah kita menyatakan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam pembentukan kerajaan ini sebuah kerjasama ke arah derhaka kepada Allah. Konsep al-ism yang sangat luas menjadi sempadan pembinaan kerajaan perpaduan. Kita sebagai pimpinan mesti berusaha agar rakyat tidak terdedah kepada dosa dan maksiat. Kita perlu membina Negara yang soleh melalui pemimpin dan rakyat yang soleh. Kita mesti meletakkan asas utama agar semua elemen yang mendatangkan dosa bagi rakyat dihapuskan; kerana kebaikan tidak akan lahir dari maksiat dan munkar.

Setelah lebih 50 tahun negara merdeka, pelbagai sistem yang mendedahkan dosa dipaksakan ke atas rakyat. Amalan riba yang berterusan, pusat-pusat maksiat diberi ruang yang luas oleh pemerintah, program maksiat mendapat tempat di hati rakyat sehingga lahirlah pelbagai gejala sosial, jenayah dan penyelewengan. Akibat negara yang tidak di asas kepada benteng kawalan yang menjadi syarat utama kebaikan bagi rakyat.

Inilah syarat kami bahawa kami tidak akan berkompromi dengan perkara dosa dan durhaka kepada Allah yang diizinkan oleh pemimpin Negara Perpaduan. Apa makna perpaduan, kalau untuk durhaka kepada Allah, kerana tiada makna kemajuan dan perpaduan kalau ia dibentuk ke arah maksiat dan dosa.


Asas keempat yang dinyatakan oleh Allah ialah kami tidak akan berkerjasama ke arah permusuhan. Kita mesti menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong wujudnya jurang antara kaum di negara ini. Kecintaan kepada bangsa sendiri adalah fitrah manusia. Islam tidak menghalang setiap kaum menyintai kaumnya, tetapi Islam menentang tindakan zalim kepada kaum lain. Kerana kaum, bangsa dan warna kulit adalah ketentuan Allah, bukan pilihan manusia.

Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang elemen ke arah permusuhan, samada di kalangan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Pertembungan antara dalaman setiap kaum akan merugikan negara. Kita tidak akan membiarkan permusuhan antara orang Melayu sebagaimana kita tidak akan izinkan permusuhan sesama kaum India dan Cina. Ini asas kita.

Tindakan mengapi-api permusuhan, elemen gengstarism dan kongsi gelap, gerakan anti perpaduan serta membiarkan jurang kaya dan miskin melampau, elemen penindasan dan kezaliman golongan kaya berpengaruh ke atas rakyat miskin dan tertindas akan menjurus ke arah permusuhan.

Saya ingin tegaskan bahawa inilah antara beberapa asas dalam kerajaan perpaduan. Andainya ada pihak yang menentangnya, apakah alasan kalau inilah yang digariskan oleh Allah dalam konsep al-taawun.

Taawun sebagai satu gagasan, bukan hanya terikat dengan taawun fardiyyah; tetapi satu gagasan besar yang hebat dari Allah. Di samping asas tersebut, terdapat beberapa asas lain yang akan dijelaskan kemudian.

Wassalam.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN

Read More......

sms yang diterima- renungan untuk semua

SALAM..

Tahniah saya ucapkan kepada Ustzah Nuridah kerana terpilih sekali lagi untuk menerajui Ketua DMPP..Dengan ini saya ingin mengambil kesempatan supaya DMPP:

1) Menjadikan semua muslimatnya bekerja dengan lebih gigih lagi sebagai seorang doktor (pendakwah) untuk mengubati penyakit hati dan roh yang menimpa umat Islam hari ini.

2) Menjalankan tanggungjawab menyebarkan dakwah bukan sahaja sesama Islam tetapi terhadap orang bukan Islam supaya keamanan dapat dikecapi bersama.

3) Di samping itu juga, saya ingin menyeru supaya muslimat jangan mudah gentar dan putus asa untuk menyebarkan ajaran Islam.

4) Muslimat dapat berfungsi seperti air yang turun dari bukit..boleh mengalir dari mana-mana arah sehingga mampu meruntuh segala halangan..

Inilah butiran sms dari kawan kepada Abang Cik (Abd Rahman)-iaitu anak kak nuri..kawannya seorang tukang kebun di sekolah (Kelantan)..Mungkin inilah hasil tarbiyyah bumi Kelantan..terima kasih kepada beliau..

Read More......

Wednesday, June 10, 2009

Ucaptama Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-49

Read More......

Petikan Ucaptama Muktamar Dewan Muslimat Kali Ke-49


Segala puja-puji bagi Allah Tuhan yang Maha Mengatur dan Menguruskan seluruh alam. Sesungguhnya dengan izin dan inayahNya jua kita dapat bertemu dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke 49 ini.

