Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, February 23, 2009

Tawan Perhatian ALLAH kepada kita

Kita perlu mempunyai jentera / tentera / petugas yang berkeupayaan (yang kuat). Bagaimana caranya untuk kita menjadi kuat? Apa kayu ukur yang mengatakan kita kuat? Penilaian keupayaan yang saya maksudkan melihat kepada sejauh mana kita ikut nilai Islam iaitu MARDHATILLAH (keredhaan ALLAH). Biarlah ia sejajar dengan keredhaan Allah.


“Laahawlawala Quwwata illa billah..” Tiada daya kekuatan kecuali dengan ALLAH yang Maha Tinggi dan Agung. Perlu kita menginsafi bahawa kekuatan dan keupayaan yang perlu kita bina adalah berdasarkan keizinan dan kehendak ALLAH. So, bagaimana kebergantungan kita kepada ALLAH dalam melaksanakan tugas-tugas seharian apatah lagi dalam gerakerja pilihanraya dan dakwah.


Apa yang saya sarankan ? Saya mohon..apabila kita menghayati wirid Lahawla Wala Quwata illa Billah, kita mengakui bahawa segala daya kekuatan adalah dari ALLAH. Maka, hubungan kita dengan ALLAH perlu kita perbaiki dari sehari ke sehari.


Saya melihat contoh bagaimana Sallehuddin Al Ayubi memimpin para pejuang dalam peperangan. Standart tenteranya adalah barisan yang melazimi dan merasai kelazatan halawatul iman dengan Qiamullail. Beliau tidak suka tenteranya tidak solat tajhajjud..itu lah kekuatan ‘taalluq billah’-kebergantungan kepada ALLAH yang akan menjana kekuatan spiritual setiap individu seterusnya mengaktifkan secara menyeluruh kekuatan jentera. MasyaALLAH !


Jagalah akhlak dan peliharalah hati kita supaya sentiasa ikhlas dalam setiap perkara. Keintiman kita kepada Allah ini adalah sunnah perjuangan. ALLAH maha Adil, penilaian Allah terletak kepada sanubari kita. Kita melaksanakan tanggungjawab ini bukan untuk survival mempertahankan negeri-negeri Pakatan Rakyat, tetapi survival yang lebih utama adalah mempertahankan survival kita di akhirat..Membujur lalu, melintang patah..kita berkeyaqinan atas dasar aqidah yang mantap bukan lah kerja kita secara bermusim.


Doa adalah senjata orang mukmin. Kita ada ALLAH Ya Rahman Ya Rahim, mudah-mudahan Allah campakkan dalam hati kita rasa kasih padaNYA melebihi segala-galanya.

Selain dari jentera yang berkeupayaan, jentera yang ada perlulah berada dalam satu saff yang tersusun. “mereka merancang dan ALLAH juga merancang, dan ALLAH lah sebaik-baik perancang.”

Kita perlu bermuhasabah terutama peringkat kepimpinan, Adakah perancangan kita selari sepertimana yang ALLAH kehendaki?

ALLAH menyebut dalam surah AL Baqarah 249 : “." Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."

Dalam surah as Saff ayat 4 Allah menyatakan bahawa “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” Biarlah kita sentiasa menyantuni akhlak di kala menang dan kalah, bekerja bersunggu-sungguh di setiap peringkat. Jadilah ‘abid di malam hari dan berjuang habis-habisan di siang hari.

Wallahu’alam. 


Read More......

Betapa hebat perancangan ALLAH

Baru- baru ini saya ke Bukit Selambau , bertemu muslimat di sana, rata-rata sudah mula menggerakkan jentera untuk pilihanraya kecil..Saya mengingatkan betapa isu di Perak, sering memeranjatkan kita..masa menang kita terperanjat, masa berlaku rampasan kuasa di perak kita pun terperanjat..semasa Arwah YB Roslan di Bukit Gantang kembali ke Rahmatullah kita turut terperanjat..

Di Selangor, selepas kes di Perak..Terdengar suara-suara meminta Selangor berjaga-jaga, kemudian tanpa disangka-sangka Bukit Lanjan pula menjadi sasaran. Seterusnya di Kedah, Bukit Selambau pula..Situasi yang berbeza di Perak dan 3 bukit ini memberi gambaran awal cabaran yang bakal dihadapi. Belum pun sampai setahun pada negeri –negeri diperintah Pakatan Rakyat, pelbagai situasi dan keadaan yang berlaku amat merisaukan.

