Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, November 21, 2008

Bersama Letchumi -Ketua Wanita Kelab Penyokong Pas Pahang






SABTU 1 NOVEMBER 2008 (Jerantut)- Saya buat pertama kalinya berpakaian sari Hijau putih (warna tema PAS). Gembira dapat berkenalan dengan Encik Balasubramaniam dan Isterinya Puan Letchumi yang merupakan penggerak utama Kelab Penyokong PAS di Pahang. Kesungguhan Encik Balasubramaniam dan isterinya serta sifat murah hatinya perlu dicontohi walaupun kita berlainan agama dan bangsa.

Antara tetamu yang hadir ialah Dato Paduka Husam Musa,Setiausaha DMPP Puan Salbiah Wahab,Pesuruhjaya PAS Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man,YDP PAS kawasan Jerantut Dr Hamzah Jaafar dan Encik Balasubramaniam.

Encik Balasubramaniam merupakan Ketua Kelab Penyokong PAS Pahang juga merupakan Timbalan pengerusi Kelab Penyokong PAS Malaysia.Turut hadir sama isteri beliau Puan Letchumi yang juga merupakan Ketua Wanita Kelab Penyokong Pas Pahang. Majlis tersebut telah dimeriahkan lagi dengan jamuan yang disediakan dengan kerjasama antara PAS Kawasan Jerantut dan Kelab Penyokong PAS India Jerantut. Encik Balasubramaniam turut bermurah hati dengan menyumbang seekor kambing sebagai juadah istimewa. Capati dengan kari ayam juga amat menyelerakan.

Suka saya mengingatkan firman Allah Taala dalam Surah Al Hujurat ayat ke-13 :

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

Justeru, saya menyeru para aktivis muslimat dan wanita agar kita dapat meluaskan skala dakwah kita, mengikat tali kerjasama dengan pelbagai pihak, supaya keindahan Islam dapat kita terjemahkan dalam pelbagai cara.

Read More......

Memantapkan Pentadbiran DMPP



Dewan Muslimat PAS Pusat sedang merangka beberapa strategi bagi memantapkan pentadbiran DMPP. Beberapa langkah Pelan Induk DMPP sedang diteruskan. Pelan Induk tersebut merangkumi semua sektor wanita.

Dengan pembentukan Pelan Induk DMPP 2008-2012, gerakerja Dewan Muslimat disemua peringkat akan lebih bersistematik dan lebih terarah. Pelan induk ini memastikan peranan Dewan Muslimat di dalam parti, masyarakat, kerajaan Pakatan Rakyat dan Negara akan lebih berkesan dalam membantu PAS mencapai Visi dan Misi parti.


Pengurusan pejabat akan dikemaskini dengan penambahan beberapa pekerja sepenuh masa. Penstrukturan kepada lajnah-lajnah akan dibuat dari semasa ke semasa.


Pertukaran jawatan antara Setiausaha DMPP Saudari Aiman Athirah Al Jundi dan Puan Hajjah Salbiah binti Wahab Ketua Lajnah Penerangan & Dakwah telah dibuat. Saudari Aiman Athirah diberi tanggungjawab untuk memimpin Lajnah Penerangan & Dakwah sebagai Ketua memandangkan potensi dan kebolehan yang ada pada diri beliau.


Bagi memantap dan melancarkan lagi urusan sekretariat, Puan Hajjah Salbiah binti Wahab diberi tanggungjawab untuk menjawat jawatan Setiausaha DMPP menggantikan Saudari Aiman Athirah Al Jundi. Dewan Muslimat PAS Pusat amat berharap dengan pertukaran ini, gerakerja DMPP akan menjadi lebih lancar. Moga ALLAH sentiasa memberkati dan membantu gerakerja Islam bagi setiap hamba-hambanya yang ikhlas.


Dewan Muslimat Pas Pusat juga menyeru semua jentera PAS di setiap peringkat menggiatkan lagi gerakerja dan aktiviti parti agar dapat mendatangkan manfaat kepada seluruh ahli dan warga Malaysia.


Nuridah Mohd Salleh

Ketua DMPP

23 Oktober 2008

Read More......

Ramadhan & Syawal Yang Berlalu

Syawal 1429 hijrah ini, sudah sampai ke penghujungnya. Ini bermakna sudah hampir sebulan kita umat Islam menjalani kehidupan di medan sebenar setelah melalui satu fasa latihan intensif di bulan Ramadhan.