Kepada semua, saya mengalu-alukan kehadiran dan keterlibatan dalam menjayakan muktamar ini. Marilah kita bersama-sama menjadikan muktamar kali ini sebagai wadah kepada muslimat untuk menaiki mata tangga perjuangan yang lebih tinggi. Moga segala penilaian, teguran, pandangan dan idea-idea baru yang dijana akan membakar lebih marak api kemaraan muslimat di dalam perjuangan ini.


MENYEMARAK KEMENANGAN

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya;

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
at-Taubah: ayat 41.

Sidang muktamar yang dihormati sekalian,

Alhamdulillah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Ya Malikul Mulk, Tuhan Yang Memiliki seluruh kerajaan di mukabumi ini. Allah yang telah memberikan kekuasaan dan kerajaan kepada gabungan Pakatan Rakyat melalui pilihanraya baru-baru ini di negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta seketika di Perak sebelum dirampas dengan rakus oleh Barisan Nasional dengan mengenepikan suara rakyat.

Sejarah telah melakarkan satu lagi keajaiban Allah s.w.t. yang mana gabungan Pakatan Rakyat merupakan parti-parti politik yang serba kekurangan telah dapat memenangi hati rakyat bagi membela nasib mereka dan menentukan halatuju serta masa depan negara. Jauh berbeza dengan gabungan Barisan Nasional yang tanpa segan silu menggunakan seluruh jentera kerajaan negeri dan pusat untuk kepentingan mereka bagi mempertahan kuasa.

Sesungguhnya fenomena ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa arus kehidupan rakyat yang semakin berubah dan matang, mahu memilih jalan hidup yang berteraskan kepada kebenaran dan keadilan sejagat yang sememangnya menjadi tuntutan Islam. Walaupun dicurahkan dengan segala bentuk kebendaan, ianya sudah tidak mampu memikat hati rakyat yang semakin sedar dan bimbang bahawa negara kita sedang menuju ke arah kehancuran.

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Secara sedar ataupun tidak, kita berhadapan dengan satu peradaban jahiliyyah yang berteraskan kapitalisma berdasarkan amalan riba’ dan segala rupa bentuk materialisma yang mengakibatkan berlakunya penindasan dan kezaliman. Satu peradaban yang dilihat sekarang telah menghasilkan kepincangan sistem kekeluargaan, pendidikan, ekonomi, sosial, dan perundangan. Ataupun boleh dikatakan seluruh sistem kehidupan sudah menampakkan tanda-tanda ke arah kehancuran.

Dalam keadaan kegusaran dan kebuntuan ini, kita lihat manusia mula tercari-cari jalan keluar dan mula mendekati Islam sebagai jalan penyelesaian kepada seluruh kepincangan dan kehancuran ini. Sememangnya Islam sebagai satu cara hidup telah pun menjanjikan kesejahteraan kepada kehidupan manusia sejagat.

Firman Allah s.w.t:
Maksudnya;

Sesungguhnya Allah menyeru (manusia) ke tempat kediaman yang sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada manusia yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) ke jalan yang betul dan lurus (yang selamat itu)”
Yunus: ayat 25.

Oleh itu bermula dari kemelut ini, marilah kita bertekad untuk mengambil kesempatan yang datang ini untuk terus menyemarakkan kemenangan agar usaha-usaha dakwah dan pengislahan atau reformasi masyarakat dapat kita lakukan dengan lebih berkesan.


MENGUKUHKAN KESATUAN FIKRAH DAN AMAL


Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Kita insafi bahawa kemenangan yang dianugerahkan Allah s.w.t. ini menuntut kita mengisinya dengan kebenaran dan keadilan Islam. Tuntutan perjuangan memerlukan kepada pengorbanan yang hebat. Juga keutuhannya memerlukan kesatuan fikrah dan amal yang jelas serta berterusan seperti ditunjukkan oleh para Nabi, Rasul dan seluruh pejuang Islam dahulu sehingga kini.

Usaha-usaha bagi mengukuhkan kesatuan fikrah dan amal adalah satu kemestian bagi jamaah Islam. Ianya dapat memastikan kesinambungan perjuangan dan tidak lari dari landasan sebenar. Muslimat PAS sendiri terdiri daripada pelbagai golongan termasuk ulama’, profesional, aktivis dan suri rumah yang menjadi ’grassroot’ kepada perjuangan ini. Kepelbagaian latarbelakang muslimat ini merupakan pelengkap kepada kekurangan setiap pejuang yang akhirnya akan melahirkan satu saf muslimat yang dinamik umpama sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Kejelasan aqidah dan prinsip perjuangan merupakan teras dan dasar kepada kepelbagaian ini. Justeru akhirnya akan membawa kepada kemantapan dan kecemerlangan. Perbezaan pendapat dan pendekatan merupakan sifat kreativiti Allah Ya Musowwir dan Ya Khaliq. Allah s.w.t telah memberikan sifat tersebut kepada manusia agar manusia menjadi kreatif dalam usaha-usaha kembali kepada Allah s.w.t. dengan mengadun-jalin pelbagai idea dan pendekatan.

