Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, May 29, 2009

PAS berjaya seperti hari ini kerana usaha semua pihak - Nuridah Salleh

Petikan dari blog http://sanggahtoksago.blogspot.com

SETELAH 25 tahun kepimpinan ulama diasaskan, ia dilihat sudah mencapai kejayaan besar terutama bila PAS berjaya menguasai kembali Kelantan selama 19 tahun bermula dari tahun 1990.


Penerimaan masyarakat majmuk atau masyarakat bukan Islam terhadap PAS juga merupakan petanda kejayaan kepimpinan ulama yang menjadi antara agenda perjuangan PAS. Namun benarkah hanya ulama memainkan peranan dalam memberikan kejayaan terhadap PAS?

Bagaimana dengan sumbangan golongan profesional dan aktivis parti dalam mempersadakan PAS hingga ke peringkat hari ini. IRWAN MUHAMMAD ZAIN mendapatkan pandangan Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh. Ikuti temubual ringkas yang diadakan pada 25 Mei lalu.


Setelah 25 tahun kepimpinan ulama diasaskan, bagaimana ustazah melihat kepimpinan ulama ini dari sudut pandangan muslimat?


USTAZAH NURIDAH: Pada pandangan saya setelah 25 tahun kepimpinan ulama ini, ia perlu mempertingkatkan lagi daripada usaha-usaha yang telah dilakukan 25 tahun yang lalu. Kita tak nafikan sumbangan dan jasa-jasa yang diberikan oleh ulama dalam tempoh 25 tahun yang telah melakarkan sejarah PAS dalam persada politik Malaysia.


Tetapi untuk mencapai matlamat penubuhan PAS itu sendiri agar seluruh negara mendaulatkan perintah Allah SWT banyak lagi peranan yang perlu diambil ulama.

Apakah yang dilakukan oleh Muslimat dalam usaha untuk terus memperkasakan kepimpinan ulama?

Terus memberikan kefahaman kepada perjuangan Islam itu sendiri. Memberi kefahaman kepada masyarakat tentang perjuangan PAS yang berlandaskan Islam.

Matlamat perjuangan parti yang termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasullah SAW.

Dan untuk mencapai matlamat perjuangan ini pada saya ulama harus memainkan peranan yang lebih besar kerana hanya ulama yang memahami isi kandungan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Bila kita membincangkan tentang ulama atau kepimpinan ulama, tidak dapat tidak ia akan terarah kepada satu golonga sahaja iaitu golongan veteran.


Ada pihak yang mengatakan ulama menerusi Dewan Ulama gagal melakukan proses peremajaan sedangkan untuk menarik golongan muda, bukan hanya Dewan Pemuda sahaja yang perlu aktif sebaliknya Dewan Ulama juga perlu memainkan perana mereka.



Dalam soal ini apa pandangan ustazah tentang kepimpinan ulama yang setakat ini masih dikuasai oleh golongan veteran dan tidak muncul ulama muda sebagai pemimpin dalam Dewan Ulama?

Saya rasa ini juga satu cabaran kepada ulama-ulama muda kerana dalam PAS ramai ulama-ulama muda. Mereka sebenarnya perlu berganding bahu dengan ulama-ulama veteran.


Kita tidak boleh meninggalkan terus ulama-ulama veteran sebaliknya kita perlu berganding bahu kerana ulama-ulama veteran boleh membimbing ulama-ulama muda untuk menjadi seorang pemimpin dan ulama yang disegani bukan hanya dalam PAs tetapi juga masyarakat diluar PAS.

Ulama-ulama veteran mampu memberi semangat kepada golongan ulama muda untuk tampil ke depan dan seterusnya menjadi pengganti kepada mereka di masa akan datang.

Setelah 25 tahun kepimpinan ulama, bagaimana penerimaan masyarakat majmuk terhadap kepimpinan ulama?


Pada pandangan saya sangat positif. Penerimaan masyarakat majmuk atau masyarakat bukan Islam terhadap PAS itu merupakan satu petunjuk yang jelas penerimaan konsep kepimpinan ulama yang selama ini kita perjuangkan.


Dengan berkat kepimpinan dan bimbingan ulama itu sendiri tentang Islam dan kosep pemerintahan Islam menyebabkan masyarakat majmuk dapat menerima kepimpinan ulama atau menerima kehadiran golongan ulama sebagai pemimpin dalam masyarakat.