Betapa hebat perancangan Allah..Apa –apa yang berlaku sekarang, perlu kita hayati firman Allah dalam surah al Mulk, mafhumNya. “Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (al Mulk ayat1-2)

Sebagai orang Islam, kita perlu kembali..setiap perkara ada kebaikan kepada kita. Kita perlu ambil apa yang ada, ambil dengan dada yang lapang, redha menghadapi apa yang diatur oleh Allah S.W.T..Supaya ianya membuahkan keberkatan. Kerana tiada gunanya sekiranya nilaian hebat itu hanya pada pandangan manusia. Kita perlu ingat bahawa soal pemerintahan yang dibawa oleh PAS, mempunyai asas yang kuat. Rasulullah dan para sahabat memegang tampuk pemerintahan malah berjihad untuk menegakkan daulah islamiyyah. Apabila sudah ada tampuk pemerintahan Islam, barulah apa yang ALLAH kehendaki dapat kita laksanakan secara kolektif.

Tujuan mewujudkan masyarakat yang mempunyai nilai-nilai Islam dalam rangka mendapat keredhaan ALLAH. Semata-mata hendak memastikan perintah ALLAH dapat dilaksanakan.
Sudah 50 tahun apa yang dilakukan oleh Umno Barisan Nasional ? Orang Melayu sudah terpencil dari persada yang sepatutnya..kini menjadi juara hisap dadah, juara rempit, dan pelbagai lagi juara-juara negatif. Perangkaan anak luar nikah meningkat dengan mendadak. Daripada 70 ribu setahun telah meningkat sehingga 270 ribu anak luar nikah yang didaftarkan.

Jadi, apa yang saya ingin tekankan kita mesti bersungguh-sungguh bukan sekadar memenangkan negeri dalam PRK, tetapi yang paling utama, pertahankan bumi untuk mencapai sistem khilafah Islam. Kita perlu sedar bahawa perjuangan yang dalam ruang lingkup yang ditetapkan ALLAH terletak dalam kategori jihad. Dalam hal ini, kita ingin mengambil kekuasaan (dalam konteks kuasa pemerintahan) untuk melaksanakan titah perintah ALLAH. Proses melonjakkan matlamat ini perlu dihayati bersama iaitu matlamat pemerintahan itu perlu diperolehi untuk laksana perintah ALLAH.

Wallahu'alam.

Read More......

Wednesday, February 18, 2009

Majlis Hi Tea Dewan Muslimat PAS Pusat






Pada 14 Februari 2009 bersamaan 18 safar 1430 H, Dewan Muslimat PAS alhamdulillah telah melaksanakan Hi Tea Wanita. Saya lampirkan sedikit ucapan sebagai ingatan bersama. :)


Penubuhan Dewan Muslimat PAS dicadangkan oleh sdr. Ustaz Haji Zabidi ‘Ali, seorang ahli Jawatankuasa Agung PAS dari Seberang Prai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS dan dipersetujui pada 3hb. April, 1952 kira-kira 57 tahun dahulu. Penubuhannya dibuat pada 3hb. Januari, 1953 serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan PAS kali pertama bertempat di Kepala Batas Seberang Prai, maka terbentuklah Jawatankuasa seramai 7 orang yang diketuai Puan Sharifah Rahmah.

Tujuan Penubuhan Dewan Muslimat PAS menurut nas cadangan awal adalah : “Mengelola dan memimpin ahli wanita supaya dapat mengambil bahagian yang tertentu bersama-sama ahli PAS lelaki bagi mencapai tujuan PAS dalam meninggikan taraf kehormatan serta memelihara maruah kaum wanita. Juga berikhtiar menjayakan rancangan-rancangan kebajikan, pendidikan dan pembelajaran, kebersihan dan ekonomi.”


Melihat kepada senario perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara maju, peranan wanita dalam membangunkan masyarakat amat penting. Sumbangan wanita tidak dapat dinafikan malah diakui penyumbang terbesar dalam pelbagai sektor khususnya dalam bidang akademik, pendidikan, ekonomi dan politik. Kita sebagai wanita sudah tentu mengimpikan Malaysia yang kita sayangi membangun secara kolektif dan bersepadu bukan sahaja dalam aspek duniawi malah ukhrawi. Kita inginkan Malaysia menjadi Negara maju yang mempunyai masyarakat bermoral, beretika, bertoleransi, mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang luhur. Maka, peringkat kepimpinan wanita sendiri perlu bersifat seimbang dan bersepadu. Di dalam kecemerlangan kerjaya, kepentingan rumahtangga dan pendidikan anak-anak serta keterlibatan wanita dalam kepimpinan mestilah dilaksanakan sebaik-baiknya.