Firman Allah s.w.t;
Maksudnya:

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang unuk agamaNya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yanh tersusun kukuh.”
As-Sof: ayat 4.

Oleh itu perbezaan-perbezaan yang wujud harus diterima sebagai kepelbagaian teknik dakwah yang harus merangkumi pelbagai jenis mad’u atau sasaran dakwah.

Dewan Muslimat PAS sentiasa menerima dengan terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menggabungkan diri dalam perjuangan ini dan bersedia menerima teguran, pandangan dan pendapat demi kecemerlangan perjuangan.


MUSLIMAT BERINTERGRITI DAN BERPERANAN SEBAGAI DA’I KEPADA MASYARAKAT


Bagi memastikan kesatuan yang kukuh di kalangan jentera muslimat, usaha-usaha ke arah melahirkan muslimat yang bercirikan kepada muhajidah, berilmu, beriman, beramal, bertaqwa, beristiqamah serta berperanan sebagai da’i pada masyarakat mestilah dipertingkatkan.

Untuk itu, Dewan Muslimat PAS akan terus memberikan komitmen kepada usaha-usaha pembentukan kepimpinan dan amilin yang profesional melalui penubuhan akademi naqibah. Harapan kita ianya akan dapat mendidik dan melahirkan saf kepimpinan yang mampu memimpin wanita di semua peringkat, serta menjadi amilin yang mampu menyerahkan seluruh jiwa dan raga untuk perjuangan suci ini.

Mudah-mudahan dengan itu kita para pendokong Muslimat akan termasuk di dalam golongan mereka yang berjual beli dengan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t:
Maksudnya;

”Wahai orang-orang beriman, mahukah Aku tunjukkan perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenar).”
as-Sof: ayat 10 – 11.


i. Peranan memantapkan akhlak masyarakat.

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Dewan Muslimat PAS di semua peringkat hendaklah sentiasa memberikan komitmen yang berterusan bagi membawa masyarakat kepada berkeperibadian dan akhlak yang tinggi dan terpuji. Muslimat adalah agen perubahan bagi kemantapan kehidupan masyarakat dalam semua aspek kehidupan. Sewajarnyalah berbekalkan dengan pentarbiyahan tenaga para dai’ dari kalangan muslimat ini serta kesatuan fikrah berupaya menarik minat masyarakat ke arah matlamat yang diidamkan.

Muslimat menekankan akhlak terpuji di dalam semua aspek kehidupan termasuk aspek ekonomi, pendidikan, kekeluargaan, perundangan, kesenian, sukan dan sebagainya. Akhlak terpuji yang dibawa oleh Islam ini adalah seperti nilai-nilai jujur, amanah, bertanggungjawab, hormat menghormati, bantu-membantu, prihatin dan seumpamanya.

Sifat-sifat ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah merupakan keperluan manusia sejagat.

Firman Allah s.w.t;

Maksudnya:

Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
al-Anbia: ayat 107.

Begitu juga seluruh manusia menolak keperibadian buruk yang akan merosakkan kehidupan seperti rasuah, penyelewengan, amalan riba’, mementingkan diri sendiri, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.


ii. Peranan mengembalikan masyarakat Islam sebagai pendokong kepada ajaran Islam yang syumul.

Di dalam usaha-usaha kita membina masyarakat berakhlak, Dewan Muslimat PAS ingin menegaskan bahawa ummat Islamlah sewajarnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat keseluruhannya. Tanggungjawab ini terpikul berat ke atas bahu Muslimat PAS.

Muslimat PAS harus berbeza dengan wanita yang tidak menjalani proses tarbiyah yang lain. Jika tidak akan jadilah keadaan sebagaimana perumpamaan yang menggambarkan keadaan ”ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul”.

Islam telah diturunkan sebagai satu cara hidup yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Ummat Islam mesti kembali kepada cara hidup Islam dan meninggalkan cara hidup jahiliyyah yang dibawa oleh penjajah. Cara hidup yang kuat dipengaruhi oleh penjajah ini telah menyempitkan Islam sebagai hanya satu agama ritual dan telah diwarisi serta membelenggu ummat Islam hingga kini.