Dewasa ini timbulnya isu golongan ulama dan golongan profesional terutama dalam media-media arus perdana. Bila isu ini dimainkan ia seolah-olah satu usaha untuk meminggirkan golongan yang bukan ulama atau profesional atau kita panggil golongan aktivis parti.

Apakah perkara ini menyebabkan golongan bukan ulama dan golongan bukan profesional akan terpinggir bila tumpuan lebih diberikan kepada ulama dan profesional?


Saya rasa isu ini tidak perlu ditimbulkan. Pemimpin-pemimpin parti juga sepatutnya tidak menggunakan isu ini untuk diperbesarkan kerana realitinya dalam PAS semua pihak memainkan peranan.

Kejayaan yang diperolehi oleh PAS hari ini bukan kerana usaha satu pihak sahaja sebaliknya melibatkan semua sekali baik ulama, profesional atau aktivis.


Dan sumbangan golongan yang bukan ulama atau profesional ini bukan kecil. Sejak dari awal PAS ditubuhkan, ramai golongan-golongan aktivis yang bersusah payah berusaha untuk menaikkan PAS.



Jadi pada saya kalau isu ini kita perbesarkan ia tidak akan menguntungkan parti sebaliknya merugikan kerana apa yang kita perolehi sekarang kerana usaha semua pihak jadi tidak wajar jika kita cuba menafikan sumbangan pihak-pihak lain dalam parti dan hanya memberikan fokus kepada satu pihak sahaja.

Read More......

Friday, May 22, 2009

Takziah Buat Keluarga Allahyarham YB Hj Ismail Yaakob

DMPP melahirkan rasa sedih terhadap kepulangan ke rahmatullah ADUN Manek Urai, Kelantan, Allahyarham YB Hj Ismail Yaakob pada awal pagi tadi.


Allahyarham telah melaksanakan amanah kepimpinan sebagai ADUN Manek Urai dengan penuh dedikasi tanpa menghiraukan penat lelah. Allahyarham telah mencurahkan bakti kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan fahaman politik. Allahyarham amat disayangi, disegani, dan disenangi oleh rakyat di semua peringkat di Dun Manek Urai. Ini terbukti apabila beliau telah mewakili rakyat di Dun beliau selama 5 penggal.


Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Paksu Wel antara Adun yang paling lama di Kelantan dan beliau tidak pernah ditewaskan oleh lawan beliau dalam mana-mana Pilihanraya.


Dewan Muslimat Pas Pusat menyeru semua peringkat kepimpinan, para pendokong dan aktivis dakwah, serta semua peringkat komponen Pakatan Rakyat mencontohi sikap, peribadi dan komitmen Allahyarharham selaku ADUN yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat. Pihak DMPP yakin dan percaya seluruh saf kepimpinan pakatan rakyat sentiasa mengutamakan agenda kebajikan rakyat sebagai teras perjuangan.


Kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham kami ingin merakamkan ucapan takziah. Semoga diberi kesabaran dan dirahmati Allah S.W.T dalam menempuh ujianNYA ini. Mudah-mudahan mereka juga akan meneruskan perjuangan mulia Allahyarham tersebut.

Read More......

Pilihanraya Kecil Penanti


Oleh: USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH


Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat



SENARIO politik yang berpihak kepada Pakatan Rakyat menjadi faktor utama menyebabkan BN tidak mahu bertanding dalam pilihanraya kecil (PRK) Dun Penanti, Pulau Pinang. Ini ditambah dengan krisis politik di Perak dengan perebutan jawatan Menteri Besar yang belum ada kesudahan. BN bimbang semua faktor itu memberi kesan jika bertanding di Dun Penanti yang merupakan kubu kuat Pakatan Rakyat.


Ketua Wanita Umno, Dato' Seri Shahrizat Abd Jalil mengeluarkan kenyataan BN tidak bertanding di Dun Penanti atas alasan tidak mahu merugikan wang rakyat serta membuang masa. Peletakkan jawatan Adun Mohammad Fairus Khairuddin (KeADILan) pada 16 April lalu dianggap tidak wajar diadakan pilihan raya kecil. Manakala Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan BN tidak bertanding di Penanti atas alasan tidak mahu mengikut gelombang yang sengaja dicipta Pakatan Rakyat.