Tanggungjawab sosial dalam memurnikan masyarakat seharusnya menjadi agenda bersama. Pengislahan masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai latar belakang bukanlah satu perkara yang mudah, tetapi memerlukan komitmen yang jitu melalui partisipasi semua pihak. Menjadi harapan saya agar dalam aspek- aspek pembangunan dan pemulihan masyarakat, kita dapat berganding bahu dan memimpin tangan bersatu dalam satu gerakan yang komprehensif. Saya yakin dan percaya walaupun kita mempunyai latar belakang politik dan lapangan yang berbeza, namun masih ada ruang yang cukup besar untuk kita mencari titik persamaan dalam merangka agenda ummah.

Agenda ummah atau agenda masyarakat ke arah melihat masyarakat yang lebih harmoni dari sudut pendidikan, kekeluargaan dan sosial telah menjadi keutamaan merentasi perbezaan politik, bangsa dan agama. Kita mahu sistem nilai dalam masyarakat yang telah korup dipulihkan dalam satu pelan tindakan strategik yang menyeluruh. Kita garap bersama dan kita laksana bersama.

Antara titik-titik persamaan yang ingin saya nukilkan pada hari ini adalah melalui nilai-nilai positif (6 K) iaitu Kebenaran, Keadilan, Kebebasan, Ketelusan, Kebajikan & Ketaqwaan.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al Maidah ayat ke-2 “ Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum karena mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”

Melihat kepada perkembangan politik semasa, saya mewakili Dewan Muslimat PAS ingin menyatakan kesediaan kita bersama-sama dalam menggembleng tenaga memberi informasi yang tepat kepada masyarakat. Masyarakat perlu diberikan maklumat yang adil dan telus melalui media massa supaya demokrasi sebenar dapat dilaksanakan. Apa yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional di Negeri Perak secara hakikatnya telah menafikan hak rakyat dalam menentukan kepimpinan negeri.

Hadirin-hadirat yang saya kasihi sekalian,

Hasil kajian yang dilakukan oleh Penganalis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah terhadap penduduk di negeri itu yang bermula di Pasir Salak sehingga ke Kuala Gula. 97 peratus rakyat Perak mahukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan iaitu sebagai cara terbaik mengatasi kemelut politik di negeri itu serta memberi peluang mereka 'meraikan' demokrasi. Abu Hassan menjelaskan, peratusan tersebut yang menunjukkan desakan rakyat Perak yang merupakan natijah gerakan massa rakyat yang merasa tertekan, penghidupan terganggu serta seluruh sistem ekonomi, politik dan sosial yang sudah punah.

Inilah bukti yang jelas menunjukkan bahawa demokrasi di Malaysia hakikatnya telah mati atau mungkin menjadi nyawa-nyawa ikan akibat penguasaan politik songsang dan rosak.

Dua pertiga pengundi Perak mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya tergempar diadakan di negeri itu ekoran krisis politik sejak penghujung bulan lalu. Kajian pendapat umum kendalian Merdeka Center, yang dikeluarkan pada 13 Februari 2009, menunjukkan hampir 74 peratus mahukan DUN dibubarkan manakala 76 peratus pengundi juga ingin melihat "pilihan raya menerusi rakyat" diadakan untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Justeru, wanita amat berperanan dalam mengatur aspek-aspek pengukuhan untuk mengimplemenkan visi dan misi kita sehingga ke peringkat grassroot atau akar umbi. Pelbagai pendekatan dan metodologi yang kontemporari harus direncana bersama agar impak positif dapat dilihat dalam negeri-negeri di Malaysia.

Kita juga menyedari cabaran semasa di Malaysia, pihak yang benar sentiasa yang akan diasak dari pelbagai sudut dan penjuru. Dalam hal ini , kita harus bersedia mempertingkatkan kualiti kepimpinan wanita dalam segenap aspek. Kita perlu meningkatkan peranan dan penglibatan dalam pelbagai sektor bagi membantu memantapkan pentadbiran negeri-negeri dan seterusnya membantu membangunkan masyarakat. Dengan adanya pelan yang komprehensif yang merangkumi dasar umum, objektif sehingga kepada pelan tindakan yang dapat diukur, setiap kerja dapat dilaksanakan dengan baik, dipantau dan dinilai pencapaiannya serta diperbaiki dari semasa ke semasa.

Akhir kata, saya berharap medan ini dapat menjadi satu permulaan jalinan ukhuwah dan kasih sayang antara kita seterusnya mampu menjana jalinan kerjasama yang lebih baik. InsyaALLAH.

"Resmi padi tunduk berisi,
Tumbuh melata si pokok tebu,
Ayuh Wanita Bersatu Hati,
Langkah diatur teguh bersatu..”

Semoga Wanita Satu Hati, tema pada majlis Hi- Tea ini dapat menjadi pencetus kepada pembinaan ‘Harapan Bersama atas Asas Kerjasama Merubah Bersama” Ke arah Malaysia yang lebih baik.

Sekian, Wabilahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera Kepada Semua.

Read More......