Ummat Islam harus mengembalikan sistem perundangan Islam, pendidikan Islam, perubatan Islam, kekeluargaan Islam, ekonomi Islam, kesenian Islam dan sistem kerjaya yang berlandaskan Islam. Kembali kepada satu sitem hidup Islam sebagai ad-Deen - ”Islam as a way of life” satu kehidupan yang diredai oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya:
”Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan jangan kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
al-Baqarah : ayat 208.

Dewan Muslimat melalui program penerangan, kebajikan, perundangan akan terus memberikan komitmen yang sangat tinggi bagi membawa masyarakat Islam khususnya di Malaysia ini kembali kepada cara hidup Islam dalam semua aspek kehidupan. Tidak lupa juga kita mendokong usaha-usaha Nisa’ memperkenalkan dan memikat para remaja kita ke arah cara hidup Islam yang syumul.


iii. Peranan membawa masyarakat keluar daripada kemelut kehancuran institusi keluarga

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Dewan Muslimat PAS sangat prihatin terhadap masalah yang menimpa institusi keluarga khususnya umat Islam. Kadar perceraian yang tinggi dan sangat mencemaskan menunjukkan penyakit yang kronik sedang menimpa institusi keluarga.

Dewan Muslimat ingin menegaskan bahawa institusi keluarga mestilah kembali kepada peranannya yang asal iaitu melahirkan dan membina ummat yang memperjuangkan kehidupan yang diredai oleh Allah s.w.t.

Hari ini kita dapati matlamat perkahwinan bukan lagi untuk membina keluarga yang menjadi batu-bata masyarakat yang kukuh. Malang sekali ianya seolah-olah telah menjadi tempat dimana dunia dan wang ringgit menjadi matlamat sehingga melupakan tanggungjawab isteri, suami untuk memberi kasih sayang dan mendidik anak-anak.

Kekusutan hubungan suami isteri yang sangat mencemaskan ini, akhirnya membawa kesan negatif kepada anak-anak. Akibatnya anak-anak terabai dan membawa mereka kepada gejala sosial yang melalai dan merosakkan mereka.

Menyedari akan hakikat ini, Dewan Muslimat perlulah mengembelingkan tenaga bagi membuat program-program kesedaran dan pengisian rohani bagi membawa mereka kembali kepada fitrahnya yang asal dan akhirnya akan membawa kepada keharmonian rumahtangga.

MENGUBAH MINDA WANITA MALAYSIA KE ARAH KECEMERLANGAN UMMAH


Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Wanita Malaysia perlulah dibawa ke arah mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Sebahagian mereka perlu mengubah minda sedia ada yang selama ini dibelenggu dengan pelbagai kepercayaan dan prinsip yang negatif, akibatnya mereka mundur dari segala aspek.

Kekurangan ilmu tentang kehidupan termasuk perundangan, hak-hak wanita, pendidikan dan ekonomi menjadikan masih ramai wanita Malaysia hari ini hanya mampu mengikut arus dan tidak mampu berfikiran kritis, proaktif dan inovatif. Usaha-usaha perlu kita lakukan bagi membawa wanita kepada kecemerlangan serta mampu memilih yang benar dan yang salah.

Tegas Allah s.w.t pada firmanNya;

Maksudnya:

Katakanlah adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
az-Zumar : ayat 9.

Pemikiran negatif yang berpada dalam ”zon selesa”, takut untuk mencuba perkara baru, takut gagal, takut mengambil risiko dan tidak mampu menempuh ujian dan dugaan dengan penuh ketabahan menjadikan ramai kaum wanita Malaysia khususnya wanita Melayu hanya menjadi pengguna, tetapi tidak mampu mencipta produk baru dan pendekatan baru.

Masalah ini ditambah lagi dengan sikap malas, suka mencari jalan pintas, suka bergantung kepada orang lain dan tidak mahu berusaha. Akhirnya masih ramai wanita-wanita ini tertipu dengan pelbagai tipudaya skim cepat kaya dan seumpamanya.

Oleh itu, Dewan Muslimat perlulah memberikan komitmen yang tinggi melalui pelbagai program penerangan. Sasarannya adalah termasuk wanita bandar, luar bandar, warga emas khususnya wanita Melayu. Usaha-usaha ini bagi mengubah minda mereka daripada berfikiran negatif dan statik kepada pemikiran positif dan dinamik yang akan menggerakkan perubahan di dalam masyarakat.

MENGUASAI POLITIK NEGARA DENGAN KESYUMULAN ISLAM


Politik negara kita hari ini telah dicemari dengan pelbagai amalan rasuah, penyelewengan dan ketidakadilan. Ramai ahli-ahli politik di negara ini telah dilabelkan oleh sebahagian besar rakyat sebagai perompak harta negara, yang mana mereka menggunakan kedudukan dan kuasa untuk mendapatkan keuntungan dan wang ringgit bagi kepentingan diri.