Di manakah kewarasan pemikiran seorang pemimpin nombor satu negara dengan membuat alasan begini? Apakah mungkin Najib mahu menjaga imejnya daripada terus tercalar setelah empat kali tewas dalam PRK? Ditambah pula dengan kes peribadi beliau yang didedahkan dalam akhbar luar negara?



“Manusia merancang, Allah juga merancang, sebaik-baik perancang adalah Allah SWT”. Dalam kegawatan politik Malaysia hari ini, Allah SWT telah memilih Allahyarham YB Hj Ismail Yaakob sebagai tetamu-NYA. Justeru mahu tidak mahu PRK Dun Manik Urai, Kelantan perlu diisytiharkan mengikut perlembagaan Malaysia. Walaupun senario ini amat tidak digemari BN.


Justeru, Saya menyarankan Umno-BN agar tidak meletakkan calon dalam PRK Dun Manek Urai nanti. Ini kerana saya yakin insyAllah rakyat akan tetap memberi kepercayaan kepada PAS untuk menjadi wakil di Dun ini.


Jika BN tidak meletakkan calon ia akan mengelakkan pembaziran sebagaimana yang dinyatakan oleh pimpinan Umno-BN. Begitu juga kepada calon-calon bebas tidak perlu membuang masa untuk bertanding dalam PRK nanti. Apa yang berlaku di Dun Bukit Selambau Umno-BN perlu jadikan sebagai iktibar. Bukankah Najib mengatakan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan”.


Kepada semua ahli-ahli dan penyokong PAS terutamanya petugas-petugas PAS di Dun Penanti perlu terus menjalankan tugas dan berkempen bagi memastikan calon KeADILan memperolehi
kemenangan besar.


Kehadiran kita amat diperlukan atas dasar semangat setiakawan dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat. Jika diberikan pilihan, kita mahu calon-calon bebas yang lain mengikut jejak langkah BN menarik diri daripada bertanding. Biarlah masa dan tenaga itu lebih ditumpukan untuk mentadbir dan berkhidmat kepada rakyat, terutamanya bagi masyarakat di Dun Penanti.


Muslimat seluruh negara akan memberikan sokongan dan bersama-sama berkempen membantu calon Pakatan Rakyat. Marilah kita pastikan kemenangan berpihak kepada calon Pakatan Rakyat dengan berkerja bersungguh-sungguh serta ikhlas agar doa-doa kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.


Kami yakin bahawa rakyat masih bersama-sama dengan Pakatan Rakyat. Malah BN juga yakin bahawa rakyat tidak bersama mereka pada kali ini. Sebab itu awal-awal lagi BN telah menarik diri. Bagaimanapun, kita harus peka dan berhati-hati terhadap tindakan dan tipu muslihat BN yang akan menggunakan proksinya pada pilihanraya kecil ini. Sudah menjadi satu yang biasa daripada pengalaman kita di masa lampau bahawa BN tidak akan mudah mengaku kalah walaupun BN tidak bertanding.



"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).”

Surah Anfaal : ayat -60.


Muslimat PAS perlu turun ke Dun Penanti walaupun pilihanraya itu diadakan hampir dengan Muktamar Tahunan Agung PAS kali ke-56.


Para perwakilan dan pemerhati dialu-alukan kehadiran ke muktamar dengan penuh keikhlasan. Selamat Bermuktamar kepada pimpinan di seluruh peringkat, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS.


Read More......

Tuesday, May 19, 2009

Respon- BN Tidak Bertanding di DUN Penanti

RESPON KETUA MUSLIMAT TERHADAP BN TIDAK BERTANDING DI DUN PENANTI.
“RAKYAT BERSAMA PAKATAN RAKYAT”


Terlebih dulu saya bersyukur terhadap Allah s.w.t di atas keputusan BN tidak meletakkan calon pada Pilihanraya Kecil DUN Penanti, seperti yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Najib semalam.

Saya juga menyarankan agar mana-mana pihak yang bercadang untuk bertanding menarik diri.
Biarlah kewarasan kita diutamakan dengan terus memberikan tumpuan terhadap menangani segala permasalahan rakyat. Jika ditakdirkan salah satu calon bebas tersebut mendapat kemenangan, ianya tidak akan merubah status quo kerajaan Pulau Pinang sekarang.