Madrasah Ramadhan atau medan latihan di bulan Ramadhan ini dapat membantu kita membentuk sikap positif yang perlu dalam kehidupan seharian. Ibadat yang yang kita laksanakan perlu dihayati bukan saja dalam Ramadhan tapi seterusnya dalam bulan-bulan lain. Sebagaimana Islam menganjurkan kita beristiqamah dalam sesuatu amalan, begitulah juga dengan ibadat yang dilakukan dalam Ramadhan. Ia perlu diteruskan sepanjang tahun sehinggalah kita berjumpa Ramadhan satu lagi. Ramadhan seterusnya bertindak sebagai medan pengukuhan meningkatkan mutu dan prestasi amalan menjadikannya lebih baik dan mantap dari setahun ke setahun.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan di dalam sebulan Ramadhan, kita diberi perisai oleh ALLAH dengan pelbagai pemberian bagi menyempurnakan ketaqwaan kita terhadapNya. Perisai-perisai ini lah yang dikurniakan Allah hanya pada bulan Ramadhan untuk memberi nilai mata tambah atau bonus pada manusia :

Antara perisai-perisai yang Allah berikan di dalam Ramadhan ialah:

Nafsu manusia yang suka mengajak kepada keburukan dibiarkan lemah dengan berlapar di siangnya.
Malamnya pula digalakkan sangat-sangat kita melakukan ibadah-ibadah sunat seperti solat terawikh,witir, membaca al Quran, Qiamullail dan lain-lain ibadah.
Syaitan pula diriwayatkan dibelenggu oleh Allah, tidak dapat lagi untuknya bebas menyesatkan manusia.
Semangat umat juga dikobar-kobarkan terus untuk melakukan segala kebaikan dengan paparan kelebihan-kelebihan Ramadhan daripada bulan-bulan yang lain.

Tujuan atau objektif puasa Ramadhan itu sendiri amat jelas iaitu untuk menjadikan kita orang-orang yang bertaqwa kepada ALLAH. Kenapa kita perlu menjadi orang yang bertaqwa kepadaNYA?

Berdasarkan ayat 13 surah al-Hujurat, ALLAH SWT menerangkan bahawa orang-orang yang paling mulia atau paling baik disisiNYA ialah orang-orang yang bertaqwa. Ini bermakna orang-orang yang bertaqwa sahaja yang selamat hidupnya di dunia dan di akhirat.

Setelah berlalunya Ramadhan yang untuk sekian kalinya, berdasarkan umur kita masing-masing, maka bolehlah bertanya pada diri sendiri, sudah berjayakah kita menjadi golongan yang benar-benar bertaqwa kepadaNYA? Soalan ini perlu setiap kita yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat menjawabnya. Ini adalah kerana taqwa itu adalah neraca atau ukuran Allah terhadap manusia, bukan pada keturunan, pangkat, harta, rupaparas, dan warna kulit.

Piawaian atau ukuran ALLAH ini terpaksa kita utamakan dalam hidup kita kerana hidup kita di dunia hanya sebentar sahaja dan kita terpaksa berdepan dengan mahkamah ALLAH di padang mahsyar nanti.

Jawapan kepada soalan seterusnya ini juga mesti menjadi titik tolak aktiviti kehidupan kita pada setiap detik iaitu apa itu taqwa? Menurut Ab. Rahman al-sa’di, taqwa ialah memelihara diri daripada kemurkaan ALLAH dan azabNYA dengan mengikut perintah dan meninggalkan larangan, serta mengambil petunjukNYA dan mengambil manfaat daripada petunjuk itu. Taqwa itu dilakukan dengan aqidah, amalan zahir dan batin.

Bagi merealisasikan taqwa itu dalam diri, amat perlu kita merujuk beberapa ayat-ayat Al Quran yang menceritakan ciri-ciri orang yang bertaqwa iaitu :

Al Baqarah ayat 1-5
Al Baqarah ayat 177
Ali Imran ayat 100
Ali Imran ayat 100
Ali Imran ayat 133-136
Al –Maidah ayat 8
Al-Maidah ayat 100
Al –A’raf ayat 201-202
Al Anbia ayat 48-50
Az Zumar ayat 33
Az Zukhruf ayat 67
Qaf ayat 31-33
Az Zariyat 15-19

Justeru, marilah kita sama berlumba-lumba dalam mencapai piawaian ketaqwaan yang dikehendaki ALLAH, berusahalah kerana Allah sentiasa memberi petunjuk kepada hamba-hambaNYA yang berusaha untuk mencapai ketaqwaan.

Sebagai mukmin sejati yang bertaqwa, kita hanya mencintai ALLAH dan mentaatinya. Dalam keadaan apa pun, pegangan sejati kita hanyalah ALLAH. Apabila kita menjadikan ALLAH sebagai pegangan yang kukuh, dengan izin ALLAH, dalam menghadapi kesulitan atau kegagalan, kita tetap kukuh, malah lebih kukuh dari batu karang . Mari sama-sama kita implemenkan sifat dan nilai ketaqwaan hasil didikan Ramadhan Al Mubarak 1429 dalam kehidupan seharian agar ianya menjadi momentum ke arah pembentukan MALAYSIA yang lebih barakah !

Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
27 Oktober 2008

Read More......

Thursday, November 20, 2008

Bakal kembali...INSYA ALLAH!

Assalamu'alaikum wbt

Kepada para pembaca semua,

Rupanya bukan mudah juga bila ada blog sendiri ni. Kalau tidak beria-ia, memang tak jadi. Apa-apapun, insyaAllah selepas ini, blog ini akan kembali aktif dalam sedikit masa lagi.

Terima kasih kepada mereka yang mungkin setia menjenguk ke blog ini tanpa rasa jemu walaupun kandungannya tidak sempat dikemaskini.

Semoga kita semua terus istiqamah dalam perjuangan.

Salam ukhuwwah fillah,
Kak Nuri

Read More......