Kesibukan mencari ruang-ruang kepentingan diri menyebabkan kurangnya masa untuk memikirkan pembangunan negara dan kepentingan rakyat. Sekiranya ada yang mengkritik dan membangkang, maka pelbagai tindakan politik akan dikenakan sehingga ramai yang terpaksa berdiam diri walaupun nampak penyelewengan yang jelas di depan mata mereka.

Namun begitu, PAS dan parti-parti rakan dalam gabungan Pakatan Rakyat tidak pernah gentar dengan ugutan dan tindakan mereka. Kebenaran dan keadilan terus dilaungkan dan ditegakkan. Dewan Muslimat ingin menegaskan kepada semua aktivitis PAS dan Pakatan Rakyat bahawa kami sentiasa memberikan sokongan padu dan akan terus bersama walau apa dugaan sekalipun yang akan mendatang.

Dewan Muslimat akan bersama menyumbangkan usaha-usaha yang telah dirancang oleh PAS Pusat dalam agenda membawa ciri-ciri Islamiyah dalam berpolitik dan bernegara. Sesungguhnya kesyumulan Islam hanya dapat dinikmati melalui amal yang berterusan bukan sekadar retorik sahaja.

Jika tidak terjadilah suasana seperti UMNO yang mengagungkan Islam sebagai satu tamadun lampau yang dapat dilihat kesyumulannya hanya pada lipatan sejarah dan juga pada lembaran kertas kitab-kitab yang tersusun baik di perpustakaan.

i. Peranan muslimat dalam penggubalan undang-undang dan hala tuju negara

Dewan Muslimat PAS tidak ketinggalan memainkan peranan dalam penggubalan undang-undang negara. Muslimat yang diwakili oleh beberapa orang tokoh Muslimat yang menjadi Ahli Dewan Negara (Senator), Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terus menerus memperjuangkan kebenaran dan keadilan, membela mereka yang tertindas serta mereka yang menjadi mangsa politik Barisan Nasional.

Peranan muslimat dalam menentukan hala tuju negara akan semakin terserlah dengan lahirnya tokoh-tokoh muslimat di kalangan pengamal undang-undang, pengamal perubatan, ahli-ahli akademik, ahli-ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat.

Dewan Muslimat mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua cendikiawan muslimat yang sanggup mengorbankan status dan jawatan mereka demi perjuangan.


ii. Menyokong konsep kerjasama politik yang diputuskan oleh kepimpinan PAS

Dewan Muslimat juga menyokong sepenuhnya setiap keputusan Majlis Syura Ulama’ dalam menangani cabaran politik tanah air seperti konsep Tahaluf Siyasi dan sebagainya.

Dewan Muslimat sangat menghargai semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh rakan-rakan daripada parti-parti PKR dan DAP yang menghormati Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Harapan kita persefahaman dan semangat setia kawan ini dalam gabungan Pakatan Rakyat dapat diperkukuhkan lagi.

Dewan Muslimat juga sangat menghargai sumbangan ahli-ahli Kelab Penyokong PAS yang telah banyak membantu PAS terutama di dalam pilihanraya-pilihanraya kecil. Sokongan padu mereka ini membuktikan PAS telah mampu menunjukkan keperibadian yang dapat diterima oleh semua pihak termasuk dari kalangan bukan Islam.

MEMBINA GENERASI PELAPIS NEGARA

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Sedarilah bahawa terlalu ramai para remaja telah rosak aqidahnya, yang memerlukan sumbangan kita untuk membawa mereka kembali kepada fitrah asal sebagai seorang hamba Allah s.w.t. Banyak pihak hari ini lalai dan leka tidak menyedari akan perancangan musuh Islam yang menyerang secara gerak saraf dengan menghantar hiburan, pelbagai jenis dadah yang merbahaya dan merosakkan kesihatan, arak, budaya rempit, lepak dan sebagainya sebagai senjata bagi menghancur masa depan generasi muda kita.

Malah mereka yang dihantar untuk pemulihan ke pusat-pusat seranti semakin bertambah dari hari ke hari. Agenda pemulihan ini amatlah sukar dan kurang berkesan serta memakan belanja yang sangat besar. Sesungguhnya cara Islam yang mengutamakan pencegahan adalah lebih berkesan dan terjamin kejayaannya.