Mandat dan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat yang telah dapat dilaksanakan dengan baik dan dapat dikecapi oleh rakyat, terutamanya kepada warga Pulau Pinang dalam tempoh setahun berlalu, hendaklah dipertingkatkan lagi.

Sudah sepatutnya parti-parti dari Pakatan Rakyat, terutamanya PKR memberikan tumpuan terhadap pentadbiran dan permasalahan rakyat, khusunya warga Penanti. Disebalik itu kita lihat dengan secara tidak langsung, BN telah mengakui bahawa Pakatan Rakyat telah berjaya mentadbir dengan baik dan tidak perlu mereka mengganggu gugat dan seharusnya semua pihak hendaklah memberikan kerjasama penuh. Sebab itu mereka mengambil keputusan untuk tidak bertanding. BN juga yakin bahawa rakyat adalah bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Oleh itu adalah wajar tidak ada pertandingan berlaku di DUN Penanti nanti. Semua pihak diharap dapat mengurangkan politiking dan marilah bersama-sama kita menjalankan amanah dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

Selamat maju jaya. Rakyat bersama Pakatan Rakyat.



NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
19 Mei 2009.

Read More......

Selamat Hari Guru

Selamat hari guru diucapkan pada para guru Malaysia yang telah melaksanakan tanggungjawab dalam mendidik generasi ummah. Tahniah dan syabas jua buat kalian di atas kesungguhan dan kesabaran dalam mendokong visi dan misi murni penyampaian ilmu.

Tema hari guru ke-38 “Guru Pembina Negara Bangsa” menyerlahkan agenda membina tamadun negara adalah melalui proses pendidikan yang menjadi nadi profesyen perguruan.

Cabaran guru masa kini adalah berhadapan dengan masalah kebejatan sosial masyarakat yang bermula dari institusi keluarga yang rosak. Apabila institusi keluarga sejahtera gagal dibentuk, maka pembinaan individu manusia juga menjadi tidak seimbang. Ini mengakibatkan guru-guru terpaksa terlebih dulu perlu menangani “masalah sikap” para pelajar sebelum meneruskan proses penyampaian ilmu dengan pelbagai medium dan kaedah yang bersesuaian.

Selain itu proses membentuk daya tahan dan membangunkan sistem imuniti melalui aspek penerapan “akidah” dan kefahaman terhadap agama serta akhlak merupakan cabaran para guru. Ini adalah kerana dunia ledakan maklumat tanpa sempadan seringkali membuka ruang dan peluang untuk anasir-anasir negatif.

Guru-guru dengan wibawa yang tersendiri mampu melatih pelajar dalam mewujudkan daya saing yang ampuh bagi mendepani segala anasir dan unsur-unsur negatif yang berleluasa. Segala cabaran kehidupan yang dipengaruhi aspek teknologi serta pengembangan ilmu pada hakikatnya akan mendatangkan kesan positif secara menyeluruh sekiranya pengarahan dan halatuju adalah berdasarkan konsep yang telus.

Sebagaimana Allah s.w.t menukilkan dalam surah al-‘Asr:

“Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar”

Sekali lagi ucapan penghargaan kepada para guru Malaysia di atas segala komitmen membentuk jatidiri masyarakat Malaysia. Anjakan paradigma terhadap peranan mendidik masyarakat perlu dijadikan satu agenda pelaksanaan yang menyeluruh kepada semua warga Malaysia, agar agenda “mendidik anak bangsa” tidak hanya diletakkan di bahu para guru semata-mata.

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua DMPP

Read More......

Sajak & Pantun


Kalau roboh kota Melaka

Papan di Jawa hamba dirikan

Memang sungguh bagai dikata

Wang dan keringat kita korbankan.



Anak Cina membeli sempoa

Untuk mengira bilangan butang

Kami alu-alukan kedatangan semua

Ke Majlis Makan Malam anjuran Bt Bintang.


SAJAK PENUTUP MAJLIS SELEPAS TEATER “MENUNGGU KATA DARI TUHAN”

Tuhanku,
Dosa yang aku kerjakan amat kecil
Apabila dibandingkan dengan besarnya ampunanMu

Jika Tuhan hendak mencelakan aku
Gelaplah jalan yang kutempohi
Dan tidak seorangpun yang kuat
Dapat mempertahankan aku

Kalau Tuhan hendak memberi aku malu
Terbukalah rahsiaku
Walau bagaimana aku menyembunyikan

Kerana itu ya Tuhanku
Sempurnakanlah awal hikmahMu
Sampai kehujungnya
Dan janganlah Tuhanku cabut apa yang telah diberikan
Dan usahlah Tuhanku meninggalkanku.