Proses kehancuran ini dipercepatkan lagi dengan internet yang telah disalahgunakan untuk menyebarkan bahan-bahan lucah dan perkara-perkara mungkar. Pihak yang bertuhankan wang ringgit ini telah menggadaikan masa depan generasi muda demi kepentingan mereka sendiri.


i. Peranan muslimat dan nisa dalam membawa remaja keluar daripada kemelut masalah sosial melalui pelbagai strategi

Dewan Muslimat bersama Nisa’ sentiasa memberikan komitmen yang tinggi bagi mendekati para remaja bagi memujuk mereka kembali kepada cara hidup Islam. Nisa’ telah mula memantapkan jenteranya melalui pelbagai unit yang sesuai dengan jiwa remaja termasuk unit dakwah, kaunseling, kebudayaan dan sukan bagi menyediakan diri sebagai rujukan kepada para remaja yang bermasalah dan kehilangan panduan hidup.


ii. Membantu membina pemimpin masa depan dengan memperkasa keupayaan mahasiswa

Dewan Muslimat PAS juga menyedari akan fungsi cendikiawan muda terutama dari kalangan mahasiswa yang seharusnya memainkan peranan penting di dalam membawa para remaja kembali kepada Islam. Keupayaan minda dan intelek yang dikurniakan Allah s.w.t harus digunakan untuk memikirkan pelbagai pendekatan dan teknik bagi menarik kembali mereka yang telah terpesong ke jalan yang lurus.

Dewan Muslimat PAS juga mendesak pemansuhan akta AUKU yang telah mematikan sifat kritis dan kreativiti mahasiswa yang akhirnya melahirkan ramai mahasiswa yang jumud, beku dan tidak prihatin terhadap segala permaslahan masyarakatnya.

Dewan Muslimat PAS sentiasa memberi komitmen untuk membawa mahasiswa kepada hala tuju yang sebenar iaitu sebagai pemimpin masa depan yang akan menggunakan seluruh kekuatan intelek yang dikurnia Allah s..w.t bagi merancang masa depan negara. Seterusnya memainkan peranan membawa negara ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.


PENGHARGAAN KEPADA SOKONGAN GENERASI MUDA YANG SANGAT MEMBERANGSANGKAN

Dewan Muslimat PAS merasa sangat terharu dengan perubahan yang ditunjukkan oleh generasi muda di dalam beberapa pilihanraya-pilihanraya kecil baru-baru ini. Walaupun dalam keadaan keperibadian yang tidak sepenuhnya Islam, mereka masih yakin untuk menerima PAS sebagai satu wadah untuk mengubah nasib mereka.

Ini menunjukkan generasi muda sudah sedar akan kerosakan dan kehancuran yang sedang mereka alami dan ingin kembali ke pangkal jalan bersama-sama dengan PAS dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Dewan Muslimat PAS ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas sokongan yang padu yang diberikan oleh generasi muda hari ini. Marilah sama-sama kita berganding bahu melakukan sesuatu untuk memberi kesedaran kepada semua generasi muda di Malaysia ini dan membawa mereka kembali ke jalan fitrah asal mereka.


MENGUKUHKAN HUBUNGAN MUSLIMAT DAN MASYARAKAT DENGAN MEMPERGIATKAN AGENDA KEBAJIKAN


Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Di dalam kemajuan negara yang dibanggakan oleh kerajaan BN, sebenarnya masih ramai lagi rakyat yang dhaif, tertindas, teraniaya dan yang tidak cukup keperluan hidup dan masih memerlukan bantuan. Perbezaan antara golongan kaya dan miskin sudah mulai menampakkan jurang yang sangat besar.

Ini adalah kerana sistem zakat kerajaan BN hari ini tidak mampu melaksanakan fungsinya secara berkesan. Ditambah lagi dengan situasi ekonomi berasaskan kapitalisma dan materialisma yang semakin lumpuh, bilangan rakyat miskin akan meningkat hari demi hari.

Dewan Muslimat PAS juga menyedari bahawa rakyat negara ini bukan sahaja miskin harta, tetapi juga miskin agama. Jentera kerajaan BN yang ditugaskan memberi ilmu agama kepada rakyat tidak mampu melaksanakan tugasnya dengan baik. Islam hadhari yang diperjuangkan kerajaan BN tidak menampakkan sebarang kesan dalam membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai satu cara hidup.


MEWUJUDKAN PUSAT KHIDMAT BERSEPADU (ONE STOP CENTER)


Menyedari akan situasi rakyat yang semakin kronik, Dewan Muslimat PAS telah memberi komitmen yang tinggi selama ini terutama bersama negeri-negeri Pakatan Rakyat dan NGO yang memperjuangkan kebajikan rakyat dalam membantu golongan miskin, tertindas, teraniaya dan kurang upaya mengikut keupayaan yang diberikan oleh Allah s.w.t.

Dewan Muslimat juga sedang berusaha untuk menubuhkan Pusat Khidmat Bersepadu (One stop center) di semua peringkat bagi membolehkan masyarakat berbilang kaum datang untuk mendapatkan pelbagai khidmat mengikut kemampuan PAS.