Read More......

Tuesday, May 12, 2009

KEMPEN PEMBEBASAN TAHANAN ISA




KENYATAAN AKHBAR
KEMPEN PEMBEBASAN TAHANAN ISA, MAT SHAH SATRAY, HENTIKAN KEZALIMAN,
BEBASKAN TAHANAN 8 TAHUN ISA

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengalu-alukan pembebasan 13 tahanan ISA, termasuk 3 tahanan HINDRAF dimana salah seorang dari mereka, iaitu M. Manoharan adalah ADUN Kota Alam Shah, Selangor. Pembebasan mereka sebaik-baiknya dibuat lebih awal lagi, ataupun sepatutnya tiada langsung penahanan tanpa bicara. Jika kerajaan menuduh mereka bersalah melakukan perkara-perkara yang akan mengancam keselamatan Negara, bawa sahaja mereka ke muka pengadilan di mahkamah terbuka.

DMPP bersama-sama bersimpati dengan semua keluarga tahanan yang telah dibebaskan, disamping berita gembira ini pada para keluarga, kami juga kesal kerana sebenarnya tidaklah bebas sepenuhnya tanpa syarat. Mereka masih lagi dikenakan perintah “tahanan dalam rumah” di bawah Restricted Residence Act (1933), dimana jika terdapat apa yang disifatkan sebagai pelanggaran syarat-syarat pembebasan, mereka menghadapi risiko di tahan semula di bawah ISA yang zalim itu.

DMPP juga kesal mengapa masih ada lagi mereka yang ditahan seterusnya di atas tuduhan melakukan kesalahan yang sama, iaitu apa yang dilabel sebagai “Jemaah Islamiah” – JI. Sesungguhnya ini adalah satu tindakan kejam pembebasan terpilih di atas dasar politik. Masihkah tidak puas-puas kerajaan melakukan kezaliman terhadap keluarga mereka?

DMPP dengan tegasnya menggesa kerajaan agar membebaskan segera tahanan 8 tahun ISA, iaitu Mat Shah Mohd Satray dan dua lagi, Dr Abdullah Daud dan Shamsuddin Sulaiman, serta semua tahanan yag masih lagi merengkok di Pusat Tahanan Kamunting yang kini lebih dikenali sebagai “Guantanamo Malaysia”.

Sesungguhnya kerajaan tidak ada alas an yang munasabah dan kepentingan moral (moral ground) untuk menahan mereka lebih lama serta menzalimi para keluarga mereka lagi. Tidak cukupkah tempoh 8 tahun untuk mengumpulkan bukti dan menghadapkan mereka ke mahkamah terbuka, jika kerajaan benar-benar yakin mereka melakukan kesalahan.

DMPP juga akan bersama-sama dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menggerakkan kempen pembebasan tahanan 8 tahun ISA di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa.

DMPP menyeru kepada seluruh rakyat yang prihatin dan menentang kezaliman agar bersama-sama kami menjayakan kempen ini.

BEBASKAN SEMUA TAHANAN TANPA BICARA ISA.
BAWA MEREKA KE MAHKAMAH TERBUKA,
JIKA KERAJAAN YAKIN MEREKA BERSALAH.
BERIKAN PELUANG MEREKA MEMBELA DIRI.
MANSUHKAN ISA DAN TUTUP KEM “GUANTAMO MALAYSIA"

NURIDAH MOHD SALLEH
KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
9 MEI 2009


Read More......

Friday, May 8, 2009

Dedikasi Buat Ibu




Selamat hari Ibu. Dedikasi agung sepanjang masa diberikan kepada seluruh kaum ibu sejajar dengan pengorbanan melahirkan dan mendidik generasi sehingga ke hari ini.

Wanita yang bergelar seorang ibu berhak mendapat penghormatan, pengiktirafan, penghargaan , dan ihsan atau kebaikan dari anak-anak. Allah S.W.T telah menyuruh manusia mengabdikan diri kepada-Nya, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mensyukuri ALLAH.