KETRAMPILAN MUSLIMAT SEBAGAI RUJUKAN MASYARAKAT

Bagi memberikan pelbagai perkhidmatan alternatif kepada masyarakat, sudah tentulah Muslimat harus menyediakan jentera kebajikan yang ramai dan berkebolehan serta mempunyai ketrampilan bagi membolehkan muslimat menjuarai kerja-kerja kebajikan dan pembelaan.

Oleh itu Dewan Muslimat PAS menyeru kepada semua ahli muslimat agar menyediakan diri dengan pelbagai kebolehan dan kemahiran agar kita boleh memberi sumbangan melalui pusat khidmat ini. Dalam masa yang sama, Dewan Muslimat juga menyeru seluruh muslimat yang bekerjaya yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang untuk turun padang bersama seluruh jentera muslimat bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.


’PAS FOR ALL’ MEMPERTEGASKAN PAS SEBAGAI WADAH PILIHAN UMMAH


Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Alhamdulillah, agenda ’PAS FOR ALL’ telah banyak menarik minat pelbagai golongan untuk mendekati PAS. Walaupun selama ini PAS sememangnya sentiasa bersikap terbuka, namun dengan penekanan ini, PAS telah mampu dilihat sebagai wadah pilihan untuk pelbagai golongan dan kaum bagi memperjuangkan hak masing-masing.

Sifat keterbukaan, kerendahan hati dan keikhlasan pemimpin dan ahli-ahli PAS telah mampu meningkatkan kepercayaan pelbagai golongan untuk menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan pilihan mereka.

Dewan Muslimat PAS bersama dengan seluruh jentera PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat berusaha untuk memberikan komitmen yang tinggi dalam menunaikan hasrat ahli-ahli Kelab Penyokong PAS khususnya dan seluruh rakyat yang memerlukan bantuan.

MANSUHKAN AKTA RIMBA ISA

Dewan Muslimat mengulangi ketegasan bahawa akta rimba ISA ini mesti dimansuhkan segera. Kami amat bersimpati di atas penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh isteri-isteri dan keluarga mangsa ISA. Mereka yang tidak berdosa ini tersepit dan dizalimi oleh tindakan zalim kerajaan yang memenjarakan suami-suami mereka tanpa bicara dan tanpa peluang membela diri di mahkamah terbuka.

Sesungguhnya tiada penjara tanpa bicara dalam Islam. Keadilan Islam memberikan hak kepada yang dituduh untuk membela diri.

Firman Allah s.w.t;

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu-bapa dan kaum kerabatmu, jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu akan kemaslahatannya, maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran, dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.”
an-Nisa’ : ayat 135.

MEMPERTAHANKAN KEMENANGAN DI MANEK URAI


Kita melihat senario yang amat ganjil sekarang dimana BN yang diterajui oleh UMNO begitu ”phobia” dalam menghadapi pilihanraya kecil di Malaysia. Terutamanya di kawasan dimana kedudukan Pakatan Rakyat adalah kuat dan dapat menyaingi BN.

Berbagai helah akan dicari dengan memperalatkan SPR dan menggunakan mahkamah untuk mengelak berlakunya pilihanraya kecil. Sehingga kini dengan izin Allah s.w.t. BN telah kalah berturut-turut di Permatang Pauh, Kuala Trengganu, Bukit Selambau dan Bukit Gantang dengan majoriti yang besar. Sesungguhnya mereka merancang dan Allah s.w.t juga merancang. Akhirnya BN menarik diri dari bertanding di Penanti.

Setelah dengan rakus merampas kerajaan Perak, kini BN terdesak dan mencari helah supaya tidak berlaku pilihanraya kecil di seluruh negeri Perak. Kita tetap mengulangi desakan rakyat agar mereka diberikan hak memilih kerajaan Perak yang mereka inginkan. Tiada pilihan lain bagi penyelesaian kemelut di Perak hanyalah sebaik-baiknya mengada pilhanraya bagi rakyat memilih kerajaan yang mereka yakin dan sokong sepenuhnya.

Kini kita diuji pula dengan kekosongan di DUN Manek Urai, Kelantan. Walaupun dikatakan bahawa Manek Urai adalah kubu kuat PAS, tetapi kita mestilah bersiap siaga bagi mempertahankannya.

Muslimat akan mempertingkat usaha-usaha ke arah mencapai kejayaan yang cemerlang di Manek Urai. Tidak lupa juga doa dan munajat yang berterusan dipohonkan terhadap Allah s.w.t agar kemenangan berpihak kepada kita.

PENUTUP

Marilah kita meneguhkan parti kita dengan ciri-ciri Islamiyah ke arah penghayatan Islam yang syumul dalam mentadbir dan mempertahankan negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Usaha-usaha mengekal keyakinan serta melipat gandakan sokongan rakyat bukan Islam yang kita dapat selama ini, mestilah dipergiatkan. Seharusnya Kelab Penyokong PAS diberikan peranan yang lebih besar bagi meraih dan mengekalkan sokongan mereka terhadap parti kita.

Marilah kita memohon kepada Allah s.w.t agar melempahkan rahmat dan keampunanNya kepada kita dan saudara-saudara kita yang telah mendahului kita menemuiNya.

Akhir sekali, marilah kita dengan segala rendah hati memohon agar Allah s.w.t memberkati Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke 49 ini, supaya berjaya menjana rumusan dan tindakan susulan yang matang.

Saya mengajak Muslimat sekalian bersama-sama melaksanakan aspirasi MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT KALI KE-49 ini dengan tema:

”MENYEMARAK KEMENANGAN, MENYATU RAKYAT”


Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wasalamu’alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.


@ Dewan Muslimat PAS Pusat.
Bandaraya Shah Alam, 4 Jun 2009.


Read More......

Thursday, June 4, 2009

Isu Penanti

BUKTI JELAS MAJORITI WARGA PENANTI MASIH BERSAMA PAKATAN RAKYAT

Terlebih dahulu DMPP merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran terhadap Allah s.w.t kerana dengan izinNya calon Pakatan Rakyat dapat mempertahankan kerusi DUN Penanti dengan mendapat majoriti besar sebanyak 5,558 undi. Satu kejayaan yang cemerlang.

Kemenangan YB Mansor Othman mengekalkan kerusi DUN Penanti jelas menunjukkan bahawa majoriti warga Penanti masih setia bersama-sama Pakatan Rakyat. Kemenangan ini juga boleh dianggap sebagai satu “signal” daripada rakyat bahawa mereka benar-benar bertekad untuk melakukan perubahan. Iaitu dengan kata lain rakyat telah menolak politik kotor dan amalan “politik proksi” BN yang menggunakan calon-calon bebas bagi mengukur sejauh mana populariti mereka.

Maka terbuktilah segala kebimbangan YAB Perdana Menteri bahawa jika BN turut bertanding, ia sekali lagi akan menghadapi kekalahan.

Justeru itu dari satu sudut yang lain Dato’ Seri Najib telah berjaya lari dari kekalahan yang akan menambahkan krisis kurang keyakinan rakyat yang sedang ia alami disebabkan intergriti BN yang diterajuinya kalah berturut-turut di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Selambau dan Bukit Gantang dengan majoriti yang besar. Juga bertambah parah jika BN kalah lagi di Penanti.

Jika kita ambil senario pilihanraya umum 2008 sebagai kayu ukur, calon PKR telah hilang 1,294 undi simpati dan atas pagar, tetapi undi asas penyokongnya tetap kukuh. Dalam keadaan jumlah keluar mengundi berada pada tahap 82.14% pada tahun 2008, BN hanya berjaya mendapat 5,127 undi popular iaitu sebanyak lebih kurang 38%. Kali ini pada tahap peratus yang sama iaitu lebihkurang 5,000 pengundi tidak keluar pengundi dengan jumlah keluar mengundi hanya 7,346 saja. Ini terbukti jika benarlah maklumat yang diperolehi mengatakan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin telah menghasut lebih kurang 5,000 pengundi penyokong BN supaya tidak keluar mengundi. Juga kenyataan UMNO Pulau Pinang bahawa penyokong-penyokong UMNO seramai 5,000 orang memboikot pilihanraya kali ini dengan tidak keluar mengundi.

Sesungguhnya jelas dapat kita lihat daripada tindak-tanduk BN amnya dan UMNO khususnya bahawa mereka sebenarnya tidaklah demokratik. BN hanya akan memberi gambaran mereka juara demokrasi jika kemenangan memihak pada mereka.

Sebaliknya juga kemenangan ini adalah manifestasi kemenangan rakyat. Oleh itu dengan mandat besar yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat ini, kami menaruh harapan yang tinggi bahawa gabungan Pakatan Rakyat akan dapat mentadbir dan menangani permasalahan rakyat Pulau Pinang amnya dan warga Penanti khususnya dengan lebih baik. Kesempatan ini hendaklah digunakkan bagi melaksanakan janji-janji yang telah dibuat semasa berkempen.

Kejayaan ini juga tidak dapat diraih tanpa sokongan dan kerja keras para petugas pilihanraya Pakatan Rakyat. DMPP ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka yang terlibat terutamanya para petugas muslimat PAS yang telah bersama-sama menyumbangkan tenaga.


NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
1hb Jun 2009.

Read More......