Penghargaan terhadap segala pengorbanan ibu terhadap anak-anaknya dan keluarga yang tidak ternilai bukan bersifat ‘bermusim’atau hanya sekadar satu hari. Di Malaysia umumnya sambutan Hari Ibu dilaksanakan pada 10 Mei 2009. Tidak selayaknya jerih perit seorang ibu hanya ‘dikenang’ dengan memberi anugerah dan penghormatan pada satu hari dalam setahun.

“Dekat padamu..” Tema pada sambutan Hari Ibu pada kali ini..Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berpendapat para ibu sewajarnya sentiasa didekati dengan kasih sayang,perhatian , penghormatan oleh anak-anak dan keluarga. Biarlah dekat seorang ibu dengan perhatian , rahmat dan kasih sayang ALLAH atas ketulusan budi dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi. Bukan kerana seorang ibu mengharapkan kepada balasan atas pengorbanan mereka..tetapi kerana ibu memiliki sekeping hati yang diselaputi rasa kasih sayang sehingga segala kesukaran dan kesulitan semasa mengandung sehinggalah anak-anak telah membesar tidak membekas di sanubarinya.

Penekanan untuk berbuat baik kepada ibu boleh kita hayati melalui hadis Rasulullah S.A.W di mana dalam sebuah riwayat seorang lelaki datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya, "Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?" Jawab baginda, "Ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu dan selepas itu orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".

Firman Allah, bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya" (Surah al Ankabut, ayat 8).

Imbasan terhadap sirah Rasulullah S.A.W dalam proses awal Tarbiyyah Islamiyyah ke arah pembentukan generasi Ummah Islamiyyah , baginda amat menitikberatkan perkara paling asas dalam pembentukan ummah iaitu bermula dari proses memperbaiki usrah (keluarga). Maka, penghayatan Islam menerusi keluarga yang dibina tidak boleh tidak adalah bermula dari memperbaiki wanita.

Institusi keluarga yang berjaya adalah keluarga yang didalamnya wujud ‘rasa mahabbah’ atau kasih sayang yang didasari oleh pemupukan dan penerapan nilai-nilai Islam. Asas penting pembinaan keluarga adalah untuk membajai ‘faham Islam’ sehingga nukleus kecil dalam pembentukan keluarga akan berkembang kepada proses pembentukan masyarakat yang harmoni.

Oleh yang demikian, peranan ibu sebagai ‘mahaguru ‘alam’ tidak dapat dinafikan. Mahaguru inilah yang memainkan peranan paling awal untuk mendidik generasi.

Wanita yang tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya bisa menggegarkan dunia. Sehingga ada pepatah mengatakan bahawa wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia di mana seorang ibu itu memerlukan masa 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang.

Sebagai pendidik 'alam ini, setiap ibu perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan melalui proses tarbiyah (didikan) supaya kita mampu memberi didikan yang seimbang kepada anak-anak dalam semua aspek kehidupan. Bukan didikan dalam membentuk aspek pembinaan material semata-mata, tetapi bermula dari membentuk jatidiri seorang individu dengan akhlak yang mulia.

Oleh itu kita sebagai ibu perlu memahami peranan kita kerana kesannya amatlah mendalam yang mana ia mampu memperbaiki masyarakat sekiranya dihalakan kesana. Sebenarnya ibu yang baik sungguh mendapat tempat yang mulia, ia sentiasa dihormati dan disanjung tinggi oleh Islam.

Pengurniaan taraf seorang ibu banyak tercatit dalam Al Quran dan As Sunnah Rasulullah S.A.W.

Suka cita DMPP mengajak sekalian rakyat Malaysia yang semuanya pernah berada dalam rahim seorang wanita mulia bergelar ibu. “Berbuat baiklah kepada ibu kita..Ingati dengan segar terhadap segala budi baik mereka semasa mengandungkan kita selama 9 bulan, bertarung nyawa melahirkan kita, malah mendidik kita..temanilah ibu di kala senang dan susah, hargailah mereka, sayangilah mereka, doakan lah ibu sentiasa dilindungi dan dipermudahkan dalam segala perkara.”

Ibu, Terima kasih atas segala pengorbananmu.

“Ya Allah Ya Tuhan Kami, Ampunilah Dosa Kami dan Dosa Kedua Ibu Bapa Kami Dan Peliharalah Mereka Sebagaimana Mereka Memelihara Kami Semasa Kami Kecil.”

Read More......